Thursday, August 14, 2008

~ MASIH TENTANG TEATER IBU ZAIN ~


Pengkisahan Ibu Zain dimulakan dengan kelahiran Ibu Zain yang diraikan dengan penuh kesyukuran. Kedua ibu bapa Ibu Zain mahukan anak lelaki, namun sudah ditakdirkan seorang puteri comel yang menjengah dunia. Ibu Zain semasa kecilnya lebih mesra dengan panggilan Nal oleh kedua ibu bapanya. Ia merupakan singkatan kepada nama Zainal Abidin. Nama yang telah disediakan kedua ibu bapanya sebelum kelahiran Ibu Zain. Ibu Zain ketika kecilnya suka berkawan dengan kawan-kawan lelaki dan begitu lasak sekali.

Perjalanan ceritanya disusun dengan cukup menarik sekali. Bagaimana pembangunan diri Ibu Zain yang pada awalnya seorang kanak-kanak yang begitu nakal dan aktif, kemudian membesar sebagai remaja yang bijak dan rajin, berdepan dengan cabaran besar ketika cuba dikristiankan oleh seorang mubaligh kristian, membuat jasa dengan memilih profesion perguruan untuk mendidik anak bangsa, menceburi bidang politik demi menuntut kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa.


Ibu Zain sarat dengan mesej dan pengajaran berguna buat anak bangsa. Dari soal adat dan pergaulan sehinggalah kepada pendidikan serta perjuangan kepada negara, bangsa dan agama. Betapa kentalnya semangat dan besarnya pergorbanan seorang wanita kecil yang jelas melihat masa depan anak-anak bangsanya. Besar pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita bernama Ibu Zain, namun malang sekali generasi hari ini tidak begitu mengenalnya, apatah lagi mahu mengahargainya sebagai tokoh terbilang. Justeru, pementasan teater ini menceritakan segala-galanya. Teater ini mahu memperkenalkan secara dekat siapa Ibu Zain sebenarnya. Bagaimana hidupnya diabdikan untuk anak bangsa melebihi kepentingan peribadinya. Rosminah Tahir dan anak-anak buah telah berjaya dalam misi itu. Sungguh aku kagumi kecekalan rasa pengarah yang cukup berkaliber ini

Bercakap soal pelakon, secara keseluruhannya sungguh aku mahu membuat tabik hormat kepada pendokong watak Ibu Zain ketika dewasanya, Liza Othman. Menurut pandanganku, dia benar-benar berjaya memberi gambaran tentang Ibu Zain. Seorang wanita yang lembut tetapi cukup tegas. Cekal dan berjiwa besar. Jika watak itu diberikan kepada pelakon lain, aku meragui kemampuannya akan menyamai atau mengatasi Liza Othman. Begitu kehebatan dia. Ternyata percaturan Puan Rosminah Tahir memilih Liza Othman sebagai Ibu Zain dewasa amat tepat sekali.

Suka juga aku nyatakan di sini penampilan Dato Rahim Razali sebagai Munshi Sulaiman iaitu bapa kepada Ibu Zain amat bersesuaian sekali. Sewaktu pementasan berlangsung, aku seperti mahu menulis sahaja semua dialog yang dituturkan Dato Rahim... Betapa ia terkesan pada pendengaran dan akalku. ermm..

Selain watak-watak utamanya, aku juga dengan penuh bangga mengucapkan tahniah kepada pelakon-pelakon pembantu yang sangat cemerlang itu. Khasnya kepada tiga cikgu yang begitu melekat aku dengan tawa yang panjang setiap kali kemunculan mereka. Ini juga antara tarikan yang baik ku kira. Sekurang-kurangnya, tidaklah kita terlalu serius menumpu kepada jalan cerita.

Dari segi nyanyian, kalau tidak aku sebutkan pun, pastinya semua orang tahu bagaimana cemerlangnya Nur Fatimah melantun kan suaranya. Paling terkesan lagu ketika babak Ibu Zain difitnah sebelum berangkat ke Mekah. Sekali mendengar, terus lekat di ingatan. Begitulah kuatnya lagu yang dicipta oleh saudara Nik Nizam Jaafar yang juga bertindak sebagai Pengarah Muzik dalam pementasan ini. Sungguh suara pelakon lain tidak sehebat Nur Fatimah, namun mereka tetapi melagukan lirik yang diberikan dengan cara mereka sendiri. Ada yang bunyinya seperti bercerita, berlawak, berdondang sayang, berpantun dan sebagainya. Ia disampaikan dengan cara yang cukup kreatif sekali. Apa yang penting, mesej dan cerita dalam lagu tersebut difahami dan sampai kepada penonton.

Gerak tari dan pergerakan yang berlaku di atas pentas juga amat menarik perhatian. Semuanya senada dan seirama. Malah kawad askar Jepun juga begitu menarik dilihat apabila keselarian dan ketepatan pergerakan begitu dititikberatkan oleh koreografer tarinya, Sharip Zainal. Jauh sekali bezanya dengan kawad berterabur dalam teater patriot yang lalu (mohon maaf kerana aku terpaksa menyebut dan membuat perbandingan begitu).

Set pentas untuk teater muzikal Ibu Zain ini agak sederhana. Mungkin terbatas dek bajet dan peruntukan barangkali. Tentu sekali tidak segah set pentas untuk teater Muzikal P. Ramlee 3 bulan lalu. Namun dengan set yang minima itu, ia sedikit pun tidak mencacatkan jalan cerita teater ini.

Secara keseluruhannya, teater muzikal Ibu Zain ini mencapai objektif pementasananya. Aku berikan 4.5 dari 5 bintang. Antara babak-babak yang dipaparkan, aku tertarik sekali dengan satu babak yang memaparkan penyeksaan askar Jepun kepada rakyat Tanah Melayu ketika itu. Betapa jelas penderitaan yang dilalui oleh datuk moyang kita ketika itu. Ia dipertontonkan dengan cukup berkesan sekali. Aku senyap terdiam dan hampir sahaja menitiskan air mata melihat babak seorang gadis ditarik dengan rakus dan kasar oleh askar Jepun. Babak itu begitu hidup seakan aku berada di dalam situasi kejadian. Tahniah untuk seluruh pelakonnya.

Mengarah satu teater sejarah dan bersifat patriotik yang begini, tentu sahaja tidak berlangsung dengan mudah. Rosminah Tahir sejak bermula proses pengkajian, latihan dan seterusnya pementasan sangat mencabar dan tercabar. Bukan mudah. Namun, di sebalik kerja kerasnya tanpa mengenal lelah itu, dedikasinya untuk tokoh tersohor dan idola sepanjang zaman ini, Ibu Zain ternyata tidak sia-sia. Dia cemerlang di situ. Rosminah tidak pernah mengecewakan. Aku sukakan teater muzikal Lantai T. Pinkie, Nyonya, Bukan Dejavu dan banyak lagi karya sentuhannya. Mudah-mudahan dia terus cemerlang pada masa akan datang.

Pun begitu, lazim yang kita fahami. Bagaimana bagusnya sesuatu karya itu, kalau ia bertemakan sejarah dan patriotik, sambutan yang diberikan orang ramai, tidaklah begitu memberangsangkan. Kali pertama aku menonton, kerusi banyak yang kosong. Kali kedua aku ke sana juga, situasi serupa yang berlaku. Sungguh aku kecewa banyak. Itu kecewa aku, bagaimana pula dengan kecewa sang pengarah, pelakon dan seluruh team produksi yaa.. Ermmm..

Justeru, aku berharap agar kamu di luar sana, mencuri sedikit masa untuk ke panggung Sari, Istana Budaya untuk menonton pengkisahan Ibu terunggul, Ibu Zain. Percayalah, ada sesuatu yang bakal kamu bawa pulang nanti.

Lakonan yang paling cemerlang :
Liza Othman @ Ibu Zain
Nyanyian yang paling enak di telinga :
Nur Fatimah
Babak yang paling mengesankan :
Zaman Pemerintahan Jepun
Ketawa yang paling mencuit hati :
Tiga Cikgu yang bercerita tentang anugerah yang diperolehi Ibu Zain
Dialog yang paling membekas :
"Ya Tuhanku, janganlah digerakkan anggota badanku zahir dan batin
melainkan yang Engkau dan Nabi Muhamad redhakan, ibu bapakan redhakan..."


[Me-minjam se-suatu yang baek untok diri... usah ber-kira soal RM yang tidak se-berapa itu..]

No comments: