Wednesday, May 28, 2008

~ HARUS TIDAK DENGAN PRASANGKA ~


Memulakan hari dengan situasi yang begitu kelam kabut. Aku terlewat dari waktu yang sepatutnya ke tempat pekerjaan. Goshhh.. serba tidak kena jadinya. Aku sekadar mencapai apa yang perlu sahaja. Terus membuka langkah seribu.

Selalunya aku hanya berseorang menjadi penumpang 'terhormat' di dalam teksi. Pagi ini lain ceritanya. Pemandu teksi ini sudi menumpangkan teksinya kepada seorang lagi penumpang lain. Aku merengus. Bukan kerana bongkak tidak mahu membuat sedikit kongsi, namun aku benar-benar mengejar masa agar tidak terlewat ke tempat pekerjaan. Sedikit berang bila dia berlengah-lengah begitu.

Melihat penumpang baru yang mahu ditumpanginya itu secara dekat, aku mengendur marah. Dari samar-samar cahaya lampu suram yang menyuluh, aku melihat dia dengan jelas. Seorang lelaki yang ku kira sama baya dengan ayah. Kelihatannya, dia sihat dan segar walaupun aturan langkahnya dibantu sebatang tongkat.

Pemandu teksi menjelaskan kepada uncle ini bahawa dia perlu menghantarkan aku terlebih dahulu sebelum ke lokasi yang diminta uncle ini. Tambahnya juga, dia sudi menumpangkan teksinya kepada uncle ini meskipun sudah ada penumpang (aku) adalah kerana dia prihatin dengan permasalahan pengangkutan awam negara yang tidak pernah selesai walaupun seratus janji telah diatur. Aku sedikit tertarik dengan ucapannya yang penuh sinis itu. Justeru, aku cuba untuk menangkap isi bual yang seterusnya antara dia dan uncle ini.

Mereka kemudiannya mula menyentuh hal2 berkaitan politik negara. Soal kepimpinan dan pembangunan. Beberapa nama pemimpin disebut dengan penuh jelas. Lepas satu, satu... Pertuturan kedua mereka itu lancar dalam bahasa bahasa inggeris. Justeru, aku mudah untuk menumpang dengar segala rungut dan rasa ketidakpuasan yag disuarakan oleh mereka walaupun dalam pelat bangsa mereka. Pada sesetengah perkara, malah sebahagian besar daripdanya, aku tidak bersetuju dengan pendapat berat-sebelah mereka itu. Justeru, aku beberapa kali mengerling tajam ke arahnya melalui cermin belakangnya.

Menyedari reaksi aku itu, si pemandu teksi terus menukar isi perbualan mereka kepada bahasa ibunda mereka. Aku merasa sungguh marah, sedang mereka semakin rancak berbual dengan penuh kesombongan. Senang barangkali apabila merasakan aku tidak memahami butir bicaranya dalam bahasa ibundanya itu. Sebaik sahaja tiba di tempat yang ditujui, aku segera menyelesaikan urus pembayaran. Namun, sebelum aku turun dan menutup pintu teksinya itu, aku sempat menegur tingkah mereka berdua sebentar tadi. Menegur tentang prasangka buruk berbau perkauman yang mereka tuturkan. Ku kira, dengan usia hampir masuk 51 tahun kemerdekaan negara, seharusnya tidak wujud lagi prasangka-prasangka yang begini.

Ermm... jarang sekali aku dengan tindak yang begini. Entah dari mana datang kekuatan aku untuk bersuara tadi. Selalunya aku lebih senang untuk memilih diam.

[Bunoh sahaja pra-sangka yang pasti merosak-kan itu...]

No comments: