Tuesday, September 30, 2008

~ MENJELANG LEBARAN ~

Sepanjang hari ini, aku begitu sibuk sekali dengan pelbagai persiapan untuk menyambut aidilfitri esok hari. Bukan aku sahaja, tetapi seisi rumah tidak menang tangan dengan urusan dan tugasan masing-masing.

Jujurnya, aku tidak ikut campur bahagian masak-memasak. Aku 'gagal' di bahagian itu. Justeru, aku memilih tugasan lain yang tidak mendatangkan 'risiko' seperti mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk untuk digunakan esok, menukar langsir baru dan sebagainya.

Sedar tidak sedar Ramadan telah hampir bertukar kepada Syawal. Hanya setelah jam menunjuk ke angka 11.30 malam, barulah aku selesai menjalankan segala tugasan-tugasan ini. Barulah berkesempatan untuk menjenguk telefon bimbit. Kali terakhir aku menjawab panggilan pada sebelah pagi tadi ketika di hubungi teman jiwa.

Sedikit dengan kesempatan yang ada juga aku mula membalas kiriman ucapan raya dari rakan, sahabat dan kenalan yang memberi ingatan buatku. Yaa.. termasuklah sms yang diterima pada hari semalam dan hari-hari sebelumnya.

Satu yang aku ingin nyatakan tentang kiriman ucapan raya ini, aku sebolehnya tidak akan memanjangkan sms2 yang berupa mesej yang diforwardkan. Aku lebih suka untuk menulis sendiri ucapan dan kata-kata maaf untuk mereka yang dimaksudkan. Berpuluh-puluh ucapan yang masuk dan berpuluh-puluh kali jugak akan menaip dan mengarang kembali ucapanku. Ini kerana ucapan-ucapan itu tentunya berbeza mengikut orang yang ingin ditujukan ucapan itu. Kadangkala ia hanya beberapa perkataan, kadangkala ia boleh menjadi satu bentuk karangan panjang. Tergantung kepada keadaan.

Aku merasakan ia lebih jujur dan ikhlas begitu. Justeru, aku tidak akan menggunakan sms 'forward' untuk dikirimkan kepada mereka yang ikhlas mengingati aku. Ermm.. itu sekadar pendapatku, pendapat kamu, terpulang kamu.

[Mau ber-laku jujor]

~ MEMBUAT RANCANG ~

Teman jiwa beberapa kali menghubungi. Namun kesibukan tidak mengizinkan untuk aku berlama-lama mengatur bual dengannya. Aku tahu dia bosan kerana dia juga bercuti panjang walaupun tidak meraikan aidilfitri.

Raya ketiga nanti dia akan ke sini. Bukan untuk beraya ke rumah, sungguh itu begitu mustahil untul berlaku buat ketika ini. Aku mempelawanya untuk menyertai aku mengunjungi rakan taulan sempena hari raya. Kami bercadang untuk ke Kuantan dan daerah sekitar untuk memenuhi janji kepada rakan taulan.

Terkilan baju melayu biru sedondon yang dibeli tempohari, tidak dapat dia gayakan. ermm...

[Tiga pasang kurong biru...]

Monday, September 29, 2008

~ SELERA ~


Sejak pulang ke kampung, hampir setiap hari aku ke bazaar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Seronoknya, semua juadah kegemaranku ada di sini. Jauh sekali bezanya dengan bazaar di Kuala Lumpur.

Sepanjang puasa tahun ini, tidak sekalipun aku berpeluang ke bazaar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa. Yang ada hanyalah ke bazaar Ramadan jalan Tunku Abd Rahman beberapa kali. Itu pun sekadar mahu mengisi siar malam bersama rakan-rakan dan sesekali dengan teman jiwa untuk menikmati keriuhan suasana peniaga-peniaga di situ.

Hari ini adalah hari kedua aku berpeluang berbuka puasa bersama ayah dan ibu sepanjang Ramadan tahun ini. Selalunya setiap tahun pada awal puasa, aku akan pulang untuk berpuasa bersama ayah dan ibu, namun pada tahun ini kerja yang menghambat keras membuatkan aku tidak dapat meloloskan diri. Justeru, semalam dan hari inilah yang menjadi kesempatan pertama.

Ibu tidak putus-putus mengukir senyum. Hatinya berbunga bila rumah yang selalu sunyi sepi ini tiba-tiba menjadi riuh rendah dengan gelak tawa kami. Aku juga mahu sentiasa dengan senyum.

Sejak pulang ke kampung juga, aku begitu berselera sekali. Aku sendiri terkejut dengan selera makan yang begitu menjadi-jadi itu. Sebelum ini, aku sekadar makan untuk mengalas perut sahaja. Bukan kerana tidak berselera atau menjaga badan tetapi mungkin kerana ia telah menjadi kebiasaan buatku. Aku bukanlah seorang yang pemakan sangatpun.

Namun, sejak pulang aku merasakan semuanya enak-enak saja juadahnya. Malah, tidak pernah aku ketinggalan untuk menyertai sesi makan-makan yang ada. Huh... Sungguh syukur dengan rezeki yang ada buat kami sekeluarga.

[Rezeki Tuhan sunggoh di-syukori..]

Sunday, September 28, 2008

~ YANG TIDAK SEBERAPA INI ~


Hari ini aku memulakan hari agak awal. Selalunya jika hari cuti, aku akan mengambil kesempatan untuk bermalas-malasan sebelum bangun memulakan hari. Namun, suasana di kampung tentunya berbeza dengan kota besar di sana.

Ayah sibuk dengan urusannya. Ibu tidak habis-habis berkemas. Aku dan kakak memutus untuk ke bandar. Kami mahu membuat kejutan buat ayah dan ibu. Mahu menukar perabot baru untuk mereka sempena hari raya yang bakal disambut 3 hari lagi. Kami berkongsi wang ringgit untuk tujuan itu.

Hasrat menjadi kenyataan. Akhirnya kami memperolehi apa yang dicari.walaupun terpaksa keluar masuk beberapa kedai perabot demi memastikan perabot baru itu menepati citarasa ayah dan ibu.

Puas.... apabila melihat kejutan itu benar-benat membuat mereka berdua terkejut. Ibu kelihatannya sangat gembira sekali. Namun, ayah bagai biasa membuat bising kerana katanya ia satu pembaziran kerana perabot lama masih boleh dipakai. Malah, katanya wang tersebut sepatutnya digunakan untuk sesuatu yang lebih memberi manfaat.

Ermm.. begitulah ayahh... :) Apapun, aku tahu jauh di sudut hatinya, dia juga tumpang gembira seperti ibu.

[Satu senyoman itu sunggoh ber-arti sekali...]

Saturday, September 27, 2008

~ GELAK TAWA YANG MENGEJAR ~

(Replika rumah kampung sempena aidilfitri di Mid Valley Megamall)

Lebih kurang 4 setengah jam perjalanan, kami tiba di kampung halaman. Sepanjang perjalanan aku lena dibuai mimpi. Penat dan mengantuk. Malam tadi, aku dan adik tidak langsung meletak lena kerana asyik bersembang sambil bersiap keperluan untuk pulang hari ini. Sedar-sedar, kereta kami sudah masuk ke perkarangan rumah.. ermm..

Bagai biasa, ayah siap siaga menunggu. Sebaik kereta berhenti, terus sahaja dia menjenguk ke dalam kereta. Melihat kelibat aku, terus saja dia bertanya kenapa aku tidak bercuti lebih awal. Aku senyum sahaja. Begitu pun kebiasaan ayah. Belum pun aku turun dari kereta, dia sudah siap dengan soalan wajibnya.

Setelah melunjur badan dan berehat seketika, kami ke bandar. Lebih kurang 20km dari rumah. Sempat juga ke jeti untuk mendapatkan bekalan ikan-ikan segar di situ. Melihat ombak membelah laut dengan penuh gelora…Itu yang sering menarik minat aku juga.

(bekalan ikan-ikan segar yang dijual terus kepada pelanggan...)

(nyiur melambai dihembus angin pantai yang nyaman..)

[Melewati kenangan yang ter-endah..]

~ BALIK KAMPUNG ~


BALIK KAMPUNG
by sudirman

Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerna hati ku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata

Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira

Balik kampung oh oh...
Hati girangHo ho...
Balik kampung
Hati girang

Terbayang wajah-wajah yang ku sayang
Satu-satu tersemat di kalbu
Pasti terubat rindu di hati
Menyambut kepulangan ku nanti

[Lagi 5 minet kami akan ber-angkat pulang ke-kampong.. :) ]

~ SALAM AIDILFITRI ~


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Kemaafan juga untuk kamu andai ada bahasa dan penulisanku di sini tanpa sengaja telah menyinggung perasaan kamu. Juga jika ada sebarang persamaan tentang kamu di ruang perkongsian ini.

[Me-minjam segala yang baik..]

Friday, September 26, 2008

~ RAMADHAN 26 ~

Hari ini merupakan hari terakhir bekerja sebelum bercuti panjang untuk meraikan Hari Raya Aidiifitri. Sempat bertemu rakan sepekerjaan untuk beraya dan memohon kemaafan andai ada yang tersinggung di hati..

Bagai di janjikan juga, hari ini aku membuat putus untuk berbuka puasa dengan rakan-rakan. Kesempatan terakhir sebelum aku berangkat pulang ke kampung halaman esok pagi. Sebenarnya, sepanjang minggu terakhir ini aku cuba sebaiknya untuk memenuhi pelawaan rakan-rakan untuk berbuka puasa bersama setelah kesibukan sejak puasa pertama lagi.

Pun begitu, ada beberapa rakan dan sahabat yang ingin sekali luangkan kesempatan untuk duduk berbuka puasa bersama. Namun, ia tidak kesampaian. Kalaulah ada kesempatan itu. Ermm… Tiada rezeki barangkali. Apapun, di ruang ini, aku menyusun jari memohon ampun andai perlakuan dan bahasaku telah membuat singgung kepada kamu-kamu yang dekat dalam persahabatan dan persekitranku. Izinkan aku menikmati Syawal yang penuh maknanya ini dengan kemaafan dari kamu.

Sebentar tadi juga sempat bertemu mata dengan teman jiwa. Kesibukannya hari ini dengan urus pekerjaan membuatkan kami tidak punya kesempatan yang baik untuk berbuka puasa bersama. Justeru, dia hanya datang untuk mengucapkan selamat hari raya sebelum aku pulang ke kampung selain mengirimkan sedikit buah tangan untuk ke bawa pulang.

Mengikut janji, dia akan mengunjungiku pada raya ketiga nanti. Bukanlah datang beraya dan berkunjung ke rumah (tentu sahaja tidak akan terjadi), tetapi sekadar menemankan dia untuk beraya ke rumah beberapa rakan dan kenalannya. Ermm.. kalaulah dia dapat berkunjung ke rumah dan beraya bersama-sama, tentu sahaja ia akan menjadi momen yang cukup indah dalam hidupku.

[Kema’afan penoh tulos untok semua yang perenah mem-buat singgong..]

Thursday, September 25, 2008

~ TAKTIK MEMBAWA ANGGUKAN ~

Hari ini aku dengan sedikit kekalutan. Spagheti yang menjadi masam. Berbuka puasa di P.I. Yaa. Memenuhi permintaan abang. Tempohari ketika kami sekeluarga berkumpul untuk berbuka puasa sekeluarga, aku tidak dapat menyertai lantaran tugas hakiki yang membuat halang. Justeru, dengan puasa yang hanya berbaki beberapa hari lagi ini, aku mencuri keluangan.

Sepatutnya jam 9, ada janji dengan seorang rakan untuk melunas janji. Namun kemudiannya terbatal kerana rakan itu tersepit masa lantaran agendanya yang sebelum itu meleret dari waktu sepatutnya. Baik juga, sekurang-kurangnya aku dapat meletak lena lebih awal. Entah kenapa sepanjang hari ini, mata ini terlalu mengantuk sehingga aku terpaksa mundar-mandir ke sana ke mari agar tidak terus menelungkup muka di meja skrin.

Sebaik tiba di rumah di B.K, kelihatan sebuah kereta yang seperti ku kenal pemiliknya siapa. Yaa.. BR. Huh… lama aku tidak berlaungan waktu dengannya. Kali terakhir, awal puasa lalu barangkali. Aku mengetuk cermin keretanya sambil membuat isyarat (bergurau) bertanya eknapa dia ada di situ. Rupa-rupanya kata BR dia terlebih dahulu telah menghantar pesan buatku, mempelawa untuk menghirup secawan coffee di BGS. Argghh.. aku terlelap barangkali tadi. Justeru, tidak menghirau sebarang bunyi dari telefon bimbit.

Lelaki yang seorang ini, begitu taktiknya. Dia tahu, jika dia mempelawa aku melalui telefon, pasti sahaja aku akan membuka mulut dengan pelbagai alas an untuk tidak menyertai. Justeru, dia terus datang, menunggu di depan rumah. Dia tahu, aku pasti tidak sampai hati untuk berkata tidak, jika kelibatnya sudah berdiri di situ.

Yaa.. taktiknya menjadi dan sangat berkesan sekali. Aku memang tidak akan sampai hati untuk menolak setelah jauh dia atau sesiapun yang datang menjemput. Kami menghirup coffee di BGS. Kurang lebih 4 jam barangkali. Bercerita. Juga tentang spaghetti yang masam pada hari ini.

[Taktik itu nampak-nya di-tiru pula oleh sa-orang rakan ini… arghh susah-nya mau menolak dan ber-kata tidak..]

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~


Antara hamper raya yang singgah di mejaku di ruang pekerjaan. Orang memberi, kita merasa. Terima kasih di atas ingatan yang terberi. Mudah-mudahan murah rezeki kamu, Aminn...

[Maseh menunggu hamper raya dari sa-saorang..]

Wednesday, September 24, 2008

~ TERKEPUNG AMARAH ~


Mood hari ini sangat-sangat tidak dalam keadaan baik. Bukan sengaja mahu membuat panjang, namun caranya berbahasa tidak membuat aku senang. Aku tidak pernah senang jika diberi nada begitu kerana aku juga tidak pernah mahu melayan dan melakukan itu kepada orang lain. Aku marah, tetapi marah itu terkepung di dalam sahaja. Itu yang membuat sesak.

[Di hujong-nya, 'ok, fine whatever!!!']

Tuesday, September 23, 2008

~ BERDAMPING ~


Ahad lalu punya kesempatan berdamping teman jiwa. Menemankan aku turun-naik gedung melengkapkan keperluan raya yang entah bila cukup perlunya. Terserempak dengan rakan seperjaan. Terpaksalah aku memperkenalkan teman jiwanya kepadanya. Huh..

Teman jiwa berpuasa hari ini. Namun, pada tahun ini rekodlanya tidaklah secemerlang tahun lalu. Katanya tahun ni, banyak yang menjadi penghalang kepada percubaan puasanya. Ermm... Apapun, dia ada keinginan mahu mencuba dan menyempurnakannya. Itu yang penting bagiku.

Aku juga perasan, pada tahun ni juga kami tidak banyak keluangan untuk berbuka puasa bersama. Entah hanya berapa kali sahaja. Kesibukan aku dan dia benar-benar membuat halang. Dampingan hari pun terjadi tanpa dirancang-rancang.

[Menanti sa'at dia men-jadi saudara baru..]

~ MENGERTI DI DALAM KASUT ITU ~

Sepatutnya, aku telah selesai dengan segala urus pekerjaanku sejak semalam. Namun, agaknya memang en boss tidak senang melihat aku duduk bersenang-senang, lalu dia memberi urusan baru. Apa pilihan yang ada? Yaa... mengangguk sajalah.

Mujur juga aku dipermudahkan dalam segala urusan itu. Urus yang diberi segera itu berjaya diusaikan segera juga. Nasib begitu menyebelahiku. Kasihan barangkali dengan situasi diri yang selalu sahaja terpaksa membuat angguk walaupun hati yang di dalam geleng bukan kepalang.

Tengaharinya, sedang aku tekun membuat bual dengan seorang rakan di layar skrin, rakan pekerjaan yang seorang ini melurus terus dengan deraian air mata yang begitu kebanjiran kepadaku. Terkejut sekali aku melihat tindaknya. Sedaya yang mampu, aku cuba untuk menenangkan dia untuk memperoleh cerita sebenar yang membuat luka yang begitu sekali kepada rakan ini.

Dalam esak tangis yang panjang, dia menjelas penuh kecewa bahawa mulai 13 Oktober depan, yakni seminggu selepas pulang cuti beraya, dia akan ditukarkan ke team atau bahagian lain dalam jabatan kami. Bukan soal pertukaran yang menjadi punca dia penuh dengan esak, tetapi tercampaknya dia ke bahagian yang dimaksudkan itu sudah dapat dibayangkan sakit dan perit yang bakal dilaluinya nanti. Bukan kerana urusnya, tetapi kerana manusia yang di dalamnya. Itu yang dibayangkan dia.

Aku mengerti, justeru jika aku juga berada di kasutnya, pasti sekali aku juga akan meraung menyambut hiba. Tiada apa yang boleh aku lakukan, melain menenangkan rakan ini. Juga memberi pandangan agar dia membuat rayuan di atas pertukaran itu dan merujuk kepada mereka yang lebih maklum akan soal ini. Ermmm..

[Tidak putos dengan doa agar aku ter-hindar dari ber-dekat dengan sesuatu yang tidak aku mahu-kan dengan geleng]

~ DEALOVA KESEKIAN KALINYA ~


DEALOVA
by once

Aku ingin menjadi mimpi indah
Dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang mungkin bisa kau rindu

Karena langkah merapuh,
Tanpa dirimu
Ohh karena, hati t’lah letih

Aku ingin menjadi sesuatu
Yang s’lalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahwa ku
Selalu memujamu

Tanpamu... sepinya waktu
Merantai hati
Oh bayangmu... seakan-akan
Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil, rinduku, padamu oohhh
Seperti udara yang ku hela
Kau se-lalu, ada
Hanya dirimu yang bisa
Membuatku tenang
Tanpa dirimu aku me-rasa
Hilang...

Dan sepi... dan sepi
Selalu ada...

Kau selalu ada...
Selalu ada...
Kau selalu ada...

[Yaaa... kamu senantiasa ada... Setiap kali ter-dengar Dealova, setiap kali itu-lah, kamu yang dalam ingatan...]

Monday, September 22, 2008

~ YANG TETAP DALAM INGATAN ~


Al Fatihah untuk arwah D...
(21 November 2006)

Al Fatihah untuk arwah DR JIWA
(31 Mei 2006)

Mudah-mudahan tenang kamu bersemadi di sana..

Amin...

[Benar-benar rindu sama kamu..]

~ SALAM TAKZIAH ~

Al Fatihah...

Salam takziah buat seorang rakan yang baru sahaja kehilangan, satu-satu zuriat yang dimilikinya. Anak kecil berusia empat tahun itu dijemput Ilahi pagi tadi kerana mengalami masalah jantung setelah menjalani beberapa pembedahan sebelum ini.

Aku mendoakan agar dia tetap dalam sabar dan penuh dengan tabah. Aku cukup mengerti rasa yang dipikulnya. Bayangkan bagaimana kalau kita berada di kasutnya. Bayangkan di saat orang lain sibuk membuat persiapan raya untuk si anak, dia pula sibuk membuat persiapan untuk pengkebumian si anak. Tragis. Aku menitis airmata, mengerti...

Hampir seminggu lagi, umat Islam bakal menyambut aidilfitri yang mulia dengan penuh senyum dan tawa, Bagaimana dengan dia dan isteri.. Ermmm... Semoga kamu tabah. Semoga kamu cekalkan hati berdepan ujian dan dugaan hebat ini.. Aminn..

[Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati..]

Sunday, September 21, 2008

~ MRR2 ~



Sekadar mahu berkongsi dua keping foto yang di bidik oleh seorang rakan ketika melalui jalan di bawah lebuhraya MRR2 di Kepong. Foto ini akan bercerita kepada kamu tentang apa yang aku maksudkan.

[Mendoa-kan semua-nya selamat dan ter-hindar musibah berat]

~ JALAN TAR LAGI ~

Tidak dapat berbuka puasa dengan Brad (makan malam mungkin lebih tepat kerana dia tidak berpuasa). Ini kerana hari ini aku terikat janji memenuhi undangan berbuka puasa nun di Damansara di rumah seseorang yang berstatus dalam masyarakat yang pernah menjadi 'terkenal' gara-gara menjadi mangsa mainan manis kata seorang wanita terkenal juga.

Pulang dari situ, tanpa dirancang-rancang aku dan AA membuat putus untuk menelusuri bazar ramadan jalan TAR. Kononnya mahu memcuci-cuci mata sahaja. Sesampai di sana kurang lebih jam 11. Huh.. sangkaku dalam waktu yang begini, pasti tidak ramai manusia yang memenuh ruang di sini. Namun, sangkaan itu meleset. Malam pada jam 12 tengah malam pun, aku terpaksa bertolak-tolakan degan sekian umat manusia yang ada. Rimas, panas dan sangat-sangat tidak selesa.

Sudahnya, aku tidak dapat melihatpun barang jualan di situ kerana malas mahu terus berasak-asakan di situ. Jam 1 hampir ke jam 2, aku tiba di rumah. Saat itu, seisi rumah telah bergelap. Kakak telah lama di buai mimpi. Masuk ke bilik, ada sedikit pesan melalui nota di meja komputer.

"Pliss, jangan lupa makan. Penat akak masak. Ur fav, masak asam pedas."

Aku tersenyum saja membaca pesan itu. Sungguh, aku sangat2 kekenyangan. Namun, aku tentu tidak mahu kakak berkecil hati jika tidak menyentuh masakannya itu. Justeru, jam 3 pagi aku cuba mengisi perut yang memangnya sudat sarat terisi itu. Ermm..

[Esok ada janji berdamping teman jiwa juga untuk berbuka puasa bersama... spaghetti lipas? Oh no! Itu kata dia. Apa sangkanya, aku benar mahu menjamah lipas dalam hidangan spaghetti itu? hahahhaa..]

Saturday, September 20, 2008

~ ANDAI KU TAHU ~


ANDAI KU TAHU
by ungu


Andai ku tahu kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku
Andai ku tahu kapan tiba masaku
Ku akan memohon
Tuhan jangan kau ambil nyawaku

Aku takut
Akan semua dosa-dosaku
Aku takut
Dosa yang terus membayangiku

Andai ku tahu malaikatMu kan menjemputku
Izinkan aku mengucap kata taubat padaMu..
Ampuni aku dari segala dosa-dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat padaMu

Aku manusia
yang takut neraka
Namun aku juga
Tak pantas di surga

Andai ku tahu kapan tiba ajalku
Izinkan aku mengucap kata taubat padaMu
Ampuni aku dari segala dosa-dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat padaMu

[Andai ku tahu, untong naseb-ku pada masa hadapan.. ermmm]

~ KAD UCAPAN RAYA ~


Setelah menimbun kad raya memenuh ruang tempatku menulis, aku tergerak untuk mengemaskini dan mengirimkan balasan untuk kad-kad yang dikirimkan kepadaku itu. Terima kasih kerana masih mengingat akan aku.

Sejak bermula puasa, aku begitu sibuk dan berkejaran dengan masa yang ada. urusan pekerjaan tidak pernah surut, bahkan semakin menimbun menutup ruang aku aku beraktiviti selain darinya. Bukan sengaja melambatkan menulis mahupun membalas kad ucapan ini, namun kesempitan masa benar-benar membuat aku terlupa seketika untuk menghantar ingatan juga kepada orang lain.

Malam ini dengan kesempatan yang ada, aku mula menulis kada ucapan. Si kecil yang ada di sebelah turut sibuk mahu membantu dan mahu juga memasukkan namanya sekali. Mahu menjadi kawan juga kepada kawan-kawanku.. :)

[Ter-haru dengan ingatan yang tak pernah padam... terima kaseh..]

Friday, September 19, 2008

~ DENGAN SENYAP ~


Hari ini, yang kusut-kusut itu telah terleraikan. Beberapa hari lalu aku ada berkongsi tentang kekeruhan yang berlaku antara aku dan seorang sahabat ini. Hari ini, dia masih belum berputus asa untuk membaik keruh.

Sebenarnya, tidak ada apa yang keruh sangatnya pun. Aku masih berdepan waras dengan dia. Tidak sekali aku meninggikan suara, menarik muka atau bertindak tidak seperti aku adanya. Cumanya, aku sedikit senyap dari biasa.

Namun, oleh kerana sahabat dekat, dia mengerti perubahan sikap yang diperhatikan dari aku. Walaupun aku masih lagi bercakap dan bekerja dengannya seperti biasa, namun dia tahu ada perkara yang tidak kena sedang berlaku.

"Tapi, aku nampak ko semacam jer dalam minggu ni. Saper yang cakap macam tu. Aku berani sumpah aku tak cakap pun macam tu. Saper orang tu, aku sanggup bersemuka ngan dia. Kalau ko dah tahu kita ni rapat, so orang ni mesti dengkilah… so ko kena kebal lah sikit. Ada apa-apa hal cepat-cepat tanya aku. Kalau aku ni pun jenis yang kepala angin, agak-agaknya leh perang dingin kita jadinya. Sedangkan bendanya tak ada apa-apa pun..."

Itu antara isi kandungan emel yang dia kirimkan buat aku pagi tadi. Petangnya, kami berbuka puasa bersama atas permintaannya untuk menjelaskan segala salah faham yang berlaku. Awalnya aku menolak kerana tidak mahu memanjangkan hal ini. Namun, akhirnya aku mengalah dengan desakan sahabat ini.

Sepanjang dalam perjalanan, segala kekeruhan diselesaikan dengan baik. Dia bermati-matian mahu aku memberitahu siapa orang yang menyampai-nyampai cerita yang tidak baik tentang dirinya itu. Namun, dek berpegang pada janji aku tidak mendedahkan siapa orang itu. Biarlah yang lepas itu, lepas berlalu dengan penuh pengajaran yang terkutip.

Kekeruhan yang berlangsung sejak seminggu yang lalu kembali terpulih. Sukarnya mahu memberi percaya kepada manusia yang ada di sini. Semuanya bertalam dua muka. Aku semakin keliru untuk mengenal mana kawan dan mana lawan. Huhh..

[Marah dengan senyap, gembira dengan senyap, sedeh juga dengan penoh senyap... Itu aku...]

Thursday, September 18, 2008

~ AKU YANG TIDAK BERTUAH ~


Aku ini orangnya bukanlah dekat dengan 'tuah' barangkali. Aku ini tidak pernah memilik sesuatu yang aku inginkan dengan mudah sekali.

Hari ini aku melalui perkara yang serupa. Tuah tidak menyebelahiku walaupun rezekinya begitu hampir. Ermm...

[Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu..]

Wednesday, September 17, 2008

~ ALAHAI MAK DATIN.. ~

Memenuhi undangan Auntie Phia untuk berbuka puasa di salah sebuah hotel di Damansara. Mulanya aku menolak berat kerana bercadang mahu pulang lewat dari tempat pekerjaan untuk menyiapkan kerja. Namun, seperti selalu yang aku katakan, aku payah sekali mahu berkata tidak kepada auntie Phia yang sudah ku anggap seperti ibu sendiri itu.

Minggu depan aku sekali lagi akan berbuka puasa bersama auntie Phia dan Ai. Mereka sekeluarga mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik di kediaman mereka di T.T.D.I. Sebenarnya, mereka sekeluarga ini tidak hanya membantu mereka yang tidak berkemampuan hanya pada bulan Ramadan sahaja. Malah, setiap masa ku kira. Cuma, pada bulan Ramadan ini merupakan satu kemestian.

Berbalik kepada majlis berbuka puasa tadi, aku merasa kurang di selesa sepanjang berada di majlis itu. Mana mungkin aku mahu berselesa-selesa sedangkan para tetamunya terdiri daripda Datin-datin, puan sri-puan sri.. Yaa.. aku agak payah sedikit bergaul dengan mereka yang dari kalangan yang begini. Sementelah lagi, aku melihat diri sendiri di cermin.

Jujur aku katakan, aku rimas dan bosan dengan gelagat sebahagian mereka. Bukan semua, tetapi sebahagian daripada mereka. Perbualan mereka tidak jauh perginya. Hanya sekitar perihal shopping barangan mewah, bercuti ke luar negara, aktiviti salon, spa dan sebagainya. Seperti sempit benar dunia mereka. Sehingga terfikir di fikiranku, itu sahajakah aktiviti mereka sehari-hari? Ermm.. Malang sungguh menjadi mereka yaa...

Pun begitu, oleh kerana aku berada di majlis mereka, maka perlulah aku mengikut rentak mereka dan sedaya upaya cuba menyesuaikan diri. Maka, hipokritlah aku kononnya begitu teruja dengan cerita-cerita mereka itu. Huh.. Satu hal yang menarik juga, datin-datin dan puan seri ini orangnya cukup pemurah. Senang-senang sahaja menabur wang ringgit meski bukan yang dalam kenalan mereka. Ermm..

Begitu juga dengan auntie Phia, dia sangat pemurah dan baik hati. Kerana itulah rezekinya sentiasa murah dan hidupnya penuh berkat. Sungguhpun mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat, dia tetap menunduk pada rumput di bumi. Dan yang paling penting, Auntie Phia tidak seperti datin-datin dan puan seri2 yang hanya tahu bercakap soal, spa, butik, shopping, bercuti dan sebagainya.

[Mau men-jadi tangan yang mem-beri pula..]

Tuesday, September 16, 2008

~ KEBERLAINAN TINGKAH ~

Aku membuat senyap yang panjang. Berpura-pura sibuk dengan urus pekerjaan, kala sahabat itu mahu mengajak bual. Untuk ketika ini, aku tidak mahu bertembung dia. Tidak mampu menahan sedih bila terkhianat begitu rupa.

Mengisi sedikit kelapangan aku sempat menutur bual di skrin dengan seorang sahabat yang lain. Katanya, apa mungkinkah ada manusia lain yang sengaja membuat cerita yang tiak benar tentang soal ini. Aku sedikit terfikir tentang itu. Memang aku harusnya percaya sahabat sendiri berlebih dari mereka yang lain. Namun, hati aku tidak memberi ruang yang begitu.

Justeru, biar begini sahaja untuk ketika ini. Biarlah aku meredakan dan memulihkan kembali yang terkopak2 itu. Biarlah buat ketika ini, aku mengelak saja dari dia. Aku yakin sahabat itu sedar keberlainan tingkah yang padaku hari ini. Maafkan aku. Aku hanya manusia biasa yang gagal juga mengawal rasa. Bila terkecewa besar begini, akal kadang-kadang lari bertempiaran.

[Sunggoh, rajok meng-isi situasi..]

Monday, September 15, 2008

~ LAGI KERANA SAHABAT ~

Sedih. Aku tidak dalam keadaan mood yang baik-baik pada hari ini. Seketika tadi, saat membuat perjalanan ke rumah selepas pulang dari majlis berbuka puasa, seorang rakan ini telah memberi maklum kepadaku tentang satu perkara. Perkara yang amat mengjeutkan buatku.

Menurut kata rakan ini, isnin lalu dia berada di satu majlis dengan sahabatku yang seorang ini. Tanpa sengaja, dia telah mendengar sahabat ini 'bercakap-cakap' soal aku. Soal dalam pekerjaan. Kata rakan ini lagi, dia tidak menyangka apa yang didengarnya itu datangnya daripada orang yang aku gelarkan sahabat.

Aku berpura-pura seolah tiada apa. Kononnya, aku tidak kisah dengan hal-hal yang begitu. Walhal sebenarnya, apa yang berkecamuk dalam hati ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Selama berkawan dan bersahabat denganya, sekalipun kami tidak pernah berselisih faham. Malah dia dilihat banyak membantuku sehingga hari ini. Begitu juga aku. Kami banyak membantu terutamnya dalam soal pekerjaan.

Justeru, bila ia terjadi sesuatu yang begini, aku berat untuk percaya. Namun, kesungguh rakan yang menyampai ini seolah menunjuk benar. Aku diam dan senyap. Menahan rasa sakit hati yang membuat susun.

Pun begitu, aku tidak berhasrat untuk bersemuka dia bertanyakan kebenaran. Biarlah. Namun, yang pasti, untuk seketika ini aku tidak mampu untuk berlagak biasa kalau bertemu dia. Justeru, aku mungkin perlu mengelakkan dia agar sedih yang ada ini tidak tebal membuat lagu.

[Aku tidak perenah ber-minat mau mem-bilang keburokan dia... menerima dia seada-nya dia sebagai manusia biasa seperti mana aku juga..]

Sunday, September 14, 2008

~ AIDILFITRI TIADA BERERTI ~


Malam tadi, aku hanya sempat melelapkan mata 1 jam sahaja. Itupun selepas tamat waktu sahur (walaupun aku tidak bersahur). Jam 9 pagi, aku bergerak dari rumah ke Bukit Jalil. Si Diam akan menjemputku di sana. Yaa.. mujur ada dia. Entah kenapa aku ringan mulut dan membuang segan dengan meminta pertolongan darinya.

Kami sampai agak terlewat dari waktu yang dijanjikan kerana terdahulu sebelum itu, si diam ini membuat singgah atas urusan kerjanya. Melihat rumah orang-orang tua ini (KPB-SG), hati tiba-tiba menjadi sayu. Kakiku berat mahu mengatur langkah ke dalam untuk bersapa dengan mereka ini.

Sungguh, aku gementar sekali. Tujuanku hanya mahu melawat mereka, sempena Ramadan. Namun, aku risau kalau-kalau kunjunganku yang langsung tidak bertalian dengan mereka ini disalahertikan. Aku tidak mahu mereka meitiskan air mata walau setitispun. Anggap saja aku ini seperti anak-anak lain juga.

Aku duduk bersimpuh di lantai tempat sebahagian warga tua ini berkumpul. Kami mula bercerita dan berkongsi idea dan pendapat. Sungguh aku tekun sekali mendengar sejarah yang mereka lalui satu masa dulu. Sewaktu bahagia menjadi pedamping setia.

Kisah makcik S memebuat runtum hatiku. Hampir sahaja airmata ini menitis deras terjun ke pipi. Namun, aku tidak mahu pertemuan itu menjadi medan airmata. Aku tidak mahu melihat mereka menangis lagi untuk kesekian kalinya. Aku ke sini bukan untuk melihat mereka menangis. Justeru, aku sentiasa mengalih perhatian. Mengajak bual untuk hal-hal yang menyeronokkan mereka.

Melihat kelibat pakcik TS, wajah ayah tiba-tiba menghiasi ruang mata. Kelihatannya dia seperti ada persamaan karektor dengan ayah. Tutur cakapnya mengingatkan aku kepada ayah sangat. Mulanya pakcik TS ego memberitahu, dia tidak perlukan sesiapa lagi dalam hidupnya. Namun, di hujung bual dalam suara yang separuh sebak, dia mengakui dengan penuh keikhlasan tentang kerinduannya yang berkarung terhadap anak yang telah membuangnya itu. ermm..

Banyak pelajaran yang terkutip sepanjang hari ini. Paling mengharukan bila mana saat aku mahu meminta diri, aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengan makcik S. Dia tiba-tiba menarik badanku rapat kepadanya lalu membisikkan "Lain kali datanglah lagi. Anak jengok-jengoklah makcik kat sini.

Aku terdiam terus. Sebak. Terasa seperti airmata tidak dapat dibendung lagi. Muka menjadi merah padam akibat menahan rasa pilu yang menghambat. Memaksa diri untuk berlagak tenang, walhal aku dalam situasi yang sangat-sangat hanyut.

Hampir tiga jam di situ, kami meminta diri. Sebelum kaki melangkah meninggalkan 'rumah kasih syang' itu, aku sempat memanjatkan doa. Mudah-mudahan hidup mereka tidak terus berhujung di situ. Mudah-mudahan terbuka hati anak-anak yang empunya membawa pulang mereka. Aminn..

[Kalau-lah aku ini punya kemampuan rezeki yang lebeh... ermm..]

~ RAMADAN DATANG LAGI ~


RAMADAN DATANG LAGI

Ramadan...
Semenjak kecil aku diajar tentang
Kebesaranmu,
Keistimewaanmu.. dan
Kemuliaanmu

Ramadan...
Kini kau datang lagi
Membuka ruang untukku
Merenung diri...
Apakah sudah cukup bekalku
Apakah terlalu sarat dosaku
Apakah ada rasa mahu membersih diri
Apakah ada sedar
Di ruang keampunan ini

Ramadan...
Pantasnya masa berlalu pergi
Pendeknya waktu mengenal diri
Kemuliaanmu begitu besar
Kerugianku begitu lebar
Lantaran kealpaan diri
Pada duniawi

Ramadan...
Hadirmu kali ini tidak akan aku siakan
Hadirmu kali ini penuh keinsafan
Akan kutebus lalai ini
Akan ku roboh leka ini
Akan kubina mulia di hati
Mulia yang dituntut oleh-Nya...

[Bagai-mana kalau ini Ramadan ter-akhir?]

Saturday, September 13, 2008

~ MEMBIDIK ~


Aku sukakan foto ini. Ia dibidik olehku sendiri ketika dalam perjalanan menuju ke BB di dalam tren monorel.

[Mau mem-bidek Kuala Lumpur dari atas skybridge]

~ BAZAR RAMADAN JALAN TAR ~






















Ahad lepas, aku berkesempatan untuk menelusuri jalan Tunku Abd Rahman yang cukup popular ketika bulan Ramadan. Jujurnya, aku begitu jarang sekali ke sini. Kali terkahir menjejakkan kaki di sini adalah setahun yang lalu, juga bersempena bazar Ramadan ini.

Manusia hari ini sungguh sesak sehinggakan tiada ruang untuk aku berselesa. Apatah lagi untuk membelek dan memilih-milih barangan di situ. Banyak juga yang menarik perhati, namun aku mengalah dengan sesak manusia lain. Yaa.. aku tidak sanggup untuk berasak begitu.

Justeru, aku kongsikan kamu beberapa foto ini. Ia tidak menggambarkan suluruh bazar ini, namun sekurang-kurangnya kamu dapat melihat situasinya serba sedikit.

[2 tahon lalu, aku perenah sahingga 1 pagi di-sini menyertai rakan-2 yang mau meni'mati keriohan suasana di-sini.. ermm..]

Friday, September 12, 2008

~ PEROMPAK ? ~

Aku pernah menulis berkait soal ini dalam beberapa entri yang lepas dan hari ini aku berdepan situasi serupa sekali lagi. Aku mengambil teksi di perhentian teksi di depan Sunway Pyramid. Aku tahu, jalanraya penuh sesak tetapi aku malas membuat fikir yang panjang. Merebahkan duduk di dalamnya aku sudah cukup lega.

Perjalanan mengambil masa yang agak lama. Kereta langung tidak mahu bergerak. Jalan sangat-sangat sesak. Aku hampir sahaja terlelap lena di dalam teksi yang dipandu oleh seorang yang melihat fizikalnya mungkin seusianya ayah itu.

Tiba di depan rumah dan mengerling meter yang tertera harga yang harus di bayar, aku menghulurkan tiga keping note merah. Sepatutnya dia memulangkan bakinya, sekeping note hijau. Tetapi dia memberi alasan, jalan sesak teruk. Justeru hadiahkan sahaja dia wang baki itu. Aku diam sahaja dan keluar terus daripada teksinya. Tapi usah sangka aku benar ikhlas memberikan dia wang itu. Bukan kerana aku lokek dengan wang yang hanya bernilai note hijau itu, tetapi aku kurang senang dengan cara dan sikapnya yang lagaknya seperti perompak itu. Yaa.. perompak kerana mengambil wang itu secara paksa. Ermm..

Aku berharap ada pihak tertentu yang memantau golongan yang semakin berleluasa ini. Mencari duit dengan cara yang tidak halal.

[Di-buli? Mem-buli? Arghh...]

~ TERUJI ~

Sungguh, hari ini adalah hari yang benar-benar membuat aku rasa mahu berlari turun naik tangga dari tingkat 8. Yaa.. diuji kesabaran aku yang tidak banyak ini.

Aku masih menguruskan soal tugasan hari ahad ini. Berurusan dengan orang ini dan itu yang banyak benar karenah dan halnya. Perkara yang sepatutnya mudah, dirumitkan dengan sikap tidak bertanggungjwab mereka. Yang menjadi mangsa, adalah aku.

Hari ini juga, aku diherdik untuk satu kesalahan yang bukan berpunca aku. Menuding jari menyalahkan orang lain sedangkan diri sendiri yang bengkang-bengkok. Marah? Tidak kuasa untuk aku melayan rasa yang serupa pada bulan yang menuntut kesabaran besar ini.

Hampir seluruh hari aku cuba menyelesaikan masalah ini untuk memastikan perancangan kerja pada hari ahad ini berjalan baik. Sudahnya kerja-kerja lain tertangguh tanpa sengaja dan membuat berat dek kerana isnin depan semuanya perlu berada di atas meja en boss. Arghh..

Sepatutnya, hari ini aku ada membuat janji untuk berbuka puasa bersama seorang rakan ini. Beberapa kali menolak permintaannya dan hari ini aku rasa malu untuk memberikan alasan lagi. Malangnya, sekali lagi aku terpaksa memungkir janji. Puncanya kerana aku perlu menunggu sekeping surat yang difaks kan kepadaku. Mahu atau tidak, aku terpaksa mendapatkan surat ini untuk tugasan ahad ini. Tiada pilihan lain.

Aku mula menunggu dari jam 4.50 petang sehinggalah jam 6.30 petang. Kalau penantian itu berbaloi dengan hasilnya, aku masih boleh tersenyum. Namun, penantian yang berlangsung selama 1 jam 40 minit itu langsung tidak memberi hasil. Surat itu itu tidak kunjung tiba dan puncanya daripda sesuatu yang menyakitkan hati. Fax mashine yang digunakan kehabisan catridge. Tiasa siapa yang dapat membantu kerana kakitangan di bahagian pentadbiran itu telah berkejaran pulang mengejar waktu berbuka puasa.

Apa yang patut aku rasa? Tiada rasa apa-apa. Melainkan rasa malu kepada seorang rakan tadi kerana memungkiri janji. Uuhh..

[Aku bukan-lah sa-orang pemungker.. perchaya itu..]

Thursday, September 11, 2008

~ SEDANG SABAR DI UJI ~

Tengahari tadi ada mesyuarat ringkas dengan en boss. Aku tiba-tiba diberikan tugas yang di luar bidang tugasku. Terkejut dan terdiam. Rakan-rakan lain juga terpinga apabila mendapat tahu tentang hal itu. Bagai biasa, aku tidak membantah. Mengangguk dan menerima sahaja arahan yang diberikan.

Aku hanya diberikan masa kurang 3 hari untuk menyiapkan tugasan tersebut. Aku menggelengkan kepala kerana urusan ini melibatkan beberapa badan tertentu dan penuh dengan birokrasi. Malah untuk mendapat kelulusan juga memerlukan masa yang agak lama.

Sebaik sahaja habis perbincangan, aku terus menghubungi pihak terbabit. Benarlah telahan awalku, aku ditolak ke situ dan ke sini sebelum berjaya mendapatkan orang yang disasarkan. Bila sudah dapat, bercuti pula. Sedangkan masaku agak singkat sekali. Ermm..

Sungguh, aku agak tertekan hari ini. Tidak puas hati juga barangkali kerana diberikan tugas yang di luar bidang pekerjaanku. Namun, apa boleh buat. Sudah begitu situasinya. Begitukan lumrah kehidupan kita. Terpaksa menurut telunjuk orang lain demi menjaga periuk nasi yang ada ini. Ia dilalui semua orang kukira..

Apapun, mohon agar aku dikekalkan sabar yang ada. Mudah-mudahan aku mampu mengawal rasa memberontak yang banyak. Soal rezeki, jangan dibuat main.

[Mujor ada sahabat yang men-jadi peng-lipor lara..]

~ BERJAUH HATI ~


Semalam, aku berjauh hati dengan seorang rakan yang baru berpangkat sahabat ini. Tidak sebesar manapun halnya, cuma aku merasakan dia tidak patut bertindak begitu. Bukan kerana sensitif aku sahaja tetapi juga seorang rakannya yang juga turut memikir soal yang sama. Bererti, ada sesuatu yang tidak kena dengan tindaknya itu.

Aku pulang lebih awal daripadanya. pulang ke rumah, dia menghubungiku bertanyakan apakah sedang berlaku sesuatu yang tidak kena pda diriku. Ermm.. sedar pula dia dengan keadaan kurang senangku itu. Lelaki yang seorang ini bergelar sahabat yang baik dan boleh diharapkan. Namun, dia kadang-kadang terlalu mengejar inginnya. Mengenepikan soal-soal halus-halus kerana mahu mencapai cita. Itu yang aku kurang senang. Selebihnya dia memang seorang sahabat yang baik.

[Terima kaseh untok mereka yang ber-gelar sahabat buat-ku. Kamu menyombang besar dalam besar-ku. Juga buat sahabat yang seorang itu, yang maseh sering mau menggadaikan rasa persahabatan..]

Wednesday, September 10, 2008

~ APABILA KETAM MENGAJAR SI ANAK BERJALAN BETUL ~

Aku dipanggil en boss sekali lagi. Kali ini, dia membentangkan prestasi kerjaku sejak mula berkhidmat di sini awal April lalu. Prestasi ini kemudiannya akan diserahkan kepada bahagian sumber manusia dan mennetukan kedudukan aku seterusnya.

Aku membiarkan sahaja en boss ini memberi 'ceramah' itu dan ini. Banyak yang tidak betulnya daripada yang betul. Dia benar-benar mahu menunjukkan kuasanya sebagai en boss. Dia tidak sedar, kata-katanya itu seperti membuka pekungnya sendiri.

Arghh.. aku tidak peduli dengan apa sekali penilaian yang dibuatnya pun. Terpulang dia. Justeru, tidak perlu memuji-muji aku untuk mengambil hati. Aku bukannya orang yang makan dek puji. Justeru, ku kira dia tiak perlu membuang masanya yang begitu berharga itu dengan cara yang begini.

Apapun, terima kasih kerana mempercepatkan tarikh pengesahan jawatanku (walaupun ia tidak membantu untuk cuti pada aidilfitri nanti). Terima kasih juga kerana memandang aku dengan pandangan yang positif. Tetapi itu tidak bermakna aku juga melihatnya dengan pandangan yang positif juga. Sorry.

[Coba-lah men-jadi ketua yang di-senangi dan di-sayangi. Tidak ter-luak diri andai meletak kebaikan dibaris paling depan..]

Tuesday, September 09, 2008

~ ANAK-ANAK ISTIMEWA ~


Alhamdulillah. Hari ini aku mendapat kesempatan untuk berbuka puasa bersama kanak-kanak istimewa dari rumah SAYANG. !9 orang kesemuanya. Sungguh, aku benar-benar melihat mereka dengan penuh rasa manusia. Mendekati mereka buat pertama kalinya memberi pelajaran dan pengalaman yang baru buatku.

Sering sahaja aku mencuri2 pandangan untuk memerhati tingkah meraka daripada dekat. Gelagat mereka begitu mencuit hatiku. Sepanjang-panjangnya aku menguntum senyum. Senyum untuk mereka dan senyum untuk diriku sendiri. Benar, mereka sungguh istimewa. Begitu takdir yang diberikan kepada mereka. Dalam kesempatan yang sama juga, aku mengatur bual bersama ibu yang bertanggungjawab menguruskan rumah SAYANG ini. Menimbun cerita yang terbekal.

Ramai anak-anak ini ditinggalkan kerana ibu dan bapa tidak mahu menerima keistimewaan mereka. Malah aku tidak ditinggalkan pun, ramai antara mereka tidak mahu berdekat-dekat dengan anak ini. Malah, untuk berjalan beriringan sekali juga belum tentu. Alasannya MALU.

Yaaa.. itu yang dikatakan oleh ibu rumah SAYANG. Aku tekun mendengar baik. Apakah yang harus dimalukan? Bukankah itu darah daging mereka sendiri? Bukankah itu pemberian dari Tuhan?

Ermm... begitulah manusia dan kehidupan... Segalanya mahukan kesempurnaan sedangkan dirinya sendiri jauh berjuta-juta batu malah tiada ukuran tepat atau hampir tepat sekalipun untuk mengukur soal itu.

[Doa yang ter-baek buat anak-2 ini... kamu tetap istimewa..]

Monday, September 08, 2008

~ PENGESAHAN JAWATAN ~


Entah mana datangnya angin baik En boss, aku sendiri tidak tahu. Siang tadi, aku diminta untuk mengadapnya. Dia mahu mengesahkan jawatanku sebulan lebih awal daripada yang sepatutnya. Terkejut tentu sekali. Kenapa pula baik sangat dia setelah sebelum ini kelihatannya seperti mahu menekan sekali. Ermm...

Sebenarnya, sedikit pun tidak dengan rasa teruja. Aku sudah tawar hati untuk bekerja terus dengan rasa hati yang indah-indah di sini. Pun begitu, tanggungjawab dan amanah tetap terlaksanakan. Aku sendiri mahu melihat sejauh mana aku mampu untuk terus bertahana di bawah cengkaman ini.

[Mau men-chari senang dan tenang agar mampu ber-lena di-malam hari...]

Sunday, September 07, 2008

~ AKU NAMPAK BIRU ~

Entah apa kebetulannya apabila baju rayaku pada tahun ini semuanya berwarana biru tanpa dirancang. Selalunya aku akan memilih warna kegemaran, merah. Sama ada merah hitam, merah putih atau merah bagaimanapun. Namun, pada tahun ini, aku diberi amaran agar menukar warna kerana mereka sudah jemu melihat aku merah di aidilfitri. :)

Tahun ini aku memilih biru. Kebetulan ketika bersama-sama auntie Phia bulan lalu, dia mancadangkan aku dengan warna pilihannya. Cantik dan aku sukakannya. Namun, tanpa aku sangka, teman jiwa juga menghadiahkan kurung dengan warna yang sama. Juga menjadi kebetulan apabila sepasang kain yang dipilih ibu juga berwarna biru. Semunya biru.. ermm... Kenapa yeaa.. Ooh.. sungguh kebetulan.

[Mau men-chari kurong puteh-hitam...]