Saturday, January 31, 2009

~ THINGS I CAN'T STAND ~


Memenuhi Tag dari masmz. Terima kasih di atas sedikit perkongsian.

THINGS I CAN'T STAND
  1. Ketidakhargaan dalam persahabatan
    Beberapa kali di ruangan ini, aku menyentuh tentang soal yang satu ini. Aku seorang yang begitu memandang tinggi pada persahabatan. Pernah kata seorang sahabat, aku terlalu memberatkan persahabatan. Ermm.. Bukan soal memberat atau meringankan, tetapi ikatan persahabatan itu sama nilainya dengan kekeluargaan. Sekiranya kita boleh berkorban untuk keluarga, kita juga perlu berkorban untuk sahabat. Ini kerana mereka yang kita gelarkan sahabat itu (bukan kawan) tentu sahaja bukan orang sebarang yang terkutip di tepi jalan. Andai nilai perhabatan itu di campak di lantai kaki, apa ertinya lagi sebuah persahabatan itu? Justeru, hargai kedekatan kamu dengan sahabat yang ada. Hargai sahabat kamu dengan selayaknya dia.

  2. Ditipu manusia dekat
    Boleh mahu menipu aku, tetapi pastikan betul-betul agar aku tidak mengetahui langsung tentangnya. Ini kerana sekali aku mengetahuinya, maaf sukar sekali akan kamu peroleh. Justeru, jangan dekatkan aku dengan soal itu.

  3. Lagak besar diri membuat beza
    Ada yang dilakukan secara terang-terangan dan ada yang secara diam. Kedua-duanya membuatkan aku rimas sekali. Aku tentu sekali tidak akan dekat dengan kamu jika itulah sebahagian dari diri kamu.

  4. Kedai mamak dan kucing
    Hahahaha… aku tidak punya alasan yang kukuh untuk perkara ini. Namun, mereka yang mengenalku dekat pasti tahu akan hal ini... :)

  5. Pemandu teksi yang membuat helah untuk pulangkan duit baki
    Perkara ini sering terjadi kepada aku yang setiap hari menggunakan perkhidmatan teksi, 2-4 kali sehari. Andai sepuluh-duapuluh sen.. mungkin kita juga tidak mahu berkira sangat.. (walaupun tanpa sepuluh sen, tidakkan jadi seringgit). Tapi bayangkanlah kalau tambang RM7 dan diberikan note merah sekeping, tidak ada wang baki juga. Bagaimana kalau hampir setiap hari berdepan situasi serupa? Anggapkan sedekah? Kalau tidak ikhlas dan menyusul rungutan dan keluhan selepas itu, layakkah ia dipanggil sedekah.. ermmm

    [Perenah kata sa-saorang, aku tidak penyayang kerana tidak suka-kan kucing... ermmmm...]

Friday, January 30, 2009

~ SINGGAHAN WAJIB ~



Memang semenjak dari kecil lagi aku sangat gemar menghabiskan masa di kedai buku. Sikap itu terbawa-bawa sehingga kini. Kalau bukan dengan tujuan untuk membeli pun, aku pasti akan menyinggah untuk membelek atau jika punya kelapangan waktu yang panjang, aku pasti akan menghabiskan masa berjam-jam di situ untuk membaca buku-buku secara percuma di situ.

Secara percuma? Ya... secara percuma. Aku suka membaca tetapi tidak punya banyak bahan bacaan di rumah kerana ketika itu wang ayah lebih memerlukan untuk membeli keperluan lain untuk keluarga. Justeru, mengunjungi kedai buku dan membacanya secara percuma adalah aktiviti yang selalu aku lakukan. Malah, banyak buku yang berjaya aku habiskan dengan membacanya secara bersambung-sambung tanpa perlu membelinya. Terutamanya untuk buku-buku yang harganya begitu mahal. Sebenarnya, mahal buku itu kerana ilmunya dan bukan itu yang mahu aku persoalkan. Cuma, wang kami ketika itu mungkin lebih diperlukan untuk sesuatu yang lain yang tidak boleh diperolehi secara percuma.

Justeru, itulah jawapan kepada soalan yang pernah diajukan oleh seortang teman kenapa aku gemar sekali menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kedai buku. Walhal aku boleh mengambil dan membayar sahaja buku yang dimahukan tanpa perlu berlama-lama di situ. Yaa.. aku kini mampu untuk memiliki sendiri buku yang diingini dengan wang sendiri tetapi seperti mana yang aku katakan tadi, kebiasaan itu terbawa-bawa sehingga kini. Mnegimbau nostalgia lalu.

Setiap kali aku menjengah kedai buku, aku pasti terkenang masa lalu. Justeru, aku tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang menyeronokkan itu. Di samping membeli buku yang dimahukan, aku juga boleh membaca buku-buku lain dalam masa yang sama.

Terbaru, aku baru sahaja berjaya menghabiskan sebuah buku yang mengkisahkan tentang presiden baru Amerika Syarikat, Barrack Hussien Obama. Minggu lalu, aku membaca separuh isinya dan 3 hari lepas aku berjaya menyudahkan bacaannya tanpa perlu membeli buku tersebut. Bukan tidak mahu membeli, tetapi aku rasa lebih baik aku membacanya isinya sahaja tanpa perlu memiliki. Kebetulan juga ketika itu senaskah buku pengkisahan tentang Tun Dr Mahathir sudah di tangan.

Di mana? Aku suka menghabiskan masa di Borders, BTS. Di sini, kemudahannya untuk membaca sangat-sangat selesa. Malah, pihak pemiliknya juga dilihat begitu menggalakkan budaya membaca di kalangan pengunjung yang datang. Tidak seperti MPH (minta maaf.. mungkin bukan semua... tetapi aku bercakap di atas pengalaman sendiri), usahkan mahu menyediakan kemudahan yang selesa, kakitangannya juga agak tidak mesra pelanggan. Berlagak sombong seperti MPH itu keluarga mereka sendiri yang punya.

[Pesan untuk kaki-tangan MPH Mid Valley, budi bahasa amalan kita..]

Thursday, January 29, 2009

~ FOTO MALAM PUISI DEMIMU PALESTINE ~













Memenuh janji yang pernah aku tuturkan di sini untuk berkongsi foto-foto menarik pada Malam Puisi Demi-Mu Palestine yang berlangsung di Istana Budaya pada 23 Januari yang lalu. Tidak seindah bidikan foto sang profesional, namun cukup untuk aku gambarkan susana di sana ketika itu bersama kamu di sini.

[Sentiasa teruja men-dengar Pak Samad... semakin senang lantunan Shukri Abdullah... ]

Wednesday, January 28, 2009

~ TEATER MUZIKAL IBU ZAIN DATANG LAGI ~


Aku pernah berkongsi cerita tentang kehebatan pementasan teater muzikal Ibu Zain di sini beberapa bulan lalu. Betapa pengimbauan tentang tokoh wanita yang hebat itu dekat dan lekat di hati mereka yang hadir menonton ketika itu. Dan ia masih lekat di ingatku sehingga saat ini.

Berita gembira buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menontonnya tempohari, Teater Muzikal Ibu Zain bakal dipentaskan sekali lagi. Kali ini bukan di Istana Budaya tetapi di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 13-22 Mac depan, jam 3.00 petang dan 8.30 malam.

Pengarahnya masih sama, Puan Rosminah Tahir dan gandingan serasinya Puan Siti Rohayah Atan (penerbit) serta sebahagian besar pelakon-pelakon sama yang menerajui Teater Muzikal Ibu Zain ketika dipentaskan di Istana Budaya. Kak Liza Othman dan Dato' Rahim Razali tentunya.

Sungguh sebuah kebetulan kerana dalam entri ku pada 18 January lepas, aku ada suarakan "Kalaulah teater Ibu Zain di-pentas-kan sekali lagi... " dan ia bukan 'kalau' lagi kerana suara hatiku itu seperti di dengar sang penerbit dan pengarahnya... Terima kasih. Aku berharap agar mereka yang belum berkesempatan untuk menonton teater ini, ambillah peluang yang ada ini dengan sebaiknya. Kamu pasti akan membawa pulang sesuatu setelah menonton pementasan ini.

[Nan setitik jadikan laut, nan sekepal jadikan gunung, alam terkembang jadikan guru, akar di bumi akal ke langit...]

Tuesday, January 27, 2009

~ CINTA TERHALANG, HATI BERBALAM ~


Siang tadi aku dihubungi seorang rakan lama. Sungguh aku terkejut sekali apabila melihat namanya tertera di skrin telefon bimbitku. Tiga panggilan daripadanya tidak ku jawab kerana ketika itu aku masih enak dibuai mimpi. Dia meninggalkan pesan agar menghubunginya sebaik aku mendapat pesannya itu.

Sebenarnya, sejak mengetahui tentang berita pernikahannya yang menjadi 'buah mulut' orang sejak dua bulan lalu itu, aku berkali-kali cuba menghubunginya. Berpuluh mesej juga pernah aku tinggalkan di kotak pesanan telefon bimbitnya itu. Namun, senyap tidak berjawab. Pun begitu, aku tidak pernah berkecil hati kerana faham situasinya yang kini sedang dalam tekanan hebat akibat masalah yang panjang tidak habis dilaluinya itu. Apatah lagi dia juga kini sedang berbadan dua dan mengalami alahan yang sangat teruk sekali.

Sebenarnya rakan ini telahpun menikah dengan pasangannya itu sejak awal tahun lalu lagi. Cuma baru dua bulan lepas sahaja berita itu diketahui keluarga dan kenalan dekat. Menurutnya, keputusan untuk menikah di negara jiran itu terpaksa diambil kerana masalah halangan dan tentangan daripada keluarga pasangannya yang tidak berkesudahan. Sedangkan cinta mereka semakin mengharum dan ranum di jambangan.

Sebenarnya, aku sudah sedia maklum akan hal itu kerana rakan ini pernah berkongsi tentang hal itu. Betapa dia begitu tertekan apabila dihina cerca oleh bakal keluarga mertua yang tidak pernah menyukai apatah lagi mahu merestui cinta mereka. Sungguh, aku sangat-sangat memahami situasi yang dilalui rakan ini. Cumanya, aku tidak menyangka dia benar mengambil keputusan nekad untuk bernikah di sana.

Siang tadi, setelah sekian lama tertanya-tanya keadaan dan situasinya, kami punya kesempatan untuk berbual panjang. Dia menceritakan segala kekusutan yang dilaluinya sepanjang bergelar isteri secara 'sembunyi' sejak Februari lalu dan isteri yang dicerca mertua sejak dua bulan lalu. Aku terdiam, senyap. Simpati. Tapi bukan simpati kerana aku mengenalinya dekat lalu harus menyebelahinya tetapi apa yang dilakukan oleh keluarga mertuanya itu sememangnya tidak wajar sama sekali. Hilangkah rasa kemanusiaan dalam diri?

Bayangkanlah bagaimana sanggup seorang yang bergelar ibu dan mungkin nenek sanggup mendoakan keburukan untuk anak menantu. Sanggup dengan usaha yang keras untuk memisahkan pasangan yang sudah halal pernikahannya di sisi agama. Walau atas apa jua alasan atau kebencian bagaimana sekalipun, aku fikir sebagai orang tua yang tentunya punya akal dan pemikiran yang panjang, apatah lagi sebagai seorang Islam, tindakan itu tidak wajar sama sekali dilakukan. Maaf, aku tidak dapat kongsikan secara terperinci apa yang sebenarnya 'dilakukan' oleh mertuanya ini di sini, tetapi cukuplah kalau aku katakan ia di luar batas manusia.

Ermm... Lama kami di hujung talian. Aku tidak mahu menitiskan air mata kerana aku tidak mahu dia juga berkeadaan yang sama. Cuma, berkali aku pinta agar dia menjaga baik kandungannya yang kini sudah mencecah usia tiga bukan itu. Tambahan lagi, dia mengalami alahan yang teruk sehingga segala apa yang dimakan kembali dimuntahkan tanpa berbaki. Mujur juga suami setia di sini biar ribut dan taufan bergegar di luar rumah mereka.

Aku dipinta menjadi orang tengah walau tidak secara langsung. Ermm.. berat untuk aku lakukan kerana bimbang keadaan akan bertambah keruh apabila aku sebagai orang luar membuat campur. Namun, andai ada bentuk bantuan lain yang diperlukan dari aku, sungguh.. aku dengan penuh rela hati sedia membantu.

[Bila cinta ter-halang, bila hati ber-balam... bila benci mengabur pandang... ermm..]

Monday, January 26, 2009

~ KUNG HEY FATT CHOY ~


Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh kaum Tionghua yang meraikan perayaan ini. Terutama sekali buat teman jiwa dan keluarga yang ketika entri ni di tulis mungkin sedang menikmati hidangan 'makan besar' sempena perayaan. Mudah-mudahan kehidupan menjadi lebih baik dengan kebahagiaan dan kekayaan yang melimpah. Kung Hey Fatt Choy (selamat tahun baru Cina) dan Wan Shi Ru Yi (semoga segala urusan berjalan lancar).

Tahun ini, adalah tahun lembu yang mana ia mempunyai pengertian yang tersendiri dalam kepercayaan masyarakat ini. Teman jiwa pernah memberitahu, bagi masyarakat Cina, sambutan Tahun Baru adalah masa untuk memperbaharui tenaga, harapan dan impian mereka. Andainya pada tahun sebelumnya tidak berlaku seperti mana yang dirancang, maka kedatangan tahun baru ini diharap akan membawa perubahan yang lebih positif dan seterusnya mrealisasikan impian mereka.

Apa yang menariknya juga, selepas acara 'makan besar', khabarnya kesemua anggota keluarga digalakkan untuk berjaga sehingga awal pagi sebagai mematuhi ‘shou sui’ iaitu satu amalan yang dipercayai mampu membawa panjang umur kepada kedua ibu bapa.

Untuk teman jiwa, mohon maaf dariku kerana kesibukan dengan urus pekerjaan yang agak melampau pada minggu lalu telah membuatkan aku tidak dapat menemaninya membuat beberapa urus. Mudah-mudahan ada pengertian darinya.

[Sedang menunggu angpau raya... ]

Sunday, January 25, 2009

~ PERGINYA SEORANG SASTERAWAN NEGARA ~



(Kredit foto : Ibnu Khushairi)

(Kredit foto : Ibnu Khushairi)

Entah apa kebetulannya. Seminggu yang lepas, aku dan seorang kawan berbual panjang tentang karya-karya ARENAWATI. Jujurnya, aku tidaklah begitu mengenali arwah sebagaimana aku mengenali Pak Samad (A. Samad Said), tetapi aku pernah membaca beberapa naskah tulisannya. Aku mengenali arwah dari jauh. Malah pernah ada angan-angan kalaulah aku punya kesempatan untuk berbual-bual dengan arwah dan berbicara tentang karya-karyanya.

Namun, hal itu akan tetap tinggal angan-angan kerana petang tadi (sedikit terlewat berita itu sampai kepadaku) aku mendapat tahu arwah telah pulang ke rahmatullah. Al Fatihah... Mudah-mudahan allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminnn...

Petikan berita daripada BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Baing atau lebih dikenali sebagai Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi tadi akibat barah paru-paru. Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi.

Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera. Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 Sept lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin. Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta tengah hari ini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3 petang.

Empat orang lagi anak Allyarham ialah Rahmah Wati, Hirianty, Ilhamuddin dan Kamaluddin Rostor. Anak sulung beliau, Rahmah Wati berkata sewaktu Allyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan telah menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.

“Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara,” katanya. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.

“Beliau seorang yang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham yang dihasilkan menerusi pengalaman hidupnya,” katanya.

– BERNAMA

INFOMARSI ARENA WATI

Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati (lahir 30 Julai 1925) ialah Sasterawan Negara Malaysia tahun 1988.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia. Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.

Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imiginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

KARYA

Novelnya yang pertama ialah Kisah Tiga Pelayaran pada tahun 1959 di Singapura. Selepas itu beliau terus menulis termasuk:

Lingkaran (1962)
Sandera (1971)
Bunga Dari Kuburan (1987)
Kuntum Tulip Biru (1987)
Sakura Mengorak Kelopak (1987)
Panrita (1993).
Sukma Angin (1999)
Cakra Waruga (KN)
Sebuah Trilogi Tiga Genre(KN)
Sebuah Trilogi Tiga Genre(KT)
Trilogi Busa - Busa Hati
Trilogi Busa - Busa Sukma
Trilogi Busa - Busa Kalbu
Trilogi Armageddon : Mandala
Trilogi Armageddon : Menorah
Trilogi Armageddon : Pentagon
Warna Sukma Usia Muda

PENCAPAIAN

* SEA Write Award (1985)
* Anugerah Sasterawan Negara (1987).
* Sukma Angin (1999) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
* "Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1985" (SEA Write Award) daripada Paduka Raja Thai
* Pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.

[Al Fatihah... dan takziah untok keluarga allahyarham]

Saturday, January 24, 2009

~ MALAM PUISI DEMIMU PALESTIN ~


Dengan kesempatan dan kelapangan yang telah dirancang dan hasratkan, malam tadi aku ke Istana Budaya untuk menghadiri majlis Malam Puisi Demimu Palestin. Ramai juga yang datang menyatakan sokongan. Bukan sahaja di kalangan orang kebanyakan tetapi juga vip dan selebriti.

Darah menjadi gemuruh tiba-tiba apabila mendengar suara Pak Samad (A. Samad Said) melaungkan puisinya untuk Palestin yang teraniayai. Dua buah puisi (Anak-Anak Palestina & Bendera Tengkorak) yang dideklamasikan dengan suara yang begitu sederhana tetapi begitu kuat kesan dan rasa yang diperolehi kepada telinga yang mendengar. Terima kasih Pak Samad.

Malam tadi juga telah mengumpul pendeklamator-pendeklamator yang besar namanya. Yang setiap bacaannya bisa membuat nafas tiba-tiba menjadi laju. Dr Lim Swee Tin, saudara Shukri Abdullah, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Puzi Hadi dan ramai lagi.

Sungguh, aku hampir menangis dalam keriuhan malam di sana kerana mendengar puisi mereka. Sungguh aku benar terkesan dengan penghayatan itu. Mudah-mudahan selain aku, mereka yang hadir juga membawa pulang sesuatu dari majlis ini.



Sementara itu, pada 1-2 February depan, Puan Erma Fatima bersama Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang diterajuinya, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) akan menganjurkan acara amal, Doa Buatmu Palestin bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Acara ini akan diadakan di Istana Budaya dari jam 10.00 pagi sehingga 10 malam. Pelbagai aktiviti yang dirancang untuk dua hari itu termasuklah solat hajat, karnival dan persembahan pada sebelah malamnya. Lapang-lapangkanlah masa kamu untuk ke sana menghulur sedikit bantuan atau kalau tidak pun hanya dengan menyatakan sokongan kamu.

[Foto-foto Malam Puisi Demi-Mu Palestin, akan aku kongsi-kan kemudian...]

Friday, January 23, 2009

~ PELURU DI BELAKANG KEPALA ~


Hari ini aku luka. Dalam juga luka itu. Kiranya mahu pulih, mungkin mengambil masa yang agak lama. Sepucuk pistol diacukan betul-betul di belakang kepalaku. Dari tangan yang aku menaruh percaya. Kenapa yaaa... yang mengkhianati itu selalu datangnya dari dekat.

Pernah kata seorang sahabat, aku tidak pernah belajar dari apa yang terkutip dari kehidupan yang ku lalui. Justeru, aku mengulangi kesilapan yang serupa. Ermm.. wahai sahabat, aku sentiasa belajar dari semua itu. Namun, mungkin aku terlemah dari sudut kemanusiaan. Justeru, yang alah itu datang membuat damping.

Sekain kalinya, aku rasa diri dikhianati. Sakit yang bukan sedikit. Namun, itu kenyataan dan bukan mimpi. Justeru, tidak perlu aku menampar-nampar pipi untuk sedar kepada realiti. Menelan hakikat bukan semudah memejam mata. Berat, payah dan mual.

[Harga maaf kini semakin mahal...]

Thursday, January 22, 2009

~ JAWAPANMU ~


JAWAPANMU
by misha omar

Kamu selalu buatku tersenyum sendiri
Ku tahu apa sebalik senyuman
Itulah yang ku mahu
Jawapan dari kamu

Aku selalu terkenangkan kamu
Bila kamu jauh dari diriku
Kamu selalu yang ku rindu
Jawapan rinduku kamu

Terleka bila berbicara denganmu
Pastiku terbang tinggi ke awan biru
Bermain dengan kata-kata
Dari bibirmu itulah impiku selalu

Kerap kali kau muncul di ruang minda
Dongengku kini kian sempurna
Bila ku terjaga kau di depan mata
Katakan saja apa yang dirasa

Kamu selalu buatku tersenyum sendiri
Ku tahu apa dibalik senyuman
Itulah yang ku mahu
Jawapan dari kamu

Aku selalu terkenangkan kamu
Bila kamu jauh dari diriku
Kamu selalu yang ku rindu
Jawapan rinduku kamu

Nyata berbeza cara kau berbicara
Ku terasa diriku istimewa
Mahuku bertanya tapi ku tak berdaya
Dahku dekat denganmu kelu lidah membisu

Masih lagi ku tercari-cari
Dari mimpi ke mimpi hari ke hari
Nyata mulanya dari kamu
Katakan saja apa yang dirasa

Kamu selalu buatku tersenyum sendiri
Ku tahu apa sebalik senyuman
Itulah yang ku mahu
Jawapan dari kamu

Aku selalu terkenangkan kamu
Bila kamu jauh dari diriku
Kamu selalu yang ku rindu
Jawapan rinduku kamu

Selalu aku mendoakan
Agar kita disatukan
Dan kita akan ke akhirnya... ooo

Kamu selalu buatku tersenyum sendiri
Ku tahu apa sebalik senyuman
Itulah yang ku mahu
Jawapan dari kamu

Apa yang kau mahu itu yang ku mahu
Janganlah kau pergi tinggal ku sendiri
Kan ku cari jawablah pasti..

Kamu..
Kamu selalu buatku tersenyum sendiri...

[Senyom se-endah suriya.. yang mem-bawa cahaya... senyom-lah dari hati, dunia-mu ber-seri...]

Wednesday, January 21, 2009

~ BUKU MERAH YANG MEMBERI RASA ~

TAJUK : Tiada
(Mungkin penulisnya sengaja tidak mahu memberikan tajuk)
KARYA : Fynn Jamal
HALAMAN : 38 muka surat
HARGA : RM10.00

Antalogi ini tiada tajuk. Yang aku tahu karya ini tulisan seseorang yang dikenali dengan nama Fynn Jamal. Aku tidak kenal siapa dia dan namanya juga tidak pernah ku dengar sebelum ni. Tetapi, khabarnya dia penulis hebat.

Melalui cerita-cerita orang, aku tertarik untuk mendapatkan karya tulisannya ini. Atas pertolongan seorang kawan, aku berjaya mendapatkan buku ini dua minggu lepas. Namun, baru hari ini aku berkesempatan untuk membuka dan menatap puisi-puisi yang terkandung dalam buku merah ini.

Kritis dan penuh protes. Aku sukakan pilihan perkataannya untuk menggambarkan sesuatu. Membacanya membuatkan kita merasainya. Itu yang menarik. Begitiu juga dengan interpretasinya terhadap sesuatu, sangat tajam dan lekat.

Namun, yang paling menarik aku melihat kepada usahanya. Usahanya membukukan karyanya secara sendiri. Menulisnya sendiri, menyusunkannya sendiri dan menjadikan ia buku dengan tangan sendiri. Semuanya buatan sendiri. Ringkas, mudah tetapi penuh harga kerana kandungannya.

Usahanya ini juga membuatkan aku terkenangkan kepada hasil-hasil tulisanku juga. Kalaulah aku juga membukukan puisi, cerpen dan novel tulisanku... daripada membiarkan ia diam di dalam file skrin yang sentiasa bergerak dengan jari-jari yang bercerita. ermmm..

Bukan bertujuankan keuntungan, tetapi hasratnya lebih kepada perkongsian. Berkongsi pengalaman dan cerita melalui tulisan itu. Entah bila kesediaan itu ada. Esok? Lusa? Tulat? Bagaimana kalau hanya ada hari ini untuk aku???

Dua buah puisi tulisan Lynn dalam buku merah ini aku kongsikan dengan kamu di sini :


PESAN UNTUK GADIS RANAP

Terhingar gelak kejam malam
Lalu kau berlari mencari selimut
Kekehnya terlalu menghiris tajam
Dan kau jerit-jerit mahu kabut

Sang bintang sedang mengunyahmu
Kau melaung pedih mengharap belas
Bulan juga sudah mengasah kuku
Hendak meratah jiwa kamu yang keras

Kuat apa lagi, hei anak yang tongong?
Takkan faham semsta ini... cinta kamu
Sudah-sudahlah bertopeng duyung
Engkau kerapu hodoh yang tak dimahu

Selamat tidur gadis,
Semoga esok kau tidak bangkit
Berapa lama mahu ranap?


CINTA KAWAN

Masih tetap mahu di sini
Memasak kaki, menyembah bumi

Masih gagah bersama di sini
Memancing kudrat, mengharung duniawi
Kamu ambillah dan lambung2kan

Kawan itu ada ramai sayang
Dan andai dilempar ke langit seberang
Aku pungutkan dan aku timang-timangkan

Kawan sampai mati
Ini satu janji...


[Aku mau protes sama-2 dengan kamu..]

Monday, January 19, 2009

~ EMPAYAR MINDA MELAYU DI ALAF BARU ~


TAJUK : Empayar Minda Melayu Alaf Baru
PENULIS : Prof Dato Zubir Yahya
TERBITAN : HR Publishing Sdn Bhd
HALAMAN : 198 Muka Surat
HARGA : RM29.90
[Mau berseh minda...]

Sunday, January 18, 2009

~ DAUN DAUN BERGUGURAN ~








Mengejar kelapangan yang ada dengan menonton teater Daun-Daun Berguguran di Dewan Teater Taman Budaya Kuala Lumpur. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini. Sedikit asing. Namun, persembahan tidaklah begitu mengecewakan.

Paling menarik perhatianku ialah kepada satu-satunya watak pelakon kanak-kanak yang begitu cemerlang pada pengamatanku. Dia masuk ke dalam mood yang diinginkan oleh penonton. Memberi rasa walaupun babaknya hanya sedikit sahaja.

Khabarnya teater yang sama ini akan dibawa ke Tanjung Malim, Perak untuk dipentaskan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 13 February depan. Mudah-mudahan persembahan akan datang ini akan lebih baik daripada hari ini.

[Kalau-lah teater Ibu Zain di-pentas-kan sekali lagi... ermm...]

Saturday, January 17, 2009

~ PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU ~



Keputusan Penuh Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu :

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) 30,252 undi
Mohd Abdul Wahid Endut (Pas) 32,883 undi
Azharuddin Mamat@Adam (Bebas) 193 undi

Pas menang dengan majoriti : 2,631 undi...

[Aku ? Ermm... Tiada sebarang komen]

~ KOLEKSI BEETHOVEN ~


Menambah koleksi Beethoven yang sedia ada. CD ini diterbitkan pada tahun 1995 dan aku perolehi di gerai jualan CD-CD lama di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Memutarkannya sepanjang dalam perjalanan ke rumah dan seterusnya menyambungnya di rumah memberi rasa yang agak berlainan sekali. Petikan muziknya mengusik. Aku tidak akan lari...

[Merangsang ingatan...]

Friday, January 16, 2009

~ ANDAI KUTAHU ~


ANDAI KUTAHU
by ungu

Andai ku tahu….
Kapan tiba ajalku…
Ku akan memohon tuhan tolong panjangkan umurku…

Andai ku tahu…
Kapan tiba masaku…
Ku akan memohon tuhan jangan kau ambil nyawaku…
Aku takut akan semua dosa dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku…

Andai ku tahu…
Malaikatmu kan menjemputku…
Izinkan aku mengucap kata taubat padamu…
Aku takut akan semua dosa dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku…

Ampuni aku dari segala dosa dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat padamu…
Aku manusia yang takut neraka…
Namun aku juga tak pantas disurga…

Andai ku tahu….
Kapan tiba ajalku…
Izinkan aku mengucap kata taubat padamu…
Aku takut akan semua dosa dosaku…
Aku takut dosa yg terus membayangiku…
Ampuni aku dari segala dosa dosaku…
Ampuni aku menangis ku bertaubat padamu…


[Andai ku tahu.. begini yang harus dilalui.. ermm..]

Thursday, January 15, 2009

~ TRAGEDI FEBRUARY 2006 ~

(Kredit foto : filem maut)

Kejadian February 2006 kembali belegar-legar dalam ingatan. Semakin banyak dan semakin laju ia berputar. Kesal. Yaa.. aku kesal dengan segala apa yang telah berlaku ketika itu. Tuduhan dan buruk sangka yang terlempar begitu keras dan terkesan menjadi pelajaran yang cukup besar sehingga hari ini. Dan kerana kejadian itu jugalah hubungan persahabatan yang terjalin dengan seorang sahabat menjadi keruh-sekeruhnya. Sehingga entri ini ditulis pun, ia tidak juga jernih dan bersih lagi seperti dulu.

Dunia ini begitu kecil sekali. Hari ini, tanpa di sangka duga, aku telah bertemu dan bertentang mata dengan seseorang yang pernah menjadi perosak hubungan psersahabatan aku dengan sahabat Mei (sahabat yang kerap juga ceritanya terkongsi di ruang ini). Dia tidak mengenaliku, tetapi aku mengenalinya jelas melalui seseorang yang lain.

Apa yang mengejutkan, seseorang ini telah melakukan perkara yang pernah ditudingkan jari kepadaku 3 tahun lepas. Bagaimana sanggup dia melakukan perkara itu kepada saudara yang terkongsi darah yang sama dengannya. Seteruk aku pun, kalau benar mengikut tuduhan yang pernah dilemparkannya dulu, aku tidak mengkhianati saudara sendiri.

Sedang dia??? Dia mengkhianati orang yang paling dekat dengannya. Dia menikam orang yang menaruh kepercayaan kepadanya. Dia memburukkan orang yang menyanjung tinggi dirinya. Aku menggelengkan kepala. Sungguh... aku seakan tidak percaya dengan apa yang ku dengar ini.

Dia telah berkongsi cerita tentang perkara yang sepatutnya tidak dia kongsikan. Cerita itu akan memberi kesan buruk tentang sahabat mei yang juga saudara sedarahnya di mata orang lain. Ia turut melibatkan soal maruah. Tidak terfikirkah dia akan soal itu? Sepatutnya, dia sebagai orang yang paling dekat dan dipercayai, harus dia yang menjadi pelindung dan penyelamat. Namun, apa yang dia lakukan ini adalah sebaliknya.

Lebih malang lagi, apabila cerita peribadi itu dikongsikan pula dengan orang yang salah. Bayangkanlah tidak sampai 10 minit dia berlalu, cerita itu terus sampai kepadaku. Dan tentu sekali ia tidak mustahil untuk sampai kepada orang lain juga. ermmm...

Aku sakit hati. Yaaa.. kali ini aku agak emosional. Sakit hati kerana dia telah melakukan sesuatu yang dulunya dia menganggap sebagai sesuatu 'jenayah berat' (kononnya). Justeru, aku terpalit tuduhan yang bukan sedikit. Lebih malang lagi, tuduhan itu membawa kepada retak dan putusnya sebuah persahabatan yang pernah terbina. Dan persahabatan itu tidak pernah pulih sehingga hari ini.

[Pesan-ku buat dia, chermin-chermin-lah diri sendiri... cuba-cuba-lah merasa kasot orang laen...]

Wednesday, January 14, 2009

~ DESAK ~

(krediti foto : filem maut)

Tolong jangan mendesak aku kerana aku akan bertindak di luar fikir kamu. Sejak kebelakangan ini aku sedikit tertekan dengan sikap seorang rakan yang begitu mendesak. Berkali aku katakan kesibukan dengan urus pekerjaan membuatkan aku sedikit berkira dengan masa.

Bukan tidak mahu menerima pelawaannya untuk sekadar menghirup secawan coffee, tetapi sungguh kebetulannya pelawaan itu datang saat aku benar dalam urus pekerjaan yang menghambat. Namun, aku dituduh tidak sudi dan sengaja memberi alasan dengan helah.

Apa perasaan kamu jika kamu berada di tempat aku? Goshh! Aku tidak pernah membuat helah murahan di luar akal dan jangan sampai aku menjadikanya sebagai kali pertama hanya kerana sikap tidak sabar dan mendesak kamu.

Lihat.. sudahnya hubungan yang baik itu kini sudah menjadi sedikit keruh kerana sikap mementingkan diri itu.

[Fikir-kan kasot orang laen juga..]

Tuesday, January 13, 2009

~ USAHA 'MENGHALALKAN' PEMBOHONGAN ~

Kekesalan tentang soal yang satu ini masih belum berakhir. Bermulut manis untuk dipandang manis adalah sesuatu yang menyakitkan hati sebenarnya. Walaupun tidak terpalit ke mukaku, namun aku sungguh tidak senang dengan situasi ini.

Aku faham, terkadang hipokrit itu mungkin perlu dalam sesetangah keadaan. Tetapi jika ianya berlaku dalam keadaan yang begitu melampau dan tidaK dalam logik akal, bagaimana kita harus membuat reaksi?

Seketika tadi aku berdepan lagi dengan situasi ini. Situasi yang peran utamanya dipegang oleh rakanku sendiri. Hipokritnya begitu melampau dengan menipu sebuah kebenaran kononnya untuk memberi senyum kepada yang tuan empunya yang mendengar. Sungguh aku tidak bersetuju sama sekali. Penipuan tetap penipuan.

Situasinya, sebaik usai perbentangan sebentar tadi, dia mengkritik atau dalam bahasa mudah fahamnya, dia 'mengutuk' teruk hasil perbentangan itu di depan seseorang yang berkepentingan ini. Dan seseorang ini yang juga bakal membuat perbentangan serupa nyata senang sekali dengan kutukan itu kerana tentu sekali akan memberi kelebihan kepada perbentangannya kelak.

Aku yang turut sama dalam perbualan itu menerima sahaja pendapat (kutukan) itu secara terbuka. Pada fikirku, dia berhak membuat sebarang pendapat berdasarkan penilaiannya sendiri. Aku juga punya pendapatku yang tersendiri. Kala seseorang itu mengajukan soalan yang serupa, aku secara berterus-terang mengakui senang sekali dengan hasil pebentangan itu walaupun ia tidaklah sempurna. Ku jelaskan juga beberapa alasan untuk pendapat itu. Aku tidak kisah walaupun dipandang sinis kerana mengutarakan pendapat yang berbeza daripada mereka. Aku berhak dengan pendapatku, bukan?

Setengah jam kemudian, kami (aku dan rakan tadi) bertemu pula dengan tuan punya hasil perbentangan tadi. Masih soalan serupa yang diajukan kepada kami berdua selaku orang yang turut sama mengikuti perbentangan yang di sertai juga hampir 300 orang itu. Si rakan tadi laju sahaja menjawab dengan cukup positif. Malah melahirkan rasa bangganya (kononnya) ia merupakan penghasilan terbaik dan cukup menarik. Pendapatnya seratus-peratus berbeza dengan perbualan kami dengan seseorang tadi.

Aku tidak terkejut walau sedikitpun dengan sikapnya itu kerana ini bukan merupakan kali pertama dia bersikap begitu. Aku melemparkan senyum dan aku yakin sekali dia faham akan maksud senyum itu.

Dia menipu tentang kebenaran, kononnya untuk membuatkan orang yang mendengar rasa senang. Tetapi dalam masa yang sama tidakkah dia terfikir apakah orang yang mendengar itu akan merasa 'senang' kalau dia tahu apa yang diperkatakan itu hanyalah pembohongan semata-mata???

Susah sangatkah untuk bercakap benar? Kalau terlalu kasar bunyinya sebuah kebenaran, bukankah kita ini bangsa Melayu yang penuh dengan santun dan bahasa? Tidak adakah cara lain yang boleh kita lakukan agar bunyi bahasa kita itu difahami dengan senyum yang manis?

Hakikatnya, aku tidak pernah dapat menerima sebuah pembohongan yang 'dihalalkan'. Pembohongan yang akan membuat rosak kepada si tuan empunya badan. Sedangkan yang patutnya manusia disekeliling harus menjadi cerminan untuk kebaikan semua pihak.

[Tidak perenah mudah mau me-maaf-kan se-buah pem-bohongan... titik]

Monday, January 12, 2009

~ TIDAK PERNAH MAHU HILANG ~


Entah apa yang mengundang kebetulan juga, siang tadi aku mendapat pesanan ringkas daripda seorang rakan dekat di skrin telefon bimbit. Bertanyakan ke mana hilangnya aku gara-gara aku lama tidak muncul di layar ym.

Entah, aku sendiri tidak punya jawapan. Bukan kerana sibuk dengan urus pekerjaan atau masa yang menghambat. Aku juga tidak hilang. Aku tidak kemana-mana. Aku masih ada di sini.

[Mungkin ada dengan sediket rajok.. barang-kali..]

Sunday, January 11, 2009

~ 11 JANUARY ~


11 JANUARY
by gigi

Sebelas Januari Bertemu
Menjalani Kisah Cinta Ini
Naluri Berkata Engkaulah Milikku
Bahagia Selalu Dimiliki
Bertahun Menjalani Bersamamu
Kunyatakan bahwa Engkaulah jiwaku

Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu

Pernahku Menyakiti Hatimu
Pernah kau melupakan janji ini
Semua Karena kita ini manusia

Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu

Kau bawa diriku
Kedalam hidupmu
Kau basuh diriku
Dengan rasa sayang
Senyummu juga sedihmu adalah Hidupku
Kau sentuh cintaku dengan lembut
Dengan sejuta warna

[11 January ke 19 november.. ermm...]

Saturday, January 10, 2009

~ BEDTIMES STORIES VERSI SI KECIL ~


Lama tidak punya kesempatan yang begini bersama si kecil. Sebelum tidur tadi, kami mengatur bual yang panjang. Dia bercerita tentang rajuknya dengan mamanya. Berlarutan pula kepada cerita-cerita lain termasuk cerita baru tentang sahabat baiknya yang diejek kerana statusnya sebagai anak angkat baru diketahui kawan-kawan. Dia mahu mengubah segala cerita kurang menarik itu menjadi 'happy ending'.

Aku mendengar dengan serius. Begitupun selalu aku bila mendengar cerita seriusnya. Cuba memahami hati anak-anak sekecilnya dalam melihat kehidupan di sekeliling mereka. Usai cerita dan permasalahannya, dia mengalihkan perhatian kepadaku. Mahu aku memberikan cerita tentang juga untuk dikongsikan dengannya. Aku ketawa saja. Begitupun selalu dia.

Aku tahu, bila bercakap soal rakan-rakan dekatku, dia hanya tahu menyebut satu nama sahaja. Sahabat yang dipanggilnya C.A. Sahabat ini suka melayan dia sebagai kawan dan berbeza dengan sahabat lain yang melayan dia sebagai anak-anak kecil. Barangkali itu sebabnya.

Seperti biasa, aku akan bercerita seperti kawan-kawan juga dengannya. Melayan setiap pertanyaannya dengan jawapan yang dia kehendaki. Aku berterus-terang sahaja tentang orang yang ditanyanya itu. Tidak mahu berselindung.

Apa yang lucunya, dia membuat 'bedtime story' sendiri berkenaan hal itu. Cerita yang berkesudahan dengan menarik sekali. Aku sendiri tidak terfikir begitu jauh dia berimaginasi. Sudah lena pun si kecil ini dalam senyum yang panjang..

[Baju kalau dah koyak... tampal.. koyak... tampal... ermm..]

~ DI EMPAT PERSINGGAHAN ~

Baru sahaja pulang ke rumah dan berkesempatan menekan jari-jemari di sini. Sedikit kesal kerana aku gagal mengelakkan diri untuk menyinggah minum di tempat kegemaran, starbucks, beverly hill petang tadi. Buat ketika ini, aku sama-sama menyertai kempen untuk memboikot barang-barang keluaran US yang menjadi orang penting di sebalik kekejaman Israel di Palestin. Namun, demi menjaga majlis orang aku terpaksa juga menurut serta. Ermm..

Seusai urus, menghabiskan masa berbaki di Pelita. Minta maaf, aku tidak pernah menyukai kedai mamak. Bukan kerana status atau apa sahaja alasan lain yang menjengkelkan, tetapi selera aku tidak masuk dengan masakan Mamak. Itu sahaja. Namun, aku tidak kisah untuk menyertai rakan-rakan lain menghabiskan masa di sini.

Setelah hampir 2 jam di situ, aku dan AA mengangkat kaki. Mulanya mahu pulang sahaja tetapi tiba-tiba seorang rakan lain menghubungi dan mempelawa untuk menyertai mereka dalam satu urusan. Aku menurut sahaja. Kami mengisi masa di Starwalk, Dagang Avenue, Ampang.

Usai di situ, kami bergerak pula ke satu lagi tempat minum sekitar Ampang Petronas. Lama juga di situ. Dikelilingi budak-budak Melayu Ampang yang dapat dikenali ciri dan gaya penampilan mereka.

Setelah berada di empat persinggahan, jam 2 pagi tadi tiba di rumah. Penat. Menghiburkan hati orang lain turut menghiburkan diri sendiri.

[Gara-2 ter-lupa mem-buat panggilan semula, ada sediket ribot meng-si ruang.. huhuhu]