Sunday, November 30, 2008

~ PESTA CERAI ~


56 kes perceraian setiap hari... itu statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam berdasarkan kes-kes yang dilaporkan. Angka itu sudah pasti memberi gambaran yang cukup menggerunkan buat masyarakat hari ni. Sepanjang minggu lalu pula, setiap hari berturut-turut artis dan selebriti tempatan bergilir-gilir memfailkan penceraian mereka di mahkamah.

Apa yang sedang berlaku? Apakah kejahilan sedang memandu hidup kita pada hari ini? Waraskah lagi kita apabila bermain dengan lafaz talak sesuka hati? Sudah hancurkah sebuah kepercayaan kepada institusi perkahwinan yang maha agung?

Ermmm... aku amat sangat berharap agar ia tidak dilalui aku pada masa akan datang. Keluarga mahupun rakan-rakanku juga. Penceraian sesuatu yang amat sangat memeritkan. Memberi sakit bukan hanya kepada pasangan yang terlibat tetapi juga manusia yang berdekatan dengan mereka.

Pengalaman beberapa kali menyinggah di Mahkamah Syariah atas urusan pekerjaan memberi pelajaran yang cukup besar buatku. Bukan semudah ABC proses yang harus dilalui oleh pasangan bercerai ini. Terbuang masa dan rasa yang bukan sedikit. Terbongkar dusta dan lega yang juga bukan sedikit.

Justeru, mencari jalan penyelesaian yang paling baik harus dengan akal yang waras. Bukan menurut nafsu, bukan menunduk buta hati, bukan juga menghanyut waras.

[Anak-2 usah di-mangsa-kan dengan kejahelan sang ibu dan ayah..]

~ SEMOGA ABADI ~

(kredit foto : filem sepi)

SEMOGA ABADI
by misha omar

Kau datang bagaikan mimpi
Kau hadir tak ku sedari
Sekian lama ku nanti
Kau di sini

Mungkin kehendak Ilahi
Segalanya ku jalani
Biar lelap tidurmu
Dipelukku

Cinta ini
Ku persembahkan
Setulus hati kasih
Kepadamu

Seandainya engkau mengerti
Hanya kau yang ku miliki
Dalam hidupku

Kasih sayang ini
Semoga abadi
Kan ku bawa sampai akhir nanti

[Mata sahaja yang sepet, jangan hati juga...]

Saturday, November 29, 2008

~ TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ~


Dilahirkan pada 20 Disember 1925, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia sejak 22 tahun yang lepas. Dr Mahathir menerima pendidikan rendah dan menengah di Alor Star sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine (yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaya) di Singapura pada 1947. Selepas mendapat ijazah perubatan, Dr Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Star, Langkawi dan Perlis Dari 1954 higga 1957. Pada 1957 beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, Maha Clinic di Alor Star.

Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945. Bila Umno ditubuhkan pada 1946, Dr Mahathir adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Pada 1964 beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar berikutan pilihan raya umum. Dr Mahathir adalah ahli Majlis Tertinggi Umno sejak 1965, sehingga perselisihan beliau dengan presiden Umno ketika itu, Tunku Abdul Rahman memaksa beliau keluar dari parti pada 1969. Semasa di luar parti pad 1979, Dr Mahathir menulis buku The Malay Dilemma. Buku kontroversial itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu, telah diharamkan dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya.

Bila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir masuk semula ke dalam Umno pada 1972. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, di mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pada pertengahan 1981 Perdana Menteri Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada Julai 1981 Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, dan dua hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Dr Mahathir kini adalah pemimpin paling lama memegang jawatan di Asia Tenggara.

Sumbangan Dr Mahathir kepada Malaysia bukan sedikit, malah terlalu banyak jika ingin disenaraikan satu persatu. Pada tahun-tahun awal pentadbirannya, Dr Mahathir telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur, di mana kerajaan berpaling kepada negara-negara Timur yang maju seperti Jepun dan Korea Selatan untuk tujuan usaha sama, perdagangan, pendidikan tinggi dan aspek-aspek lain yang difikirkan bersesuaian.

Lebih kurang pada masa yang sama, Dr Mahathir memperkenalkan kempen "Bersih, Cekap, Amanah" yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan menanamkan etika kerja serta usaha ke arah kecemerlangan. Menyusul selepas itu ialah kempen "Kepimpinan Melalui Teladan" yang berhasrat memupuk sifat-sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan kakitangan Kerajaan.

Barangkali, sumbangan Dr Mahathir yang paling signifikan ialah idea dan inisiatifnya dalam membawa Malaysia dari sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada yang berasaskan industri, pada pertengahan 1980an. Berikutan langkah berani dalam percubaan menyaingi negara-negara maju (seperti terbukti dengan penubuhan HICOM dan pengeluaran kereta nasional pertama, Proton Saga pada 1985), Dr Mahathir memperkenalkan pula slogan "Malaysia Boleh" – yang pada hakikatnya bukan sekadar slogan kosong yang mahu mengatakan keupayaan Malaysia melakukan apa sahaja.

Lebih dari sekadar slogan, Malaysia Boleh adalah konsep yang digunakan sebagai salah satu strategi ke arah mempromosikan Malaysia dan membuka rakyat Malaysia kepada dunia penuh peluang dan kesempatan. Lebih penting, konsep Malaysia Boleh adalah pernyataan keyakinan yang telah menjadi pendorong berkuasa tinggi, yang telah memungkinkan ramai rakyat Malaysia mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pada 1990 Dr Mahathir melancarkan Wawasan 2020 – pelan sembilan cabaran yang menggariskan hasrat dan halatuju kerajaan dan rakyat Malaysia iaitu untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Taraf negara maju yang dibayangkan Dr Mahathir bukanlah yang meniru cara hidup di negara-negara maju yang ada ketika ini, tetapi yang berlandaskan moral dan nilai-nilai murni mengikut acuan Malaysia sendiri. Pada 1996, Dr Mahathir memacu Malaysia setapak lagi meninggalkan era ekonomi pertanian mundur, kali ini ke arah Zaman Maklumat, dengan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ekonomi berasaskan pengetahuan yang dirangsangkan oleh pembinaan MSC adalah peringkat ketiga peralihan ekonomi Malaysia – yang akan membawa negara ke taraf negara maju menjelang 2020. Antara lainnya, projek MSC merangkumi aplikasi-aplikasi seperti kerajaan elektronik, tele-perubatan, dan kad pintar serbaguna.

Di satu hujung MSC terletak Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur manakala di satu hujung lagi adalah KLCC, pembangunan gergasi yang menampilkan bangunan pejabat tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas. Juga terletak di sepanjang koridor ini adalah pusat-penyelidikan dan pembangunan berteknologi tinggi, dan Putrajaya, bandar pintar pertama di dunia yang kini menjadi pusat pentadbiran Malaysia. Kesemua projek berbilion-ringgit ini, dan juga projek kereta nasional pertama Malaysia serta projek-projek mewah yang lain seperti Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi projek-projek bertaraf dunia, kerap menghadapi kritikan sewaktu ianya mula dilaksanakan. Namun Dr Mahathir bukanlah seorang yang berpandangan cetek, seperti katanya baru-baru ini: "Kita sudah biasa dengan orang yang mengatakan apa yang kita buat itu salah, tapi kini telah terbukti mereka patut menarik balik kata-kata mereka pada hari kemudian."

Ramai menganggap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling berani dan lantang sehingga kini. Di tanah air mahupun di arena antarabangsa, Dr Mahathir secara berani dan terbuka menyuarakan pendirian negara. Beliau dianggap jurucakap kepada negara-negara Dunia Ketiga mahupun Dunia Islam. Antara lainnya, Dr Mahathir menjadi pengkritik utama kuasa Barat tentang kegagalan menangani pedagang matawang yang menjadi punca krisis ekonomi pada lewat 1990an. Kemudian bila keganasan antarabangsa memuncak pada awal alaf baru, Dr Mahathir dengan lantang mengecam tindakan pengganas, dan berulang kali menegaskan bawa satu-satunya cara menangani keganasan ialah dengan mencari puncanya.

Pada 22 Jun 2002 di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-56, Dr Mahathir membuat satu pengumuman yang mengejutkan seluruh negara, bahawa beliau ingin meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan parti. Selepas rayuan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi serta penyokong-penyokong parti, Dr Mahathir kemudiannya mengumumkan yang beliau akan terus memimpin negara sehingga selesai Sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Oktober 2003 yang mana Malaysia menjadi Pengerusi. Untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar, Dr Mahathir menamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya.

Dr Mahathir telah menyatakan bahawa meskipun beliau akan bersara, beliau akan terus menyumbangkan usaha dan tenaga ke arah memajukan parti dan negara. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin serba boleh, yang mungkin hanya satu dalam sejuta. Beliau adalah doktor, arkitek, jurutera, artis, pakar niaga dan pemidato. Beliau juga adalah guru, pemikir, perancang dan pelaksana. Beliau adalah ayah dan sahabat. Paling penting, beliau adalah negarawan terulung yang dilahirkan di bumi bertuah ini.

Pada Mei 2003, satu koleksi 14 buku tentang pemikiran dan wawasan Dr Mahathir telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebuah institut pemikiran Dr Mahathir juga sedang dibangunkan. Di waktu Malaysia menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ini, rakyat berasa amat terhutang budi kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di atas wawasan jauh dan sumbangan gergasinya kepada negara. Hampir separuh dari usia Kemerdekaan negara, kita berada di bawah kepimpinan beliau yang dinamis dan tidak mengenal penat lelah.

Selepas persaraan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003, nama beliau terus terpahat sebagai Bapa Pemodenan Malaysia, negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga.


[Idola sepanjang zaman...]

~ SELAMAT PAGI CHENTA ~


Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Hulu Terengganu - Selepas tiga tahun menjalani kehidupan berumahtangga, Wook Kundur, 106, mempunyai rahsia tersendiri untuk memastikan kebahagiaan bersama suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, terus berkekalan. Menurut warga emas itu, dia mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan Mohd. Nor yang jauh lebih muda, antaranya sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri. Menurut Wook, Mohd. Nor merupakan suaminya yang ke-22 dan antara yang termuda ketika mereka berkahwin.

Cinta tak kenal siapa! Itu yang boleh aku katakan. Kita hanya mahu bersama orang yang kita sayangi dengan suluruh hati untuk melalui dan mendepani kehidupan yang mendatang. Biar siapa dia, biar canggung dia di mata manusia lain, hati lekat hanya pada dia. Itu anehnya cinta.

[Selamat pagi chenta!]

Friday, November 28, 2008

~ DENGAN SELURUH HATI ~


"Dengan seluruh hati, i mohon maaf pada u "

Aku tersenyum dan separuh ketawa membaca tulisan yang tertera di skrin telefon bimbitku, awal pagi tadi. Teman jiwa cuba memulih rajuk panjangku. Namun, sesuatu yang melucukan apabila dia menggunakan bahasa sastera yang dia sendiri tidak pernah mengetahui maksudnya.

Namun, itu usahanya. Dia tahu aku hanya akan terkesan dengan bahasa selalunya. Justeru, dia melakukan dengan cara yang begitu. Yaa.. usahanya berhasil kerana aku terkesan dengan bahasa yang entah dari mana dia pinjam dan petik itu. Aku tahu, tidak mudah baginya untuk berbuat begitu kerana lelaki sepet ini sememangnya tidak pernah tahu langsung tentang bahasa-bahasa begini.

[Dengan seluroh hati, aku mau ter-senyom..]

Thursday, November 27, 2008

~ TEPUNG KAPUR ~

Ada orang kata, kuih ini kuih kasui. Mungkin kerana gambarajahnya yang lebih kurang sama. Juga apabila diperhatikan kepada cara penyediaannya. Apapun, ia bukan kuih kasui dan rasanya juga cukup berbeza dengan kuih itu.

Aku tidak tahu apakah ada nama lain yang lebih tepat untuk kuih ini, tetapi aku dan keluarganya menggelarkannya sebagai kuih tepung kapur. Mungkin kerana 'kapur' merupakan antara satu bahan wajib dalam penyediaan kuih ini.

Sejak dari kecil lagi, aku sangat sukakan kuih ini. Entah kenapa. Malah jika aku merajuk pun, aku kerap dijanjikan dengan kuih ini dari ibu kerana aku tidak pernah menolak untuk menjamah kuih ini biar kenyang mana sekalipun. Selalunya ibu akan membuat kuih ini pada sebelah malam. Pagi esoknya barulah dipotong dan di makan.

Terlalu nostalgia sebenarnya jika dikenangkan semuanya. Terlalu banyak cerita yang terkendong di sebalik kuih tepung kapur yang aku kongsikan di sini hari ini. Namun, biarlah ia tersimpan sebagai kenangan buatku sahaja. Cuma, sabtu lalu bila pertama kalinya setelah beberapa tahun (10 tahun lebih barangkali..), kuih itu tiba-tiba terhidang di meja, aku tiba-tiba terdiam.

Tiada angin, tiada ribut... Kakak tiba-tiba menyediakan untuk aku. Untuk aku??? Kuih itu selalunya hanya akan dibuat oleh ibu sahaja dan hampir lebih 10 tahun ibu lupa (yaa.. mungkin) tentang kuih itu. Justeru bila sabtu lalu, aku menjamahnya... terlerai pelbagai perasaan yang mengekor.

Ermm... mungkin lucu bunyinya kepada kamu yang membacanya di sini apabila aku sepertinya bercakap berat untuk sesuatu yang begitu remeh begini. Ermm.. tetapi aku benar-benar memaksudkannya.

[Tepong kapor yang penoh nostalgia..]

Wednesday, November 26, 2008

~ HILANGKAN SEGALANYA ~


HILANGKAN SEGALANYA
by farawahida

Sudah cukup hatiku dilukai
Sekian lama rasa tak dihargai
Sampai bila harus aku menanti
Saat indah setelah dikau pergi

Kini ku hapus semua
Rasa mencengkam ini
Hanya padamu ku meminta
Aku pasrah…………

Hilangkan rasa gundahku
Hilangkan rasa lukaku
Hilangkah lah segalanya
Ku tak ingin sakit lagi
Hilangkan kekosonganku
Hilangkan keasinganku
Hilangkan lah segalanya
Ku tak ingin lara lagi
Hilangkanlah segalanya

Ku menanti saat sinar mentari
Ku menanti cahaya dalam hati
Ingin ku gapai bintang yang gemerlapan
Agar terang jiwa yang kegelapan

Kini ku hapus semua
Rasa mencengkam ini
Hanya padamu ku meminta
Aku pasrah………..

Hilangkan rasa gundahku
Hilangkan rasa lukaku
Hilangkah lah segalanya
Ku tak ingin sakit lagi
Hilangkan kekosonganku
Hilangkan keasingan ku
Hilangkan lah segalanya
Ku tak ingin lara lagi
Hilangkan lah segalanya

[Biar hilang teros lenyap...]

Tuesday, November 25, 2008

~ BUDAK GEMUK SELALUNYA PANDAI.. ~

"Budak gemuk selalunya pandai". Aku tiba-tiba teringat satu dialog yang diucapkan oleh Harith Iskandar dalam filem Cuci ketika babak dia bersama dengan Khir Rahman bermain golf. Dialog itu bersambut tawa yang panjang dari kalangan penonton kecuali aku. Aku cuba memikir benar dialog itu dibuat ucap.

Aku kembali mengumpul ingatan terhadap rakan-rakan dan kenalanku yang berwajah comel begitu. Ternyata ia memberi sedikit kebenaran. Justeru, aku menyimpul pendapat yang sama. Budak gemuk memang pandai-pandai orangnya.

Terbaru, aku mempunyai seorang sahabat yang berwajah comel juga. Sepanjang berkenalan, berkawan dan seterusnya bersahabat dengannya, terlalu banyak yang tidak aku jangkakan diperolehi dari dia. Orangnya sederhana, gambarajahnya terlalu biasa. Namun, dia punya otak yang pandai dan cerdas. Pengetahuannya luar biasa hebat. Menjangkau sesuatu yang bukan bidangnya juga dia mampu. Ermm..

Terkenang juga teman sepermainanku ketika masih anak-anak. Sungguhpun dia kerap menjadi mangsa buli, kenyataannya dia begitu pandai dalam pelajaran. Kini dia hidup sebagai manusia yang berjaya walaupun masih mengekalkan berat badan yang mungkin masih sama.

Si kurus tinggi dan kacak/jelita? Selalunya adalah sebaliknya kan. Ini bukan berdasarkan kajian mana-mana, sekadar pemerhatian rambang. Kesimpulannya, dalam hidup ini, kita diberikan Tuhan kelebihan dan kekurangan maing-masing. Justeru, jangan terlalu berbangga dengan kelebihan yang ada itu dan usah terlalu berduka dengan kekurangan yang terlihat itu. Baik dan buruk itu adil dalam fungsinya. Lalu, gunakan sebaiknya yang lebih-lebih itu... dan perbaiki sebaik-baiknya yang kurang-kurang itu.

Takdir kita juga diberi adil. Adil yang bagaimana? Kita fikirkan dan cari jawapannya melalui kesedaran kita terhdap kehidupan yang kita lalui sehari-hari..

[Untok budak gemok yang baek hati itu, kamu memang senantiasa di-kenang orang..]

Monday, November 24, 2008

~ MEMUNTAHKAN ISI PERUT ~


Kesihatan tidak begitu baik pada hari ini. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, perut tiba-tiba menjadi sebu. Memuntah segala isi dalamnya tanpa sedikit tinggal. Ketika itu aku sedang menunggu tren dari bandar anggerik ke rumah. Seluruh badan tiba-tiba menjadi sejuk. Darah seakannya berhenti mengalir. Tangan menggletar akibat menahan sakit yang di luar kudrat badan untuk menahan.

Ada beberapa orang manusia berhati mulia yang menyedari situasi itu cuba untuk membantu. Namun, ku tolak hemah. Aku masih mampu untuk menahan diri. Doaku dalam hati mudah-mudahan aku dapat bertahan sehingga tiba di pintu rumah. Mudah-mudahan aku tidak sampai menyusahkan sesiapa.

Mungkin kerana rasa degilku mengatasi segala-galanya, aku mampu menahan sakit sehingga ke rumah. Menaiki teksi dari bandar anggerik sehinggalah ke rumah dan sepanjang perjalanan yang memakan masa selama 40 minit itu aku terlena lelah. Andai pemandu teksi itu berniat jahat dan menyerong amanah, pasti kamu tidak dapat lagi melihat tulisan ku di ruangan ini. Ermm...

Sebaik tiba di rumah, tubuh terus terkulai layu tanpa sempat berbuat apa-apa. Terjaga saat ni kerana perut masih mahu memuntahkan isinya. Tidak tahu apa punca dan sebab-musababnya. Aku cuba mengelakkan daripada menelan sebarang ubat kerana tahu natijah lebih besar akan menantiku.

[Mau teros meng-hirup udara dan meng-hela nafas di-bumi indah ciptaan Tuhan ini..]

Sunday, November 23, 2008

~ TIDAK PERNAH BERGANJAK WALAU SEINCI ~

Malam tadi aku pulang ke rumah jam 2 pagi. Meletak tepi soal penat yang menghimpit, aku menyiapkan beberapa tugasan yang tertunda. Sedar-sedar, jam sudah menunjukkan ke pukul 6.40 pagi. Cuba meletakkan lena kerana tepat jam 11 pagi aku harus berada di majlis perkahwinan seorang rakan di tempat pekerjaan.

Aku ke majlis tersebut bersama AA. Ermm.. ya bukan teman jiwa seperti yang sepatutnya. Aku tidak mahu rakan-rakan pekerjaan lain banyak membuat soal. Mujurlah AA ini jarang sekali mahu menolak apa sahaja pelawaanku. Ermm.. bukan mempergunakan dia, aku amat berharap tiada salah faham yang berlaku di situ. AA sendiri sedia maklum aku sudah dipunyai teman jiwa.

Pulang ke rumah menyambung sedikit lena yang terhutang sebelum memenuh janji untuk berdamping teman jiwa pada sebelah petangnya. Ada perbincangan yang agak serius lebih daripada biasa yang berlangsung antara kami. Ermm.. Aku amat sangat mengharapkan kefahaman dari dia.

Begitulah hendaknya hidup ini, perlu dengan saling kefahaman untuk aman dalam harmoni. Itu juga yang kami pertahankan sepanjang bertahun menjalin rasa.

[Lelaki ini ter-lalu sudah ber-korban untok-ku.. aku tahu itu..]

Saturday, November 22, 2008

~ LAWAN ATAU LARI.. ~


Aku sering sahaja berdepan dengan kebetulan. Gerak hati yang menyampai rasa. Itu yang seringkali berlaku. Pada entri isnin lepas, aku membuat bual tentang sahabat lamaku, sahabat mei. Lama aku tidak berhubung dengannya lantaran tebal dengan rasa kecil hati atas perlakuannya.

Malam ini, tanpa sengaja aku bertemunya di satu acara yang langsung tidak dijangkakan kehadirannya. Tiba-tiba sahaja dia muncul bersama teman lelakinya. Ketika selesai acara, kami bertembung dan aku tidak sempat melarikan diri. Semuanya gara-gara seorang rakan ini yang beriya menyapanya.

Aku menghentikan langkah beberapa meter di belakang jarak sahabat mei dan rakanku yang seorang itu. Dia tiba-tiba datang kepadaku bertanyakan khabar dan kehidupanku. Aku pula membuat reaksi seperti orang asing. Aku tidak semesra seperti selalu dan aku dapat rasakan dia menyedari akan hal itu. Bukan terlalu mengikut rasa kecil hati, tetapi persahabatan itu telah menjadi tawar dek lakunya sendiri.

Disebabkan dia dikenali juga oleh mereka yang hadir di acara yang sama, ramai juga yang menyapanya lalu menyebabkan dia tidak dapat menumpu bual yang banyak walaupun dia kelihatan seperti mahu memanjangkan bual antara kami. Lalu aku mengambil kesempatan itu untuk meninggalkan ruang itu.

Pun begitu dia sempat memperkenalkan aku kepada teman lelaki barunya, yang berada beberapa meter di depan kami. "This is my best fren, Koishie..." Segera saudara muallaf ini menghulurkan tangan tanda perkenalan dan merapatkan jarak antara kami. Best fren? Ermm.. terima kasih kerana masih menyenaraikan aku dalam kelompok itu. Aku hargainya. Pun begitu, aku sudah tidak terkesan lagi dengan kata-kata itu. Kerana bagiku kalau benar apa yang dituturkan itu, dia tidak akan mencalar sebuah persahabatan yang berlandaskan rasa kemanusiaan.

Berkali-kali dia menegur tentang berat badanku yang dikatakan semakin susut itu. Dan berkali-kali juga dia bertanyakan apa yang telah terjadi kepadaku. Aku hanya menjawab dengan senyuman. Aku tidak fikir pendapatnya itu betul. Tiada apa yang berubah pun pada aku. Mungkin kami lama tidak bertemu, lalu dia memerhati dengan mudah begitu. Ermm... sahabat ini suatu masa dahulu pernah banyak memberi ajar kepadaku dalam perkara kehidupan.

Namun, sejak ada rasa yang tercuit ditambah dengan curiga yang mula menguis... berkait pula soal keikhlasan dan kemanusiaan, persahabatan itu menjadi tawar. Lalu aku menjarakkan dari dia sejak beberapa bulan yang lalu, sehinggalah pada pertemuan sebentar tadi.

[Sunggoh ia penoh kebetolan setelah kali terakher pada april lalu..]

Friday, November 21, 2008

~ DUA TAHUN PEMERGIAN ~


AL-FATIHAH....

Buat sahabat yang terkenang dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. Hari ini genap 2 tahun arwah D meninggalkan kami. 2 tahun yang masih terasa basah dengan tangisan pilu pemergiannya. Doaku tidak pernah tertinggal buatmu, D. Mudah-mudahan kau tenang bersemadi di sana, di sisi mereka yang beriman dan beramal soleh....

Aku mengambil sedikit masa mengenang kenangan bersama arwah. Bukan dirancang-rancang... namun ingatan terhadapnya datang bertalu pada tarikh pemergiannya ini. Bertuah aku menjadi sebahagian dari hidupnya. Menjadi sahabat yang baik buatnya (kalau benar apa yang pernah dikatakannya ketika hayatnya masih ada..).

Aku masih menangis tersedu setiap kali mengenangkan saat pemergian arwah... setiap kali mengenang cara aku mendapat tahu berita pemergian arwah. Segalanya masih basah di ingatan ini. Sungguh, aku menyesal dengan kesibukanku kala itu. ermm...

D, kata dan pesanmu masih kukuh tersemat di hatiku. Menghargai persahabatan... mendahului persabatan dan menjaga persahabatan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan akan termiliki lagi aku akan sahabat sepertimu. Aminn...

[Belom ada yang mampu meng-ganti-kan-mu men-jadi pen-dengar paling setia pada cherita-cherita-ku..]

Thursday, November 20, 2008

~ BUKAN SELALU MENJADI UMPAN YANG TEPAT ~

Baru semalam aku bercakap soal menilik iklan jawatan kosong. Hari ni aku aku tiba2 mendapat tawaran bekerja di tempat baru. Ermm... melihat faktor upah dan insentif2 yang ditawarkan, sungguh seperti esok sahaja mahu aku melatak jawatan dan menerima pelawaan ini.

Namun, aku tidak mahu lagi membuat fikir hanya dalam tempoh sepuluh minit. Aku mahu menggunakan akal yang panjang ini dengan mengambil masa yang panjang juga. Benar, aku kini semakin sesak nafas di tempat pekerjaan sekarang dan mahu menghirup udara lain yang lebih segar buatku.

Malangnya, tawaran yang datang kepadaku ini akan mengekalkan aku dalam bingar yang serupa. Aku mahu mencuba bidang yang lain daripada yang telah aku lalui bertahun-tahun ini. Bidang lain? Yaa.. seperti peluang yang telah aku lepaskan Julai lalu (peluang baik yang tidak datang kunjung lagi selepas itu...).

Siang tadi, aku bertemu En. SH. Jika selama ini seorang rakan ini yang asyik memujukku untuk menyertai mereka, kali ini En SH sendiri yang membuka mulut. Siap terus membuka tangga upah dengan membida upah yang aku perolehi sekarang. Aku memberi reaksi dan menjawab hanya dengan tawa kecil.

Tidak mahu bermain tarik tali, aku katakan kebenaran kepada mereka. Bukan aku tidak mahu duduk berganding bahu dengan mereka semua, namun aku ada mimpi sendiri. Dan mimpi itu mungkin boleh terlaksana andai aku tidak rakus berkejaran dengan waktu seperti yang sedang aku lalui setiap hari ini.

Justeru, aku mahu menukar kesesakan. Mahu duduk diam di padang yang luas dan saujana mata memandang. Ermm... andai situasi begitu yang berada di depan mataku sekarang, aku akan membuat fikir yang kurang daripada sepuluh minit.

Lucunya, biar apa jawapan dan alasan yang tidak masuk akal sekalipun yang diberikan aku, mereka masih membuat tawar. Aku pasti rakan yang seorang ini telah bercerita kepada En. SH tentang hasratku yang mahu menghirup udara lain itu. Disebabkan itulah En SH seolah yakin aku akan menerima tawaran tersebut. Tapi mereka tidak tahu, jawapan yang telah tersedia ada dalam kepalaku ialah TIDAK. Andai tawaran dari bidang yang berlainan dengan apa yang sedang aku lakukan sekarang, YA... aku akan membuat fikir dengan lebih tajam dan dalam.

Aku tidak suka berpindah-randah seperti kaum Nomad itu. Justeru, walaupun bernafas sedikit sesak, aku akan menunggu di sini sementara benar2 datang angin nyaman yang akan membawa aku untuk menghirup udara segar di tempat lain. Ermmm... Yang terhindar bingar barangkali.

[Wang bukan selalu men-jadi umpan yang paling tepat...]

Wednesday, November 19, 2008

~ IKLAN JAWATAN KOSONG ~

Beberapa hari terkebelakang ini, aku gemar sekali membuka akhbar di ruangan iklan jawatan kosong. Semakin hari, semakin kerap. Mahu berhijrah lagi?

Ermm... Aku sedar sekali keadaan ekonomi negara yang dalam keadaan gawat begini, namun bila hati sudah tidak boleh berlaku jujur, tindak sudah tidak mahu lurus... apa lagi pilihan yang ada?

Satu sikap buruk yang sungguh kusedari, kadangkala aku ini gemar membuat fikir kurang daripada 10 minit. Ermm... seperti mana aku pernah menolak tawaran pekerjaan sekitar Julai lalu. Walhal ketika itu, aku diberi tempoh dan kelonggaran masa yang agak lama. Namun, peluang ketika itu aku sia-siakan.

Nah.. hari ini aku seperti mahu memutar masa itu agar kembali mendampingiku. Berharapa agar tawaran serupa membuat singgah. Ermm..

[Yang ber-guna itu bukan ber-dasar semata wang ringgit..]

Tuesday, November 18, 2008

~ ULANGTAHUN SEORANG LELAKI ISTIMEWA ~


Sebaik jarum jam berganjak ke angka 12.00 dan hari bertukar tarikh ke 19 November, teman jiwa menyambut hari ulangtahun kelahirannya. Happy birthday!!! Selamat panjang umur, selamat menjadi kesayangan dan selamat semuanya. Mudah-mudahan segala yang terbaik menjadi milik dia... ermm termasuk aku (kalaulah... yaa.. kalaulah..).

Malang sekali ulangtahun kali ini tidak dapat kami raikan bersama kerana tuntutan kerjayanya. Teman jiwa berada malaysia timur sehingga khamis ini. Ermm... ribut tempohari juga belum terpulih sepenuhnya.

Aku menyiapkan sesuatu yang istimewa buatnya sebagai tanda hati di hari ulangtahunnya hari ini. Jika sebelum ini aku pernah menulis tentang kisah perkenalan dan percintaan kami sebagai cerita pendek dalam bentuk jilid buku kecil, hari ini aku juga punya sesuatu buat dia. Kali ini lebih istimewa. Yang paling amat aku sayangi. Buat dia sebagai hadiah hari ulangtahun.

Selamat menyambut hari ulangtahun wahai lelaki yang memimpin tawa.
Selamat panjang umur wahai lelaki yang melindung jiwa,
Selamat menjadi kesayangan wahai lelaki yang lekat bertakhta,
Selamat wahai lelakiku
Selamat memeluk mimpi-mimpiku

[Mem-buat kek yang paling tidak sedap untok orang yang tidak perenah menyukai kek..]

Monday, November 17, 2008

~ KIRIMAN PESAN UNTUK SAHABAT MEI ~


Siang tadi, aku bertemu rakan lama. Sedikit dengan kesempatan yang ada kami mengatur bual. Namun, aku sedikit terkejut apabila dia meminta aku menyampaikan pesan buat sahabat mei. Huh.. sahabat yang lama sudah tidak aku sebutkan di sini.

RAKAN LAMA : Koishie, saya nak awak tolong sampaikan pesanan ni kepada seseorang.
AKU : (Senyum tetapi penuh dengan tandatanya)
RAKAN LAMA : Walau macamanapun, awak kena sampaikan tau.
AKU : Sampaikan apa? Pada siapa?
RAKAN LAMA : Kakak tersayang awaklaa..
AKU : (tersengeh) Kakak saya???
RAKAN LAMA : Yerlaa.. kawan mei awak tu..
AKU : Oo.. Hahaha.. yerlaa tu... tersayanglah sangatttt..
AKU : Pesan apa?
RAKAN LAMA : Baru2 ni saya ada jumpa seorang pengamal perubatan tradisional..
AKU : Uikksss.. lain macam jer bunyinya ni
RAKAN LAMA : Kakak awak tuh serius ker dengan boyfriend baru dia sekarang ni?
AKU : Eh.. ehhh.. tanya saya plak.
AKU : Manala saya tahu. (Tentu sekali aku akan mengunci mulutku)
RAKAN LAMA : Kalau dia betul serius dengan boyfriend dia tu,
RAKAN LAMA : Dia kena buat sesuatu..
AKU : Uikkss.. (melepaskan tawa)
AKU : Apa cerrr nih?
RAKAN LAMA : Orang yang saya jumpa tuh kata, ada orang yang buat dia.
RAKAN LAMA : Orang buat supaya hubungan dia dengan mana2 lelaki tak kekal.
RAKAN LAMA : Sebab itulah, dia asyik putus jer..
AKU : Grrrr... biar betul nii..
RAKAN LAMA : Awak kena bagitahu kat dia jugak Koishie...
AKU : Huhuhu.. saya dah lama tak jumpa sahabat mei tu laa.. (acuh tak acuh..)
AKU : Saya ada kes sikit dengan dia..
RAKAN LAMA : Lorr.. kes apa plak?
AKU : Hehehe... kes terasa hati dengan diaa..
AKU : Kelas kan... terasa hati dengan orang taraf dia... hahahaha
RAKAN LAMA : Tu laaa... tau takpe.. (Kami sama2 melepas tawa besar)
RAKAN LAMA : Ermm... (setelah beberapa saat berdiam)
RAKAN LAMA : Bila awak dah ok dengan dia nanti.. Awak bagitahulaa yekk..
AKU : Errmmm...
RAKAN LAMA : Takpun, awak suruh dia call saya.
RAKAN LAMA : Nanti saya akan terangkan semua kat dia...
AKU : Hehehhe... suruh sahabat mei tuh call awak?
AKU : Macam bestttt... (aku membuat gurau dalam sindiran)
RAKAN LAMA : Hahahaha...
RAKAN LAMA : (Terdiam seketika) Tapi saya serius ni. Kesian dia.
RAKAN LAMA : Macamanapun, awak kena sampaikan juga pesan nih kat dia..
AKU : Errmmm.....

Sebenarnya aku kurang faham dengan apa yang dimaksudkan oleh rakan ini. Bagaimanapun, aku sengaja tidak mahu memanjangkan bual berkait soal sahabat mei ini. Aku sudah tidak mahu lagi mengambil tahu soal dia. Ermm..

Bagaimanapun, apabila rakan lama ini lain macam sahaja bunyi percakapannya, aku tidak menafikan sedikit risau tentang hal itu. Tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa sahabai mei kalau benarlah apa yang ditelah rakan lama tadi. Patutkah aku menghubunginya dan menyampaikan pesan itu?

Ermmm... jujurnya, walaupun aku tidak menafikan kewujudan perkara2 mistik begitu, aku tidak pernah cuba mahu mengambil tahu akan hal itu. Malah ia berada agak jauh dari lingkaran kehidupanku dan mudah-mudahan akan terus terhindar.

Kepada sahabat mei, aku tetap mendoakan yang baik2 buatmu. Secalit hitam itu tidak akan memadamkan sehamparan putih yang pernah kamu bentangkan sebelum ini. Cumanya, harapanku agar kau segera bangkit dari mimpi yang merosakkan itu.

[Me-ngambil gelar sahabat... akan tetap men-jadi sahabat ..]

Sunday, November 16, 2008

~ BIAR ~


CK : Dia tak pulangkan duit tu selepas kejadian tu?
AKU : Ermm.. pulang buat apa?
AKU : Memang AL kasi untuk bayar duit minyak kereta dia.
CK : RM150? Setakat pergi minum? Melampau tu.
CK : Berkira giler. Teruknya.
AKU : Dia taknaklah...
AKU : Tapi sebab kecil hati sangat, AL kasi jugak.
CK : Kalau saya kat tempat dia, memang saya malu tau.
AKU : Ehh.. kan dah kata, AL yang kasi.
CK : Memanglah, tapi AL kasi sebab kecil hati kan..
CK : Kalau saya pun kecil hati..

Petikan perbualan aku dan CK, merujuk kepada seorang sahabat. Itupun kerana dia terhidu rasa kecil hatiku yang masih bersisa itu. Entah. Aku benar2 terasa hati sejak kejadian itu. Ditambah pula dengan kejadian terbaru tempohari. Dan lagi? Yaaa.. lagi.

[Sa-sunggoh-nya, banyak per-kara yang tidak kita sangka akan melingkari hidop sa-harian... Namun, sekurang2 nya kita akan lebeh mengenali sa-saorang]

Saturday, November 15, 2008

~ SALJU SAKINAH ~


TAJUK : Salju Sakinah
KARYA : Zaid Akhtar
HALAMAN : 556
TERBITAN : Pts Millenia Sdn Bhd
CETAKAN : 2008 (kali ke-3)
HARGA : RM26.00


[Salju dalam kehangatan yang membelah..]

Friday, November 14, 2008

~ MASIH DALAM REZEKI ~

Rasa marah semalam masih berbaki. En boss membuat tambah hari ini. Ermm... Sungguh, dia sudah berada dalam satu label lain buat aku. Teruskanlah.

AA sepatutnya menghadiri satu majlis perkahwinan kenalan tersohor pada sebelah malamnya. Namun, entah kenapa dia tiba2 membuat pembatalan pada hasrat itu. Aku juga sepatutnya ke sana, tetapi dek kerana beratur urus lain yang lebih perlu, maka aku juga memutus perkara yang sama.

Justeru, aku dan AA ke TBR untuk menikmati char kue tiaw kegemaran. Dalam masa yang sama membuat bual yang panjang juga. Namun, ia lebih kepada soal2 mudah sahaja. Aku tidak pernah berkongsi soal2 yang lebih peribadi dengan AA. Dia masih baru menjadi sahabat walaupun kadang-kala dia jauh lebih baik daripada sahabat2 yang aku katakan sebagai sahabat dekat itu. Ermm..

Ketika singgah di stesen minyak ketika dalam perjalanan pulang, aku tergerak untuk membuat panggilan ke rumah. Mahu memaklumkan kepada kakak, aku pulang sedikit lewat kerana hujan lebat membasah hiruk-pikuk kota besar ini. Jalanraya juga ketat dengan limpahan kenderaan yang berasak menuju ke destinasi masing2.

Ketika inilah, aku menyedari telefon bimbitku tiada. Goshh.. Terus sahaja aku menggelupur. Yaaa... aku seorang yang sangat2 menggelabah bila tiba situasi yang begini. AA yang terkejut dengan keadaanku itu meminta aku membuat sedikit tenang dan dia sedia menghulur membantu. Mujur ketika AA menghubungi telefon bimbitku itu, ia masih berdering. Bermakna, telefon itu masih berada dalam situasi yang selamat.

Aku membuat fikir yang panjang bila dan di mana kali terakhir aku membuat panggilan menggunakan telefon bimbit itu. Ermm.. aku meneka ia berada di kereta rakan pekerjaanku, S. Mengharap tekaan itu tepat, aku memutus untuk segera ke rumah S di bandar anggerik. Huh... dalam keadaan yang bersesak kenderaan begini, aku perlu ke bandar anggerik? ermm..

Terima kasih AA, dia terlalu banyak membantu. Dia tidak pernah berkira dengan apa jua nilai sekalipun. Entah berapa lama masa yang diambil untuk ke bandar anggerik itu, aku kurang pasti. Namun, sebaik tiba di kereta S, aku menjerit dan melompat sekuat hati apabila melihat telefon bimbitku elok berduduk di tempat belakang. Yaa... ia masih rezekinya untuk bertuankan aku. Telefon bimbitku itu berada di situ tanpa sedar aku sejak jam 3 petang tadi. Terbuka luas ruang dan peluang untuk sesiapa sahaja mengambilnya.. ermm..

Alhamdulillah. Tuhan masih mengizinkan rezeki kepadaku.

[Kawan dan lawan...]

Thursday, November 13, 2008

~ EN. BOSS ~


MY BOSS & ME

When I take along time
I am slow
When my boss takes long time
He is thorough

When I don’t do it
I am lazy
When my boss doesn’t do it
He is too busy

When I do something without being told
I am trying to be smart
When my boss does the same
That is Initiative

When I please my boss
I am apple – polishing
When my boss please his boss
He’s co-operating

When I do well, my boss never remembers
When I do wrong, he never forgets

[Good job, boss!]

~ LAWAN ATAU LARI ? ~

Hari ini, aku sekali lagi berdepan dengan situasi yang hampir2 sahaja membuat aku hilang pertimbangan. Sikap en boss benar2 mengujiku. Terdetik dalam hati ketika itu, Lawan atau Lari?

Dek kerana aku membungkus amarah itu dari dalam, lalu aku cuba melarikan diri seketika dari bertatap wajah dengannya. Bimbang kalau2 amarah itu mara ke depan dan meluah reaksi yang tidak pernah mereka saksikan dari aku.

Mukaku merah padam menahan marah. Yaa.. aku benar2 dalam keadaan itu. Rakan2 pekerjaan sedikit terkejut melihat reaksi spontanku ketika itu. Mungkin selama ini, aku hanya tenang dalam segala apa situasi sekalipun. Namun, hari ini aku terlalu merasa sakit hati.

Aku lari dari suasana tegang itu untuk menarik nafas tenang. Jika di tempat pekerjaan lama, aku akan berlari ke tangga di sebelah tempat pekerjaan jika dalam keadaan begitu, di sini aku tiada pilihan. Aku ke tandas dan menangis sepuas-puasnya. Menangis kerana terlalu sakit hati.

Seperti yang pernah aku katakan, aku jarang sekali menangis kerana sedih. Malah jika berdepan kematian sekalipun, aku masih mampu mengawal diri dan emosi dengan baik. Aku boleh tenang-setenangnya. Namun, dalam hal sakit hati dan kemarahan begini, air mata sering sahaja tumpah. Terlalu mudah. Tangisan itu kerana aku tidak mampu meluah kemarahan itu dengan baik dan memendam menjadi lahar. Ermm..

[Ermm.. mungkin-kah aku akan mem-buat piker yang kurang dari sepuloh minet?]

Wednesday, November 12, 2008

~ HARI YANG SERBA TIDAK KENA ~

Hari ini, aku tiba di tempat pekerjaan agak awal. Jam 7, aku sudah berada di meja. Memillih untuk lebih awal dan menyiapkan tugasan yang berbaki. Malang sekali, komputer masih lagi bermasalah seperti semalam. Pelbagai cara dicuba untuk membuat pulih, namun gagal.

Aku ke komputer lain untuk membuat cuba, namun baru tersedar aku tertinggal thumdrive yang memuatkan segala bahan yang hampir separuh aku siapkan di rumah semalam. Goshhh...

Mahu tidak mahu, aku terpaksa membuat keputusan untuk kembali ke rumah dan mendapatkannya. ??? Yaa.. aku tahu jarak rumah dari bandar anggerik ini terlalu jauh, namun apa pilihan yang aku ada. Ermmm..

Sangkaku, lelah itu hanya akan berakhir di situ. Namun sebenarnya tidak. Pada sebelah petangnya, en boss membuat serabut. Sungguh, semakin lama aku merasakan aku semakin susah untuk berkerja baik dengannya. Ermmm..

Hari ini juga, aku pulang agak lewat dari tempat pekerjaan. Paling lewat ku kira sepanjang bekerja di sini. Tekun menyiapkan segala tugasan yang terberi. Namun, ia masih bersisa dan tidak mampu diselesaikan bersih pada hari ini. Justeru, aku terpaksa menangguh ke esok juga.

Ketika sibuk mengatur perjalanan untuk pulang, seorang sahabat ini membuat bantu. Mahu menghantarku pulang kerana ketika itu malam telah pekat menyimbah bumi. Ermm... sahabat ini banyak sekali membantu.

[Men-chari sediket tenang agar nafas tidak ter-lalu laju mem-buat hembos..]

Tuesday, November 11, 2008

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN ~

Allah selamatkan kamu... Allah selamatkan kamu... Allah selamatkan FA.. Allah selamatkan kamu...

Selamat hari ulangtahun kelahiran buat FA. Mudah-mudahan yang terbaik untuk kehidupan akan datang. Semoga menjadi wanita yang lebih tabah dan kuat berdepan segala ancam manusia berhasad. Murah rezeki tentunya kerana kamu seorang yang sangat kuat berusaha dengan tulang empat kerat sendiri.

[Per-chaya kepada karma..]

Monday, November 10, 2008

~ BUKAN KERANA HELAH ~


Suka yang membawa duka. Mungkin itulah kata yang lebih tepat untuk menggambarkan situasi yang sedang aku lalui kini. Sebentar tadi, ada ribut menyinggah antara aku dan teman jiwa.

Kelmarin, ketika menemani adik ke bumi Hang Tuah, dia mahu menyertai. Namun, aku menolak kerana tidak mahu mengundang bising adik dan aku berterus-terang tentang hal itu kepadanya. Semalam aku sekali lagi ke bumi Hang Tuah bersama rakan-rakan dan kali ini tanpa pengetahuannya.

Aku tidak tahu entah ketika mananya, saat aku berseronok dengan rakan2 ini, ada mata yang sedang memerhati gelagat kami. Kebetulan pula, aku dan rakan2 itu berempat dan secara kebetulannya berpasangan, maka silap sangka menyinggah panjang.

Silap aku juga kerena aku tidak bercerita tentang kunjunganku semalam kepadanya. Lalu, dia menyimpul aku sengaja membuat agenda dalam senyap. Diungkitnya juga soal kelmarin. Kononnya aku menjadikan adik sebagai alasan, dan membuat helah untuk agenda lain.

Ermmm... bosannya berdepan dengan situasi begini. Situasi yang memerlukan aku berjelas-jelas panjang. Situasi yang memaksa aku membuat pujuk. Pujuk?

[Aku juga belum ter-pujok dengan rajok sa-orang sahabat.]

Sunday, November 09, 2008

~ DUA HARI BERTURUT-TURUT ~

(Muzium Negeri... jam 9.15 pagi kami sudah berada di sini.. )

(Terpegun dengan seni ukirnya..)

(Membidik yang indah-indah...)

(An, Af, Aku dan Nh)

(Singgah.. hujan renyai menukar lokasi kami ke blue lagoon.)

(Menyelusuri bibir pantai..)

(Merasa ombak membuat singgah..)

(Yang tidak diingini... kecelakaan berlaku di depan mata..)

(Asam pedas... ermm..)

(Berhampiran Dataran Pahlawan)

(Merah yang menarik pandang..)

(Muzium Islam)

(Yang beratus tahun..)

(Menyelusuri sungai menikmati pandang)

(Cendol yang menjadi kegemaran Nh, Af dan An tapi bukan aku...)

(Sisi pandang dari jambatan ke Jonker Street)

(Ini yang menarik pandang.. Jonker Street)

(Pembinaan semula..)

(Kota di bawah tanah yang baru dijumpai pakar sejarah pada tahun 2007)

(Segar..)

(Selesai... ermmm)

(bukan pertama kali..)

(ermmm..)

Aku ke bumi hang tuah lagi. Lagi? Ya.. selain semalam, hari ini juga aku di sini bukan kerana menurut teman jiwa seperti biasanya. Malah dia tidak tahu langsung pun aku ke sini pada hari ini.

Hari ini, aku berada di sini kerana memenuh janji dengan rakan2 di tempat pekerjaan lama untuk menghabiskan masa satu hari bersama mereka. Tidak disangka pula tempat yang menjadi pilihan mereka adalah bumi Hang Tuah ini. Aku ketawa sendiri.

Untuk tidak membuat spoil pada mood mereka, aku bersetuju tanpa sebarang bantahan. Malah aku berlagak seolah asing di bumi Hang Tuah ini. Aku menunjuk rasa teruja seperti mana teruja mereka bercerita tentang tempat2 menarik yang bakal kami kunjungi... sekali lagi aku ketawa sendiri. Kali ini lebih mencuit hati barangkali.

Jam 7.45 pagi, NH, AF dan AN datang menjemputku. Yaa.. 7.45 pagi. Sukarnya untuk aku membuka mata dalam waktu yang begini kala hujung minggu. Apatah lagi malam tadi aku kepenatan yang teramat sangat kerana membantu adik menguruskan tugasan berkaitan pengajiannya sepanjang hari, juga di bumi Hang Tuah ini. Tambah memenatkan apabila perjalanan semalam menggunakan pengangkutan awam.

Sebelum bertolak menelusuri tempat2 menarik di tanah Dol Said dan seterusnya ke bumi Hang Tuah, kami singgah mengisi perut. AN merungut lapar. Aku menurut sahaja walapun sedikit pun tidak terasa lapar atau perlu mengisi perut. Tambahan pula aku memang tidak suka mengambil sarapan pagi.

Destinasi pertama singgah ke Muzium Negeri. Aku tidak pernah berkunjung ke sini. Justeru, kesempatan yang ada aku gunakan untuk meninjau-ninjau apa yang ada di sini. Berlama2 juga di situ sebelum ke tempat2 lain seperti bandar di tanah Dol Said ini. Menyinggah ke tempat wajib, sisir pantai indah yang termiliknya dan sebagainya. Malah tatkala tiba menjejak pasir halus pantai itu, hujan turun memberi tanda agar kami harus segera pergi.

Justeru kami mengalih ke desnitasi kampung2 kecil di sekitarnya. Yaa... sesuatu yang belum pernah aku lakukan sebelum ini. Namun, aku tidak dapat membidik foto menarik kerana hujan renyai2 turun di sepanjang perjalanan itu dan kami hanya berada di dalam kereta sahaja.

Dari tanah Dol Said ini, kami terus ke bumi Hang Tuah. Yaa... sekali lagi. Namun, kali ini lainnya apabila kami melalui jalan lama dan menyelusuri kampung2 kecil di sini. Singgah dia bandar besar, ke Dataran Pahlawan, Stadthuys, Jonker Street, Masjid Tanah, Alor Gajah, Merlimau, Pantai Tanjung Bidara, Telok Mas, sehinggalah ke Umbai untuk menjamah ikan bakar istimewa di sini.

Dan yang lucunya, teman-temanku ini langsung tidak menghidu yang aku sudah beberapa kali menjejakkan kaki di tempat2 ini. Fikir mereka kunjungan ini adalah yang pertama buatku. Apatah lagi aku menunjukkan keterujaan yang sama dengan mereka semua. :) Justeru, kunjungan kami ini menjadi begitu seronok sekali.

Kisah seharian yang cukup indah sekali untuk catatan harianku pada November ini barangkali. Kami tiba di hiruk pikuk kota pada malam yang agak lewat. Penat, tetapi sangat seronok. Menghapus serabut yang menyimpul beberapa hari ni.

[Terima kaseh teman-2. Kamu teman-2 yang jarang sekali mau menyakiti-ku. Malah tidak perenah juga mau ber-kira soal keringat dan ringgit sen... ermm..]


Saturday, November 08, 2008

~ BUMI HANG TUAH LAGI ~











Seawal pagi aku sudah dikejutkan adik, menuntut janjiku yang mahu menemankan dia membuat urus berkaitan tugasan yang diberikan pensyarahnya di bumi Hang Tuah. Kami memilih untuk menaiki pengangkutan awam.

Tiba di Puduraya pada jam 9 pagi, namun bas ke Bumi Hang Tuah hanya membuat perjalanan pada jam 11. Dua jam kami terbiar begitu sahaja. Memerhati situasi di Puduraya ini mengundang banyak memori buatku. Entah bila kali terkahir aku menjejakkan kaki di sini. Beberapa tahun dulu mungkin. Ketika masih belajar dulu, perhentian Puduraya ini adalah lokasi yang wajib dikunjungi.. ermm.

Tiba di bumi Hang Tuah jam 1 tengahari. Perjalanan bas mengambil masa dua jam. Sebaik tiba, kami terus saja ke tempat yang dituju. Mujur juga ia tidak memberikan kesukaran apa2. Urus adik juga berjalan lancar. Tiga jam selepas itu, kami sudah boleh bersiar2.

Sebaik mengetahui aku mahu ke sini, teman jiwa mahu membuat bantu. Namun, berkali aku memohon kepadanya agar dia tidak menyalahkan penolakan aku. Aku tidak mahu menimbulkan suasana tegang. Adik tentu sekali akan merasa kurang senang.

Seketika punya kesempatan aku membawa adik bersiar2 di sekitar kota Hang Tuah ini. Katanya ini merupakan kali pertama dia menjejak kaki ke sini setelah rombongannya ketika masih di bangku sekolah sedikit masa dulu. Kami kembali ke hiruk-pikuk kota pada jam 9 malam. Penat.

[Kalau-lah bangunan merah ini mampu ber-suara, tentu saja banyak rahsia-ku yang di-cerita-kannya.. ermm..]