Saturday, February 14, 2009

~ PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL III ~

"Kuhinakan diriku untuk merengkuh cinta sejati,
Cintamu bagai cahaya mentari yang membakar wajahku,
meski sekilas kurasa namun akan menjadi bekal hingga akhir zaman..."

Kalau sudah rezeki... Malam tadi, aku tanpa dirancang-rancang telah menjadi sebahagian daripada penonton Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang III (PGL) di Panggung Sari, Istana Budaya. Penuh sesak dan hampir tiada langsung ruang kosong pada tempat duduk di Panggung Sari yang boleh mengisi kira-kira 1,421 orang penonton itu. Ia satu perkembangan yang cukup membanggakan.

Aku cuba mengambil kesempatan menonton ini untuk melihat sejauh mana benarnya khabar-khabar manis yang ku dengar tentang teater yang kali ketiga dipentaskan ini. Aku mendapat tempat duduk di kedudukan yang agak baik, justeru aku juga dapat melihat pentas dan pemerannya dengan keadaan yang baik juga.

Usah ditanya perbandingan teater PGL musim ketiga ini dengan dengan musim yang sebelumnya kerana aku tidak menonton kedua-dua PGL yang sebelumnya. Untuk PGL yang ditonton ini, pada separuh masa yang pertama aku kira tiada apa yang menarik perhatianku. Cuma pada separuh masa kedua sahaja aku merasa tidak mahu mengalihkan pandang mata ke arah pentas. Debarannya lebih dirasa dan tumpuannya sedikit menyeronokkan.

Secara keseluruhannya, aku rasakan teater ini hanya pada tahap yang biasa-biasa sahaja. Kehebatannya hanya terletak kepada props yang digunakan. Tiada siapa yang boleh menafikan tentang hal itu termasuk aku. Aku sukakan Gunung Ledangnya, aku sukakan reka bentuk Istana Melakanya, jambatannya, kapalnya dan suasana kota Melaka itu sendiri. Ia hidup dan meyakinkan. Sesuailah dengan jumlah modal yang pihak produksi laburkan barangkali.

Selain itu, aku juga tertarik dengan permainan ilusi yang ditonjolkan untuk beberapa babak. Ia menjadi dan dapat mempermainkan pandangan dan tumpuan penonton. Kepantasan dan ketepatan pergerakan ketika permainan ilusi ini dilakukan sangat mengkagumkan. Namun, yang menariknya, pandanganku sempat mencuri pergerakan Tiara ketika babak ilusi nenek kebayan yang mahu bertukar menjadi Gusti Puteri Retno Dumilah di puncak Gunung Ledang. Rezekiku barangkali.

Dari segi lakonan, ia cukup untuk memenuhi ciri perwatakan masing-masing. Tiara selaku tonggak utama tentunya. Gerak tari dan lontaran suara dengan permainan emosi dan rasa yang cukup mengesankan. Namun, lain pula halnya dengan Laksamana Hang Tuah. Kata seorang kenalan, Laksamana Hang Tuah untuk musim ketiga ini lebih 'pelat' dan 'tebal lidah' berbanding musim keduanya dulu. Aku hanya tersenyum. Namun, pujian harus diberikan kepada usahanya. Tahniah buat semua.

Pun begitu, jujur aku katakan terujaku untuk menonton PGL tidak mampu mengatasi keterujaanku untuk menonton Teater Muzikal P. Ramlee mahupun Teater Muzikal Ibu Zain.

[Tiba-2 ter-kenang Lantai T. Pinkie... Ermmm.. T. Pinkie tetap dengan donia-nya]

4 comments:

Erna Masfiza said...

nice review..

Koishie said...

terima kasih... ia sekadar luah rasa atas pemerhatian dari tontonan. Tidak semsti betul juga kerana saya sendiri tidak ariff dalam teater.. tetapi sangat suka menontonnya.

it's all about me said...

yeap...
i do agree with ur review for the first session...
as for me, dialek yang diguna pakai masa tuh membantutkan pemahaman...
tapi second session mmg best.. hehehe...
tak sabar nak tgk teater ibu zain plak...
nak tau sejauh mana kehebatannyer...

Koishie said...

:) yupp Ibu Zain... kali ini bukan di Istana Budaya tetapi di MATIC. Apapun, harap ia dapat mengekalkan momentumnya ketika di pentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya beberapa bulan yang lalu.