Tuesday, January 27, 2009

~ CINTA TERHALANG, HATI BERBALAM ~


Siang tadi aku dihubungi seorang rakan lama. Sungguh aku terkejut sekali apabila melihat namanya tertera di skrin telefon bimbitku. Tiga panggilan daripadanya tidak ku jawab kerana ketika itu aku masih enak dibuai mimpi. Dia meninggalkan pesan agar menghubunginya sebaik aku mendapat pesannya itu.

Sebenarnya, sejak mengetahui tentang berita pernikahannya yang menjadi 'buah mulut' orang sejak dua bulan lalu itu, aku berkali-kali cuba menghubunginya. Berpuluh mesej juga pernah aku tinggalkan di kotak pesanan telefon bimbitnya itu. Namun, senyap tidak berjawab. Pun begitu, aku tidak pernah berkecil hati kerana faham situasinya yang kini sedang dalam tekanan hebat akibat masalah yang panjang tidak habis dilaluinya itu. Apatah lagi dia juga kini sedang berbadan dua dan mengalami alahan yang sangat teruk sekali.

Sebenarnya rakan ini telahpun menikah dengan pasangannya itu sejak awal tahun lalu lagi. Cuma baru dua bulan lepas sahaja berita itu diketahui keluarga dan kenalan dekat. Menurutnya, keputusan untuk menikah di negara jiran itu terpaksa diambil kerana masalah halangan dan tentangan daripada keluarga pasangannya yang tidak berkesudahan. Sedangkan cinta mereka semakin mengharum dan ranum di jambangan.

Sebenarnya, aku sudah sedia maklum akan hal itu kerana rakan ini pernah berkongsi tentang hal itu. Betapa dia begitu tertekan apabila dihina cerca oleh bakal keluarga mertua yang tidak pernah menyukai apatah lagi mahu merestui cinta mereka. Sungguh, aku sangat-sangat memahami situasi yang dilalui rakan ini. Cumanya, aku tidak menyangka dia benar mengambil keputusan nekad untuk bernikah di sana.

Siang tadi, setelah sekian lama tertanya-tanya keadaan dan situasinya, kami punya kesempatan untuk berbual panjang. Dia menceritakan segala kekusutan yang dilaluinya sepanjang bergelar isteri secara 'sembunyi' sejak Februari lalu dan isteri yang dicerca mertua sejak dua bulan lalu. Aku terdiam, senyap. Simpati. Tapi bukan simpati kerana aku mengenalinya dekat lalu harus menyebelahinya tetapi apa yang dilakukan oleh keluarga mertuanya itu sememangnya tidak wajar sama sekali. Hilangkah rasa kemanusiaan dalam diri?

Bayangkanlah bagaimana sanggup seorang yang bergelar ibu dan mungkin nenek sanggup mendoakan keburukan untuk anak menantu. Sanggup dengan usaha yang keras untuk memisahkan pasangan yang sudah halal pernikahannya di sisi agama. Walau atas apa jua alasan atau kebencian bagaimana sekalipun, aku fikir sebagai orang tua yang tentunya punya akal dan pemikiran yang panjang, apatah lagi sebagai seorang Islam, tindakan itu tidak wajar sama sekali dilakukan. Maaf, aku tidak dapat kongsikan secara terperinci apa yang sebenarnya 'dilakukan' oleh mertuanya ini di sini, tetapi cukuplah kalau aku katakan ia di luar batas manusia.

Ermm... Lama kami di hujung talian. Aku tidak mahu menitiskan air mata kerana aku tidak mahu dia juga berkeadaan yang sama. Cuma, berkali aku pinta agar dia menjaga baik kandungannya yang kini sudah mencecah usia tiga bukan itu. Tambahan lagi, dia mengalami alahan yang teruk sehingga segala apa yang dimakan kembali dimuntahkan tanpa berbaki. Mujur juga suami setia di sini biar ribut dan taufan bergegar di luar rumah mereka.

Aku dipinta menjadi orang tengah walau tidak secara langsung. Ermm.. berat untuk aku lakukan kerana bimbang keadaan akan bertambah keruh apabila aku sebagai orang luar membuat campur. Namun, andai ada bentuk bantuan lain yang diperlukan dari aku, sungguh.. aku dengan penuh rela hati sedia membantu.

[Bila cinta ter-halang, bila hati ber-balam... bila benci mengabur pandang... ermm..]

No comments: