Wednesday, April 30, 2008

~ KASIHNYA IBU ~

Saat jari-jari ini bercerita di sini, jantung kuat dengan debar. Terbayang wajah ibu tanpa henti separuh hari ini. Ermm... AL sayang ibu selama-lama hidup AL. Keampunan AL pohon kerana sering memberi tingkah yang melukakan ibu.

Pagi tadi, aku berkesempatan menonton 'Demi Masa'. Sedikit paparan pengorbanan si ibu terhadap anak. Perngorbanan yang langsung tidak dihargai si anak. Malah, sanggup menipu si ibu demi kepentingan diri sendiri. Menipu tanpa sebab yang besar. Menipu tanpa ada sedikit pun rasa bersalah atau sesal dalam diri. Betapa duduk manusia lain lebih penting dari duduk si ibu di hatinya.

Ermmmm... Air mata luruh.. deras dan kasar menghujani diri. Benar2 tersentuh. Benar2 mengenang dosa terhadap ibu.

[Usah se-sekali menipu atau ber-bohong dengan ibu walau atas apa sebab sekali-pun.. itu pesan yang ter-kutep..]

Tuesday, April 29, 2008

~ ULANGTAHUN KELAHIRAN SI KECIL ~


Setepat jam 6 petang, si kecil beberapa kali menghubungiku. Mengingatkan aku supaya tidak menyinggah di mana2. Mahu meniup lilin dan memotong kek hari jadinya dengan aku di sisi. Ermm.. terima kasih, sayang. Memberi aku duduk penting begitu.

Demi memenuh dia, aku membuat batal kepada semua urus yang ada. Pun begitu aku masih terlambat sampai. Mujur saja dia masih segar menunggu. Ermm…

Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan si kecil comel
Allah selamatkan kamu..

Selamat hari ulangtahun kelahiran ke-8 buat si kecil yang comel dan menjadi kesayangan semua ini. Menjadi kesayangan sejak awal mengenal dunia. Mudah-mudahan membesarmu dengan budi pekerti yang tinggi. Menyanjung ibumu sehingga hujung nyawa di badan. Menjadi bijak pandai yang penuh kekaguman, menjaga tingkah dengan hemah yang terpuji…. Luv u si comel

[Dia kesayangan ramai… tidak bolih tidak tanpa-nya..]

Monday, April 28, 2008

~ SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA ~

Begitupun aku selalu. Kerap aku dalam situasi berdepan dengan tindih tingkat kesulitan. Sepatutnya, aku setepat 6 petang, aku harus bergerak terus meninggalkan bandar anggerik untuk urus lain di dalam janji.

Namun dek, kerana kaki terpinjam gerak orang lain, makanya aku perlu menurut jadual mereka sahaja. Tertunda hampir setengah jam. Resah. Pun begitu, apa pilihan yang aku ada ketika itu? Tidak juga aku membuka mulut kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Sedekat perjalanan sampai, tiba2 kereta kami diberi isyarat seorang lelaki supaya berhenti. Rupa-rupanya tayar depan sebelah kiri pancit. Sungguh kami menyimpan sangka yang banyak kepada lelaki ini, akhirnya mengangguk kepada bantu yang mahu dia hulurkan buat kami. Apa pilihan yang ada lagi… Hari pula semakin menutup gelap.

Dia tanpa membuat lengah terus membuat bantu. Kami membuat sedia kalau2 ada helah dari dia. Pun begitu, sangkaan itu jauh meleset. Dia menghulur bantu dengan mulus. Sedikit upah untuk menghargai ditolak hemah. Tidak juga dia membuat kesempatan lain. Ermm… masih ada lagikah manusia yang mulus begini hidup di dalam hiruk-pikuk kota ini?

Ermm.. lapar. Pun begitu, hasrat untuk untuk melayan selera bersama BR terbantut. Aku membuat putus untuk pulang ke rumah sahaja. Kepenatan dengan hal2 yang tidak berjangka hari ini. Mungkin pada kesempatan yang lain barangkali.

Kepada abang motor yang menghulur bantu, rasa terima kasih yang besar aku rakamkan. Maaf juga kerana membuat curiga pada awalnya. Mudah-mudahan hidup anda dipermudahkan sebagaimana anda mempermudahkan hidup orang lain.

[Mau juga men-jadi tangan yang di-atas..]

Sunday, April 27, 2008

~ MELALUI HARI INDAH ~


Awal pagi menjamah sarapan bersama teman jiwa. Dia tidak memperdengarkan cerita kusutnya. Justeru, aku tidak mahu membuat tanya. Biarlah dia melupa seketika soal berat itu.

Ermm.. melalui hari yang indah bersamanya. Lama tidak bersituasi begini.

[Mem-bacha dia dengan hati]

Saturday, April 26, 2008

~ ALUNAN BEETHOVEN YANG BERGEMA ~


Langkah kanan barangkali. Tidak hanya berjaya berada di skybridge, aku juga punya kesempatan menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Ya… Istana Budaya! Jika minggu lalu aku terbuai dengan gesekan biola Mas Idris Sardi, hari ini aku ke sini sekali kali kerana mahu mendengar alunan Orkestra Simfoni Remaja membuat bunyi di Konsert Klasikal.

Aku duduk senyap menghayati alunan orkestra yang harmoni itu dengan penuh kekaguman. Paling membuat jantung dalam getar saat lagu Beethoven dimainkan. Symphony No. 5 adalah antara lagu2 Ludwig Van Beethoven yang menjadi kegemaranku.


“Simfoni ke-5 secara umumnya dianggap sebagai karya yang penting selama 200 tahun. Simfoni Minor C yang paling dikenali dan dikagumi daripada 9 simfoni disebabkan oleh ciri2 kandungan kemanusiaannya. Beethoven menggambarkan simfoni berkenaan sebagai kebingungan seseorang dalam menghadapi takdir, impian dan sengsara. Tiada seperti empat nota dalam keseluruhan muzik klasik yang setanding dengan karya Simfoni No. 5 Beethoven yang sememangnya memukau para penonton.”


Selain lagu Beethoven, lagu2 lain yang turut berkumandang di Panggung Sari, Istana Budaya ialah Grieg (Holberg Suite), Symphony No. 8 B Minor Unfinished (Franz Schubert), Finlandia (Jean Sibelius) dan Bunga Melur (Tan Sri P. Ramlee).

Orkestra Simfoni Ramaja yang dianggotai oleh 60 orang remaja ini dipimpin oleh 2 konduktor hebat, Mayya Musaeva (Taskent) dan Dr Takahisa Ota (Jepun). Tahniah juga buat ketua orkestranya, yang sangat berbakat, Liu-Yi Retallick.

Puas… sungguh puas tatkala kaki melangkah keluar dari Istana Budaya. Ermm… sejak akhir2 ini aku kerap menyinggah di Istana Budaya ini kerana sudah bertemu rakan satu kepala yang berkongsi kekaguman yang sama terhadap keindahan seni.

Sempat menyinggah di tempat selalu, melayan selera dengan menjamah Char Kue Tiaw yang semakin menjadi kegemaran dekat. Hampir jam 2 pagi, tiba di depan rumah. Ermm..

[Men-chentai berat alunan violin..]

~ SKY BRIDGE KLCC ~











(Foto2 diatas ini dirakam sendiri olehku, tentu sekali tidak secara profesional..)

Dalam aturan janji, hari ini membuat rancang berdamping teman jiwa. Namun, dek kusut serabut yang harus dia selesaikan dalam linkungan keluarganya, kami memilih ketika yang lain. Ermm…

Justeru, aku mengisi ruang yang ada ini dengan menyudahkan kerja2 yang menimbun tinggi. Dek kerana tidak terlawan dek kudrat, aku membawa pulang kerja2 yang berbaki di ruang pekerjaan ke rumah.

Jam 8 pagi, aku sudah siap siaga di depan skrin. Awal pagi membuka mata demi mambuat ringan kepada kerja yang tertangguh ini. Leka melayan urus, aku turut terlupa membatal janji yang terbuat dengan teman pekerjaan di tempat lama. Janjiku, hari ini aku mahu berkunjung ke sana untuk membuat sedikit bantu kepada mereka. Hanya selepas usai segala, baru sempat aku membuat ingat.

Jam 4 petang, aku masih dengan kerja2 yang banyak. Seorang sahabat menghubungiku. Mempelawa aku menyertai dia ke KLCC. KLCC??? Yaaaaa… satu kejutan buat aku kerana sahabat ini menunaikan hasratku yang telah tertangguh sekian lama untuk menjejak kaki ke sky bridge.. Gembira bukan kepalang. Tanpa membuat fikir walau sesaatpun, aku terus membuat angguk setuju.

2 jam selepas itu, kami sudah berada di tingkat 41 menara KLCC itu. Berada di jambatan yang menyambung menara 1 & 2. Berlari2 anak.. merakam foto yang banyak… senyum dengan penuh keterujaan. Kepada orang lain, mungkin ia hanyalah hal2 yang biasa sahaja. Namun, aku ada cerita tersendiri tentang skybridge ini. Justeru, kegembiraanku tidakkan terlahir dengan kata2.

Berdiri di sini mengingatkan aku kepada seseorang. Seorang lelaki yang pernah menyinggah di hatiku. Ketika itu dia bekerja di menara 1 ini.. ermm. Atau mungkin sehingga sekarang dia masih bekerja di sini. Dia pernah berjanji mahu membawa aku ke sini, tetapi kerap menjadi tangguh sehingga kami tidak lagi sehaluan kata. Kubur juga tanpa nesan. Ermm… bagaimana yea dia sekarang.. Sudah bertemu pengganti yang jauh lebih baik daripadaku, barangkali. Mudah-mudahan dia menjadi lelaki yang penuh kekaguman kepada wanita yang berada di sisinya kini.

Arghh.. usah dikendong cerita lalu yang berat itu. Harus aku membuat senyum yang panjang lantaran hasrat hati yang telah tersimpan lama sebaik KLCC terbina ini menjadi kenyataan. Terima kasih wahai si kancil.

[Hari yang men-jadi kenyataan selalu-nya indah dalam kenangan]

Friday, April 25, 2008

~ MENCARI PERCAYA ~


Hampir sebulan aku di sini, di tempat pekerjaan baru. Cuba mencari serasi dengan mereka keliling. Namun, banyak yang bertentang aku. Terhidup aku dalam dilemma meletak rasa percaya. Kepada siapa harus aku halakan sedikit rasa percaya. Mereka memberi curiga yang banyak saat menghulur salam.

Justeru, apabila serasiku berada di luar lingkungan mereka, aku dilihat canggung. Seharusnya ada tanya pada diri mereka, bukan bersoal kepada aku. Ermm..

[Bukan mau ber-lagak baek, ta-tapi sekadar men-jaga laku dalam sadar..]

Wednesday, April 23, 2008

~ PATUNG KERTAS ~

Dengan kesempatan yang ada, aku meluangkan sedikit waktu duduk menonton pementasan teater Patung Kertas. Teater ini mengungkap sisi lain dalam kehidupan seharian kita. Pengkisahan tentang kehidupan golongan 'ketiga' atau dalam bahasa lain golongan yang mengalami kecelaruan identiti. Mereka sering dikaitkan dengan kehidupan sosial yang tidak sihat menyebabkan mereka sering di pandang serong dalam masyarakat. Aku duduk menonton apa yang mereka mahu dedahkan tentang golongan ini. Mencari moral yang ingin disampaikan. Sungguhpun begitu, sepanjang aku menonton aku tidakpun merasa moral itu tersampai jelas. Ermmm..

[Memberi moral, biarlah secara bermoral















Tuesday, April 22, 2008

~ HATI KECIL YANG TERUSIK ~

Aku berkecil hati dengan seorang rakan ini. Kenapa perlu banyak sangkaan diberi untuk aku? Sejak aku menjejak ke tempat pekerjaan baru, ada sahaja silap aku di mata dia. Sungguh terkadang ia menutur dalam gurau senda, namun isinya tetap dalam menikam.

Tingkahku sering sahaja dibaca silang. Menganggap aku melupa teman setelah berpunya kedudukan dan suasana yang baru. Sungguh aku terasa dengan anggapan yang begitu kerana aku tanpa sedikit pun wujud dengan rasa yang begitu.

Hari ini, rakan ini mempelawa aku menyertai dia dan rakan2 yang lain untuk satu acara. Aku menolak hemah. Bukan kerana tiada kesempatan, namun kerana kesulitan lain yang dialami. Alasan itu ditolak mentah2 oleh dia. Tanpa sempat aku menghujung bual, dia terlebih dahulu mematikan talian.

??? Perlukah dia membuat tindak yang begitu? Sungguh aku benar2 berkecil hati dengan tindakannya itu.

[Aku tidak perenah mem-buat lupa kepada semalam]

~ BERAT MULUT ~

Kata orang, malu bertanya sesat jalan.. berat mulut sendiri yang rugi. Begitu juga yang dialami aku. Aku mengalami kesulitan yang besar gara2 aku berat mahu membuka mulut.

Pemalu. Itu aku secara kenyataannya. Aku tidak akan dengan senang hati untuk membuka mulut memohon pertolongan, apatah lagi ihsan agar dibantu. Sungguh bagaimana aku memerlu kepada bantuan itu sekalipun, aku hanya menanti agar di pelawa atau diberi huluran tangan. Jika tidak, aku akan berdepan sendiri walaupun tanpa masuk akal..

Ada yang menyifatkan itu sebagai ego. Namun, aku sama sekali tidak menyokong kenyataan itu. Aku bukan ego. Tetapi aku punya sikap yang begitu berat membuka mulut kerana bimbang permintaan itu tidak terpeduli.

Kerana berat mulut, hari ini aku bertemu kesulitan diri. Aku meredah hujan berat untuk mencari langkah ke arah rumah. Tiba di rumah, badan umpama lunyai tiada nyawa. Arghh..

[Meng-hargai setiap yang ter-hulor ikhlas]

~ KEPALA BERAT ~

Cuaca tidak menentu. Sehari-dua terkebelakang ini, hujan setiap membasah petang. Sudahnya, hampir setiap hari aku lencun. Malas mahu menunggu hujan teduh kerana tidak mahu lewat tiba di rumah.

Demam. Kepala menadi sangat berat sekali. Pun begitu, aku tetap menjalani hari bekerja seperti biasa. Tentu sahaja aku tidak layak memohon sebarang cuti lantaran status aku sebagai pekerja baru di sini. Justeru, dalam keadaan yang berat begitu, aku menjalani rutin pekerjaan harian.. ermmm…

Brad beberapa kali menghubungiku, mempelawa untuk menghirup secawan coffee. Ermm.. mungkin bukan hari ini barangkali.

Jam 7 lebih, aku masih berada di Bandar anggerik ini lagi. Dek kerana hujan yang panjang, kesesakan jalanraya bukan kepalang. Akur menunggu dengan kepala yang berat begitu.

Kurang lebih jam 10, barulah kaki menjejak ke rumah. Penat, berat, sesak dan segala macam lagi rasa mengisi diri. Terlena tanpa sempat membuat urusa lain.

[Ter-habis waktu di jalanan penoh kepenatan]

Monday, April 21, 2008

~ PAK IDRIS SARDI ~







Gambar2 sekitar berlangsungnya Konsert Satu Rasa Idris Sardi di Panggung Sari Istana Budaya. Sungguh mengasyikkan… sungguh menikam… resap terus hingga ke jiwa.

[Ter-kenang ayah. Ayah juga mampu bermain serunai dengan tiupan yang begitu meng-asyekkan…]

Sunday, April 20, 2008

~ ROS MERAH ~


Tentu sahaja bukan daripada teman jiwa. Lelaki itu tahu dan sedia maklum aku tidak pernah mahu atau suka menerima jambangan bunga. Apapun, terima kasih kepada si pemberi.

[Buai laju-laju sampai pucok sena, apa dalam baju, sekuntom bunga cina..]

~ MASIH JUA ~


MASIH JUA
By Chelsea Ng & Douglas Lim

Disini ku menanti
Aku menanti
Dalam tidur ku terjaga
Dan terasa sunyi
Kedinginan semata-mata menyelubungi

Masih jua
Di sini ku menanti
Masih jua
Aku menanti
Masih jua
Aku menanti
Masih jua…
Aku menanti

(Lagu tema drama bersiri Ghost)

[Menanti... hujong yang mungkin sudah dalam tahu..]

Saturday, April 19, 2008

~ IDRIS SARDI, SATU RASA ~


“Kehadiran Idris Sardi untuk mengadakan persembahan di Panggung Sari, Istana Budaya adalah detik manis yang dinanti-nantikan oleh para peminat seni muzik tanahair. Idris Sardi adalah nama besar dalam industri seni muzik bukan sahaja di Indonesia tetapi juga menjadi kebanggaan para peminat dan pemuzik negara serumpun. Sepanjang penglibatannya dalam industri seni muzik, dia telah melahirkan karya2 masterpiece yang akan kekal lama dalam ingatan…” – MOHAMED JUHARI SHAARANI, KETUA PENGARAH ISTANA BUDAYA.

Jam 9.00 malam tadi, bertempat di Panggung Sari Istana Budaya, aku telah berpeluang mengikuti Konsert Idris Sardi Satu Rasa bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan. Perasaan aku? Terlalu seronok, bangga, besar hati dan segalanya yang tidak terungkap dengan bahasa di bibir.

Gesekan biola yang dialunkan oleh Pak Idris Sardi benar2 masuk hingga ke dalam hati ini. Begitu membuai perasaan aku. Bergerak dengan penuh rasa mengikut gesekan biolanya. Sungguh tidak aku sangka lelaki yang sudah menginjak usianya ke angka 70 ini, masih hebat dan bergaya dengan biolanya. Hidupnya seawal usia 5 tahun sehingga hari ini saat dalam usia 70 tahun, masih dengan biola sebagai teman cinta setia.

Sebenarnya sejak malam tadi, kesihatanku tidak begitu memberi izin. Demam dan batuk yang teruk sehingga mengecilkan salur pernafasanku. Sesekali sesak nafas membuat halang yang banyak. Beberapa hari bermandikan hujan yang panjang.. demam dan sakit kepala menyinggah serentak. Namun,. Dek kerana keterujaan untuk menyaksikan konsert yang bertiket serendah RM30 sehingga RM200 ini, aku gagahkan diri. Menelan pil untuk membuat sedikit kebah. Ermm… melakukan perkara yang bukan dalam kebiasan selaluku.

Pun begitu, ku rasakan berbaloi dengan kepuasanku yang ku perolehi malam ini. Konsert yang berlangsung selama 2 jam tanpa henti itu sungguh2 mengasyikkan dengan alunan 27 buah lagu secara instrumental. Aku terbuai di situ. Pun begitu, Pak Idris seperti dapat membaca detik hatiku yang bersuara saat dia menggesekkan biolanya untuk lagu Berhenti Berharap (Shiela On 7). Kala itu, hati berdetik, kalaulah dia memilih untuk menggesekkan biolanya dengan penuh perasaan begitu melalui lagu DEALOVA (Lagu yang membawa ingat berat kepada arwah D), tentu sahaja aku akan menangis.

Sungguh aku tidak menyangka lagu yang seterusnya selepas itu, benar2 lagu DEALOVA mengisi segenap Panggung Sari Istana Budaya ini. Pergerakan badan Pak Idris yang menggesekkan alunan biola itu sungguh membuai rasa dan aku benar2 menangis. Alunannya menusuk sehingga ke dalam sana. Aku sangat2 merindui arwah D. Sungguh.. aku merindui dia. Ermm... al fatihah untuk arwah D.

Konsert dua malam Pak Idris Sardi juga turut menampilkan MOHRAM dengan persembahan istimewa mereka. Ternyata gabungan persembahan mereka sungguh mengesankan. Tidak ada rungutan soal bayaran tiketnya kerana kepuasan yang diperolehi itu tentu saja melebihi nilai wang ringgit yang dikeluarkan itu.

Aku menonton persembahan Pak Idris ini berteman rakan yang satu aliran rasa denganku. Ermm.. kalau aku bersama teman jiwa di sini, tentu sahaja dia sudah terlelap membuai lena yang panjang. Begitu pun dia selalu. Argh.. lelaki itu... Pun begitu, dia tidak pernah membuat rungut kala menemankan aku.

MENGENALI IDRIS SARDI

“Mengapa permainan biola saya begitu menyatu, begitu merasuk dan sangat menyentuh para penikmat musik? Ini karena ketika saya bermain, saya memposisikan diri bermain untuk Tuhan,”

“Dengan muzik dan biola, saya lebur dalam getaran jiwa. Saya tidak dibatasi dengan disiplin ilmu musik yang saya geluti sejak usia lima tahun dengan disiplin ilmu klasik barat yang keras selama bertahun-tahun di bawah bimbingan ahli-ahli musik dari Rusia, Eropah dan Amerika. Saya bertutur rasa dengan mengikuti naluri dan hati nurani yang kemudian mengalir ‘hadir’ dalam ruh musik yang sudah menjadi ‘bahasa perasaan apa adannya. Bagi saya personality menjadi sangat penting maknanya..” – Idris Sardi


· Lahir di Jakarta pada 7 Jun 1938
· Seorang pemuzik senior Indonesia dan mestro dalam bidangnya sebagai violinis.
· Mula mengenal violin sejak usia 5 tahun
· Antara guru yang pernah memberu tunjuk ajar kepada Idris ialah Nicolai Vorfolomeyeff
(pemuzik pelarian Rusia) dan Tordasi.
· Pada usia 10 tahun, Idris telah menapat sambutan hangat pada kemunculan pertamanya
bersama Konsert Akademi Musik Indonesia pada tahun 1949.
· Ketika bapanya, M.Sardi meninggal dunia pada pada tahun 1953, Idris Sardi menggantikan
kedudukan bapanya sebagai vionis pertama merangkap pemimpin Orkes RRIJ, Jkarta pada
usia 14 tahun.
· Pada tahun 1960’an, Idris semakin serius kepada muzik violin
· Antara idolanya ialah Heifetz (klasik) dan Helmut Zackarias (komersial).
· Merupkan seorang pemuzik yang bepengaruh dan menjadi mentor kepada ramai
pemuzik2 lain di Indonesia.
· Idris pernah diiktiraf di Piala Citra dan Festival Filem Indonesia.

[Bahasa rasa yang endah dan meng-asyekkan.]

Friday, April 18, 2008

~ SEDANG DALAM PERTIMBANGAN ~

Urus pekerjaan berjalan lancar. Dengan sedikit kesempatan yang ada, aku membuat singgah di tempat pekerjaan lama. Saja mahu bertanya khabar rakan2 di sana. Aku juga membantu mana yang perlu untuk meringankan beban tugas rakan pekerjaan yang menyambung dan mengambil-alih tugas lamaku.

Mengejutkan, en boss (bekas majikan lama) memohon pertolongan agar aku membuat sedikit hulur bantu. Serba salah dibuatnya. Dengan beban tugas baru yang tergalas di bahu dengan berat ini, tentu agak sukar untuk aku mengangguk setuju dengan sewenangnya. Kesibukan di tempat pekerjaan baru ini berganda tekanannya. Berkejaran dengan tarikh waktu yang langsung tidak boleh dilengahkan.

En boss menawarkan aku agar membuat kerja separuh masa di sini. Siap membincangkan terus soal bayarannya. Aku hanya tersenyum. Bukan soal bayaran. Aku tidak pernah pun meletakkkan itu sebagai bahan perkiraan utama. Aku sekadar mengukur baju di badan sendiri. Tidak mahu membuat janji berdegar, sedangkan kemampuan diri begitu terbatas dengan kudrat yang sekerat. Bagaimanapun, aku akan cuba untuk menghulur bantu setakat yang ada dalam kemampuanku. Aku akan tetap membuat singgah di sini kalau ada kelapangan waktu yang memberi izin.

[Terima kaseh kerana melehat aku dengan pandangan yang positif]

Thursday, April 17, 2008

~ APABILA TIDAK BERJODOH ~

Seawal pagi aku tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk mengikuti satu kes perbicaraan. Sang suami telah memfailkan nusyuz terhadap si isteri setelah baru beberapa bulan membina mahligai dan bersanding di pelamin. Empat bulan berumahtangga dan akhirnnya tersungkur penuh lara. Anehnya pasangan ini telah 9 tahun menyemai cinta. Ermmm.. Khabarnya tersungkurnya mereka kerana campur tangan keluarga. Konflik cinta penuh perjuangan keras mencari secebis restu ini akhirnya kesudahan begini.

Aku melihat diri sendiri. Kisah itu juga seperti membuat cermin kepadaku juga. Bagaimana hubunganku bersama teman jiwa yang masih belum memperoleh restu sehingga ke hari ini. Masa berlalu, hari pantas berganti. Desakan semakin hebat. Ikatan yang dicipta mereka hampir genap setahun pada oktober ini. Ermm…

Aku menyerah kepada keadaan. Kalau ke laut tercampak aku, maka ke lautlah hidupku selepas ini. Andai darat yang mahu memberi teduh, aku jua kan menurut. Tanpa rungut, tanpa bantah lagi. Soal hati yang di dalam ini biar aku yang membuat sembuh.

[Rajok yang belom habis]

Wednesday, April 16, 2008

~ MEMBUAT ANEH ~

Hari ini sedikit kalut dengan urusan pekerjaan. Mujurlah selesai juga sebelum urus lain membuat tunggu. Pun begitu, cuak juga membuat singgah apabila aku dihubungi cik boss ketika dalam perjalanan ke urus luar. Nadanya sedikit serius apabila bertanya sesuatu kepadaku. Rupa-rupanya silap faham yang disimpul dia. Huhh.. Jangan risau, aku tidak akan membuat dia merasa silap memilih aku.

Apabila semeja dengan mereka yang punya punya beda kedudukan dengan kita, tentu sahaja memberi rasa kurang selesa kepada diri. Maklum, sedar diri letak di mana. Golongan marhaen dan golongan bangsawan terbilang, manakan sama gerak lakunya. Pun begitu, aku cuba memberi laku sehabis baik agar tidak terlihat canggung di mata mereka.

Menguruskan pekerjaan seperti yang sepatutnya. Berhasil agak baik walaupun tidaklah sepenuhnya dengan tumpuan. Pun begitu, berpeluang menyertai majlis indah begini, tentu sahaja menjadi pengalaman yang baik buatku. Baik juga apabila beberapa kenalan dekat juga terlibat membuat urus, termasuklah sahabat mei.

Hari ini, aku sekadar membuat sapa kepada sahabat mei. Tidak ada urusan berkait soal kerja dengannya untuk kali ini. Kebetulan pula, aku harus mengejar urus2 lain yang sepatut ada dalam senarai tugasku untuk hari ini. Pun begitu, rakan2 lain dalam kumpulan ada misi mereka untuk berurus dengan sahabat mei. Aku juga tahu apakah ‘misi’ mereka itu. Errmmm… awal2 lagi aku katakan kepada mereka, aku tidak akan menyertai dan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kenapa? Misi yang mereka maksudkan itu terlebih dahulu telah ada dalam tahuku. Pun begitu, ia hanya untuk tahu dan bukan untuk di dimasukkan dalam senarai urus pekerjaan.

Rakan2 dalam kumpulan ini menjalankan misi mereka. Dari riak wajah dan air muka sahabat mei, aku tahu dia kurang selesa dengan misi mereka itu. Aku ada di situ tetapi tidak membuat sebarang celahan kecuali menegur badannya yang sedikit berisi itu. Aku sengaja mengalihkan sedikit tajuk perbualan kerana tahu sahabat mei semakin kurang senang dengan andaian dan pertanyaan yang diajukan itu oleh rakan2 dalam kumpulan ini. Ermm…

Habis disitu, kami membuat tutup juga kepada urus hari itu. Dalam perjalanan beredar dari situ, beberapa rakan ini mengeluh dengan rasa kurang berpuas hati dengan penjelasan sahabat mei. Aku hanya melepas tawa kecil. Padaku, kalau kena dengan caranya, soal itu bukanlah sesuatu yang payah. Cumanya, walau apapun misi kita, fikirkan juga pihak yang lain.

Jam 7.04 minit malam setelah siap siaga membuat santai, telefon bimbitku bergetar. Rupa-rupanya telah beberapa kali panggilan tidak berjawab kerana seketika tadi aku tidak membuat hirau kepada getar telefon bimbitku. Terkejut kerana nama yang tertera di skrin telefon bimbitku itu ialah nama sahabat mei. Dia masih berada di luar dan belumpun sempat menjejak kaki ke rumah kerana perlu bergegas ke urus pekerjaan lain pula. Ermm… sejak akhir2 ini masanya tidak pernah banyak. Aku tahu itu..

Pun begitu, apa yang mengejutkan aku apabila dia bertanyakan soalan tentang rakan2 dalam kumpulan siang tadi. Sebelum aku membuat jawab, aku bertanya kembali kepada dia. Mengapa aneh benar pertanyaan dia kali ini. Sedang sebelum ini tidak pernah pula dia bertanyakan soalan yang begitu. Dia menjawab (mungkin jujur), gerak hatinya yang membuat pertanyaan yang begitu. Disebabkan aku juga kerap percaya kepada gerak hati serupa, maka aku menerima baik jawapan itu.

Aku memberi jelas, dia membuat debat. Aku cuba memberi jawapan yang paling mudah untuk memahamkan dia. Mulanya dia seperti ingin membantah, namun akhirnya seperti bersetuju denganku. Ia memberi selesai yang baik. Aku merasakan komunikasi aku dengan sahabat yang seorang ini semakin baik. Dia juga kini semakin terbuka dengan pandangan orang lain. Hampir setengah jam kami mengatur bual di hujung talian sebelum dia mengakhirinya untuk membuat urus yang perlu itu.

SAHABAT MEI : I peliklah dengan korang ni..
AKU : Bukan ‘korang’ tapi diorang yea… saya tak campur.
SAHABAT MEI : Yerlaaa…(ketawa) Diorang. I tahu u tak, sebab I kenal u.
SAHABAT MEI : Anyway, thanx sebab jawab i dengan jujur.
AKU : No prob. Saya cakap apa yang saya tahu saja.
SAHABAT MEI : Yup.. terima kasih jugak. Nanti apa2 just call me.
AKU : Ok…

Itu perbualan penutup aku dengan sahabat mei. Pertama kali dia membuat panggilan semata2 kerana mahu bertanyakan soalan yang begini. Ermm… entah apa yang ada dalam fikirannya siang tadi. Mungkinkah ada singgung yang telah dibuat oleh rakan2 dalam kumpulan tadi? Ermm..

[Ter-tarek dengan kata-2 yang di-tutorkan oleh sahabat mei siang tadi.. “Sekali Tuhan bagi dugaan kepada kita, sibok kita mau mem-buat biseng… sedang-kan ber-kali-2 Tuhan bagi kita bahagia, tidak pula kita mem-buat syukor..”]

Tuesday, April 15, 2008

~ TERIMA KASIH SI PEMBERI ~


Aku hanya menggelengkan kepala. Untuk apa ya… Sebaik pulang dari tempat pekerjaan, aku menyinggah di KLS untuk satu temujanji. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku membatalkan sahaja temujanji ini. Hujan begitu lebat membasah bumi. Perut jalanraya sesak dengan kenderaan yang berlumba mahu ke destinasi masing2. Air yang melimpah di jalanraya juga menambah sulit kepada kelancaran perjalanan.

Namun, bila terkenang kesungguhan seorang ini, aku membuat redah juga. Berkali2 dia menelefon dan meminta tolong agar aku dapat menyerahkan ‘urusan’ itu secepat mungkin kepadanya. Terkadang beberapa kali dalam sehari memberi ingat aku tentang itu. Memikir kalau aku yang berada di tempatnya yang dalam keperluan itu, aku mengangguk sahaja.

Setelah bertukar naik beberapa kenderaan dari Bandar Anggerik sehingga ke pusat bandaraya, aku tiba juga walau terlewat hampir 1 jam. Ternyata, seorang ini telah siap siaga menunggu. Tidak mahu memanjangkan bual kerana mengejar waktu untuk pulang ke rumah, aku terus membuat urus. Terkebil-kebil aku dibuatnya apabila seorang ini menghulurkan sebuah beg kertas yang kelihatan cantik rapi lihatnya.

Aku mengangkat kening, bertanya dengan isyarat untuk apa dan untuk siapa. Katanya untuk aku sebagai tanda terima kasih kerana sudi membantunya walaupun aku ada pilihan untuk tidak berbuat demikian. Yaa… benar aku boleh sahaja memilih untuk tidak menyusahkan diri begini tetapi aku ikhlas membantu dan tidak kerana ada sebab2 lain. Aku tidak pernah mengharapkan apa2. Cumanya, aku kerap berfikir, kalaulah suatu masa nanti, aku memerlukan pertolongan yang serupa, akan ada orang yang sudi menghulur tangan untukku juga. Itu sahaja.

Berkali aku menolak, namun akhirnya terpaksa beralah apabila lagakku itu mula diperhatikan orang yang lalu lalang di sekeliling. Nanti lain pula yang disimpulkan mereka. Pandangan selalu sahaja silap membuat perkiraan.

Terima kasih untuk si pemberi. Bagaimanapun, jangan terlalu membiasakan dengan cara yang begini. Pengahargaan tidak semestinya berbalas dengan tukaran hadiah fizikal begini. Apa yang penting, apabila kita menerima sesuatu kebaikan, haruslah kita membalas kebaikan itu kepada orang lain pula. Itu lebih baik dan lebih sihat

[Orang ber-budi, kita ber-bahasa..]

Monday, April 14, 2008

~ SERBA SALAH YANG BANYAK ~


Seawal pagi aku telah dipanggil mengadap en boss di biliknya. Aku tidak fikirkan apa2. Mungkin hanya perbincangan soal2 kerja biasa. Itu yang ada dalam fikiranku ketika itu. Namun sebaik sahaja dia menarik satu fail yang terlihat kelibat sahabat nov, aku begitu terperanjat... dan tentu sekali aku gagal menyembunyikan ekpresi wajah terkejutku itu.

CIK BOSS : Kenapa? Dah tahu ker?
AKU : Errr...
CIK BOSS : Kalau dah tahu kenapa tah cakap?
AKU : Ermm..
CIK BOSS : Okk.. saya nak awak uruskan kes ni...
CIK BOSS : cari dia (sahabat nov) dan dapatkan info secukupnya..
AKU : (Mengangguk perlahan)

Huhhh.. bagai nak tercabut jantungku. Sebenarnya aku telah lama tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh sahabat nov ini. Malah, seminggu yang lepas aku baru saja duduk mengatur bual dengan sahabat ini tentang kes yang telah dapat dihidu oleh cik boss itu.

Sahabat ini berkongsi kerana.. mungkin ada sedikit kepercayaan dia kepada aku. Justeru, cerita hidupnya itu terkongsi denganku. Namun, dia siap siaga berpesan agar aku tidak memberi kongsi kepada sesiapapun. Dan aku memegang amanah itu. Yaa.. bukan dengan sahabat ini sahaja tetapi dengan siapa sahaja yang ada mengatur janji dan kepercayaan denganku.

Anehnya, kenapa aku yang dipilih untuk melakukan tugasan ini sedangkan ada lagi orang lain yang boleh melakukannya. Seperti cik boss ini dapat menghidu persahabatan aku dengan sahabat nov.

Ermm.. sukarnya aku melakukannya kerana dia sahabat sendiri. Kalau tidak kerana memikirkan aku masih baru di sini, tentu sahaja aku akan menolak dan mencadangkan nama orang lain sahaja untuk menggantikan aku.

Apapun aku tiada pilihan. Sungguh aku berat hati lalu aku menghubungi sahabat nov ini dan aku nyatakan hal yang sebenar terus kepada dia. Aku berterus-terang kepadanya tentang apa yang berlaku itu. Aku juga terlebih dahulu memohon maaf kepada dia sekiranya selepas ini ada singgung yang akan menyinggah dia. Tentu sekali bukan dari aku, tetapi cik boss boleh melakukan apa sahaja. Aku mohon difahami. Mujur dia memberi sedikit faham walaupun dari nada suaranya aku sedikit terkejut. Pun begitu, dek kerana aku berterus-terang dengannya, dia memberi dengar dengan baik.

Sebaik meninggalakan bilik cik boss pagi tadi, aku terus bersimpul seratus.. ermm... serba salah yang berat tergalas di bahu. Kenapa aku perlu menguruskan soal yang berkaitan sahabat sendiri? Ermmm

[Prinsip-ku tidak-kan perenah ter-gadai]

Sunday, April 13, 2008

~ SENYAP ~

Tiba-tiba spaghetiku menjadi masam. Ada kusut yang membawa ke ribut antara aku dan teman jiwa. Aku membuat rajuk. Rajuk yang panjang. Dia cuba untuk mencari senyum. Namun, rasa kecil hatiku begitu besar dan menutup pujuk dia. SMS, telefon... tidak aku hiraukan. Ermm..

Aku berbahasa sinis. Bukan mahu menyakitkan hati dia, cuma mahu memberi dia faham. Kepercayaan adalah letakknya paling tinggi dalam perkiraanku. Dia lebih tahu tentang itu. Bukan sehari-dua dia mengenali aku. Bertahun-tahun....

[Dalam segala gerak dan rasa.. ermm..]

Saturday, April 12, 2008

~ BERTEMU SAHABAT ~

(Kredit Foto : Filem Dunia Baru The Movie)

Bagai yang dijanjikan, aku melapangkan sedikit masa untuk bertemu sahabat mei seperti yang telah dijanjikan terlebih awal. Tidak lama pun, sekadar memberikan barang yang dijanjikan dan berbual sekadar perlu. Ini kerana ketika itu dia juga sedang bekerja dan tentunya aku tidak mahu membuat ganggu.

Sedikit membuat tanya apabila aku melihat badan sahabat mei ini sedikit berisi berbanding pertemuan terakhir dulu. Lebih bahagiakah kehidupan dia saat ini setelah dihempap ribut taufan besar sedikit masa lalu?

Dia berjanji untuk menjawab persoalan itu pada waktu yang lebih selesa. Yaa.. aku tahu banyak cerita yang mahu dikongsikan dia. Apapun, aku tetap mendoakan yang baik2 sahaja buat sahabat ini.

[Meng-harap air itu lebeh jerneh..]

Friday, April 11, 2008

~ MENGUBAH BESAR KEBIASAAN ~

Diam tak diam, sudah 2 minggu aku bertugas di tempat baru ini. Ermm... Ramai yang bertanya apakah aku senang dan bahagia dengan tempat baru ini. Aku memberi jawapan dengan senyum. Bukan tidak mahu menjawab tetapi aku sendiri belum ada jawapan yang tepat mengenainya.

Jujur aku katakan di sini, sepanjang 2 minggu bertugas di tempat baru ini, aku sering sahaja terlupa dan menganggap aku masih lagi bekerja di tempat lama. Mungkin juga kerana aku masih lagi berulang-alik ke ruang pekerjaan lama meskipun bukan lagi bekerja di sana. Aku masih berjumpa dan berhubung dekat dengan rakan-rakan pekerjaan di sana. Malah pantang ada kesempatan, kami masih semeja untuk makan tengahari atau minum selepas waktu pekerjaan.

Di sini (tempat baru), aku terasa sedikit kekok untuk menyesuikan diri. Bukan kerana persekitarannnya, tetapi kerana orangnya. 'Politik' terlalu kuat di sini. Aku memang sedari awal sudah sedia maklum akan hal itu, namun tidaklah pula menyangka begini hebat penangannya. Di mana-mana sahaja wujud manusia yang bersifat talam dua muka sehingga menyebabkan aku sukar untuk menaruh percaya. Beberapa kali aku terhidang dengan situasi yang begitu.

Nasib orang baru baru barangkali. Mahu 'menyertai' mereka, aku kira aku bukanlah orang yang begitu jenisnya. Bila memalingkan diri, dikatakan pula mahu berlakon baik dan tentunya aku dijauhi. Justeru, apa pilihan yang ada dalam diri?

Aku sedar, mungkin ada diantara mereka yang tidak begitu menyenangi ku dan mengatakan aku ini sombong dan tidak mahu bercampur dengan mereka. Terpulanglah kepada penilaian masing2. Namun, aku telah banyak menukar diri dan dan mengubah banyak kebiasaanku. Sudahlah setakat itu. Aku tidak mahu menjadi orang lain.

Aku tidak pandai untuk menyertai gurau senda 'kasar' seperti mereka... aku kekok untuk duduk semeja dan bercakap2 soal ketidakpuasan hati terhadap rakan2 sendiri.. aku rasa pelik untuk menjadi talam 2 muka dan berlakon lagak aktress terkemuka. Aku tidak boleh memaksa diri untuk menyertai mereka dengan cara yang begitu.

[Aku mau menerus hidop dengan dunia biasa.. dunia aku... dunia sederhana]