Sunday, August 31, 2008

~ SELAMAT MENYAMBUT 1 RAMADHAN ~



Esok, seluruh umat Islam di dunia menyambut 1 Ramadhan. Menunaikan rukun Islam ketiga yakni menjalani ibadah puasa. Alhamdulillah, aku masih bernafas di bumi Tuhan sekaligus punya kesempatan untuk menikmati Ramadhan untuk tahun kesekiannya.

Apa yang aku harapkan agar Ramadhan kali ini lebih memberi makna buat aku juga keluarga. Semoga lebih diberkati dan diterima ibadah yang dilakukan kami.

Juga aku mengharapkan agar segala tingkah, bahasa mahupun tutur kataku yang memberi singgung kepada mereka yang mengenali, sahabat terutamanya, jujur aku mohon ampun. Izinkan aku menjalani Ramadhan kali ni dengan hati yang sebersihnya. Amin.

[Teman jhewa juga mau memenuhkan puasa.. :)]

~ WARISAN ~


WARISAN

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintis sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan Maha Perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara

[Tanahair ter-chenta... keamanan dan keharmonian di-damba..)

~ PERPADUAN TERAS KEJAYAAN ~



31 OGOS
by sudirman hj arshad


Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-51 kepada tanahair tercinta, Malaysiaku. Mudah-mudahan Malaysiaku terbilang di mana sahaja, aman makmur dan harmoni hendaknya. Aminnn...

[mau merdeka dengan mereka yang berada di-sekeliling-ku]

Saturday, August 30, 2008

~ MENGIRA DETIK 12 MERDEKA ~

Hasrat untuk pulang ke kampung mengisi cuti sempena hari kemerdekaan dan menyambut 1 Ramadhan bersama keluarga tidak kesampaian. Aku terikat dengan urus pekerjaan dan tidak membolehkan aku melepas tangan. Kecewa tentunya, namun apa pilihan yang ada? Justeru, aku hanya mampu menyampaikan salam rindu buat ibu melalui kakak yang bercuti sehingga selasa ini. Tambah membuat resah, adik menyampai khabar ibu masih demam sejak isnin lalu. Ermm..

Teman jiwa membuat damping. Lazim selalu, kami akan menghabiskan sedikit masa untuk meraikan sambutan hari kemerdekaan. Pun begitu, bukan berada di konsert atau berasak-asak dengan ribuan manusia untuk menonton pertunjukan bunga api. Tentunya tidak pernah kami memilih begitu. Malah seingat aku, semenjak mula menjejakkan kaki ke bumi Kuala Lumpur ini, hanya sekali sahaja dalam umurku, aku ke Dataran Merdeka untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan negara. Ketika itu, aku dalam tahun pertama bergelar mahasiswi. Itupun kerana menyertai rakan-rakan yang separuh memaksa untuk ke Dataran Merdeka dengan alasan logik ketika itu. Sekali merasa pengalaman yang aku rasa sungguh mengharu-birukan itu, langsung aku memutus untuk tidak ke sana lagi atau ke mana-mana lokasi yang mengumpul ribuan manusia yang hanya memenuh keseronokan.

Seperti mana tahun lalu, aku dan teman jiwa menghabiskan masa di Bgsr. Meraikan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara bersama beberapa rakannya. Bukan meraikan apa sangatpun, sekadar duduk minum dan bertukar cerita sambil mengira detik 12 malam. Itu sahaja dan tidak lebih. Awal dulu, aku tidak begitu menyertai rakan-rakannya. Susah benar mahu menyesuaikan diri. Aku bukanlah orang yang begitu pandai membawa diri. Bukan seorang yang ramah mesra dan banyak cakapnya. Sementelah lagi, kami banyak berbeza, cara hidup tentunya. Namun, beberapa kali bertemu, aku dapat mengikut rentak. Nyatanya mereka begitu menghormati aku, walaupun jelas sekali aku bukan dalam kalangan dan status mereka.


Malam ini, kami tidak berlama-lama. 1 jam selepas mengira detik merdeka, teman jiwa menghantarku pulang. Awal pagi esok, dia harus ke bumi temasek atas urus pekerjaan. Ermm.. nampaknya, ahad dan isnin yang masih berbaki cutinya aku hanya akan menghabiskan masa di rumah sahaja. Tiada rancangan untuk ke mana-mana. Ini kerana awalnya, aku merancang untuk pulang ke kampung bersama kakak. Justeru, hal-hal lainnya aku ketepikan dalam jadualku. Tapi, itulah... lain dirancang, lain kejadiannya.

Apa yaa.. mahu diisi selama ahad dan isnin.. ermm..

[Teringin men-jamah 'spaghetti lipas' sebelom puasa..]

Friday, August 29, 2008

~ ORKESTRA SIMFONI REMAJA II ~





















(dari kiri : Encik Takahisa Ota, Puan Mayya Musaeva, Liu-Yi Retallick & penyanyi Tanggal 31)


Malam tadi, aku punya sedikit kesempatan untuk menikmati alunan gemersik Orkestra Simfoni Remaja ketika latihan akhir mereka untuk Konsert Klasikal di Panggung Sari, Istana Budaya yang bakal berlangsung malam ini dan esok.

Aku kira ini merupakan kali kedua aku punya kesempatan untuk menonton persembahan mereka yang dipimpin oleh konduktor Mayya Musaeva dan Takahisa Ota untuk tahun ini. Konsert pertama mereka yang pernah aku hadiri sekitar bulan april yang lalu, juga di tempat yang sama, Panggung Sari, Istana Budaya.

Dengan harga tiket yang hanya berharga RM10 adalah terlalu berpatutan dan berbaloi untuk mereka yang datang menonton. Duduklah selama kurang lebih 1 jam setengah untuk melapangkan fikiran dan perasaan dengan menikmati alunan muzik yang sungguh merangsang jiwa.

Sekali lagi, aku mereka mempersembahkan Beethoven, Simphony No. 5. Alunan yang paling aku gemari. Terpaku diam aku di kerusi empuk di Panggung Sari. Sepatahpun aku tidak berbicara dengan rakan yang meneman di sebelah kerana leka membuat tumpu. Selain itu, lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian asal daripada Allahyarham Sudirman juga berkumandang. Lagu berjiwa besar ini di sampaikan oleh seorang remaja bukan warganegara kita. Aku kurang pasti namanya, tetapi kalau tidak salah dengar, dia merupakan anak lelaki konduktor orkestra, Puan Mayya Musaeva (Mohon kemaafan jika ia tidak benar).

Ingin juga aku sebutkan di sini, aku benar-benar tertarik dengan persembahan ketua atau master orkestra ini, adik Liu-Yi Retallick. Sejak menonton persembahan pertama April lalu, aku sudah tertarik engan gaya dan geseka violinnya. Malah, ketika itu aku juga sempat menemuinya selepas berakhir persembahan untuk memberi ucap tahniah. Malam ini, dia masih meminpin rakan-rakannya yang lain. Menariknya kali, ini dia membuat persembahan solo. Yaa.. rupa-rupanya bukan aku sahaja yang menyedari betapa hebatnya dia menggesek violinnya. Tahniah! Mudah-mudahan suatu hari nanti, dia menjadi sehebat Vanessa Mae.

Terima kasih untuk seorang rakan ini yang sudi menemankan aku menonton persembahan ini. Persembahan yang bukan dalam genre rakan-rakanku yang lain dan tidak pernah mahu menyertai aku untuk menonton persembahan begini.

[Kalau-lah ada satu konsert orkestra yang melagu-kan lagu-2 Allayraham P. Ramlee dan Sudirman, alangkah bagus-nya...]

~ APABILA TIDAK BERKAT ~

Hari ini, aku menggunakan pekhidmatan teksi sebanyak 5 kali. Seawal pagi ketika memulakan hari sehinggalah petang tadi. Apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah hal dan karenah pemandu teksi yang sungguh menjengkelkan aku.

Sebanyak 5 kali aku turun-naik teksi pada hari ini, hanya teksi yang terakhir sahaja yang memulangkan wang bakiku. Empat buah teksi yang sebelumnya itu memberi pelbagai helah untuk tidak memulangkan wang baki. Bukan setakat 10-20 sen tetapi ada yang RM1-2. Alasannya tiada duit kecil, mintak ehsan kerana jalan jam dan ada pulak yang buat selamba dan pura-pura sibuk dengan hal lain kerana tidak mahu memulangkan wang baki.

Aku pula jenis yang tidak mahu bersoal banyak. Bukan kerana banyak sangat wang ringgit sehinggakan tidak kisahkan pulangan baki, tetapi memangnya aku orangnya malas mahu bersoal panjang. Dalam apa jua perkara sekalipun. Itu sikap 'kurang cerdik' yang ada padaku.

Apapun, tidakkah mereka sedar, sikap dan helah begitu tidak ubah seperti mencuri wang orang lain yang tentunya tidak akan membawa berkat kepada rezeki yang diperolehi itu. Aku bukan sahaja bercakap untuk pemandu teksi Islam/Melayu tetapi juga untuk yang berbangsa selainnya. Memperolehi wang secara tidak betul akan akhirnya membawa kehilangan wang secara tidak betul juga. Harus ingat itu.

[Men-cari yang halal dalam apa jua hal dan per-lakuan sekali-pon]

Thursday, August 28, 2008

~ MASIH ~


RAKAN : Ehh… lama tak jumpa A. Kim salam kat dia.
AKU : Urmm..
RAKAN : Jom ajak dia keluar minum nak, sebelum puasa… char kuetiaw ker..
AKU : Urmm..
RAKAN : Ehh.. call laa dia.. Tanya dia free tak. (menunggu aku memberikan jawapan)
AKU : Tak naklah.
RAKAN : Ehh.. ehhh…
AKU : (meneruskan tumpuan kepada skrin computer)
RAKAN : Korang gaduh lagi kerrr… (ketawa)
RAKAN : Apa nak jadilaa korang ni, asik gaduh je. Kawan baik sangat.
RAKAN : Kawan-kawan tak mau lawan laa
RAKAN : Kali ni, ape kesnya pulak?

AKU : Mana ada!

Yaa… sudah menjengah beberapa minggu salah faham antara aku dan seorang sahabat itu berlangsung (hampir aku terlupa tentang itu). Penat. Yaa.. aku sudah penat. Namun, pertanyaan dari rakan itu menyebabkan aku membuat fikir.

[Apa-bila harga itu tidak ter-mampu di-beli sang jutawan sekali-pon]

Wednesday, August 27, 2008

~ MARAH YANG BERAT ~


Aku sangat-sangat tertekan dengan urusan pekerjaan hari ini. Tingkah dan lagak kering hati en boss betul-betul membuat aku marah. Cuba kalau dia yang berada di kasutku.. ermm..

Ketika sibuk menghabiskan kerja-kerja akhir dalam keadaan yang penuh kelam-kabut, dia menambah beban. Sungguh tidak bersetuju dengan en boss, aku tetap mengangguk. Tentu sahaja aku tidak punya pilihan yang lain. Aku menerima tugasan baru.

Seketika aku melarikan diri dari ruang legar. Keluar beberapa minit dari suasana di situ untuk menarik nafas panjang. Benar, aku berada dalam keadaan yang marah yang teramat sangat. Justeru, aku perlu menenangkan diri sendiri. Kalau masih berdiri di situ, tentu sahaja aku akan menangis sakit hati. ermmm..

Kalau di tempat pekerjaan lama, tentu sahaja di belakang tangga sebelah lift yang menjadi tempat aku melepas perasaan. Malah, kalau tangga-tangga itu mampu bercerita, sudah tentu mampu dibukukan kisah diri yang disaksikanya dari aku.

[Sekali lagi aku mau menitip-kan pesan yang sama : "Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." - Khalifah Abdul Malik bin Marwan]

~ APAKAH KITA SUDAH TIDAK MERDEKA LAGI ~


WARISAN
by sudirman

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan


Hanya 5 hari lagi, kita akan menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51. Namun, sehingga saat ini sambutannnya langsung tidak dirasai. Malah tiada kempen mengibarkan bendera, tiada aktiviti sasar sempena sambutan itu dan tiada rasa apa-apa yang berlaku pada tarikh besar itu.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sebulan sebelum tiba 31 Ogos, semua orang sudah sibuk mahu mengibarkan bendera dengan bangganya, merancang aktiviti itu dan ini. Namun, kali ini ia sepi sesepinya. Rasa itu aku suarakan kepada dua orang rakan pada waktu yang berbeza-beza. Mereka memberikan jawapan yang sama, politik negera.

Suasana itu terkait dengan rasa protes rakyat terhadap pucuk pimpinan yang memerintah negara. Kata mereka perlu apa meraikan hari kemerdekaan jika keadaan mereka saat ini seperti hidup di zaman penjajah layaknya. Itu kata mereka.. mengikut pandangan luhur dua rakan tadi.

Aku menopang dagu. Sengaja tidak mahu memberikan sebarang pendapat juga reaksi. Sekdar meneruskan kembali pandangan kosong kepada jalan raya yang kosong tanpa kibaran bendera seperti lazim selalu. Dan sepanjang-panjang perjalanan kami juga, tiada satu keretapun yang mengibarkan jalur gemilang... ermmm..

[Sunggoh, jasa-mu ter-kenang wahai pemimpin-pemimpin bangsa..]

Tuesday, August 26, 2008

~ HATI YANG RAPUH ~


HATI YANG RAPUH
by rahimah rahim

Di hati kulakarkan sebuah impian
Yang aku namakan harapan
Apabila kutentukan arah serta tujuan
Rela kuhadapi cabaran

Jalan ke puncak itu beronak dan berliku
Menyukarkan pendakianku
Namun tetap kugagahi hati yang rapuh ini
Demi hasrat yang suci

Aku sangkakan harapan selembut impian
Yang menguliti tidur insan
Kiranya kehidupan tidak sedemikian
Goyah hatiku oleh kenyataan

Tak harus kuturuti kelemahan diri
Tak daya bertahan diuji
Lalu aku mengumpulkan semula kekuatan
Berlandaskan keimanan...

[Membuat kuat sungguh sedar terlalu rapuh yang ada di dalam..]

Monday, August 25, 2008

~ MEMBUAT JEJAK KE ULU LANGAT ~


Kerana janji, aku memenuhi permintaan seorang rakan untuk menyertainya ke Ulu Langat. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Sebelum ini kerap juga mendengar tentang keindahan kampung-kampung di sekitar kawasan sini.

Jam 6 petang, kami tiba di sana. Perjalanan ke sana umpama perjalanan pulang ke kampungku. Terkenang pula segala yang ada di kampung laman. Rindu. Rindu bergunung buat ibu dan buat semua yang lama tidak aku kunjungi.

Sempat juga aku membeli buah rambai yang kelihatan banyak dijual di sepanjang jalan. Kalau di kampung, buah rambai ini mungkin tiada nilainya. Bukan semua orang yang sukakan rambai kerana rasanya yang masam.

Kalau di kampung, ibu suka menggunakan kulit buah rambai ini untuk dijadikan sayur lemak. Enak sekali jika di makan dengan nasi panas. Ia menjadi makanan kegemaran kami sekeluarga. Bunyinya seperti pelik, tapi itulah nostalgianya.

Sesampai di sana, aku cuba bertanyakan arah jalan kepada seorang makcik ini kelihatannya sedang menunggu bas di tepi jalan. Rupa-rupanya tempat yang dicari kami itu adalah satu arah dengan laluannya. Makcik ini mohon agar kami menumpangkan dia sekali kerana telah lama dia menunggu bas di situ yang mengikut jadualnya bas tersebut hanya akan ada dalam tempoh 2 jam sekali. Errmm.. 2 jam sekali.. Bagaimana agaknya mereka ini membuat urusan untuk ke bandar yaa.

Entah di mana kebetulannya, di sini aku bertemu dengan seorang rakan lama. Hampir setahun aku tidak bertemunya. Dia sendiri terkejut melihat kelibat aku di situ dan berkali-kali memberitahu kepada rakan yang bersamaku bahawa kami lama terputus hubungan. Sudahnya kami mengatur bual yang panjang sekali. Bertanya khabar tentunya, juga sempat terkongsi soal peribadi.

Berada di Ulu langat sehingga jam 11.30 malam. Penat. Pulang ke rumah, aku perlu menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh kerana aku meminjamkan beberapa jam untuk berada di sini. Walau lelah bagaimana sekalipun, aku perlu menyiapkan segala kerja itu untuk dihantar ke meja En boss pada keesokan paginya. ermm... tentu juga aku perlu bangun memulakan hari seawal jam 5 pagi juga.

Justeru, aku membuat putus untuk berjaga sahaja sepanjang malm ini... ermm..

[Mahu mencuri kelapangan untuk ke Tanjung Karang. Rindu.]

Sunday, August 24, 2008

~ TIGA CERITA BERBEZA ~


Aku membuat sedikit luang bersama dua orang rakan ini. Pada waktu dan ketika yang berbeza, dengan isi dan cerita yang juga berbeza. Namun, ia bertemu di titik yang serupa, persahabatan yang membuat resah.

CERITA 1

Malam tadi, aku bersama AA. Kami mengatur bual tentang banyak perkara di sepanjang perjalanan yang berdepan kesesakan jalanraya yang begitu berat sekali. Dari hal-hal yang remeh sehinggalah hal yang dia sifatkan sebagai berat dan menggelisah dirinya. Ia berkait sahabat dekatnya yang gemar berkongsi tentang soal yang dia rasakan tidak perlu terhebah untuk lebih 8 orang. Dia tidak mahu membuat sangka, namun laku yang diurus oleh sahabatnya membuat dia turut terpandang serong. Malah, aku juga hampir memandang begitu. Mujur juga cepat mengenali rakan ini secara dekat dan jelas.

Adunya kepadaku, dia tidak mahu membuat hati sahabat itu tersinggung. Namun, dalam masa yang sama dia mahu memberitahu kepada sahabat itu, banyak perkara yang tidak dia setujui dilakukan oleh sahabat itu. Malah, seminggu yang lepas mereka berdepan sedikit selisih faham. Justeru, kelat mengisi senyum. Tidak pula aku menyedari tentang hal itu walaupun aku kerap bertemu rakan ini pada beberapa hari lepas. Sungguh bukan berpunca dia, demi menjaga persahabatan, rakan ini mengalah dan membuat pujuk dengan penuh harap mahu membuat pulih. Yaa.. setelah tiga hari berlalu, yang keruh kembali jernih. Jernih setelah sarat usaha yang dikendong.

Persoalannya kata rakan ini, sampai bila dia harus terusan mengalah begitu sedangkan dia juga punya hati dan perasaan. Bagaimana pula mahu dia menahan sahabat dekatnya itu daripada terus berkongsi ceritanya tentang dirinya kepada lebih 8 orang itu? Berterus-terang tidak semudah kata kerana sahabatnya itu berjiwa sensitif yang tegar sekali. Ermm....

Cerita 2

Baru beberapa jam tadi, aku punya kesempatan untuk duduk mendengar cerita seorang rakan ini, SR. Sungguh aku tidak dapat membantunya, dia mahu aku mendengar yang terluah dari perasaannya. Beberapa minit dia meluncurkan cerita tanpa sedikit di celah olehku. Cerita kecil hati dan tersinggung perasaan dek laku seorang sahabat juga.

Katanya, dia ada membuat sedikit salah. Salah yang begitu kecil dan bukan menjadi perkara yang perlu kepada hukuman barangkali. Namun, dek kerana salah yang sedikit itu, hampir sebulan dia dijauhi dan dipermainkan. Justeru, sempena Ramadhan yang mahu mengganti Syaaban ini, dia mahu membuat pulih. Beberapa hari lalu, dia cuba mengatur masa untuk duduk berbincang dan membuat tutur tentang persoalan berat yang sedang dilalui mereka. Malang sekali, si sahabat membuat acuh tidak acuh kepada usahanya itu.

Seawal pagi tadi, dia membuat permohonan maaf yang panjang dan penuh rasmi. Lagak seorang pecinta yang mahu melamar sang kekasihnya jadinya. Katanya, dia tiada pilihan. Lalu, biarlah prinsip dan air mukanya yang menjadi taruhan, dia sanggup. Kerana apa? Kerana sebuah persahabatan. Nilai sebuah persahabatan yang pernah dijalin erat dengan sahabatnya itu.

Yang membuat hatinya terguris pedih, apabila sahabat itu tidak langsung melihat apa yang dilakukan dia kerana mahu terus menghukum. Kecewa bukan kepalang. Apa lagi yang mampu dilakukan dia? Perlu lagikah dia membuat usaha yang menyakitkan dirinya sendiri?

Aku diam. Aku tidak punya pendapat yang besar untuk dikongsikan dengannya. Ini kerana aku mengenali baik dirinya, juga sahabat yang dimaksudkan di dalam cerita itu. Tersilap bahasa yang aku tuturkan, maka terpesonglah segala rasional yang diniatkan. Justeru itu, aku begitu berhati-hati membuat tutur.

Cerita 3

Di luar tahu mereka, aku juga punya cerita yang menyesakkan tentang persahabatan. Cerita tentang seorang sahabat yang sering menyimpan sangka yang berat kepadaku. Tutur dan lagaknya seperti aku ini tidak punya guna langsung sebagai sahabatnya. Kalau benar dia mengenal aku sebagai sahabat, pasti sahaja dia akan fikirkan kembali apa yang digerak dan dihamburkan kepadaku.

Namun, sehingga hari ini aku tidak fikir sahabat itu berfikir kembali tentang itu. Malah, dia sentiasa betul dengan jalannya. Aku cukup mengenal dia sepanjang kami dalam persahabatan. Malang sekali, dia tidak pernah mengenal aku dalam tempoh itu.

Itulah kehidupan bukan? Asam garam kehidupan yang harus kita lalui dengan hati yang besar dan cekal. Terkutip pelajaran yang baik untuk setiap hari dan peristiwa yang dilalui itu. Justeru, usah berkecil hati dengan ombak yang datang membadai. Ermm..

[Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat" - Khalifah Abdul Malik bin Marwan]

Saturday, August 23, 2008

~ BERKONGSI BEETHOVEN ~


Hari yang cukup menyeronokkan. Membuat damping bersama teman jiwa. Menariknya, hari ini aku diperkenalkan dengan seseorang. Seseorang merupakan kenalan kepada kenalan teman jiwa. Pemain violin yang tersohor ditempatnya. Banyak yang terkongsi hari ini. Rupa-rupanya dia juga penggemar berat kepada Beethoven dan berkongsi Simphony No. 5. Tidak cukup dengan itu, dia juga memperkenalkan aku dengan beberapa lagi nama dalam aliran yang serupa.

Aku cukup menyenanginya. Sungguh punya nama dan kedudukan, dia tetap seorang yang merendah diri. Tebal dengan rasa hormat terhadap orang lain. Cara dia mengatur bual denganku, cara dia menyapa orang disekelilingnya, cara dia membawa diri dan segalanya tentang dia sangat membuat senang. Dia berjanji untuk menghadiahkan aku 1 CD yang merakam secara live gesekan violinnya suatu masa nanti. Yaa... aku dahului dengan rasa besar hati dan terima kasih.

[Men-cari kompilasi ter-unggol Nina Simone..]

Friday, August 22, 2008

~ KU MOHON KASIH ~

(Cetakan pertama - 2008)

TAJUK : Ku Mohon Kasih
PENULIS : Haiza Najwa
PENERBIT :
Alaf 21
HALAMAN :
535 Muka surat
HARGA :
RM19.90

“Jika cinta itu suci, mengapa mesti ada insan yang akan terluka?
Dan jika kasih itu abadi, pohonlah agar ia terus bersemi..”

AZRUL ROZAIMY atau ROY berdepan jua dengan Ayuni setelah lima tahun peristiwa dia telanjur menodai gadis itu. Dia tidak menyangka Ayuni mengalami tekanan jiwa akibat peristiwa itu. Lebih menyedihkan apabila mengetahui bahawa keterlanjurannya menyebabkan Putra lahir ke dunia. Dengan menyamar sebagai Mi dan mengubah penampilan diri, dia mengahwini Ayuni.

[Tidak se-mudah perkataan mahap..]

Thursday, August 21, 2008

~ MENCARI LUANG ~

Seorang rakan menghubungiku. Beriya-iya mempelawaku agar meluangkan sedikit masa untuk menghirup secawan coffee bersamanya sebelum masuk bulan Ramadhan kurang lebih dalam dua minggu lagi. Yaa.. aku juga mahu mempelawanya hal yang serupa. Lama tidak berduduk-duduk menutur bual panjang dengan rakan yang seorang ini.

Menjengah Ramadhan nanti, tentu sahaja tidak akan ada kesempatan yang begini lantaran kesibukan dengan banyak hal yang berbeza. Justeru, aku akan mencari waktu untuk rakan yang seorang ini. Malah, jika punya kesempatan aku juga mahu melakukan hal yang serupa dengan sahabat-sahabat lainnya.

[Mau men-jamah spaghetti yang tidak masam..]

Wednesday, August 20, 2008

~ KAUNTER OH KAUNTER ~

Was-was... itu penyakit yang aku alami tatkala mahu membuat pembayaran bil melalui online atau apa sahaja cara yang lain selain daripada kaunter. Justeru, pada setiap bulan, aku akan memperuntukan waktu tertentu untuk menyelesaikan urusan pembayaran kereta, pinjaman pelajaran, bil telefon, perkhidmatan streamyx dan lain-lain urusan pembayaran di kaunter-kaunter yang disediakan. Malah aku juga hanya akan membeli tiket wayang, teater dan lain-lain di kaunter sahaja.

Biarpun terpaksa mengambil masa yang lama, beratur dengan barisan yang cukup panjang dan bersesak-sesak dengan segala macam manusia, aku rela. Sungguhpun aku boleh melakukan segala urusan itu melalui perkhidmatan maybank2u juga, aku tidak memilihnya.

Kenapa? Aku punya penyakit was-was dan kurang yakin apabila aku tidak menggunakan kaunter pembayaran. Pasti sahaja aku tidak akan senang duduk dan memikirkan kalau-kalau pembayaran yang dibuat itu (online, mesin dll) mempunyai masalah. Tiba-tiba kereta ku ditarik, telefon di sekat, perkhidmatan streamyx dihentikan atau tiba-tiba mendapat surat saman daripada JPA berkenaan pinjaman pelajaran. Ermm... bunyinya seperti lucu dan mungkin juga 'kurang cerdik' juga pada pendengaran dan penerimaan orang lain. Namun, itulah aku.

Semalam, ada seorang rakan yang mahu membantu aku mengatasi masalah ini. Dia memaksa aku membuat pembayaran kereta melalui mesin cash deposit. Beberapa kali aku menolak dan beberapa kali jugalah dia mendesak. Malah dia sengaja menlengah-lengahkan waktu agar waktu operasi kaunter tamat dan aku terpaksa membayar di mesin cash deposit. Ya aku tiada pilihan melainkan membayarkan di mesin tersebut setelah jarum jam menunjukkan ke angka 5 petang.

Beberapa ketika selepas itu, aku diamuk resah yang panjang. Serba tidak kena. Malah langsung tidak dapat memberi tumpu kepada urusan selepas itu. Pelik. Yaa.. barangkali untuk kamu begitu. Tetapi itulah yang aku lalui. Ermm..

[Bukan kerana kurang cherdek]

~ 20.08.2008 ~

(kredit foto : filem i'm not single)


Sebagaimana tarikh 08.08.08 dianggap istimewa dan menjadi rebutan untuk merakam peristiswa bersejarah, begitu juga dengan tarikh hari ini, 20.08.2008.

Teman jiwa berharap aku dapat menemankannya untuk melihat satu rakaman peristiwa menarik yang berlangsung pada malam nanti. Awal-awal lagi dia sudah 'menempah' jadualku. Mulanya aku bersetuju kerana keperluan itu selepas waktu bekerja.

Malangnya petang semalam juga, aku diarahkan ketua untuk menghadiri satu majlis berkaitan urusan pekerjaan pada sebelah petang dan malamnya. Ermm.... bagaimana yaa. Tentu sekali aku tidak boleh menolak arahan yang diberikan itu kecuali bersebab dengan alasan atau bukti yang kukuh.

Masih sedang berkira-kira bagaimana mahu membuat penjelasan ini kepada lelaki kesayangan yang seorang itu... Hal-hal kecil begini sejak kebelakangan ini kerap menjadi sebab untuk dia membuat rajuk. eermm..

[Bukan me-mungkir janji, namun apa pilehan yang ada..]

Tuesday, August 19, 2008

~ TAKDIR CINTA ~


TAKDIR CINTA
by rossa

Ku tutup mataku
Dari semua pandanganku
Bila melihat matamu
Ku yakin ada cinta

Ketulusan hati yang mengulir lembut
Penguasa alam tolonglah pegangi aku
Biar ku tak jatuh pada sumur dosa
Yang terkutuk dan menyesatkan cintaku

Andaikan ku bisa lebih adil
Pada cinta kau dan dia
Aku bukan Nabi yang bisa sempurna
Ku tak luput dari dosa

Biarlah ku hidup seperti ini
Takdir cinta harus begini
Ada kau dan dia bukan ku yang mau
Oh Tuhan tuntunlah hatiku

Penguasa alam tolonglah pegangi aku
Biar ku tak jatuh pada sumur dosa
Yang terkutuk dan menyesatkan cintaku

[Takder yg penoh kebetolan..]

Monday, August 18, 2008

~ HANYA KERANA SEBAB ~


Aku kerap memilih persahabatan sebagai yang pertama. Justeru, apa sahaja yang perlu dipertahankan untuk hal itu, akan aku pertahankan. Malang sekali, aku tidak menerima yang serupa begitu dari mereka yang bergelar sahabat. Hari ini aku menyaksikan lagi kepincangan. Terasa diri dipergunakan. Terasa kesempatan telah diambil ke atasku atau lebih tepat lagi ke atas persahabatanku. Kenapa ya? Berpunca aku? Yaaa.. barangkali aku... kerana aku tidak pernah berubah dalam persahabatan. Sepatutnya sahabat-sahabatku tahu tentang itu.

[Bila ber-kawan hanya karena kepentingan.... ermm.. tragis!]

Sunday, August 17, 2008

~ MAHA 2008 ~


Punya sedikit kelapangan untuk berkunjung ke tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Pelbagai pameran dan gerai disediakan untuk untuk kunjungan orang ramai dari Dewan A, B dan C. Tidak ketinggalan juga pelbagai gerai makanan dan buah-buahan di tapak lokasi yang begitu meriah sekali.

Untuk kamu yang masih belum punya kesempatan, carilah sedikit keluangan. MAHA akan berlangsung sehingga 23 Ogos depan (sabtu).

[Men-jejak sa-orang teman di-tapak MAHA. Tidak ter-lehat kelibat dia..]

Saturday, August 16, 2008

~ SEPI LAGI SEPI ~


SEPI LAGI SEPI

Segumpal riuh yang pergi tinggallah sepi
Sunyi sepi kehilangan suara-suara
Jalan lengang tidak berkereta
Ombak berhenti beralun
Angin kaku tidak menderu
Ributpun mogok
Burung tidak berkicau
Katak di lopak tidak berteriak
Ayam tidak berkokok
Tukang besi patah tukul
Gendang pecah pemukul hilang
Kompang tergantung di dinding
Radio hilang muzik
Sepi sanggup membuang bunyi
Ketika melayan tenangnya hati

(Hasil Nukilan : Khadijah Hashim - petikan dari Buku Dua Dimensi)

[Sepi tidak lagi indah seperti selalu... barangkali. Yaaa barangkali...]

~ DUA DIMENSI KHADIJAH HASHIM ~


TAJUK :
Dua Dimensi
PENULIS :
Khadijah Hashim
TERBITAN :
K Publishing Sdn Bhd
HALAMAN :
182 Muka Surat
HARGA :
RM49.00

Khadijah Hashim lebih dikenali menerusi penulisan cerpen dan novel. Namun, kali ini beliau tampil dengan sebuah buku yang menghimpunkan koleksi sajak dan lukisan. Dua Dimensi Khadijah Hashim memuatkan sajak-sajak yang pernah tersiar dalam pelbagai akhbar dan amjalah serta beberapa sajak baru. Dalam lukisan pula, beliau menggunakan dua medium iaitu berus Cina dan pastel. Ada antara lukisan-lukisan tersebut pernah dipamerkan semasa pameran solonya yang bertajuk Alam Bunga dan Wanita' pada tahun 11988 di Dewan Bahasa dan Pustaka.

[Maseh mem-bekas ingatan ter-hadap novel Badai Semalam]

Friday, August 15, 2008

~ LELAH TANPA SUARA ~


Untuk pertama kalinya sejak bergelar kakitangan di syarikat ini, aku tiba lewat di ruang pekerjaan. Sungguh jam menunjukkan jarum ke angka 7 pagi, aku masih lagi terpinga-pinga menunggu teksi untuk menumpang ke tempat pekerjaan. Malang pula apabila tiada satupun teksi yang mahu menumpangkan aku.

Beberapa minit selepas itu, ada sebuah teksi yang berhenti betul-betul di depanku. Aku mengurut nafas lega. Berusaha untuk mengejar masa agar tidak melanggar jarum jam lebih dari 8.30 pagi. Namun, tiba-tiba sahaja muncul seorang wanita yang entah dari mana datangnya, membuka pintu teksi tersebut tanpa mahu mempedulikan aku yang hanya beberapa saat di belakangnya. Ermm... tanpa sedikitpun ada rasa bersalah dengan sikap kurang sopannya itu, dia meluru terus sambil menutup pintu teksi. Sempat juga dia berpaling melihat aku yang terpaku di situ.

Dia telah membuat pagiku menjadi panas tiba-tiba. Akibantnya aku memulakan hari dengan sesuatu yang kurang manis apabila di dalam hatiku asyik meluah rasa marah dan geram kepadanya walapun tanpa suara. Hampir 50 minit aku menunggu di situ dengan penuh sabar dan mengikut keteraturan, dia yang tiba-tiba datang membuat kesempatan. Beginikah sikap penghuni bandar besar Kuala Lumpur yang tiada adab sopan dan rasa manusia kepada orang lain???? Mujur 15 minit kemudian, aku berjaya juga mendapatkan tumpangan.

Aku benar-benar terlambat ke tempat pekerjaan. Sesampai di depan pintu, aku melihat jarum jam tepat menunjuk ke angka 8.31 pagi. Bermakna aku terlewat seminit. Tempoh satu minit terlewat itu tidak membezakan aku terlewat setengah atau satu jam sekalipun. Peraturannya tetap sama. Aku perlu perlu membuat perjelasan bertulis tentang kelewatan itu dan kemudiannya memerlukan tandatangan dua orang yang lebih besar pangkatnya daripadaku sebagai tanda sokongan. Sekali lagi aku memarahi diri sendiri dengan situasi itu.

Insiden pagi hari ini telah membuatkan mood hari ini berbaur marah dan kesal. Semakin lama aku bekerja di sini, aku semakin memahami rentak dan permainan majikan yang terlalu memerah keringat dan dan terlalu nipis dengan sikap timbang rasa itu. Aku bosan dan mula berasa tiada keikhlasan dalam pekerjaan. Jangan salahkan aku kerana mereka yang memprkenalkan ajaran itu kepadaku... ermmm...

Petangnya, aku mengambil 2 jam lebih awal untuk menamatkan waktu pekerjaan. Tiada gunanya aku memaksa supaya diri supaya membuat senyum sedangkan hakikatnya aku tidak dapat melakukan begitu. Seorang rakan menemankan aku menghirup secawan coffee. Lama aku melepas bual di situ. Sungguh dia tidak menghidu rasa sugul yang banyak dalam diri, namun kesanggupannya meluangkan masa dari jam enam sehingga 11 malam itu, sudah cukup menyenangkan aku. Merasa guna sahabat itu... ermmm.. terima kasih ya.

[Telah lari seorang sahabat yang gemar meneman aku menghirup secawan coffee..]

Thursday, August 14, 2008

~ YANG BARU ~


Rupa baru untuk merakamkan suatu yang baru. Mudah-mudahan ia juga akan memberikan hasil yang baru kepada suasana yang baru kepada objek yang baru. Untuk aku yang juga mahu menjadi baru. Baru-baru semuanya... Yaaa.. yang baru-baru sahaja.

[Memileh yang baharu bukan ber-arti mem-buang yang lama... guna-nya tetap pada dudok-nya. Tidak-kan berobah]

~ NAN SETITIK JADIKAN LAUT ~


NAN SETITIK JADIKAN LAUT

Pesan ayahanda pesan keramat
Walau di amna ku akan ingat
Mendapat ilmu adalah rahmat
Akan ku kongsi sesama umat

Nan setitik jadikan laut
Nan sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jdikan guru
Akar di bumi akal ke langit

Aku akan membasah keringat
Memberi petunjuk dan maklumat
Dengan ikhlas memberi khidmat
Mendidik bangsa sepanjang hayat

Nan setitik jadikan laut
Nan sekepal jadikan gunung
Alam terkembang, jadikan guru
Akar di bumi, akal ke langit...

Lagu : Nik Nizam Jaafar
Lirik : Rosminah Tahir

[Antara lagu yang ber-kumandang di-Istana Budaya melalui teater Ibu Zain sa-hingga 18 Ogos nanti]

~ MASIH TENTANG TEATER IBU ZAIN ~


Pengkisahan Ibu Zain dimulakan dengan kelahiran Ibu Zain yang diraikan dengan penuh kesyukuran. Kedua ibu bapa Ibu Zain mahukan anak lelaki, namun sudah ditakdirkan seorang puteri comel yang menjengah dunia. Ibu Zain semasa kecilnya lebih mesra dengan panggilan Nal oleh kedua ibu bapanya. Ia merupakan singkatan kepada nama Zainal Abidin. Nama yang telah disediakan kedua ibu bapanya sebelum kelahiran Ibu Zain. Ibu Zain ketika kecilnya suka berkawan dengan kawan-kawan lelaki dan begitu lasak sekali.

Perjalanan ceritanya disusun dengan cukup menarik sekali. Bagaimana pembangunan diri Ibu Zain yang pada awalnya seorang kanak-kanak yang begitu nakal dan aktif, kemudian membesar sebagai remaja yang bijak dan rajin, berdepan dengan cabaran besar ketika cuba dikristiankan oleh seorang mubaligh kristian, membuat jasa dengan memilih profesion perguruan untuk mendidik anak bangsa, menceburi bidang politik demi menuntut kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa.


Ibu Zain sarat dengan mesej dan pengajaran berguna buat anak bangsa. Dari soal adat dan pergaulan sehinggalah kepada pendidikan serta perjuangan kepada negara, bangsa dan agama. Betapa kentalnya semangat dan besarnya pergorbanan seorang wanita kecil yang jelas melihat masa depan anak-anak bangsanya. Besar pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita bernama Ibu Zain, namun malang sekali generasi hari ini tidak begitu mengenalnya, apatah lagi mahu mengahargainya sebagai tokoh terbilang. Justeru, pementasan teater ini menceritakan segala-galanya. Teater ini mahu memperkenalkan secara dekat siapa Ibu Zain sebenarnya. Bagaimana hidupnya diabdikan untuk anak bangsa melebihi kepentingan peribadinya. Rosminah Tahir dan anak-anak buah telah berjaya dalam misi itu. Sungguh aku kagumi kecekalan rasa pengarah yang cukup berkaliber ini

Bercakap soal pelakon, secara keseluruhannya sungguh aku mahu membuat tabik hormat kepada pendokong watak Ibu Zain ketika dewasanya, Liza Othman. Menurut pandanganku, dia benar-benar berjaya memberi gambaran tentang Ibu Zain. Seorang wanita yang lembut tetapi cukup tegas. Cekal dan berjiwa besar. Jika watak itu diberikan kepada pelakon lain, aku meragui kemampuannya akan menyamai atau mengatasi Liza Othman. Begitu kehebatan dia. Ternyata percaturan Puan Rosminah Tahir memilih Liza Othman sebagai Ibu Zain dewasa amat tepat sekali.

Suka juga aku nyatakan di sini penampilan Dato Rahim Razali sebagai Munshi Sulaiman iaitu bapa kepada Ibu Zain amat bersesuaian sekali. Sewaktu pementasan berlangsung, aku seperti mahu menulis sahaja semua dialog yang dituturkan Dato Rahim... Betapa ia terkesan pada pendengaran dan akalku. ermm..

Selain watak-watak utamanya, aku juga dengan penuh bangga mengucapkan tahniah kepada pelakon-pelakon pembantu yang sangat cemerlang itu. Khasnya kepada tiga cikgu yang begitu melekat aku dengan tawa yang panjang setiap kali kemunculan mereka. Ini juga antara tarikan yang baik ku kira. Sekurang-kurangnya, tidaklah kita terlalu serius menumpu kepada jalan cerita.

Dari segi nyanyian, kalau tidak aku sebutkan pun, pastinya semua orang tahu bagaimana cemerlangnya Nur Fatimah melantun kan suaranya. Paling terkesan lagu ketika babak Ibu Zain difitnah sebelum berangkat ke Mekah. Sekali mendengar, terus lekat di ingatan. Begitulah kuatnya lagu yang dicipta oleh saudara Nik Nizam Jaafar yang juga bertindak sebagai Pengarah Muzik dalam pementasan ini. Sungguh suara pelakon lain tidak sehebat Nur Fatimah, namun mereka tetapi melagukan lirik yang diberikan dengan cara mereka sendiri. Ada yang bunyinya seperti bercerita, berlawak, berdondang sayang, berpantun dan sebagainya. Ia disampaikan dengan cara yang cukup kreatif sekali. Apa yang penting, mesej dan cerita dalam lagu tersebut difahami dan sampai kepada penonton.

Gerak tari dan pergerakan yang berlaku di atas pentas juga amat menarik perhatian. Semuanya senada dan seirama. Malah kawad askar Jepun juga begitu menarik dilihat apabila keselarian dan ketepatan pergerakan begitu dititikberatkan oleh koreografer tarinya, Sharip Zainal. Jauh sekali bezanya dengan kawad berterabur dalam teater patriot yang lalu (mohon maaf kerana aku terpaksa menyebut dan membuat perbandingan begitu).

Set pentas untuk teater muzikal Ibu Zain ini agak sederhana. Mungkin terbatas dek bajet dan peruntukan barangkali. Tentu sekali tidak segah set pentas untuk teater Muzikal P. Ramlee 3 bulan lalu. Namun dengan set yang minima itu, ia sedikit pun tidak mencacatkan jalan cerita teater ini.

Secara keseluruhannya, teater muzikal Ibu Zain ini mencapai objektif pementasananya. Aku berikan 4.5 dari 5 bintang. Antara babak-babak yang dipaparkan, aku tertarik sekali dengan satu babak yang memaparkan penyeksaan askar Jepun kepada rakyat Tanah Melayu ketika itu. Betapa jelas penderitaan yang dilalui oleh datuk moyang kita ketika itu. Ia dipertontonkan dengan cukup berkesan sekali. Aku senyap terdiam dan hampir sahaja menitiskan air mata melihat babak seorang gadis ditarik dengan rakus dan kasar oleh askar Jepun. Babak itu begitu hidup seakan aku berada di dalam situasi kejadian. Tahniah untuk seluruh pelakonnya.

Mengarah satu teater sejarah dan bersifat patriotik yang begini, tentu sahaja tidak berlangsung dengan mudah. Rosminah Tahir sejak bermula proses pengkajian, latihan dan seterusnya pementasan sangat mencabar dan tercabar. Bukan mudah. Namun, di sebalik kerja kerasnya tanpa mengenal lelah itu, dedikasinya untuk tokoh tersohor dan idola sepanjang zaman ini, Ibu Zain ternyata tidak sia-sia. Dia cemerlang di situ. Rosminah tidak pernah mengecewakan. Aku sukakan teater muzikal Lantai T. Pinkie, Nyonya, Bukan Dejavu dan banyak lagi karya sentuhannya. Mudah-mudahan dia terus cemerlang pada masa akan datang.

Pun begitu, lazim yang kita fahami. Bagaimana bagusnya sesuatu karya itu, kalau ia bertemakan sejarah dan patriotik, sambutan yang diberikan orang ramai, tidaklah begitu memberangsangkan. Kali pertama aku menonton, kerusi banyak yang kosong. Kali kedua aku ke sana juga, situasi serupa yang berlaku. Sungguh aku kecewa banyak. Itu kecewa aku, bagaimana pula dengan kecewa sang pengarah, pelakon dan seluruh team produksi yaa.. Ermmm..

Justeru, aku berharap agar kamu di luar sana, mencuri sedikit masa untuk ke panggung Sari, Istana Budaya untuk menonton pengkisahan Ibu terunggul, Ibu Zain. Percayalah, ada sesuatu yang bakal kamu bawa pulang nanti.

Lakonan yang paling cemerlang :
Liza Othman @ Ibu Zain
Nyanyian yang paling enak di telinga :
Nur Fatimah
Babak yang paling mengesankan :
Zaman Pemerintahan Jepun
Ketawa yang paling mencuit hati :
Tiga Cikgu yang bercerita tentang anugerah yang diperolehi Ibu Zain
Dialog yang paling membekas :
"Ya Tuhanku, janganlah digerakkan anggota badanku zahir dan batin
melainkan yang Engkau dan Nabi Muhamad redhakan, ibu bapakan redhakan..."


[Me-minjam se-suatu yang baek untok diri... usah ber-kira soal RM yang tidak se-berapa itu..]

Wednesday, August 13, 2008

~ TEATER MUZIKAL IBU ZAIN YANG MEMBANGGAKAN ~


Seharian aku berada di luar atas urusan pekerjaan. Mujur juga tidak berseorang kerana aku dibantu oleh seorang rakan ini. Yaa... dia menghulur bantu yang banyak padaku hari ini. Malah boleh juga kalAu aku sifatkan sebagai satu pengorbanan darinya buatku. Terima kasih AA. Budi tetap akan terkenang.

Malam ini untuk kali kedua aku punya kesempatan menonton teater muzikal Ibu zain yang sedang dipentaskan di Istana Budaya. Sungguh aku terpaku diam menghayati teater yang sedang berlangsung itu. Wahai Ibu Zain, ibu yang teragung sepanjang zaman, terima kasih atas pengorbananmu yang banyak itu kepada anak bangsa.

Aku sarankan dan aku seru kepada kamu di luar sana untuk menonton teater ini. Kamu akan lebih mengenali siapa wanita agung dan tersohor yang seorang ini. Berilah peluang kepada diri kamu untuk meminjam semangat yang ada pada dirinya.

Teater muzikal ini mula dipentaskan sejak 12 Ogos lalu dan akan berakhir pada 18 Ogos depan. Pasti sekali kamu tidak akan rugi menontonnya teater ini. Aku jamin itu. Kepada kamu yang membuka pintu hati untuk menonton pengkisahan Ibu Zain ini bolehlah mendapatkan tiket-tiket pementasannya dengan harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150. Dapatkan di mana? Di Box Office Istana Budaya atau pembelian menerusi internet laman web, www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600 untuk maklumat lanjut.

[Aku dengan besar hati mau meletak-kan Ibu Zain dudok sebaris dengan tokoh-tokoh pejuang ter-sohor dalam sejarah negara...]

Tuesday, August 12, 2008

~ MEMBAIK EMOSI ~


Mood tidak begitu bagus. Mendiamkan diri agar mereka yang disamping tidak merasa tempias dengan keadaan diri. Berbuat baik salah, berbuat jahat apatah lagi. Sedih? Sakit hati? Entah... bukan pertama kali pun.

[Pintu tidak akan sentiasa ter-buka...]

Monday, August 11, 2008

~ SUNGGUH, AKU BENAR-BENAR BERKECIL HATI ~

Bagaimana yea mahu memulakan entri ini... ermm... entri tentang rasa kecil hati yang banyak kepada seorang sahabat dekat. Aku bukan mahu menjadikan ruang ini untuk meluahkan rasa-rasa yang begini. Namun, berat untuk aku simpan di dalam hati secara total. Untuk bercerita dengan orang lain, tentu sekali mustahil aku lakukan.

Tengahari tadi, aku menghubungi sahabat dekat ini. Asal tujuan mahu bertanyakan tentang urusan pekerjaan tempohari. Dia meminta bantuku untuk menyiapkan satu urusan. Namun, ketika itu aku tidak dapat membantu kerana keadaan kesihatan tidak begitu baik. Justeru, hari ini aku mahu bertanyakan tentang itu. Kalau-kalau pertolongan masih diperlukan. Kebetulan juga lama tidak mengatur bual panjang dengannya. Aku menghubungiku semata-mata untuk tujuan itu.

Namun, lain yang aku harapkan, lain pula yang aku perolehi daripadanya. Entah apa yang ada dalam kepalanya. Entah apa yang merasuknya sehingga dia membuat marah yang banyak. Puncanya apabila sangka mendahului hakikat. Dia membuat sangka yang begitu banyak kepadaku rupa-rupanya. Ermm.. tidak pernah mahu percaya aku sebagai sahabat dekat yang sentiasa mendahului persahabatan barangkali.

Sungguh aku berkecil hati yang bukan sedikit. Dia sentiasa mengungkit banyak. Seolah aku ini langsung tidak memberi guna kepadanya sebagai seorang sahabat. Dia tidak pernah mempercayai, jauh sekali menganggap aku sahabat dekatnya barangkali. Kalau dia mengenal aku, rasanya tentu sekali dia akan mempertimbangkan kata-katannya yang menghunus itu.

Mulanya aku cuba untuk mempertahankan diri, namun apabila bertubi-tubi dihambur dengan kata-kata sindiran yang tajam dan menyakitkan hati, aku memilih untuk mendengar sahaja. Dia tidak pernah mahu mendengar, tetapi mahu apa yang dikatakan didengar penuh. Seringkali ribut yang melanda dengan sahabat ini berpunca dari bahasa dan perkataan yang keluar dari mulutnya. Dan.. ia terjadi lagi untuk kesekian kalinya.

Untuk pertama kalinya dalam umurnya, aku ditujukan kata yang agak keras menghunus. Keluar dari mulutnya dan ditujukan kepadaku 'tiada otak'. Sungguh perkataan ini terlalu kasar buatku. Dan tidak pernah aku menerimanya dan hari ini merupakan pertama kali. Sedihnya perkataan ini daripada orang yang aku gelarkan sahabat dekat. Kalaulah dia dapat melihat bagaimana reaksiku di hujung talian ini.. ermm..

Pun begitu, seperti mana yang pernah aku katakan tempohari aku berjanji untuk tidak mahu menyimpan marah lagi untuk perkara yang serupa. Aku tidak mahu lagi bermasam-masam muka dengannya. Itu yang aku sebutkan kepadanya beberapa bulan yang lalu ketika kami membaik ribut. Aku masih memegang itu walaupun sungguh aku sangat-sangat berkecil hati.

Sebenarnya, aku tidak tahu punca sebenar dia membuat laku yang begitu. Dia tidak menjelas yang benar. Dia suka meneka, membuat kesimpulan dan seterusnya membuat hukum. Itu kaedah yang dia gunakan. Dalam perkiraanku, tiada apa yang berlaku antara kami berdua dalam sehari dua ini kecuali aku tidak dapat menghulurkan bantuan buatnya tempohari. Itu sahaja.

Yang dia soalkan, aku tidak membelanya sebagai seorang sahabat. Dia menuduh aku lebih memberi kepercayaan kepada orang lain berbanding dirinya. Dia menuduh aku itu dan ini. Yaa.. aku sebutkannya sebagai tuduhan kerana apa yang dia katakan itu tiada dalam kebenaran.

Tidakkah dia tahu aku sentiasa membelanya sebagai sahabat? Sentiasa menyimpan kemas segala kelemahan dan kekurangan dia. Sentiasa memegang amanah atas segala rahsia dan perkara peribadi tentangnya yang ada dalam tahuku.. sentiasa membelanya jika ada yang mahu merendah-rendahkan dia.. Sentiasa. Tetapi, dia tidak pernah nampak atau menyedari tentang itu.

Tentang tuduhannya kepada seorang rakan lain yang kononnya membuat cerita tentang dirinya, itu sesuatu yang langsung tidak benar. Rakannya yang seorang itu, tidak pernah membuat bual tentang dirinya kepadaku. Sekadar yang ada, bertanya khabar tentang dirinya melaluiku. Itu sahaja. Dia yang bersangka buruk. Sudahnya membikin ribut yang berat.

Entah berapa kali kami bermasam muka tentang perkara yang serupa.. Entah berapa kali dia merendah-rendahkan aku, memperkecilkan aku dan semua yang buruk-buruk terhasil dariku. Bagaimana yaa.. kalau kamu yang berada di tempatku. Apa yaaa yang akan kamu lakukan kalau ini yang kamu lalui..

Wahai sahabat, aku sangat-sangat berkecil hati sama kamu. Benar-benar kali ini.

[Ingin sekali aku mem-beri-kan cherita tentang 'memaku dinding' untok sahabat ini... betapa dinding itu tetap kan ber-lubang meskipun paku-nya telah dicabut keluar...]

Sunday, August 10, 2008

~ BANYAK TANYA ITU DAN INI ~

Rakan pekerjaan yang seorang ini telah mengetahui tentang perhubunganku dengan teman jiwa. Kebetulan barangkali dia mengetahui tentang itu. Bagai diduga, banyak benar tanyanya. Itu dan ini tanpa ada mahu habis. Mahu tidak mahu, aku memberi jawab juga kepada beberapa soalan yang perlu. ermm..

Katanya, dia tidak menyangka aku memilih yang tidak sebangsa. Tidak menyangka aku punya citarasa yang begitu. Ermm... tidakkah dia tahu, ini bukan soal citasara rasa. Ini soal hati dan perasaan. Soal cinta.. soal jodoh dan pertemuan. Siapalah aku untuk menolak apa yang telah ditentukan untukku.. ermm..

[Cinta tak kenal siapa..]

Saturday, August 09, 2008

~ MENUNDA JANJI LAGI ~

Sekali lagi aku menggantikan seorang rakan untuk bertugas pada hari ini. Pada saat-saat akhir dia menghubungiku dan meminta bantu agar aku mengantikan tempatnya untuk tugasan pada malam ini.

Jujurnya, aku tidak bersedia kerana sudah punya perancangan yang lain. Namun, berat sungguh mulut untuk mengatakan tidak. Mengangguk sahaja walaupun ada dengus kecewa. Ermm.. tidak mengapa, aku membantu pada hari ini. Mungkin esok-esok, aku juga memerlukan bantuan yang serupa..

Justeru, aku terpaksa menunda janji... dan sekali lagi perlu berhadapan dengan penjelasan yang panjang. ermm.. mohon kemaafan dengan penuh mengerti.

[Jangan bilang tidak..]

Friday, August 08, 2008

~ MAKAN OOH MAKAN... ~

Hari ini aku termuntah kekenyangan. Mereka yang mengenali aku, pasti sekali tahu aku bukan jenis yang 'pemakan' orangnya. Bukan peneman yang baik kepada mereka yang kuat makan.. ya barangkali.

Namun sejak akhir-akhir ini, aku kerap bersama dengan seorang rakan pekerjaan yang 'kuat makan'. Rakan ni betul-betul mengikut waktu makan. Sarapan paginya.. makan tengaharinya dan minum petangnya. Selalu pula dia meminta aku menemankannya melalui rutin itu. Kadangkala aku menolak, namun berapa kali sangatkah harus ku tolak dengan alasan yang sama sahaja.

Pagi ini, kira-kira jam 8.40 pagi, aku mengambil sarapan pagi. Sesuatu yang jarang sekali aku lakukan. Mulanya sekdar menemankan rakan ini, namun apabila dia bising meminta aku tidak sekadar meneman, terpaksalah aku menurut. Mahu menjaga hati pun, mungkin juga.

Pada sebelah petangnya, aku dan dia punya urusan pekerjaan di luar. Sebelum itu, seperti biasa dia mahu mengambil makan tengahari terlebih dahulu. Kalau tidak katanya, hidupnya tidak lengkap dan pasti sekali akan menganggu tugasan sehariannya. Aku tergelak, namun menurut sahaja mahunya. Kali ini dia menyerahkan keputusan di tanganku untuk memilih tempat amkan yang diinginkan aku.

Justeru, aku memilih sebuah restoran di tengah ibu kota. Restoran kegemaranku ketika masih di tempat pekerjaan lama lagi. Sudah berada di tempat kegemaran, tentu sekali aku mahu mengisi perut dengan penuh selera. Sungguh sedikit pun tidak merasa lapar, aku memesan makanan kegemaranku. Ermm... berjaya ku habiskan dengan jayanya tanpa meninggalkan sisa. Jarang sekali aku dalam keadaan yang begini. Malah rakan ini turut melahirkan rasa hairannya kerana mungkin kali pertama melihat aku makan dengan begitu berselera sekali. Jam menunjuk ke pukul 2.30 petang.

Tiba di tempat yang dituju dan menyelesaikan urusan perlu iaitu kira-kira jam 5 petang, kami sekali lagi di jamu. Ketika ini perut memang tidak dapat menerima lagi kerana terlalu kenyang dan sudah tidak punya ruang lagi untuk mengisi makanan baru. Pun begitu, kata rakan ini kami perlu menghormati pihak tuan rumah. Walaupun kenyang, dia mengharapkan aku menjamah sedikit hidangan yang disediakan. Aku tiada pilihan selain akur. Mulanya aku sekadar mahu membuat syarat untuk merasa, namun terpaksa menghabiskannya kerana kami disaksikan orang besar yang terlibat sebagai penganjur bertentang meja. Ermmm.. Sungguh, aku tidak pernah mengisi perut dalam keadaan yang keterlaluan begini. Silap haribulan, boleh mati barangkali.. ermm..

Malamnya kira-kira 11 malam, aku bersama rakan lain mengisi waktu menonton. Sekali lagi, aku berdepan hidangan yang wajib 'disentuhi'. Sekali lagi demi menjaga hati kawan, aku menelan lagi makanan yang terhidang. Sampai muka sudah menjadi biru akibat perut begitu penuh terisi. Aku lakukan itu kerana tidak mahu rakan dari tempat pekerjaan lama ini berkecil hati. Ini kerana menurutnya, dia belum lagi menjamah sebarang makanan dan terlalu lapar.

Jam 2 pagi aku tiba di rumah. Yaa.. sedikit lewat kerana aku menunggu rakan ini membantu dan menghantarku pulang ke rumah. Pulang ke rumah, belum sempat aku mandi atau membuat laku lain, aku memuntahkan kembali isi makanan yang masuk ke dalam perutnya... Ermmm.. Sungguh aku serik dan takut mengulang serupa..

[Ramai yang menegor, berat badan-ku semakin susot. Namun, apabila menilek diri di-chermin, aku maseh merasa serupa..]

~ 08.08.08 ~


Menurut kepercayaan orang-orang Cina, angka '8' merupakan angka yang memberikan tuah atau ong kepada mereka. Dalam soal apa sahaja, angka '8' menjadi kejaran kepada mereka. Justeru, bila sahaja bertembung angka '8', banyak yang mereka mahu rakamkan. Perasmian dan pembukaan Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Beijing ini juga dilangsungkan hari ini, hari yang mempunyai angka '8' yang begitu istimewa sekali, 08.08.08.

Apa yang aku fikir tentang 08.08.08 yaa... ermm... aku terkenang janji dan angan. Teman jiwa pernah beberapa kali membuat angan, kalau boleh mahu 08.08.08 menjadi detik sejarah dalam hidup kami berdua. Dan.. hari ini 08.08.08 telah tiba dan berlalu begitu sahaja. ermm.. "Jodoh belum sampai," kataku ringkas kepadanya. Dia diam dengan tanpa reaksi.

2 hari lepas ada sedikit perselisihan faham dengan teman jiwa. Sejak akhir-akhir ini dia menjadi pencemburu orangnya. Aku sendiri tidak faham. Selalu kalau ada kekacauannya dengannya, aku lebih senang membuat diam. Dua hari, aku menunjuk protes dengan membuat rajuk. Justeru pada 08.08.08 aku menerima sekeping kad ucapan daripadanya. Ucapan yang mewakili hatinya yang memohon maaf di atas apa yang berlaku. Aku tersenyum panjang kala membacanya. Membaca tulisan yang cukup ringkas. "I'm sorry".

Dia jarang memberiku kad ucapan hari lahir, raya atau sebarang kad untuk untuk meraikan sesuatu. Yang kerapnya, dia gemar mengirimkan kad ucapan untuk mewakili perasaannya ketika itu. Jujurnya, aku menyenangi apa yang dilakukannya itu. Memujuk aku paling berkesan dengan tulisan dan bukan dengan penjelasan panjang lebar dari bibir. Itu aku.

[Akan tiba ketika itu kira-nya jodoh mem-buat panjang..]

Thursday, August 07, 2008

~ BUMI WINTER SONATA ~


Setinggi-tinggi tahniah untuk seorang rakan, F yang bakal terbang ke bumi Winter Sonata pada 27 Ogos depan. Tercapai juga impinya mahu menimba ilmu di bumi Korea itu. Doa yang paling telus buat dia agar berjaya menyiapkan kursus sarjana di sana. Aku juga difahamkan F mendapat biasiswa penuh dari kerajaan Korea. Memangnya F berhak untuk semua itu kerana dia seorang yang begitu cemerlang dalam pelajarannya. Justeru, tidak hairanlah dia terpilih diantara 40 pelajar dari Malaysia yang ditaja untuk ke sana untuk ke sana.

Selain pesan supaya menjaga diri dan ucap selamat untuk misinya itu, aku turut membuat pesan agar dia sudi mengirimkan foto-foto menarik di sana. Ermm.. yaa.. aku sendiri untuk menjejakkan kaki di sana, belum lagi terlaksana sehingga hari ini. Jadi dapat melihat fotonya pun memadai barangkali.. :)

[Full house dan my girl merakam cherita baru... ermm..]

Wednesday, August 06, 2008

~ TRAUMA ~

Trauma. Itulah yang boleh aku gambarkan situasiku saat jari-jari ini bercerita di sini. Sehingga saat ini, badanku masih lagi menggeletar terkesan dari kejadian yang aku lalui sebentar tadi saat pulang dari tempat pekerjaan.

Selalunya, jika tidak punya tugasan di luar, aku selalunya akan menumpang rakan pekerjaan separuh jalan sehingga ke Bangsar dan kemudiannya mengambil teksi untuk pulang ke rumah. Namun, dek kerana rakan yang seorang ini punya urus yang banyak berkaitan pekerjaannya sehingga ke malam, aku memutus untuk pulang sendiri dengan mengggunakan perkhidmatan Komuter.

Aku turun di stesen Petaling dan mahu mengambil teksi untuk menyambung perjalanan ke rumah. Ketika itu jam di tangan tepat menunjukkan 6.30 petang. 20 minit menunggu di situ, tiada satu teksi pun yang muncul untuk menawarkan perkhidmatan. Aku membuat putus untuk menukar tempat menunggu. Kali ini, di seberang jalan yang bertentangan. Malang juga yang membuat rasa. Tiada teksi yang mahu menumpangkan aku. Semuanya sudah sedia ada dengan penumpang di dalamnya.

Jarum jam sudah ke angka 7.30 malam. Diburu kebimbangan yang panjang, aku yang tiada pilihan ini akhirnya membuat putus untuk berjalan kaki sahaja ke jalan besar sana. Di sana ada perhentian teksi dan ia tentu lebih memudahkan. Jaraknya mungkin 10 minit perjalanan. Tidaklah jauh sangat, namun dengan keadaan diriku yang memakai baju kurung (jarang sekali aku memakai baju kurung ke tempat pekerjaan kecuali menghadiri majlis-majlis tertentu atau sesekali untuk menghormati hari jumaat), kasut bertumit tinggi dan menggalas handbag, aku sungguh-sungguh kurang selesa untuk berjalan kaki ke sana. Tambah pula tanah semakin gelap, matahari sudah menyembunyikan wajahnya.

Walaupun suasana jalan kecil di situ sedikit mengundang curiga kepadaku, aku gagahkan langkah. Sudah satu jam aku menghabiskan masa dengan berdiri di tepi jalan itu dan ternyata sia-sia, tentu sekali aku tidak mahu menyambung lagi masa menunggu itu. Ermm… Sepanjang perjalanan dengan berjalan kaki itu, aku beberapa kali menoleh kebelakang, ke kiri dan ke kanan. Aku diburu rasa takut walaupun keadaan di situ tidaklah menakutkan.

Lega apabila terlihat tempat perhentian teksi, betul-betul di depan stesen minyak Esso di jalan Klang Lama berhampiran Balai Polis Petaling. Sesampai di perhentian teksi itu, aku melihat seorang wanita sedang duduk di situ. Menunggu teksi juga barangkali. Ermm.. hilang sedikit rasa takut memikirkan ada teman untuk menunggu. Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang lalu betul-betul di tepiku. Aku mahu saja marah kerana ia begitu menghampiriku. Mujurlah ada kereta yang membunyikan hon kepadanya.

Sebaik saja aku mahu melepaskan lelah di tempat menunggu itu, tiba-tiba salah seorang daripada dua lelaki tadi datang ke arah wanita yang menunggu tadi. Tenang sekali langkahnya. Sangkaku, mungkin dia merupakan kenalan wanita yang menunggu itu. Namun, bila tiba hampir dengan wanita itu, dia terus memeluk rakus wanita tersebut lalu merentap bag wanita itu.

Wanita itu menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan. Aku yang hanya lima langkah saja daripadanya itu berdiri kaku tidak berbuat apa-apa. Membantu jauh sekali. Ya Allah…. Sungguh aku tergamam dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Mahu turut sama menjerit juga tiada suara yang keluar.

Aku melihat dengan jelas lelaki tersebut yang kemudiannya berjalan lenggang kangkung ke arah motor rakannya yang sedang menunggu di tempat mengisi angin kenderaan di stesen minyak itu. Wanita itu kelihatannya cuba mengejar tetapi tentu sahaja ia tidak membuahkan hasil. Aku masih tercegat berdiri di situ tanpa berbuat apa-apa.

Sungguh aku sangat-sangat terkejut dan trauma dengan apa yang berlaku secara langsung di depan mata ini. Dan sungguh juga aku katakan, mungkin yang menjadi sasaran dua peragut tersebut sebenarnya adalah aku bukan wanita itu. Namun, nasib barangkali menyebelahiku. Ya.. aku bernasib baik. Yaa Allah Ya Tuhanku… sungguh aku benar-benar bersyukur. Namun, dalam masa yang sama atas rasa kemanusiaan aku sangat-sangat bersimpati keatas wanita terbabit. Ya… sangat-sangat. Apatahlah aku berada dalam lima langkah sahaja daripadanya. Menyedihkan juga apabila aku langsung tidak membantunya apa-apa. Aku hanya melihat. Segalanya begitu pantas berlaku dan aku dalam keadaan yang tergamam. Aku sendiri dalam keadaan ketakutan yang teramat sangat. Sungguh, aku memohon kemaafan yang begitu besar atas apa yang berlaku sebentar tadi itu.

Menyedihkan juga, kejadian itu langsung tidak mendapat perhatian orang ramai yang berada di situ. Yaa… di stesen minyak Esso, Jalan Klang lama berhampiran Balai Polis Petaling. Sedangkan ketika itu, ramai yang sedang mengisi minyak dan berurusan di situ. Dan yang menimbulkan tanda soal dalam kepalaku, apabila aku disapa oleh seorang lelaki ini. Dia juga kebetulan sedang mengisi minyak motosikalnya.

LELAKI : Tadi tu (peragut) orang *** kan?
AKU : (memandang tepat ke wajahnya. Perlu ker soalan itu diajukan. Adakah kalau peragut itu berbangsa selain itu, dia akan membantu wanita tersebut? Ermm..)
AKU : Tak tahu.
LELAKI : Yaa.. dia orang ***

Ermm… sedar pula dia dengan kejadian yang berlaku itu. Malahan siap dapat mengecam wajah dan bangsa peragut itu. Namun, kenapa pula dia tidak sudi untuk membantu? Hilangkah rasa kemanusiaan yang patut dipunyai dia? Sakit hati aku melihat mukanya yang langsung tidak ada riak kesal atau bersalah itu.

Ingatlah hidup ini ada pusingannya. Juga bersilih nasib baik dan buruknya. Justeru, hari ini kita hilang perikemanusiaan kepada orang lain, tidak mustahil akan ada juga satu hari orang lain pula akan memberikan situasi yang sama. Ingat itu.

Aku sebenarnya pernah melalui insiden ragut ini. Kejadiannya sentiasa terkenang kerana ia berlaku pada 1 April bersempena April Fool empat tahun lepas. Ketika itu, aku diragut dari arah belakang. Di depan sebuah restoran mamak di P.I. Ketika itu, aku baru sahaja pulang dari tempat pekerjaan. Aku terseret beberapa meter lantaran bag yang di galas itu talinya tersangkut di bahuku. Luka dan calar yang banyak pada badan sehingga jeans yang dipakai ketika itu terkoyak rabak. Terlalu pantas insiden itu berlaku. Dek kerana terkejut dengan apa yang berlaku, aku hanya diam sahaja di situ walaupun sudah jatuh tersungkur dengan darah yang mula melekat di baju.

Pun situasiku sedikit baik, kerana manusia di situ ada rasa kemanusiaan. Datang membantuku saat itu malah menawarkan untuk menghantarku ke klinik dan kalau tidak pun mahu membantu aku menghubungi sesiapa. Ermm… itulah kejadian yang tersimpan ajar yang banyak dalam diri. Berharap, biarlah itu kali pertama dan terkahir aku berdepan nasib malang yang begitu.

[Naseb baik dan burok itu juga ter-tulis atas laku kita juga barang-kali.. ermm..]

Tuesday, August 05, 2008

~ LAKU SERUPA ~

Aku tersenyum sendiri mengenang apa yang berlaku pada hari ini. Situasinya berlaku secara ulangan dengan apa yang aku alami pada hari semalam. Entah apa kebetulannya, aku sendiri tidak tahu. Namun, di lokasi yang berbeza dan orang yang berbeza, aku melalui perkara yang sama.
Semalam, aku ada urusan di TG. Usai segala urus, jam di tangan menunjukkan ke angka 5 petang. Aku memutus untuk menerima pelawaan seorang rakan untuk menghirup secawan coffee. Pun begitu, katanya dia memerlukan 1 jam masa perjalanan untuk ke TG kerana lokasinya ketika itu adalah hujung ke hujung..

Mengisi waktu itu, aku menyertai seorang teman ini mengintai bahan bacaan baru di BD. Lama juga di situ, rakan tadi belum juga menunjukkan kelibat. Akhirnya teman ini terpaksa meminta diri kerana dia mengejar masa ke suatu lokasi. Justeru, aku menumpang kereta teman ini untuk ke bawah. Sebenarnya, tidak perlu menumpang dia pun kerana lokasinya adalah bangunan yang bersebelahan. Malah aku boleh saja ke bawah dari arah dalam bangunan. Namun, aku saja mahu memanjangkan bual.

Apa yang berlaku, teman yang seorang ini tersalah keluar parkir dan memasuki lorong keluar yang jalan dan terus ke jalan luar. Kebetulannya pula adalah jalan sehala yang akhirnya membawa aku terus sehingga ke BF kerana tidak boleh berpatah balik. Bayangkan, aku sudah berada di dalam TG yang sepatutnya mengambil masa 2 minit sahaja untuk masuk ke MV tetapi kerana tiada kerja cari kerja, makanya aku perlu mengambil masa selama 1 jam untuk berpatah balik ke TG dan terpaksa bersesak-sesak berebut teksi. Ermmm...

Apa yang lucunya, hari ini ia berlaku serupa. Sangat serupa sekali. Habis waktu pekerjaan, aku menumpang satu arah dengan seorang rakan sepekerjaan, si pendiam untuk pulang. Selalunya dia akan menurunkan aku di TS. Namun, dek kerana leka mengatur bual, perjalanan jauh melewati TS dan hampir sampai ke depan rumah di P.I. Huhuhu... sedangkan aku perlu ke M.V dan seterusnya pulang ke KR.

Sudahnya, aku terpaksa mengambil train dari P.I ke BJ dan kemudiannya mengambil teksi untuk terus ke rumah. Ermmm... kalau tidak kerana leka tadi, aku sudah bersiap siaga dalam masa 5 minit di rumah barangkali.

Aneh. Dua kejadian serupa yang terjadi secara berturut harinya... ermmm.

[Pe-thanda yang banyak haros juga di-lehat tepat...]

Monday, August 04, 2008

~ DIPEROLOK SANG SAHABAT ~

Bagaimana yaa, kalau kamu diperolokkan sahabat dekat kamu sendiri? Bagaimana yaa... bila kamu kelihatan begitu bodoh bila mana ada orang bercakap tentang sahabat dekat kamu, sedangkan kamu tidak pernah mengetahui tentang hal itu? Bagaimana yaa kalau kamu tahu, sahabat dekat kamu menyembunyikan sesuatu daripada kamu yang dia katakan sebagai sahabat tetapi begitu berterus-terang dengan seorang yang dia katakan sekadar kawan kebanyakan?

Bagaimana perasaan kamu? Ermm... yang bagaimana itulah sedang aku rasakan. Dulu... beberapa ketika dulu, sahabat ini pernah berbuat perkara yang serupa. Aku mengetahui hal penghijrahannya melalui orang lain. Namun, itu hal dulu. Aku meninggalkan jauh hal itu. Tetapi bila hari ini, dia melakukan perkara yang sama... aku membuat fikir kembali. Situasi dulu dan sekarang sedikit berbeza. Kalau dulu, aku tidak diberitahu tentang hal itu kerana ada sedikit ribut yang berlangsung antara kami. Justeru, itu menjadi alasannya. Tetapi bagaimana pula sekarang? Tidak ada ribut, tidak ada tsunami.... lihat apa lakunya..

Ermmm... Tidak ada apa yang besarnya pun. Cuma aku merasa sedikit sedih sahaja. Sedih tidak bertempat barangkali. Sedih kerana berkecil hati dengan sahabat sendiri. Sahabat yang terpuji yang membuat laku serupa. Ermmm...

[Sedar di-mana dudok diri..]

Sunday, August 03, 2008

~ KEMBALI DENGAN KUDRAT ~

Hari ini, aku tidak ke mana-mana. Tidur sepanjang hari. Telefon juga tidak berjawab. Hanya melayan panggilan daripada teman jiwa. Dia punya urusan kerja di bumi Tumasik dan tidak punya kesempatan untuk ke sini.

BR beberapa kali menelefon dan memberikan mesej bertanya khabar setelah tahu aku tidak dalam keadaan yang baik. Ai juga sempat datang menjenguk (membawa bubur ayam mcd... aku ketawa besar). Terima kasih sahabat-sahabat dekat yang sentiasa dekat di hati. Sekurang-kurangnya aku tahu, saat aku dalam keadaan begini, aku masih punya teman-teman yang mengambil berat. Tidak hanya memerlu aku saat aku segar dan sihat untuk berkongsi tawa semata. Terima kasih untuk juga untuk Auntie Phia.

Pun begitu, semalam aku sempat ke tempat pekerjaan lama. Ke sana untuk melunaskan janji. Beberapa minggu lalu, aku membuat janji untuk membantu mereka menyiapkan sedikit pekerjaan. Justeru, minggu ini merupakan minggu terakhir untuk menyiapkan tugasan itu. Jadinya, aku ke sana semalam menghabiskan beberapa jam. Tidak mahu menjadikan alasan tidak sihat ini untuk memungkir janji. Mujur mereka tidak menghidu keadaan diri yang tidak dalam keadaan baik ini.

Pun begitu, sebaik bangun daripada tidur petang tadi, aku merasa sedikit kesegaran. Badan juga kembali dengan kudrat. Yaaa... sakitnya sudah berkurang. Ermm.. mungkin juga kerana aku tidak memanja-manjakan diri melayan rasa sakit. Aku tetap menjalankan urusan pekerjaan seperti biasa. Hampir seminggu dalam keadaan begini dan mujur hari ini aku semakin pulih. Elok juga kerana setiap isnin selalunya beban kerja akan menimbun setinggi KLCC di meja. Justeru, tiada alasan yang boleh digunakan untuk mengelak diri dari semua itu. Justeru, terpaksa menggagahkan diri juga. Errmm... malam ini rasanya aku mungkin akan berjaga sehingga ke pagi. Manakan tidak, sepanjang hari membuat lena, tentu sahaja mata ini segar dengan degil sekali. Pun begitu, ada sahabat yang mahu meneman aku mengira bintang malam ini.

Di saat aku menulis entri ini, ada sedikit konfrantasi sedang berlaku diantara seorang kawan dengan seorang kawan yang lain. Seolah sedang mengikuti siaran langsung pula layaknya. Aku hanya mendengar. Tidak berniat walau sedikit pun mahu masuk campur. Simpati tetap ada. Namun, aku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku mendengar semuanya. Yang pasti, menurut pengamatanku, kedua-duanya pun punya kesilapan laku. Namun ego membuat duri. Natijahnya, inilah yang terjadi. Satu hal juga, penglibatan orang ketiga selalunya akan menambah kusut. Tidak kira apa niatnya sekalipun. Ini kerana pemahaman dan pengamatannya tentu sahaja berbeza dengan si tuan empunya badan. Lalu, kesimpulannya akan membuat beza. Itu yang selalu aku alami. Pelajaran yang pernah aku perolehi. Ermm...

[Aku tidak punya ramai sahabat dekat. Namun, sekali aku menama-kan dia sahabat, selama-nya dia akan punya dudok yang agong. Tidak hanya ketika senang, malah ketika apa sekali-pun bahu-ku akan mem-buat sandar. Itu janji dan pegangan-ku dalam per-sahabatan.]