Saturday, May 31, 2008

~ SEKITAR RELAY FOR LIFE 2008 ~

Acara berjalan mengelilingi trek stadium dimulakan


Penyertaan daripada pelbagai lapisan umur


Menjadi tarikan..



Trek tidak pernah kosong sejak program dimulakan sehingga malam


Tanda ingatan buat insan yang disayangi


Pelajar IPT juga gigih memberi sokongan


Golongan selebriti yang prihatin kepada kegiatan amal


Deretan khemah untuk mereka yang memenuhi 16 jam program

Acara sebelum lilin dinyalakan di beg luminaria


Lilin yang disusun dalam bentuk hati sebelum di masukkan ke beg luminaria


Antara beg2 luminaria yang tertulis luahan hati dan kata2


One World, One Hope..

Buat yang tetap di hati..


Deretan beg luminaria yang disusun mengelilingi stadium


Simbolik..


Harapan yang menerangi seluruh stadium


Kuatkan dirimu.. Kami sentiasa ada..


Relay For Life...


Menyimpan momen indah


Kupon makanan bernilai RM10

T-Shirt untuk survivors

[Untok Umi... AL sentiasa ada dengan doa semuga cepat semboh.. Umi Ingat-kan janji umi pada AL dulu? Ermm...]

~ RELAY FOR LIFE 2008 ~


Telah lama aku dan teman jiwa merancang untuk menyertai program amal sebagai tanda sokongan kepada pesakit kanser ini. Mujurlah bila tiba waktunya hari ini, baik aku mahupun dia, kedua-duanya tidak dengan aral yang melintang. Justeru, kami dengan besar hati menghabiskan sedikit keluangan hari ini untuk menyertai program ini.

Relay For Life adalah sebuah program yang dipinjam dari program yang diadakan di Amerika Syarikat. Di Malaysia atau lebih tepatnya di Kuala Lumpur ini, tahun ini merupakan tahun kedua ia dilangsungkan. Objektif program ini diadakan ialah untuk mengumpul dana untuk membantu pesakit-pesakit kanser dan dalam masa yang sama memberi kesedaran masyarakat terhadap penyakit berbahaya ini.

Kami tiba di Stadium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil (MSN), tempat berlangsungnya acara sekitar jam 6.30 petang. Kelihatan pengunjung telah mula memenuhi perkarangan stadium. Penuh warna-warni. Ermm... tetapi selangkah pertama aku ke stadium itu, hati terdetik sedikit kesal. Ermm.. jumlah pengunjung yang ada di acara ini jauh lebih kecil daripda bilangan pengunjung di stadium sebelah.

Pada ketika yang sama, Karnival Jom Heboh turut dilangsungkan. Betapa ramainya manusia di sebelah sana sehinggakan aku sendiri sesak nafas untuk untuk mengatur langkah di ruang itu. Betapa tarikan dan kecenderungan mereka begitu hebat di sana. Sedangkan di sini... di acara yang dilangsungkan untuk amal kebajikan ini, sambutannya sungguh dingin dan sangat menduka-citakan aku sama sekali.

Sungguh aku malu kepada teman jiwa. Betapa stadium ini banyak dipenuhi oleh manusia-manusia prihatin yang sebangsa dengannya. Lebih daripada separuh. Sedangkan bangsaku??? Mereka lebih terarah kepada acara-acara hiburan yang riuh-rendah dengan penuh meriah tanpa perlu ada momen-momen yang seperti di stadium ini.. ermm.. Sungguh, aku benar-benar kesal tentang itu.

Trek di stadium sudah mula di penuhi. Acara utama program ini adalah acara marathon mengelilingi stadium. Sama ada dengan berjalan kaki mahupun berlari. Aku dan teman jiwa memilih untuk berjalan kaki sambil mengatur bual yang panjang. Sempatlah kami membuat beberapa pusingan. Paling mengujakan, aku terserempak dengan orang kuat Celcom, Datuk S. Dia tampil dengan imej sederhananya dan turut menyertai aktiviti tersebut. Kalau tidak diamatinya wajahnya, pasti sahaja tidak ada yang perasan akan kedatangannya. Dia turut berlari-lari seperti aku sambil mengepit kameranya untuk merakamkan momen-momen indah yang berlaku ketika itu.

Selain acara mengelilingi stadium, sokongan dan ingatan itu terzahir melalui penulisan kata-kata dan luahan di beg luminaria. Pada beg kertas kecil yang dijual dengan harga hanya RM1 ini, kita boleh menulis apa sahaja luahan untuk orang-orang dekat dengan kita yang sedang berjuang dengan penyakit kanser ataupun untuk mereka yang telah pergi kerana kanser.

Ermm... jujurnya, salah satu sebab aku menyertai program ini juga adalah kerana umi. Umi penghidap kanser servik sejak sekian lama dan kini masih berjuang untuk hidup. Air mata tiba-tiba menghujani diri. Sungguh aku tidak dapat menahan rasa sebak yang menyentuh itu.

Ketika pendaftaran tadi, kami diberikan sehelai t-shirt dan kupon makanan berharga RM10 untuk digunakan sepanjang berada di acara itu. Justeru, aku merasakan yuran pendaftaran yang dikenakan itu sekadar syarat sahaja. Ini kerana nilai wang pendaftaran itu jauh lebih kecil bebanding harga t-shirt dan kupon makanan itu sendiri. Teman jiwa terus memakai t-shirt yang diberikan menyatakan sokongannya yang tidak berbelah bahagi itu.

Kelihatan di dalam stadium juga beberapa buah khemah yang didirikan. Khemah ini adalah untuk mereka yang akan bermalam di sini. Program ini sebenarnya berlangsung selama 16 tanpa henti. Bermula jam 6 petang sehinggalah 10 pagi keesokan harinya. Dan sepanjang waktu 16 jam itu, pelbagai acara akan diadakan. Dari persembahan nyanyian di pentas utama, tarian poco-poco dan segala macam aktiviti lagi.

Pun begitu, sungguh aku dan teman jiwa bercadang untuk berada di sini sehingga ke dinihari, kami tentu sahaja tidak akan memilih untuk berkhemah di sini. Kami hanya menghabiskan masa dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Momen yang paling indah apabila seluruh stadium bercahaya dengan beg2 luminaria yang penuh dengan luahan perasaan itu dinyalakan lilin di dalamnya. Beg-beg luminaria ini di susun di keliling trek stadium.. Sungguh.. ia momen yang paling indah.

Terima kasih teman jiwa.. kerana menemani aku memberi sokongan untuk acara ini..

[Doa paleng tulus.. mudah-mudahan ada ketabahan dan kechekalan dalam per-juangan melawan penyakit ini... untuk umi, kecekalan-mu sentiasa tebal dalam ingat dan dalam sedar..]

Friday, May 30, 2008

~ AL FATIHAH BUAT ARWAH DR JIWA ~


Aminn.. aminnn....

Mudah-mudahan roh arwah dr jiwa tenang bersemadi di sana. Hari ini genap 2 tahun pemergian arwah. Pemergian seorang sahabat yang sangat amat aku rasai.

Sekejap sahaja waktunya sudah menjangkau 2 tahun. Terbayang dan terngiang gurau sendanya mengisi ruangku. Kenangan terindah dia berikan kepadaku sepanjang kami saling berkenal.

Di tanganku juga saat menulis entri ini adalah sebuah diari miliknya. Diary yang dijadikan hadiah sempena hari lahirku pada tahun pemergiannya itu, 2 tahun lepas. Sungguh aku tiak pernah tahu dia menulis diari. Biarpun banyak halaman yang kosong di diary ini, namun beberapa halaman yang terisi itu tetap juga membuat aku kehairanan. Dia bukan seorang gemar menulis-nulis begini.

Juga suatu kejutan buatku, dia juga tidak pernah walau sekalipun mengingat hari lahirku. Tiba-tiba sahaja, dia katakan diary ini sebagai hadiah hari hari lahirku. Ermm... sahabatku sayang, aku terlalu amat merinduimu. Sungguh! Aku bercakap benar ini..

Aku cuba menghubungi ibu arwah, namun tiada jawapan di hujung sana. Ermm.. mungkin ibu sudah meletak lena... atau mungkin tidak ada dalam lena kerana turut mengingat arwah sebagai sedang aku depani ini.. ermm..

[Doa dari sahabat-mu ini tetap ada... meng-harap tidak akan ada lupa buat-mu..]

~ UNTUNG SEBUAH PESAHABATAN ~

Hari ini aku berdepan tugasan yang begitu membosankan aku. Seringkali aku cuba untuk mengelakkan membuat tugasan ini, namun seringkali juga akulah yang menjadi pilihan en boss. Ermm.. Jam 9 pagi, aku siap siaga berada di tempat tugasan dan cuba menjalankan tugasan dengan sebaiknya. Tiada sebarang rungutan kerana aku tahu rungutan itu tidak akan mengubah apa-apa. Justeru, aku cuba menjadikan tugasan yang diberikan ini sebagai sesuatu yang santai dan menyenangkan.

Sebenarnya, aku banyak mendapat peluang yang baik hari ini. Mungkin ia sebagai ganjaran di atas kesabaran aku melakukan tugasan yang di luar senangku. Pun begitu, aku tidak berhasrat untuk menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan diri dan pekerjaanku. Aku tetap berbalik kepada prinsip.

Usai segala urus, jam menunjukkan jarum ke angka 12.30 tengahari. Masih awal, bererti aku harus ke ruang pekerjaan membuat lapor kepada tugasanku sebentar tadi. Namun, dudukku saat ini dengan bandar Anggerik umpama hujung ke hujung. Justeru, aku lebih rela mencari tugasan luar yang seterusnya. Tugasan yang seterusnya, pada jam empat. Ku putuskan untuk ke sana bersama rakan di tempat pekerjaan lama. Selesai soal itu.

Sedikit dengan kesempatan yang ada, aku mengatur temu dengan sahabat dekat yang seorang ini. Tanpa dirancang sebenarnya. Kebetulan aku menghubunginya untuk bertanyakan tentang ujian yang dilaluinya beberapa jam tadi lalu kesempatan itu wujud.

Kami mengatur bual yang panjang. Dari hujung ke hujung juga layaknya. Begitu pun selalu jika punya kesempatan dengan sahabat yang seorang ini. Ada sahaja topik dan isu yang akan menjadi perdebatan kami. Wajib itu. Hari ini, kami membentangkan beberapa perkara. Banyak yang aku tidak setujui dia. Ternyata dalam soal-soal tertentu, dia masih lagi tidak dapat membuat timbang yang wajar. Aku faham situasinya, justeru aku tidak mahu mempertikai panjang tentang soal itu. Cuma, yang aku harapkan dari dia hargai persahabatan yang ada.

Pun begitu, dari perdebatan yang berlangsung hari ini, banyak yang aku perolehi secara percuma. Biar bingar sahabat ini dengan pekiknya, namun dia memberi ajar yang banyak juga. Aku juga mengharapkan, aku memberi perkara yang sama kepadanya. Itu untung sebuah pesahabatan.

Tentang sahabat mei.. juga sahabat february... aku banyak mendengar. Bukan membantah atau membangkang cerita sahabat ini, tetapi aku tidak tahu banyak sebagaimana tahu dia. Aku hanya tahu apa yang diberitahu kepadaku, itu sahaja. Sahabat ini memutus untuk tidak memberitahu secara terperinci kepadaku, justeru bagaimana aku harus dalam tahu? Untuk aku bertanyakan sana-sini untuk mendapat tahu itu, rasanya tidak mungkin sekali kerana aku bukan dari kalangan yang begitu.

Justeru, dek kerana dia yang lebih tahu banyak, mudah-mudahan dia dapat berbuat sesuatu untuk itu. Dan aku aku tetap dengan pandangan dan pendirianku kerana itu terbina setakat yang ada dalam tahuku. Namun, beritahulah aku sekiranya aku perlu tahu untuk mengubah sedikit pendangan dan pendirian itu. Ermmm..

Aku membatalkan hasrat untuk ke tugasan seterusnya... dan dengan rasa yang berat, aku terpaksa membuat helah untuk menyelamatkan diri. Teruknya. Sungguh, aku malu kepada diri sendiri. Secara jujurnya, aku tidak pernah dengan laku yang begini. Arghhhh...

[Aku mem-beri per-chaya yang banyak kepada sahabat yang sa-orang ini.. biar-pon keperchayaan itu perenah 'digadai' suatu masa dulu]

Thursday, May 29, 2008

~ BOSAN YANG MEMBUAT TUMBUH ~


Dalam beberapa entri yang lepas, aku ada berceita tentang pertemuan kembali aku dengan seorang kenalan ini, Mr Presiden. Ya.. aku gembira dengan pertemuan kembali itu. Namun, sejak akhir2 ini aku mula dihambat rasa kurang senang yang banyak.

Mr presiden ini semakin kerap menghubungiku. Yaa.. tidak salah kalau sekadar mahu mengatur bual tentang soal2 yang perlu. Namun, apabila ia tidak berlaku seperti itu, aku pula yang terasa seperti terhimpit. Sudahnya aku mula tumbuh rasa bosan.

Sekali-dua mungkin alasan yang terberi aku diterima baik, bagaimana kalau nanti alasan2 itu sudah tidak terpakai akal dia? Ermm… Yaa.. aku mula rasa kurang senang apabila lelaki ini lakunya seperti suka mendesak. Aku cukup2 tidak senang berada di dalam situasi ini.

[Hati ini kekal ter-milek sa-orang lelaki yang nama-nya teman jiwa. Setakat hari ini dan minet ini…. Dan mudah-mudahan ia panjang terus selama ada nyawa..]

Wednesday, May 28, 2008

~ MELIHAT YANG SALING TIDAK TUMPAH.. ~





Tentu sekali aku senang tatkala punya kesempatan yang baik untuk bertandang lagi ke Istana Budaya hari ini. Kerana apa? Hanya satu tujuannya, menyaksikan pementasan P. Ramlee The Musical musim kedua.

Untuk musim pertamanya dulu (pementasan yang dibuat sekitar oktober tahun lalu), aku sempat menontonnya sebanyak 3 kali. Pertama kali, secara keinginan sendiri, kedua kerana bersama teman jiwa dan kali terakhirnya bersama auntie Phia dan Ai. Saat itu aku sangat2 merasa keterkesan apa yang telah mereka berikan melalui pementasan itu.

Malam ini, aku di sini lagi menanti keterujaan serupa di hidangkan kepada penonton yang berhabis wang dan keringat untuk berada di sini. Hampir 3 jam, aku mengisi masa di kerusi empuk Istana Budaya ini. Ternyata, hasilnya tidak sia-sia. Malah membangkit teruja yang bukan sedikit. Sungguh aku telah menontonnya pada pementasan pertama, aku tetap mahu menafikan kalau ada yang mengatakan ia merupakan 'siaran ulangan'. Yang paling benar, pesona jauh lebih terkesan berbanding yang terdahulu sebelumnya.

Pujian dan kekagumanku kepada seorang lelakinya yang namanya Musly Ramlee. Aku tidak pernah mengenali dia. Namanya begitu asing pada perkiraanku. Namun, pemilihannya sebagai P. Ramlee sangat bertepatan sekali. Suaranya, gerak tubuhnya, malah rupanya juga memberi bayangan dan ingatan yang jelas kepada Allahyarham P. Ramlee secara dekat. Saling tidak tumpah…

Selain itu, tidak aku nafikan keterujaanku kepada pementasan P. Ramlee The Musical ini juga adalah bersebab kepada Liza Hanim yang memegang watak Saloma. Suaranya begitu gemersik dan tersendiri. Dia adalah penyanyi yang paling tepat dipilih untuk mengalunkan lagu-lagi indah P. Ramlee mahupun Saloma. Merdunya dia menyanyikan lagu2 ini bukan sahaja bersebab dia membintangi P. Ramlee The Musical, tetapi terdahulu sebelum itu dia sememangnya menjadi pilihan ramai orang kala mahu mendengar dengan baik lagu2 karya P. Ramlee. Malah, penyanyi ini juga pernah membuat tribute kepada allahyarham P. Ramlee melalui album keduanya yang berjudul, Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Nahh… kini dia diberi kesempatan untuk menghidupkan watak biduanita Saloma untuk kali keduanya. Jika kemunculan pertamanya dahulu, mendapat pujian yang melambung-lambung dengan penuh kekaguman, bagaimana pula untuk kali ini? Ermm... aku dengan penuh kehormatan merasakan persembahan Liza Hanim untuk pementasan kali kedua ini, tiga kali lebih baik daripada yang sebelumnya. Ada pertikaian tentang itu? Kalau ada, marilah kita memastikan sekali lagi dengan menonton pementasan ini buat kali kedua, ketiga atau kali-kali yang seterusnya.

Aku paling seronok kala babak Saloma dan P. Ramlee di studio menyanyikan lagu Senandung Kasih dan ketika di taman mendendangkan lagu Gelora. Sangat membuat aku dengan pesona yang menguja.

[Curi-lah sediket kesempatan yang ada untok melapang-kan diri hadzir menyaksi-kan pementasan P. Ramlee The Musical ini..]

~ AKU MANGSA SETERUSNYA ~

Hari ini, sekali lagi aku berdepan dengan situasi keliru yang banyak. Semakin hari, aku semakin didedahkan dengan segala macam kepincangan. Politik kotor yang terlalu bebas dan berleluasa di sini juga amat menakutkan aku. Tentu sahaja aku tidak akan terlepas dari cengkamannya. Lambat laun, pasti akulah mangsa seterusnya.

Sepanjang perjalanan dari ruang pekerjaan ke tempat yang dituju, rakan pekerjaan yang seorang ini bercerita panjang sekali tentang soal itu. Juga mengulas kejadian ‘ribut’ yang membuat dia dijolok amuk sehingga hampir hilang pertimbangan akal itu sebentar tadi. Aku menyorot matanya yang berkaca dan hampir menitiskan airmata itu. Sepanjang mengenali dia, aku tidak pernah melihat dia dalam keadaan yang marah yang berat begini sebelum ini. Pasti teruk benar hatinya dikerjakan mereka itu... mereka yang terdiri daripada rakan-rakannya sendiri.

Dia bercerita tentang perilaku beberapa orang yang dia maksudkan. Sungguh aku tidak menyangka betapa nama-nama yang disebutkan itu begitu polos pada pandangan mataku. Namun, rupa-rupanya punya laku yang sebaliknya. Ternyata aku mudah benar terpedaya dan tertipu dengan tingkah manusia di sekeliling.

Saat rakan ini bercerita begini, aku kembali mengimbas beberapa kejadian. Ermm… aku mangsa seterusnya barangkali. Terlalu sangat aku melihat putih sehingga lupa hitam juga adalah sebahagian daripada warna kehidupan yang wujud.

Jujurnya, aku tidak pernah berdepan dengan situasi yang begini. Justeru, bila aku dihadapkan dengan semua ini, ia membuat gusar yang banyak. Aku mahu mencari rezeki dalam suasana yang aman-aman saja. Tidak mahu dudukku dalam situasi tekanan yang berat. Ia menyusahkan hidup. Pun begitu, aku tidak tahu bagaimana harus ku perbuat.

[Apa-bila hipokrasi men-jadi pakaian sa-harian..]

~ HARUS TIDAK DENGAN PRASANGKA ~


Memulakan hari dengan situasi yang begitu kelam kabut. Aku terlewat dari waktu yang sepatutnya ke tempat pekerjaan. Goshhh.. serba tidak kena jadinya. Aku sekadar mencapai apa yang perlu sahaja. Terus membuka langkah seribu.

Selalunya aku hanya berseorang menjadi penumpang 'terhormat' di dalam teksi. Pagi ini lain ceritanya. Pemandu teksi ini sudi menumpangkan teksinya kepada seorang lagi penumpang lain. Aku merengus. Bukan kerana bongkak tidak mahu membuat sedikit kongsi, namun aku benar-benar mengejar masa agar tidak terlewat ke tempat pekerjaan. Sedikit berang bila dia berlengah-lengah begitu.

Melihat penumpang baru yang mahu ditumpanginya itu secara dekat, aku mengendur marah. Dari samar-samar cahaya lampu suram yang menyuluh, aku melihat dia dengan jelas. Seorang lelaki yang ku kira sama baya dengan ayah. Kelihatannya, dia sihat dan segar walaupun aturan langkahnya dibantu sebatang tongkat.

Pemandu teksi menjelaskan kepada uncle ini bahawa dia perlu menghantarkan aku terlebih dahulu sebelum ke lokasi yang diminta uncle ini. Tambahnya juga, dia sudi menumpangkan teksinya kepada uncle ini meskipun sudah ada penumpang (aku) adalah kerana dia prihatin dengan permasalahan pengangkutan awam negara yang tidak pernah selesai walaupun seratus janji telah diatur. Aku sedikit tertarik dengan ucapannya yang penuh sinis itu. Justeru, aku cuba untuk menangkap isi bual yang seterusnya antara dia dan uncle ini.

Mereka kemudiannya mula menyentuh hal2 berkaitan politik negara. Soal kepimpinan dan pembangunan. Beberapa nama pemimpin disebut dengan penuh jelas. Lepas satu, satu... Pertuturan kedua mereka itu lancar dalam bahasa bahasa inggeris. Justeru, aku mudah untuk menumpang dengar segala rungut dan rasa ketidakpuasan yag disuarakan oleh mereka walaupun dalam pelat bangsa mereka. Pada sesetengah perkara, malah sebahagian besar daripdanya, aku tidak bersetuju dengan pendapat berat-sebelah mereka itu. Justeru, aku beberapa kali mengerling tajam ke arahnya melalui cermin belakangnya.

Menyedari reaksi aku itu, si pemandu teksi terus menukar isi perbualan mereka kepada bahasa ibunda mereka. Aku merasa sungguh marah, sedang mereka semakin rancak berbual dengan penuh kesombongan. Senang barangkali apabila merasakan aku tidak memahami butir bicaranya dalam bahasa ibundanya itu. Sebaik sahaja tiba di tempat yang ditujui, aku segera menyelesaikan urus pembayaran. Namun, sebelum aku turun dan menutup pintu teksinya itu, aku sempat menegur tingkah mereka berdua sebentar tadi. Menegur tentang prasangka buruk berbau perkauman yang mereka tuturkan. Ku kira, dengan usia hampir masuk 51 tahun kemerdekaan negara, seharusnya tidak wujud lagi prasangka-prasangka yang begini.

Ermm... jarang sekali aku dengan tindak yang begini. Entah dari mana datang kekuatan aku untuk bersuara tadi. Selalunya aku lebih senang untuk memilih diam.

[Bunoh sahaja pra-sangka yang pasti merosak-kan itu...]

Tuesday, May 27, 2008

~ MAMPU YANG LEBIH BAIK ~


Ketika sibuk dengan urus pekerjaan yang terisi, telefon bimbitku bergetar. Tertera SMS daripada sahabat june. Dia menyampai khabar gembira. Dia baru sahaja mendapat tawaran bekerja di tempat pekerjaanku. Siapa sangka kami kembali mencari rezeki dibumbung yang sama. Kecilnya dunia ini.

Tentu sahaja aku gembira mendengar berita ini, jika ia khabar yang baik juga buat sahabatku itu. Kebetulannya, beberapa bulan yang lalu dia pernah menyuarakan hasrat mahu membuat hijrah ke tempat pekerjaan baru dek kerana berantakan di tempat pekerjaannya yang sekarang. Justeru, ini mungkin baik buat dia.

Pun begitu, bila ku fikir-fikir… dia sebenarnya mampu memperoleh lebih baik daripada ini. Bukan sehari-dua aku bersahabat dengan dia. Aku tahu hasil kerjanya. Aku tahu kecemerlangannya. Aku cukup yakin kemampuan sahabatku yang seorang ini. Dia mampu mendapat yang lebih baik lagi. Pun begitu, dia sendiri yang lebih tahu diri dan kemampuannya. Sebagai seoarang sahabat, aku mendoakan yang baik-baik sahaja buat dia.

Saat sahabat june dengan berita gembira itu, aku pula lain ceritanya. Aku tidak pernah berhasrat untuk lama di sini. Jelas, aku tiada keserasian di sini. Tidak pernah ada rasa senang yang panjang. Aku penat untuk mengejar hari sehingga hilang sebahagian hidup biasaku. Aku mungkin menunggu waktu yang sesuai untuk mengangkat kaki dari sini. Ia akan terjadi apabila sesuai pada waktu itu.

Malah semalam juga, dua rakan pekerjaan di sini memberitahu hasrat perletakan jawatan mereka tidak lama lagi. Aku soalkan kenapa, dan mereka memberikan jawapan yang hampir sama seperti yang ada dalam fikiranku juga. Ermm… ternyata, hari ini upah bukanlah faktor utama kita membuat sesuatu pekerjaan itu. Tiada gunanya bayaran besar yang diterima sekiranya bebanan yang terpikul menyeksa jiwa. Bayaran itu tidak mampu membeli kesenangan fikiran kita. Itu yang aku cukup pasti.

Mungkin ramai yang sangkakan perhijrahanku ke tempat pekerjaan sekarang ini berkait soal upah dan ganjaran. Sungguh tidak benar. Paling jujur dalam dalam fikiranku, ia tidak pernah bersebab begitu. Tidak pernah. Penghijrahanku tidak lebih dari tanda protesku terhadap seseorang. Sungguhpun begitu, aku tidak pernah merasa menyesal dengan protes itu meski aku tiada serasi di sini.

[Donia aman… aku juga mau aman.. aman dari segala tekanan dan bebanan yang hari ini begitu akrab men-datangiku.. ermm..]

Monday, May 26, 2008

~ PERGI TANPA SEMPAT ADA MESRA ~


Sekitar jam 10 pagi tadi, aku menerima panggilan dari kakak. Ada berita buruk disampaikan ke telingaku.

KAKAK : AM dah tak ada..
AKU : Innalillah..
AKU : Ermm.. AM mana?
KAKAK : AM anak PS.. AM yang...
AKU : Ok2... AM itu.. kenapa?
KAKAK : Arwah terlibat dengan accident malam tadi. Langgar lari.


Aku terduduk, diam dan senyap. Entah apa yang patut aku reaksikan ketika itu. Sedih? Pilu? Terkilan? Berbaur semuanya. Arwah merupakan anak sulung kepada adik ibu yang ku panggil PS. Bererti aku dan arwah merupakan saudara sepupu. Pun begitu, seperti yang pernah aku jelaskan dibeberapa entri lepas, hubungan kami sekeluarga dengan saudara-mara tidaklah begitu rapat. Justeru, aku tidak begitu mengenali saudara mara lain walaupun masih di daerah yang sama. Kami hanya hidup dengan keluarga induk ini. Ermm..

Justeru, aku tidaklah begitu mengenali arwah juga adik-beradiknya yang lain. Malah sekiranya berselisih bahu di jalanan juga, pasti antara kami tidak saling mengenali. Aku tidak pernah terhafal rupa bentuk wajahnya. Cuma yang ku ingat, pada sambutan aidilfitri yang lalu, kami sekeluarga ada bertandang ke rumah bapa saudaraku itu. Kebetulan juga AM yang menyambut kami di muka pintu.

Sebelum pertemuan ketika aidilfitri yang lalu, entah berapa tahun kami tidak bersua. Aku sendiri tidak pasti. Ketika pertemuan itu, arwah tidak banyak bicaranya. Begitu juga aku. Biarpun duduk di ruang yang sama di tengah riuh gelak sembang tetamu yang lain, kami hanya memilih untuk bertukar senyum. Itu sahaja. Siapa sangka, itulah pertemuan terakhir kami. Itulah senyumannya terakhir untuk aku.

AM anak sulung kepada PS. Anak lelaki pula tu. Aku dapat bayangkan bagaimana mereka sekeluarga menerima berita ini. Sungguh aku tidak rapat dengan mereka, namun aku juga maklum akan situasi bapa saudaraku yang seorang ini. Ermmm..

Berita pemergian AM menganggu urus tumpuku kepada pekerjaan hari ini. Entah kenapa aku sendiri tidak tahu. Aku mendiamkan diri yang banyak. Saat aku menerima berita ini sehinggalah waktu jari-jari ini sedang bercerita di sini.

AL FATIHAH BUAT AM....

Mudah-mudahan aman di sana. Mudah-mudahan dirahmati bersama orang-orang yang beriman dan dikasihi-NYA.. AMIN..

[Senyap…sesenyap-nya]

Sunday, May 25, 2008

~ AYAT AYAT CINTA ~


AYAT AYAT CINTA
by rossa

Desir pasir di padang tandus
Segersang pemikiran hati
Terkisah ku di antara
Cinta yang rumit

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekadar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan

Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu

Bila bahagia mulai menyentuh
Seakan ku bisa hidup lebih lama
Namun harus ku tinggalkan cinta
Ketika ku bersujud

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekedar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan

[Ayat-ayat cinta, aku tidak perenah semporna untuk-mu...]

~ JALAN CINTA ~


JALAN CINTA
By Serina

Semua resah hati manusiamu
Untuk membagi kisah atas nama cinta
Derai air mata di setiap sujudmu
Seperti tak pernah cukup untuk menjagaku

Jangan butakan hati menjadi
Cinta yang semu….
Cinta yang semu
Kau hembuskan
Ayat-ayat cinta untukku
Di sela doa dalam
Malam-malam yang sunyi

Ampun yang engkau pinta dalam semua
Keraguan yang telah meliputi jiwamu
Semoga akan membawa cintamu
Pada diriku dalam jalan dan ridho-Nya

Jangan butakan hati menjadi
Cinta yang semu…oo…
Cinta yang semu
Kau hembuskan
Ayat-ayat cinta untukku
Di tengah terik matahari
Dan dinginnya malam

Kau panjatkan ayat-ayat cinta pada-Nya
Melindungi dan menjaga kisah cinta kita…

[Ayat-ayat cinta buat sa-orang lelaki itu]

Saturday, May 24, 2008

~ BUKAN PEMERHATI YANG GAGAL ~

Sepanjang hari ini, aku banyak menghabiskan waktu bersama seorang rakan ini. Dia membuka banyak cerita dan memberi ingat aku tentang banyak perkara. Namun, aku tidak terkejut dengan segala pendedahannya itu.

Sungguhpun, aku kelihatannya seperti banyak berdiam dan senyap orangnya, namun aku bukan seorang pemerhati yang gagal. Aku menyedari semua perkara yang berlaku di depan mata ini.

Pun begitu, aku bagai biasa memilih untuk tidak mahu masuk campur dengan semua hal itu. Asal saja ia tidak mengganggu urus tugasku, terpulang saja mereka mahu memberi laku yang bagaimana.

Jujurnya, memang aku turut mengakui susah benar mahu menyesuaikan diri dengan beberapa orang yang dimaksudkan ini. Pun begitu, aku tetap mencuba walapun jelas tidak bersetuju dengan banyak tingkah yang mereka pamerkan. Ermm…

[Mudah-mudahan aku tetap dengan pendirian-ku. Mudah-mduahan aku tidak-kan ter-pengaroh dengan tingkah-2 begitu.. aminnn..]

Friday, May 23, 2008

~ LAGI SEBUAH KESOMBONGAN ~

Usai membuat urus pekerjaan, aku singgah di gedung pembacaan. Beberapa jam aku menghabiskan masa di situ sebelum mengatur langkah pulang ke rumah. Aku berjaya mendapatkan sebuah teksi untuk ditumpangi.

Setelah dia bersetuju dengan lokasi yang mahu dituju aku, terus sahaja aku masuk ke perut kereta dengan beberapa bag yang berisi buku dan kasut yang baru dibeli. Juga di tanganku yang sibuk mengelek novel Ayat Ayat Cinta yang ku ambil kesempatan untuk menghabiskan baki bacaannya sementara beratur panjang untuk mendapatkan teksi.

Seketika teksi yang dinaiki itu menyusur meninggalkan gedung membeli-belah terkemuka itu, pemandunya yang usianya mungkin dalam lingkungan 10 tahun lebih berusia daripadaku itu tiba2 bersuara. Katanya, dia akan mengenakan caj tambahan beberapa ringgit selain bayaran yang tertera di meter. Alasannya, lokasi yang ingin aky tujui itu seringkali diamuk sesak.

Aku mula menumbuh rasa marah. Lalu aku memintanya supaya menurunkan saja aku di perhentian paling dekat ketika itu kerana tidak mahu meneruskan perjalanan dengan menggunakan khidmatnya itu. Bukan kerana aku tidak mampu untuk membayarkan caj tambahan yang dikenakan itu, tetapi aku tidak mahu membodohkan diri sendiri kepada seorang yang berperibadi begini

Tindakanku itu, sedikit mengejutkan dia. Mungkin tidak sangka aku membuat tindak yang begitu. Dia mula memperbetulkan cakap-cakapnya sebentar tadi. Malah, tidakpun mahu berhenti di prhentian yang aku maksudkan tadi. Perjalanan terus sehingga tiba di kediamanku ku di K. Malah aku sewaktu aku menghulur wang untuk bayaran, dia memulangkan bakinya dengan tepat. Melihat itu, aku dengan nada yang sedikit sinis mengucapkan terima kasih kepdanya sebelum menutup pintu teksinya. Ermm….

[Mau semakin tegas dalam menetap-kan pendirian-ku..]

Thursday, May 22, 2008

~ MENYANDAR BAHU UNTUK SEDIH IBU ~


Dek kerana lelah yang panjang hari ini, aku terbuai lena sebaik sahaja meletak badan membuat rehat. Entah keberapa kali deringan telefon bimbitku membuat bising, barulah aku terjaga dari membuai mimpi.

Tertera beberapa nombor di skrin. Namun panggilan daripada adik lelakiku paling banyak mengisi di situ. Terus sahaja aku menghubungi dia kembali sungguhpun masih dalam keadaan mamai dan separuh sedar. Aku cukup pasti, ada sesuatu yang mustahak mahu dibincangkan dia. Ini kerana adik yang seorang ini jarang sekali mahu mencari aku, kalau tidak kerana hal-hal yang segera dan terkejar.

Errmmm... bagai diduga, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Ada ribut taufan rupanya di seberang banjaran Titiwangsa sana. Kata adik, ayah dan ibu ada sedikit krisis. Malah, saat dia menghubungiku kala ini, ibu sedang menangis. Puncanya kerana sedikit pertengkaran dengan ayah. Kalaupun adik tidak bercerita secara terperinci sekalipun, aku sudah boleh membayangkan bagaimana situasi ibu itu.

Ayah kalau marahnya meraja, pasti kami tidak akan ada langsung ruang untuk membela diri. Pasti sahaja akan berkesudahan dengan tangis yang panjang. Itu situasi biasa ibu dan kami adik-beradik telah sedia maklum.

Pun begitu, aku percaya kejadian hiba sebentar tadi yang dialami ibu bukan situasi biasa. Bukan ibu tidak pernah berdepan situasi itu. Malah sepanjang bergelar isteri ayah, aku tahu terlalu banyak kesabaran yang ibu bina dalam dirinya. Namun, kali ini seperti besar benar ributnya sehingga menurut adik, ibu membuat rajuk yang panjang. Malah tangis ibu juga bukan seperti biasa. Adik sendiri buntu bagaimana mahu memujuk dan membuat reda pada kesedihan ibu itu.

Selain memaklum akan apa yang berlaku itu, adik berkali-kali memohon agar aku dapat menenangkan ibu di sana. Berkali-kali juga ayat yang sama keluar dari bibirnya, 'kasihan ibu'. Kalau kampung halaman ku itu berjarak sejengkal, pasti sahaja aku akan berlari ke sana tanpa membuat perhitungan lain. Mahu meminjamkan bahu ini untuk disandar segala resah ibu. Namun, itu semua di luar kemampuanku.

Aku berkongsi berita itu bersama kakak. Dan kami cuba untuk memujuk ibu. Mujur juga ibu mahu mendengar. Syukur alhamdulillah. Aku benar-benar sakit bila melihat ibu terluka begitu. Namun, apa yang mampu aku lakukan kerana sudah faham dan sedia maklum akan sikap dan tingkah ayah itu. Ermm..

[Ku-kira, ayah telah lama meninggal-kan sikap baran-ya itu.. tapi... ermm..]

Wednesday, May 21, 2008

~ TIADA KESEMPATAN YANG BAIK ~


Terserempak sahabat mei ketika terlibat dengan urusan pekerjaan. Seperti ada yang mahu dia bincangkan denganku, namun kesempatan tidak mengizinkan. Beberapa kali dia bertanyakan aku kepada seorang rakan ini apabila tidak melihat kelibatku walaupun tahu aku ada di majlis yang sama dengannya sebentar tadi.

Ya.. seperti yang aku katakan tadi, urusan pekerjaan.. Justeru, aku sibuk menyempurnakan tugasan-tugasan yang diberi tanpa ada kesempatan untuk menyapa, apatah lagi duduk berbual dengan sahabat yang seorang itu. Dia juga dalam keadaan yang serupa. Sibuk.

Usai majlis, aku dan seorang rakan ini meninggalkan ruang P dan menghala ke KB untuk mengisi perut yang asyik berbunyi dari tadi ini.. Lama juga kami melepas lelah di situ. Jam 12, barulah aku tiba di rumah. Sempat aku kirimkan sms kepada sahabat ini kerana tidak sempat menyapanya sebentar tadi kerana terkejar dengan urus kerja. Malah ketika aku meninggalkan majlis tadi, sahabat ini masih berada di sana.

Selang beberapa minit, sms itu berbalas. Hahahha.. ada cerita lain pula di sebalik itu rupa-rupanya. Cerita tentang Mr T. Sahabat mei begitu terbuka membicarakan tentang soal itu kepadaku. Mudah-mudahan, kali ini dia memperoleh apa yang dia carikan dalam hidupnya. Aku mendoakan itu untuk sahabat yang begitu cekal jiwanya ini.

[Belom lagi siap tulesan-ku ber-sempena per-mintaan tempuhari..]

~ MENGADAP EN BOSS ~

Seawal pagi, aku menyerahkan tugasan ‘last minute’ yang terpikul di bahuku semalam. Tugasan yang aku siapkan pada jam 4 pagi tadi sebelum tiba di ruang pekerjaan ini.

En boss, tersenyum panjang apabila mendapat tahu aku berjaya memenuhkan kehendak dia dengan baik. Bukan baik dari segi isi kandungan atau kualitinya (barangkali), tetapi baik dari segi kesanggupan dan keperolehan aku kepada tugasan yang aku sifatkan tidak mudah itu. Alhamdulillah, setakat ini, aku belum pernah gagal menyiapkan tugasan seperti yang dia mahukan. Mudah-mudahan ia akan berterusan begini.

Pun begitu, apa yang mengejutkan, aku dipanggil sekali lagi oleh en boss setelah 2 jam menyerahkan tugasan itu. Mulanya ku sangka ada kesilapan yang telah aku lakukan dalam tugasan itu, rupa-rupanya tidak. Dia mahu membincangkan soal lain. Soal yang mengejutkan di mana dia mahu aku membelakangkan rakan dari kumpulan lain demi memelihara kepentingan diri??? Dia mengajarkan aku untuk mementingkan diri sendiri?? Ermmm..

Aku tanpa sengaja telah membuat reaksi yang sedikit sinis terhadapnya. Terpulang dia mahu menilai aku bagaimana, namun aku tetap aku. Itu aku.

[Aku mau melangkah ke-depan dengan memijak lantai, bukan dengan memijak kepala orang..]

Tuesday, May 20, 2008

~ AYAT AYAT CINTA ~


TAJUK : Ayat Ayat Cinta
KARYA : Habiburrahman El Shirazy
MUKA SURAT : 492
TERBITAN : Ar Risalah Product Sdn bhd
HARGA : RM22.90
CETAKAN : Keenam (Malaysia)
AWARD : Best Seller Edisi Bahasa Melayu
+ Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005
+ Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favaurite Book 2005

SINOPSIS

Mengisahkan tentang Fahri, seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa kenalan wanita yang menaruh hati terhadapnya. Namun lebih daripada itu, kisah ini menjalani naik turunnya kehidupan dengan tatacara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Sejak menuntut di universiti itu, Fahri bersahabat baik dengan Maria, jiran tingkat atas flat pengajiannya, merupakan seorang gadis Kristian Koptik yang mengagumi Islam namun, menaruh hati secara senyap terhadap Fahri. Keikhlasan hati Fahri, mendorong dia dan Maria membantu Noura, seorang gadis yang sering didera oleh bapa tirinya, Bahadur.

Suatu hari, Fahri telah membantu seorang gadis berpurdah yang menjadi mangsa amukan warga Mesir kerana memberi tempat duduk kepada dua warga Amerika yang hampir pitam kerana kepanasan dalam gerabak keretapi. Fahri kagum dengan keberanian gadis berpurdah itu. Sempat berbual dan sebelum berpisah gadis itu memperkenalkan dirinya dalam bahasa Jerman ‘mein name ist Aisha’.

Suatu hari, Syaikh Ustman, guru tallaqinya bertanya sama ada dia mahu berkahwin atau tidak. Fahri bingung lalu solat istikharah. Bertemu secara taaruf, akhirnya Fahri mengakui jodohnya bersama gadis itu. Dia ialah Aisha. Namun, perkahwinan dengan Aisha umpama derita terhadap tiga lagi gadis yang menyintainya dalam diam. Tidak cukup dengan itu, Fahri menerima dua dugaan yang paling besar dalam hidupnya. Apakah dua dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh Fahri?

Jawapan yang hanya akan ditemukan dengan mambaca novel yang cukup indah ini.

Kata Pak Samad Said :
“Sesekali dalam ketenangan sastera Indonesia yang datang mengejut gelora seni yang tidak tersangkakan. Jika dulu, pernah hadir Ateist, Perburuan, Pulang, Merahnya Merah dan Bumi Manusia, kini tampaknya gelora itu datang dalam bentuk ‘Ayat Ayat Cinta’ pula. Ternyata, ia adalah sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan. Dengan bahasa yang sederhana mengalir, novel ini menghadapkan kita degan sekelompok mahasiswa Indonesia yang tidak saja tekun menangguk ilmu, malah berupaya mengisi kehidupan dengan penuh sabar. Ayat Ayat Cinta memangnya pintar mengheret kita menjejaki, malah menghidu perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara. Rasanya, memang sesekali kisah cinta yang islamik begini sempat disampaikan dengan penuh tertib. Maka itu, tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di luar dan di dalam negaranya…”

Kata aku :
Aku benar-benar jatuh cinta kepada Ayat Ayat Cinta. Dari muka surat pertama membacanya, sehinggalah muka surat terakhirnya, aku terpaku sekali dengan susunan ayat-ayatnya. Kata nasihat dan ajaran dakwah yang terselit dengan penuh lembut dan aman. Pengajaran itu itu disimpan si pembaca dengan benar-benar rela hati. Jarang sekali sebuah novel dapat berbuat rasa yang begitu. Membacanya juga membuatkan aku merasa turut hidup di bumi Mesir yang tidak pernah aku jejakkan kaki itu. Begitu terperinci gambaran persekitarannya diberikan. Aku cukup senang sekali. Paling aku kagumi bagaimana Fahri mempertahankan prinsipnya. Dia seorang tegas tetapi ketegasan yang disenangi semua orang. Kalaulah, aku juga mampu melakukan perkara yang serupa.. ermm…

[Aku mau saran-kan di-sini, curi-lah kesempatan yang ada untuk mem-bacha novel yang begitu sarat dengan ajaran kemanusiaan ini.. Aku chukop pasti, si-pembacha akan perolihi sa-suatu daripada pem-bachaan ini.. perchaya-lah..]

Monday, May 19, 2008

~ LENA YANG PANJANG ~

Malam tadi, aku telah mengirimkan sms kepada beberapa orang rakan dekat meminta sedikit pertolongan. Selalunya, hampir setiap pagi, aku akan dikejutkan kakak untuk ke tempat pekerjaan. Namun, hari ini kakak masih berada di kampung sempena cuti hari wesak.

Teman jiwa tentunya tidak terkecuali. Berkali2 aku meninggalkan pesan buat dia supaya mengejutkan aku tepat pada waktunya. Pun begitu, dia bukanlah boleh diharap juga kerana selalu aku yang menjadi ‘alarm’ untuk mengejutkan dia hampir setiap pagi.

Setelah usai menekan sms untuk beberapa orang sahabat dekat supaya mengejutkan aku esok pagi, mataku terhenti pada satu nombor. ??? Alamakkk… Rupa-rupanya aku tersalah tekan satu nombor yang aku tidak sepatutnya tekan. Malu!!! Mana harus aku sorokkan muka ku ini… ermmm.. Kenapalah harus ada kesilapan yang begini terjadi..

Biarpun, tidur sedikit lewat malam tadi, kira2 jam 2.30 pagi atau lebih, orang pertama yang mengejutkan aku ialah ibu. Walhal aku sedikit pun tidak membuat pesan kepadanya supaya mengejutkan ibu. Gerak hatinya memahami situasiku barangkali. Suara ibu di hujung talian sayup2 menyuruh aku bangun memulakan hari. Setelah itu, masuk dua panggilan daripada 2 sahabat ku untuk mengejutkan aku.

Teman jiwa??? Ermm.. bagai diduga, dia lena tanpa mahu memberi hujung walapun hanya tinggal 1 jam dia harus bergegas ke tempat kerjanya. Sudahnya aku pula yang berkali2 menekan butang telefon bimbit untuk mengejutkan dia.

Perjalananku begitu lancar. Memulakan langkah dengan kaki kanan barangkali. Terasa segar sekali. Malah gerabak komuter yang lazimnya menjadi pilihan untuk aku meletak lena untuk 1-2 persinggahan sebelum tiba ini, digunakan dengan sebaiknya dengan menghabiskan bacaan novel bertajuk Ayat Ayat Cinta. Tenang sahaja aku mengadap bait2 indah yang disusun dalam novel itu.. ermmm.

[Aku harap, ‘kemalangan SMS’ itu tidak di-panjang-kan… huhuhu..]

Sunday, May 18, 2008

~ TERIMA KERANA SUDI MENUNGGU ~


Dek kerana menyiapkan tugasan sehingga awal pagi, pada jam 12 tengahari, barulah aku mampu membuka mata. Ermm.. memulakan hari pada waktu yang begini? Huhh.. kalau ibu ada, tentu saja ia akan menjadi kemarahan besar buatnya. 2 jam selepas itu, aku bersama teman jiwa sudah berada di perut kereta. Ada rancangan yang kami aturkan semalam untuk mengisi dampingan hari ini.
Jarang aku bercerita banyak tentang teman jiwa di sini. Di ruang ini. Ermm.. ini kerana jika aku memilih untuk bercerita tentang dia atau tentang kami di sini, tentu sahaja kisahnya akan menjadi terlalu panjang sekali.

Sekali lagi hubungan kami didebatkan. Soal agama, soal bangsa dan soal keturunan dibangkitkan. Lagi-lagi itu... Persoalan yang sudah basi untuk di perbincangkan lagi. Aku sudah cukup bosan. Namun, apa lagi yang mampu aku katakan?

Ermmm.. pun begitu, aku pasti tidak akan menyalahkan teman jiwa, andai tiba suatu hari... atau mungkin hari ini atau esok, dia sudah jemu untuk menunggu. Aku tahu dan cukup sedar dia telah menungguku terlalu lama. Bukan setahun dan bukan juga dua.. Malah lebih daripada itu. Pengorbanannya terhadap aku bukan juga sedikit. Sampai mati tersemat kukuh dalam ingatan ini.

Namun, aku tidakkan mampu membelakangkan keluarga sendiri. Itulah satu-satunya harta yang aku miliki di dunia ini. Biarpun pernah ada rasa marah dan kecil hati di atas ketidakfahaman mereka terhadap rasa cintaku buat lelaki yang seorang ini, namun aku tidak akan sama sekali membunuh hati mereka. Itu janji yang paling pasti dan tidak akan berubah sampai bila2 pun.................................................................

[Rela-ku menunggu-mu, seribu tahon lama lagi... Tapi benar-kah hidop aku akan selama ini... Biar ber-putar ke-arah selatan ku tak putos harapan... Sedia setia...]

Saturday, May 17, 2008

~ URUS KERJA YANG TIDAK PERNAH HABIS ~


Seawal jam 6 pagi, aku telah siap siaga di depan skrin. Lena yang sedikit terganggu kerana asyik memikirkan kerja2 yang ku janjikan kepada rakan2 di tempat pekerjaan lama belum lagi selesai. Kebetulan pula hari ini adalah tarikh terakhir untuk menyiapkan semua kerja2 itu sebelum ditutup pada isnin ini. Justeru, aku melawan rasa mengantuk yang banyak ini.

Alhamdulillah.. membuat pekerjaan di awal pagi selalunya membuahkan hasil yang baik. Ilham juga datang datang tanpa ada ganggu. Semuanya berjalan lancar. Mujur aku dapat menyiapkan beberapa tugasan yang diberikan itu dengan begitu lancar sekali. Tepat jam 10 pagi, semuanya sudah selesai dengan baik dan lengkap.

1 jam kemudian, aku sudah berada di tempat pekerjaan lama. Ermm.. sebenarnya aku tidak pernah pun merasa meninggalkan tempat ni. Rasa masih terlalu dekat dan tidak terasa langsung sebulan lebih aku tidak lagi bergelar kakitangan di sini. Aku menghabiskan masa bersama rakan2 ini sehingga jam 6 petang. Lega kerana sekurang2 nya aku dapat meringankan beban mereka.. Mereka, yang terdiri dari rakan-rakanku yang tentunya aku mengenal hati budi setiap seorangnya.

Teman jiwa datang menjemput dan kami mengisi ruang yang ada dengan menonton. Lama tidak punya kesempatan yang begini. Ada sahaja yang menjadi aral. Nah.. hari ini kami menggunakan kesempatan yang ada ini dengan menonton sebanyak dua tayangan.

Sebaik pulang nanti, ada timbunan kerja yang aku selesaikan. Sungguh lega kerana tugasan di tempat pekerjaan lama telah selesai, namun kerja2 yang diminta tepat oleh en boss pada pagi isnin ini juga turut merisaukan. Mahu atau tidak, aku harus menyelesaikannya malam ini juga kerana esok tentu sahaja seharian aku akan mengisi masa di luar. Ermm..

[Kerja-2 yang tidak perenah habes. Huh... ter-ingin satu ketika di-mana aku boleh melupa-kan sementara dari memikir-kan soal-2 kerja ini. Mahu berada di sisir pantai dan men-dengar bisek laut. Ahh.. sungguh menyenang-kan.]

Friday, May 16, 2008

~ HADIAH HARI ULANGTAHUN ~


Hari ini aku berjaya meloloskan diri untuk keluar daripada ruang pekerjaan lebih awal. Mengatur pertemuan dengan BR setelah janji semalam tidak tertunai lantaran urusan kerjanya mengheret sehingga jam 10 malam. BR menemankan aku naik-turun gedung untuk memilih barang untuk aku jadikan hadiah buat seseorang yang menyambut hari ulangtahun kelahiran ini. Beberapa jam mencari dan akhirnya kami menjumpai juga kesukaannya. Mudah-mudahan hadiah ini memenuhi citarasa dia.

Usai segala itu, aku dan BR mengisi masa dengan menghirup secawan coffee. Entah macamana pula, dia ringan pula bertanya tentang teman jiwa. Ermm.. Teman jiwa tetap no. 1 dalam duduknya di hatiku. Titik.

[Minggu ini aku ber-seorangan di-rumah. Kakak pulang ke-kampong. Sepatut-nya aku menyertai mereka, tetapi dek kerana cuti-ku tidak dalam keizinan, maka-nya di-sinilah aku..]

Thursday, May 15, 2008

~ KESOMBONGAN TEKSI ~

Seawal pagi tadi perut ini menyanyi-nyanyi sendiri memberi tanda perlu diisi. Namun, aku malas membuat fikir panjang kerana menu yang tersedia di café tidak pernah menarik seleraku semenjak hari pertama aku menjejak kaki ke sini.

Aku memohon BR menemankan aku mengisi perut sebaik pulang dari pekerjaan nanti. Laju saja dia memberi angguk, sedangkan dia masih dengan urus pekerjaannya. Aku menarik nafas lega atas kesudiannya. Namun, Sehingga jam 7.00 petang pun, urusnya masih belum selesai. Justeru, aku mencadangkan dia supaya mengalihkan pada kesempatan yang lain sahaja. Anggap sahaja bukan rezekiku untuk menghirup secawan coffee bersamanya petang ini.

Kebetulannya juga, seorang sahabat ini tiba-tiba sahaja mempelawa untuk mengisi perut. Ketika itu aku masih di perut kenderaan awam yang meredah sesak lebuhraya dari bandar anggerik ke ibu kota. Mengisi masa yang panjang itu dengan menghabiskan helai2 novel Ayat-Ayat Cinta yang baru sahaja aku dapatkan itu. Leka sahaja dengan tulisan itu sehingga tidak terasa hampir satu jam aku meredah kesesakan.

Mulanya aku tidak terfikir langsung pun mahu menerima pelawaan sahabat ini. Namun, mengenangkan ada cerita yang mahu aku khabarkan pada dia, aku menggangguk. Mahu bertanya sedikit pendapat dan pandangan dari dia. Yaa… aku kembali memberi sedikit kepercayaan buat dia selaku sahabat dekat untuk mendengar.

Pun begitu, lain yang aku harapkan lain pula yang terjadi. Ada subjek lain yang menjadi bahan bual. Dan subjek itulah barangkali menjadi sebab dia mahu menghirup secawan coffee secara tiba2 pada hari ini. Aku berharap telahan ku ini tidak benar.. Harap-haraplah. Tidak sampai 1 jam pun mengatur bual sambil mengisi perut di MD, Bangsar itu… dia kelihatan terlalu mengejar masa. Terlalu. Justeru, aku menurut sahaja. Begitu pun selalu. Ermm..

Aku juga mengejar masa sebenarnya. Bimbang kalau2 tidak ada teksi lagi mahu menumpangkan aku ke rumah sejauh bandar K jika berlewat2 begini. Telahanku benar sekali. Hampir 40 minit aku berdiri menunggu teksi di situ, satu pun tidak mahu menumpangkan aku. Alasannya, Bandar K terlalu jauh dan di luar laluan mereka. Goshhh… jam di tangan sudah hampir menunjukkan ke angka 10 malam. Aku tidak mahu menunggu lagi. Lalu, aku membuat keputusan untuk menumpang bas sahaja. Masalahnya, bas ini akan berpatah balik ke stesen pertama dan aku perlu menukar bas lain di sana sebelum bergerak pulang ke rumah. Dek kerana tiada pilihan lain, aku menurut sahaja. Cuba berhenti dari membuat keluh yang mengeluh panjang. Mujur ada nasib menyebelahiku. Tiba di stesen pertama, bas terakhir yang menuju ke Bandar K belum berlepas. Errmm… Aku tiba di rumah pada jam 11.15 malam.

[Mem-buat lelah di-sepanjang per-jalanan pulang ke-rumah..]

~ TERBABAS ~


Mungkin terlalu penat dengan urus semalam, aku meletak lena yang panjang. Tidur dengan penuh nyaman sekali setelah siang harinya penuh dengan urus2 yang berat. Justeru, hari ini aku begitu berat membuka mata. Sudahnya, lenaku tidak mahu berhenti pada saat jam menunjuk angka 5.

Terus menyambung mimpi dan hanya 3 jam kemudian, barukah aku ada kekuatan untuk melawan rasa mengantuk yang terlalu berat itu. Bersiap sekadar perlu dan aku terus bergegas ke ruang pekerjaan. Tepat jam 10.03 minit, aku tiba menanda kedatangan di ruang pekerjaan. Huhh… pertama kali situasinya berlewat2 begini sepanjang aku mula bergelar kakitangan di sini.

Mujurlah hari ini tidak begitu terberat dengan soal2 kerja. Hari ini sedikit ringan dan santai. Lalu memberi ruang aku bersapa2 dengan rakan2 di skrin. Mencari info tentang beberapa perkara juga.

Pada sebelah petangnya, dua jam sebelum waktu kerja berakhir, aku disapa seseorang di skrin.
“bz atau memang da x nak berkawan ngan saya?"

Aku terdiam di situ. Menatap saja bait perkataan itu. Errmm… sebenarnya aku mahu memberi sedikit jawab. Tetapi fikirku, kalau aku memberi jawab, pasti aku akan tercuit lagi dengan bahasanya. Bagaimana yeaa..

[Coba menerima sa-ada-nya mereka walau pon tidak aku di-terima sa-ada-nya..]

Wednesday, May 14, 2008

~ MELUNCUR CERAMAH PANJANG ~

Hari ini, aku sedikit kelam kabut menyiapkan kerja 'last minutes' yang diberikan oleh en boss. Mujur juga aku tiba di tempat pekerjaan 1 jam setengah lebih awal. Justeru, aku punya masa yang lebih untuk mengemas kini kerja itu mengikut yang sepatutnya.

Pada sebelah tengaharinya, tiba2 telefon bimbitku bergetar. Tertera nama sahabat mei. Dia memberi SMS meminta aku menghubunginya. Aneh sekali. Baru sahaja semakam kami mengatur bual yang panjang. Ermm... Rupa-rupanya, ada sesuatu yang ingin dia tanyakan.
Ketika menjawab panggilanku, dia ternyata masih mamai. Baru sahaja bangkit dari lena barangkali. Terkadang sahabat ini penuh dengan tingkah yang lucu. Dalam suara seraknya yang baru saya sedar dari mimpi itu, sempat pula dia bercerita banyak tentang hal itu dan ini. Turut memberi aku motivasi yang panjang untuk membangun diriku. Begitu pun dia... kerap saja memberi ceramah percuma kepadaku.

Paling membuat aku terkejut apabila dia tiba2 sahaja bercerita tentang dunia 'penulisan kreatifku'. Mahu supaya aku terus memanjangkan minat itu. Aneh. Kenapa dengan tiba2 sahaja? Aku tergelak besar apabila dia tanpa berselindung membuat permintaan supaya aku menulis sedikit untuk dirinya. Katanya anggap saja sebagai hadiah hari ulangtahun buatnya.
Yaa.. hadiah hari ulangtahun. Ermm.. memangnya aku tidak pernah mengirimkan hadiah hari ulangtahun buat sahabat ini. Selalunya, hanya ucap selamat dan doa yang aku sampaikan kepadanya sempena hari ulangtahun.

Sahabat mei beberapa minggu lagi ada urusan di kampung halamanku. Dia memberitahu lebih awal kalau2 aku punya kesempatan untuk berada di sana pada waktu itu. Sibuk dia mahu mencari makanan kegemarannya di sana. Mahu aku memberi cadangan kepadanya tentang tempat2 menarik dia sana. Bersemangat betul dia mahu kesana. Dia memang patut ke sana. Lari sebenatar dari bising hiruk-pikuk kota.

[Selamat hari ulang-tahon kelahiran yaa sahabat... usah di-kelek lagi sengsara lalu itu. Ter-titip hikmah yang banyak di-sebalik itu..]

Tuesday, May 13, 2008

~ UCAP SELAMAT SEBELUM TEPAT WAKTU ~


Sebaik membuat segala yang perlu, aku kembali mengadap skrin. Mahu terus menyiapkan tugasan yang baru sahaja berlangsung petang tadi. Tugasan ini harus siap berada di meja en boss pada seawal pagi esok. Tiba2 terpandang kalendar cantik di sebelah kanan duduk skrin. Bertanda pada tarikh 14 Mei dengan sedikit catatan di tepinya. Errmmm.. terus sahaja aku mencapai telefon bimbit dan menekan nombor sahabat mei.

Walaupun baru jam 10 malam dan tarikh belum bertukar ke 14 mei, aku terlebih dahulu membuat ucapan selamat hari ulangtahun buat sahabat ini. Ucapanku bersambut gelak di hujung talian. Alhamdulillah, lara hidup yang dialuinya berat, mungkin telah dia sisihkan ke tepi. Kami mengatur bual yang panjang. Begitu kami jika punya kesempatan yang begini.

Bagai biasa, dia tidak meraikan hari ulangtahunnya di mana2. Lebih senang bersendirian di rumah. Katanya, kerana hari ini adalah hari istimewanya, justeru dia mahu menghabiskan hari yang istimewa itu dengan dirinya sendiri. Merenung tentang apa yang telah dia lalui dalam tempoh setahun bertambah kematangannya ini. Janjiku kepada sahabat ini sempena hari ulangtahunnya ini, mahu membawa dia menikmati masakan asam pedas yang menjadi kegemarannya itu... dan yang menyimpan banyak peristiwa itu. Ermmm..

Dalam pada itu, sempat juga aku bertanyakan tentang cakap2 orang terhadap dirinya. Cakap2 yang mengatakan kononnya dia telahpun bertemu pengganti dan kini sedang dilamun cinta. Panjang lebar kami bercerita tentang itu. Dia berterus-terang... mungkin atas dasar kepercayaannya kepadaku sebagai seorang sahabat. Mungkin.

Biarpun awal beberapa jam daripada waktu yang sepatutnya, aku tetap membuat ucapan hari ulangtahun buatnya. Lucunya, kata sahabat mei ini, entah kenapa ulangtahunnya pada kali ini, dia mendapat ucapan selamat sebelum masuk tarikhnya. Bagai berjanji mereka semua, termasuklah aku. Kerana apa yaaa? Kerana hanya orang2 yang mengenali diri di sebaliknya sahaja yang punya jawapannya.


ALLAH SELAMATKAN KAMU...
ALLAH SELAMATKAN KAMU...
ALLAH SELAMATKAN SAHABAT MEI
ALLAH SELAMATKAN KAMU...

Doa ikhlas buat sahabat yang seorang ini mudah-mudahan Tuhan mengizinkan kesihatan buatnya, memanjangkan rezeki untuknya yang tidak pernah lokek menghulur, juga dipertemukan jodoh dengan manusia mengerti. Mudah-mudahan dia akan dipermudahkan dalam segala urusan kehidupannya. Aminnnnn...


[Entah mengapa ramai yang suka menyimpan sangka kepada-nya..]