Tuesday, November 25, 2008

~ BUDAK GEMUK SELALUNYA PANDAI.. ~

"Budak gemuk selalunya pandai". Aku tiba-tiba teringat satu dialog yang diucapkan oleh Harith Iskandar dalam filem Cuci ketika babak dia bersama dengan Khir Rahman bermain golf. Dialog itu bersambut tawa yang panjang dari kalangan penonton kecuali aku. Aku cuba memikir benar dialog itu dibuat ucap.

Aku kembali mengumpul ingatan terhadap rakan-rakan dan kenalanku yang berwajah comel begitu. Ternyata ia memberi sedikit kebenaran. Justeru, aku menyimpul pendapat yang sama. Budak gemuk memang pandai-pandai orangnya.

Terbaru, aku mempunyai seorang sahabat yang berwajah comel juga. Sepanjang berkenalan, berkawan dan seterusnya bersahabat dengannya, terlalu banyak yang tidak aku jangkakan diperolehi dari dia. Orangnya sederhana, gambarajahnya terlalu biasa. Namun, dia punya otak yang pandai dan cerdas. Pengetahuannya luar biasa hebat. Menjangkau sesuatu yang bukan bidangnya juga dia mampu. Ermm..

Terkenang juga teman sepermainanku ketika masih anak-anak. Sungguhpun dia kerap menjadi mangsa buli, kenyataannya dia begitu pandai dalam pelajaran. Kini dia hidup sebagai manusia yang berjaya walaupun masih mengekalkan berat badan yang mungkin masih sama.

Si kurus tinggi dan kacak/jelita? Selalunya adalah sebaliknya kan. Ini bukan berdasarkan kajian mana-mana, sekadar pemerhatian rambang. Kesimpulannya, dalam hidup ini, kita diberikan Tuhan kelebihan dan kekurangan maing-masing. Justeru, jangan terlalu berbangga dengan kelebihan yang ada itu dan usah terlalu berduka dengan kekurangan yang terlihat itu. Baik dan buruk itu adil dalam fungsinya. Lalu, gunakan sebaiknya yang lebih-lebih itu... dan perbaiki sebaik-baiknya yang kurang-kurang itu.

Takdir kita juga diberi adil. Adil yang bagaimana? Kita fikirkan dan cari jawapannya melalui kesedaran kita terhdap kehidupan yang kita lalui sehari-hari..

[Untok budak gemok yang baek hati itu, kamu memang senantiasa di-kenang orang..]

No comments: