Saturday, January 24, 2009

~ MALAM PUISI DEMIMU PALESTIN ~


Dengan kesempatan dan kelapangan yang telah dirancang dan hasratkan, malam tadi aku ke Istana Budaya untuk menghadiri majlis Malam Puisi Demimu Palestin. Ramai juga yang datang menyatakan sokongan. Bukan sahaja di kalangan orang kebanyakan tetapi juga vip dan selebriti.

Darah menjadi gemuruh tiba-tiba apabila mendengar suara Pak Samad (A. Samad Said) melaungkan puisinya untuk Palestin yang teraniayai. Dua buah puisi (Anak-Anak Palestina & Bendera Tengkorak) yang dideklamasikan dengan suara yang begitu sederhana tetapi begitu kuat kesan dan rasa yang diperolehi kepada telinga yang mendengar. Terima kasih Pak Samad.

Malam tadi juga telah mengumpul pendeklamator-pendeklamator yang besar namanya. Yang setiap bacaannya bisa membuat nafas tiba-tiba menjadi laju. Dr Lim Swee Tin, saudara Shukri Abdullah, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Puzi Hadi dan ramai lagi.

Sungguh, aku hampir menangis dalam keriuhan malam di sana kerana mendengar puisi mereka. Sungguh aku benar terkesan dengan penghayatan itu. Mudah-mudahan selain aku, mereka yang hadir juga membawa pulang sesuatu dari majlis ini.



Sementara itu, pada 1-2 February depan, Puan Erma Fatima bersama Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang diterajuinya, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan menganjurkan acara amal, Doa Buatmu Palestin bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Acara ini akan diadakan di Istana Budaya dari jam 10.00 pagi sehingga 10 malam. Pelbagai aktiviti yang dirancang untuk dua hari itu termasuklah solat hajat, karnival dan persembahan pada sebelah malamnya. Lapang-lapangkanlah masa kamu untuk ke sana menghulur sedikit bantuan atau kalau tidak pun hanya dengan menyatakan sokongan kamu.

[Foto-foto Malam Puisi Demi-Mu Palestin, akan aku kongsi-kan kemudian...]

No comments: