Wednesday, May 28, 2008

~ MELIHAT YANG SALING TIDAK TUMPAH.. ~





Tentu sekali aku senang tatkala punya kesempatan yang baik untuk bertandang lagi ke Istana Budaya hari ini. Kerana apa? Hanya satu tujuannya, menyaksikan pementasan P. Ramlee The Musical musim kedua.

Untuk musim pertamanya dulu (pementasan yang dibuat sekitar oktober tahun lalu), aku sempat menontonnya sebanyak 3 kali. Pertama kali, secara keinginan sendiri, kedua kerana bersama teman jiwa dan kali terakhirnya bersama auntie Phia dan Ai. Saat itu aku sangat2 merasa keterkesan apa yang telah mereka berikan melalui pementasan itu.

Malam ini, aku di sini lagi menanti keterujaan serupa di hidangkan kepada penonton yang berhabis wang dan keringat untuk berada di sini. Hampir 3 jam, aku mengisi masa di kerusi empuk Istana Budaya ini. Ternyata, hasilnya tidak sia-sia. Malah membangkit teruja yang bukan sedikit. Sungguh aku telah menontonnya pada pementasan pertama, aku tetap mahu menafikan kalau ada yang mengatakan ia merupakan 'siaran ulangan'. Yang paling benar, pesona jauh lebih terkesan berbanding yang terdahulu sebelumnya.

Pujian dan kekagumanku kepada seorang lelakinya yang namanya Musly Ramlee. Aku tidak pernah mengenali dia. Namanya begitu asing pada perkiraanku. Namun, pemilihannya sebagai P. Ramlee sangat bertepatan sekali. Suaranya, gerak tubuhnya, malah rupanya juga memberi bayangan dan ingatan yang jelas kepada Allahyarham P. Ramlee secara dekat. Saling tidak tumpah…

Selain itu, tidak aku nafikan keterujaanku kepada pementasan P. Ramlee The Musical ini juga adalah bersebab kepada Liza Hanim yang memegang watak Saloma. Suaranya begitu gemersik dan tersendiri. Dia adalah penyanyi yang paling tepat dipilih untuk mengalunkan lagu-lagi indah P. Ramlee mahupun Saloma. Merdunya dia menyanyikan lagu2 ini bukan sahaja bersebab dia membintangi P. Ramlee The Musical, tetapi terdahulu sebelum itu dia sememangnya menjadi pilihan ramai orang kala mahu mendengar dengan baik lagu2 karya P. Ramlee. Malah, penyanyi ini juga pernah membuat tribute kepada allahyarham P. Ramlee melalui album keduanya yang berjudul, Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Nahh… kini dia diberi kesempatan untuk menghidupkan watak biduanita Saloma untuk kali keduanya. Jika kemunculan pertamanya dahulu, mendapat pujian yang melambung-lambung dengan penuh kekaguman, bagaimana pula untuk kali ini? Ermm... aku dengan penuh kehormatan merasakan persembahan Liza Hanim untuk pementasan kali kedua ini, tiga kali lebih baik daripada yang sebelumnya. Ada pertikaian tentang itu? Kalau ada, marilah kita memastikan sekali lagi dengan menonton pementasan ini buat kali kedua, ketiga atau kali-kali yang seterusnya.

Aku paling seronok kala babak Saloma dan P. Ramlee di studio menyanyikan lagu Senandung Kasih dan ketika di taman mendendangkan lagu Gelora. Sangat membuat aku dengan pesona yang menguja.

[Curi-lah sediket kesempatan yang ada untok melapang-kan diri hadzir menyaksi-kan pementasan P. Ramlee The Musical ini..]

No comments: