Saturday, July 12, 2008

~ PERTUKARAN JADUAL ~

Sepatutnya, hari ini atau lebih tepatnya jam 12 tengahari tadi, aku terlibat dengan satu program amal yang dianjurkan oleh tempat pekerjaan di bandar anggerik. Program ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada hari semalam, hari ini dan esok.

Mengikut jadual, aku ditugaskan menjaga urusan pada hari ini. Namun, seorang rakan tiba-tiba membuat bincang agar aku menukar jadual dengannya. Dia mahu jadual hari ini yakni jadual yang sepatutnya melibatkan aku ditukarkan dengan jadualnya pada hari esok. Pertukaran itu kerana dia ada urusan lain yang lebih perlu pada hari esok.

Sebenarnya, aku juga punya urusan lain pada hari esok. Namun, tidak sampai hati pula mahu menolak permintaan rakan ini. Justeru aku menyetujui sahaja. Yaa.. hari ini hari dia, esok-esok siapa tahu aku juga memerlukan pertolongan yang serupa. Justeru, aku membatalkan janji dengan teman jiwa untuk menemankan dia ke Ipoh esok.

Hari ini, aku seharian di rumah. Ini kerana aku tidak merancang apa-apa hari ini kerana telah tersedia dengan jadual program amal tersebut. Kalau diberitahu lebih awal tentang pertukaran ini, tentu sahaja aku mencadangkan teman jiwa untuk datang berdamping hari ini. Ermm...

Di rumah, aku sempat juga menyambung bahagian novel tulisanku yang terbengkalai beberapa minggu lalu. Ada beberapa watak baru yang dimasukkan. Watak sahabat-sahabatku sendiri. :) Ku kira, jika mereka membaca novel ini kala siap kelak, pasti sahaja mereka akan mengenal diri mereka yang terpinjam di situ.

[Tersenyum menatap buku kanak-kanak tulisanku masih terjual itu..]

No comments: