Saturday, February 07, 2009

~ SELAMATKAN ANAK-ANAK PALESTINE ~






Sekali lagi, aku dengan kelapangan yang ada menghalakan kaki untuk menghadiri majlis amal untuk rakyat Palestine yang dizalimi regim Zionis, malam tadi. Kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka pula yang menjadi tuan rumah dengan menganjurkan Malam Amal Selamatkan Anak-Anak Palestin DBP.

Bertempat di Balai Budaya Tun Syed nasir DBP, acara berlangsung dengan begitu lancar sekali apatah lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Duta Khas Palestin ke Malaysia, Abdulaziz Abughoush. Sebenarnya, aku telah beberapa kali bertemunya di majlis-majlis amal Palestine sejak akhir-akhir ini. Namun, inilah kali pertama aku berkesempatan untuk mendengar ucapan atau luahan hatinya tentang apa yang sedang berlaku di negaranya. Lantang dan penuh bersemangat sehinggakan tumpuanku sedikitpun tidak lari daripada terus menghayati apa yang diperkatakannya. Ermm.. Kesedaran begitu tertumpah tentang keberuntungan kita di bumi Malaysia ini.

Acara pada malam ini diisi dengan pembacaan puisi dan selingan persembahan nyanyian. Yang menggerakkan kakiku ke sini selain niat menyertai program amal ini ialah kerana mahu mendengar bacaan puisi idolaku, Pak Samad (Datuk A. Samad Said). Beliau tampil dengan gayanya yang tersendiri melalui puisi yang bertajuk Sumpah El Antagraf.

Selain Pak Samad, aku sangat-sangat tertarik dengan pembacaan Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Ahmad Shukri Abdullah, Puzi Hadi dan Shamsudin Othman yang begitu mantap dan bersemangat sekali melaungkan penentangan mereka melalui puisi-puisi ciptaan mereka iaitu Atas Nama Keamanan, Amerika, Di Bawah Langit Gaza dan Gaza – Mala Petaka Apakah ini.

Penysir lain yang turut serta antara lain ialah seperti Zaen Kasturi, KEMALA, Dr Zurinah Hassan, Lim Fheng Fheng dan beberapa nama lain lagi. Namun, malam ini turut menjadi istimewa dengan kehadiran bekas pembaca berita TV3 suatu ketika dulu, Ras Adiba Radzi yang sememangnya kita tahu tentang jiwa seninya. Ras tidak membacakan puisi, tidak juga melagukan lagu puisi tetapi wanita kental jiwa ini menyampaikan sebuah syair indah bertajuk Buat Rumah Palestin, Bumi Gaza.

Sebahagian besar penonton pada malam ini adalah terdiri daripada pelajar sekolah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi. Pada awalnya aku tersenyum lebar melihat penglibatan mereka dalam majlis seumpama ini. Namun, belum separuh masa berlalu, aku kira adalah lebih baik mereka tidak perlu menyertai acara ini. Ini kerana mereka yang datang bukan untuk menghayati dan menghargai bacaan puisi yang disampaikan oleh penyair-penyair hebat itu tetapi hanya tahu membuat bising di belakang.

Seawal majlis bermula mereka berbual sesama sendiri dan langsung tidak menghormati majlis. Mahu sahaja aku menegur, tetapi fikirku mereka ini golongan yang terpelajar dan bijdak pandai seharusnya lebih tahu tentang hal itu. Kata seorang daripada mereka yang kebetulannya duduk bersebelahan denganku, mereka ke sini kerana diarahkan oleh pensyarah mereka. Dalam lain perkataan, WAJIB datang. Bererti, mereka ke sini bukan kerana minat atau memberi sokongan tetapi kerana dipaksa datang.

Sudahnya, belumpun majlis berakhir, hampir separuh daripada tempat duduk di Balai Budaya itu kosong kerana kerana mereka meninggalkan majlis itu lebih awal. Ermm.. kalaupun tidak ada dengan minat, apa salahnya memberi sedikit rasa hormat kepada majlis berkenaan? Ermm…

A : Ehhh… Usman Awang tak datang ke Malam ni?
AKU : (Terus sahaja menoleh ke belakang, mencari arah suara yang menuturkan soalan itu.
KAWAN A : Iskk kau ni… datang apanya, Usman Awang kan dah meninggal..
A : Laa.. yer ker? Bila?
AKU : Ermmm…. (menggelengkan kepala)

[Terkenang puisi tulisan arwah Usman Awang, Ke Makam Bonda…]

No comments: