Friday, February 29, 2008

~ YANG BUKAN DI DALAM PILIHAN ~


"Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka,
cubalah belajar menyukai apa yang kita dapat.."

Yaa.. itulah juga yang berlaku keatas diriku hari ini. Aku mendapat 2 berita penting hari ini. 1 berita baik dan 1 berita buruk. Namun, yang baik itu seperti tidak begitu 'baik' buat aku dan yang buruk itu juga mungkin ada baiknya.. ermmm..

Pada sebelah petangnya, aku dihubungi seseorang. Aku mendapat tawaran bekerja di tempat baru... Ermmm.. bagaimana yea. Tidak pernah pula aku terfikir tentang soal itu buat ketika ini. Paling membuat serabut, aku perlu memberi jawapan kepada tawaran itu dalam masa yang tidak sampai 1 jam. Gila!!! Bagaimana dalam masa 1 jam ini aku dapat membuat keputusan yang tepat untuk soal2 yang serius begini. Ermmm.... Apapun, sesuatu harus juga keluar dari mulutku. Dan aku telah memberikan jawapan itu.

Sekarang, aku benar2 berserah kepada keadaan. Sama ada keputusan ini adalah keputusan yang tepat atau sebaliknya, aku sendiri tidak tahu. Aku cuma tidak mahu berfikir banyak sehingga menambah galau yang telah tersedia ada. Dalam masa kurang 1 jam pula tu.

Berita buruknya ku terima pada sebelah malamnya. Permohonanku untuk menyertai 1 gerabak ini telah gagal. Jujurnya aku sungguh kecewa kerana terlalu mengharap. Aku sanggup berhenti kerja yang sekarang ini dalam tempoh 24 jam andai permohonan ini memberi hasil. Ermm.. namun nampaknya rezeki tidak menyebelahiku. Aku harus menunggu lagi barangkali.

Yang begitu aku tunggu2kan, gagal digenggam... yang langsung tidak aku hajati pula, datang mempersilakan aku di depan mata. Harus bagaimana?

Bosan!!!

[Sering men-dapat sesuatu yang di-luar pilehan hati.. mengapa yea..]

~ MEMBERI BUAL ~


Hampir 4 jam mengatur bual bersama teman jiwa di hujung talian. Kalau di ikutkan hati, mahu saja aku bertemu dia langsung terus ketika ini. Mahu melepas bual... mahu melepas serabut dan mahu memberi lega kepada diri sendiri.

Kalau dulu, arwah D menjadi tempat bercerita banyak. Aku jarang bercerita secara melulu dengan teman jiwa walaupun dia teman istimewa. D tempat meluah selalu. Malah pernah satu ketika kami bergaduh besar kerana arwah D. Cemburunya teman jiwa kepada arwah D tidak terbanding. Dia tidak pernah menyenangi arwah D sepanjang hayat arwah. Aku boleh keluar dengan sesiapapun, dia boleh berkompromi.. tapi bukan dengan arwah D. Pasti perang besar akan tercetus andai dia tahu aku berhabis masa dengan arwah. Ermm... jujur dia akui, arwah D dianggapnya pesaing merebut aku. Merebut??? Aku menggelengkan kepala saat mendengarnya.. Entah apa yang membuatkan dia berfikir sehingga begitu sekali. Dia fikir, aku ini siapa agaknya... ermmm.

Aku bersahabat baik dengan arwah D sejak sekian lama. Lebih dahulu sebelum teman jiwa muncul dalam hidupku. Banyak rasa dan cerita yang terkongsi dengan arwah D tanpa silu. Kini arwah telah tiada. Baru tersedar betapa besarnya pengaruh D dalam hidupku. Kehilangan lelaki ini sangat amat aku rasai. Dek kerana itu, terkadang aku sengaja mahu membuang ingatan tentang dia. Tidak mahu membuat kenang yang mengundang sebak di dada.

Sejak ketiadaan arwah D, teman jiwa jarang melepas api cemburunya. Dia tidak terlalu bersoal banyak seperti dulu. Dia mempercayai aku 110%. Ermm.. terima kasih! Sebenarnya sejak dulu, sekarang dan akan datang pun, dia harus mempercayai aku.. kerana aku tidak pernah berpaling. Aku dan arwah D benar2 sahabat. Tidak pernah ada rasa yang selebih dari itu. Namun, jika di pihak D ada menyimpan rasa, sungguh di luar pengetahuanku.

Pun begitu, sejak kebelakangan ini.. dia seperti kembali mahu bersoal2 banyak kepada aku. Tentang itu dan ini. Pernah dia menghubungiku semata2 mahu bertanyakan ke mana aku atau bersama siapa aku ketika itu... Ermmm... Entah apa yang ada di dalam kepala lelaki ini agaknya..

[Coba men-chari lena yang panjang]

Thursday, February 28, 2008

~ SENYUM DENGAN ANGIN SERABUT ~


Serabut. Entahlah mungkin aku terlalu fikirkan kemarahan kelmarin. Dan mungkin juga kerana kemarahan ini tidak dilepaskan dengan baik. Sudahnya, sehari dua ini mood tidak begitu baik. Bukan bererti aku memberi tempias kepada manusia sekeliling, cuma senyum itu dalam angin serabut.

Pulang ke rumah hari ini bersambut si kecil di muka pintu. Lama tidak bersua dia. Sepenuh minggu lepas, aku berulang rumah di P.I. Langsung tidak menatap dia. Minggu ini, beberapa hari pula aku asyik pulang lewat ke rumah dan ketika itu dia telahpun lama hanyut di buai mimpi. Hanya malam ini, barulah kesempatan ada bertentang dia.

Hari ini aku meninggalkan ruang pekerjaan agak lewat. Jam 10 malam barulah aku mengatur langkah pulang. Dan tidak sangka pula si kecil masih berjaga. Dia mahu mengatur bual dengan rupa-rupanya. Bagai biasa, hilainya berselang-seli dengan cerita tentang hari indah yang dilalui bersama rakan2 kecilnya di sekolah. Lagaknya seperti aku mengenali semua rakan2 dekatnya itu. Ermm.. yaa cukup mengenali melalui nama2 sama yang kerap ada dalam ceritanya.

Setelah habis ceritanya, tujunya beralih kepadaku. Bertanya itu dan ini. Soalan2 yang cukup mudah tetapi agak payah untuk aku memberikan jawapan yang tepat kepada dia malam ini. Ermm.. bermalas-malasan dengan mood yang belum pulih ke sedia-kala.

SI KECIL : Bukaklah komputer tu, D nak pinjam sekejap.
(Aku telah memasukkan password pada komputerku kerana dia kerap mahu menatap skrinnya)
AKU : D nak buat apa?
SI KECIL : Rahsiee... hehehee
(perkataan yang dipinjamnya dari aku tatkala malas menjawab soalan daripadanya)
AKU : (Ketawa.. namun aku tahu apa yang dicarinya dalam komputerku itu)
SI KECIL : Alaa.. AL tu asyik baca buku ujang tu jer dari tadi..
SI KECIL : Baik D main komputer.
AKU : Komputer abah kan adaa
SI KECIL : Komputer abah, tak best laa... tak ada C.A.. hehehe
AKU : (Diam.. dan kemudiannya menyambung kembali bacaanku.)
SI KECIL : Oo... AL gaduh dengan dia yeaa..
(Dia mula membulatkan matanya yang comel itu)
SI KECIL : AL pegilah cakap kat mak diaaaa
AKU : Aikk.. buat apa cakap kat mak dia?
SI KECIL : Cakaplah kat mak dia, biar mak dia marah diaaaa..
AKU : (Ketawa besar..)

[Si-kechil senantiasa dengan akal-nya.. namon dia tetap meng-hiborkan aku]

Wednesday, February 27, 2008

~ BAIK DENGAN KESENYAPAN ~


Marah. Sedaya upaya aku cuba untuk mengawal kemarahan yang ada. Bagaimana harus bercerita di sini pun aku tidak tahu. Tidak pernah habis rupa-rupanya. Dalam segala situasi yang berlaku (bukan hampir, tetapi semua barangkali) kesalahan jelas diletakkan ke bahuku. Apa sahaja. Sering sahaja membilang gerak lakuku yang kononnya sangat 'tidak kena' kepada orang lain. Sedangkan dalam situasi yang sama, aku juga diperlakukan dengan begitu teruk. Namun, sedikitpun tidak pernah terlihat keadaan kelat yang terpaksa ditelan aku itu. Apa yang aku rasa? Pernahkah terfikirkan apa yang aku rasa?

Aku diam. Yaa.. begitu pun selalu aku. Namun, apabila aku sering sahaja diam tanpa pernah mahu membela diri, apakah itu bermakna aku bersetuju dengan segala tuduhan yang diberi? Apakah kerana aku berdiam, makanya aku boleh diperlaku sewenangnya... lagi dan lagi?

Diam itu lebih baik buat diriku. Aku tidak pernah mahu memanjangkan cerita. Terserah keadaan. Biar keadaan itu sahaja yang akan menjawab suatu masa nanti. Itu yang ada dalam fikiranku selalu. Aku sentiasa gagal untuk membuat penjelasan dengan baik. Justeru aku juga gagal untuk mempertahankan atau membela diri dengan baik. Tidak mahu berdepan kekacauan juga barangkali. Jadinya, memberi kesenyapan itu lebih baik barangkali.

Hari ini, untuk kesekian kalinya, aku berdepan lagi situasi itu. Marah? Yaa.. Sangat2 marah. Dan... sangat2 berkecil hati. Namun, aku cuba untuk mengawal diri dan tidak pula berhasrat untuk memberi perkara yang serupa. Itu bukan aku. Cuma... pintaku hanya satu.. berilah sedikit rasa kemanusiaan. Sedikit sahaja. Cubalah berada di kasutku dan cubalah rasai bagaimana perasaannya jika dituduh dan disalahkan secara total untuk sesuatu yang berpunca bukan aku..

Aku tidak mengatur bual yang panjang bersama teman jiwa seperti lazimnya. Tidak mahu dia menghidu. Lelaki itu mudah benar membaca aku. Dengan suara yang getarnya begini, bagaimana mahu aku berlagak biasa? Tentu sahaja aku tidak akan pernah mahu memberi tempias kepada sesiapapun.

[Aku benar-2 berkechil hati. Ermm... Jam tepat menunjok-kan 3.58 pagi... ]

Tuesday, February 26, 2008

~ BERKONGSI SEDIKIT REZEKI ~


Ai menghubungiku mempelawa aku menyertai ibunya untuk meraikan sekumpulan anak2 yang kurang bernasib baik pada hujung minggu ini. Ermm... Auntie Phia memang sentiasa mulia hatinya. Tidak pernah lupa untuk berkongsi sedikit rezekinya dengan mereka yang kurang bernasib baik. Aku sangat2 mahu mencontohi dia andai ada kemampuan diri kelak. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki untuk mereka sekeluarga.

[Aku pasti, anak-2 yang di-kongsi-kan rezeki itu pasti akan mengirem-kan doa kesejahteraan buat yang mulia hatinya ini..]

Monday, February 25, 2008

~ AKU ADIK & ENGKAU ABANG ~


PAGI YANG GELAP
by hujan

Lebih tua dari ku harap sabar menunggu
Kepulangan mu ku tunggu
Bukan maksud ku mendiam
Tiada niat menyimpan dendam
Hakikat nya rindu yg mendalam
Jalan inikan membantu

Hari esok siapa yg tahu kata ibu dengar sahaja
Cerita hanya kita berdua
Pagi yang gelap kini sudah terang
Aku adik mu dan engkau abang
Ku amat merindui kan mu
Pagi yang gelap kini sudah terang
Aku adik mu dan engkau abang

Ingin ku ulang kemasa dulu
Tak akan putus
hubungan kita
Tarik nafas lega kerna aku tak apa apa
Jalan inikan membantu
Hari esok siapa yg tahu kata ibu dengar sahaja
Cerita hanya kita berdua

Pagi yang gelap kini sudah terang
Aku adik mu dan engkau abang
Ku amat merindui kan mu
Pagi yang gelap kini sudah terang
Aku adik mu dan engkau abang
Ingin ku ulang ke masa dulu

[Aku juga mau men-jadi kakak yang men-jaga adek-nya..]

Sunday, February 24, 2008

~ MENYESUAIKAN DIRI ~

Menemani teman jiwa menghadiri majlis perkahwinan seorang kenalan dekatnya di Seremban. Mulanya aku menolak mahu menyertai, namun segala alasan yang diberikanku tidak 'laku' dalam pertimbangan dia. Justeru, mahu atau tidak terpaksa jugalah aku mengangguk.

Susah betul aku mahu menyesuaikan diri di majlis ini. Bimbang kalau2 tersilap laku yang tentunya akan mengundang perhatian orang lain. Tiada seorang pun yang 'serupa' wajah denganku di sini. Mujurlah teman jiwa sentiasa bersamaku. Malah dia juga mengingatkan aku agar tidak sewenang menjamah makanan yang terhidang.

Teman jiwa juga memperkenalkan aku sebagai teman istimewanya kepada rakan2 nya yang menyapa pada majlis ini tanpa silu. Ermmm.. namun, aku tidak pula melakukan perkara yang serupa. Aku tidak pernah mahu memperkenalkan dia di kalangan teman2 atau sahabatku. Jika ditanya siapa dia, aku lebih senang mengalihkan topik perbualan atau mendiamkan diri sahaja. begitupun selalu. Ermm.. kenapa? Ermm.. tidak mahu menjawab banyak tanya.

[Sa-orang teman asyek menyinder aku... sudah pupos-kah lelaki melayu di-mata aku sa-hingga teman jiwa men-jadi pilehan.. ermm apa masalah-nya??]

Saturday, February 23, 2008

~ TERCUAI INGATAN ~


Kemaafan ku pohonkan untuk rakan ini yang mana aku telah tercuai ingatan saat dia meraikan hari ulangtahun kelahirannya semalam. Errmm.. ya sungguh aku terlupa tentangnya. Kesibukan dengan urus pekerjaan dan melayan emosi yang penuh dengan hujan semalam membuat aku tidak mempeduli soal2 lain. Kalau tidak kerana dia menyebut dan mengingatkan aku malam tadi, tentu saja aku terus-terusan lupa. Yaa.. lupa walaupun dia terlebih dahulu mengingatkan aku 2-3 kali sebelum ini.

Kepada rakan ini, Selamat menyambut hari ulangtahun kelahiran. Mudah-mudahan hari ini menjadi titik permulaan atau anjakan kepada kehidupan yang lebih baik lagi selepas ini. Doa ikhlas dariku juga semoga segala kusut masai yang dilalui dia dengan bonda tercinta akan bertemu hujung. Percayalah, ada selesai andai sabar dan tolak ansur menjadi pegang. Selamat Hari Jadi.. Panjang Umur, Murah Rezeki...

[Tarekh ini juga ter-ireng 1 peristiwa kelat 2 tahon lalu... Dek kerana itu-lah rakan ini sering mengingat-kan aku tentang tarikh kembar ini..]

~ LANTAI RASA ~

(foto yang diambil dari tingkat 17, suasana condominium, kl sentral)


LANTAI T. PINKIE

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Engkau bahagia Pinkie
Kaki menari
Engkau bahagia Pinkie
Lantai Berbunyi

Engkau bahagia Pinkie
Engkau bahagia Pinkie
Lantai sembunyi gementar hati

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Engkau bahagia Pinkie
Bertukar ngeri
Engkau bahagia Pinkie
Tak ku rasa lagi

Engkau bahagia Pinkie
Engkau bahagia Pinkie
Lantai sembunyi gementar hati

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Lantai T. Pinkie...
Lantai T. Pinkie...
Lantai T. Pinkie...

LAGU : Pak Ngah
LIRIK : Rosminah Tahir



TEGUH LINDUNGAN

Lantai ini lantai T. Pinkie
Tempat penglipurlara
Mengubati luka jiwa
Nak payah untuk sembuhnya

Lantai T. Pinkie lantai sengsara
Jiwa nan lara insan nan mesra
Antara dunia nyata berbeza
Ataupun hikayat cuma

T. Pinkie berkocak jantung berdegup
Memilih satu kepastian
Anjuran bijaksana
Pada batin yang gering

Hatiku rahsia malam yang suram
Menyusur zaman kenangan
Mencari pangkal yang hilang
Sebuah teguh lindungan

T. Pinkie hati terusik
T. Pinkie ayu jelita
T. Pinkie hati berbisik
T. Pinkie kau bahagia..

LAGU : Pak Ngah
LIRIK : Rosminah Tahir


[Jari-2 yang teros ber-cherita..]

Friday, February 22, 2008

~ KALAULAH YANG SENYAP INI BOLEH DIDENGAR ~


Aku menulis entri ini dengan berhujankan airmata di pipi. Tiada esak.. tiada sendu dan tangis... hanya mutiara jernih itu yang laju membasah pipi. Aku baru sahaja dimarahi ayah. Ada berita yang tidak benar menyinggahi telinga ayah dan sudahnya ayah menyinga di hujung talian. Sepatahpun aku tidak menjawab. Membela diri pun tidak. Begitupun aku selalu. Namun kesenyapanku tidak bermakna aku bersetuju dengan semua itu.

....................... aku sangat2 berkecil hati.

[Perlu-kah aku belajar untok bangket mem-bela diri?... ermm.. aku senantiasa gagal untok mem-bela diri. Itu kenyataan..]

Thursday, February 21, 2008

~ MENGGAMIT KENANGAN ~


Pintu gerbang utama untuk memasuki UM (Dari arah jalan Bangsar)

Jalan masuk ke Kolej Kediaman pertama (ASTAR) yang ku cintai...

Pandangan dari jauh Dewan Tunku Canselor @ lebieh mesra disebut DTC


Bangunan Peperiksaan.. tempat yang paling takut untuk kami jejaki..


Perpustakaan utama...


Kompleks Perdanasiswa


Rumah Universiti

Seketika mengatur bual bersama teman jiwa membuat kami terimbas jauh kenangan lalu ketika masih dalam pengajian. Anehnya ketika menuntut di kampus Universiti terulung dan tertua ini, kami tidak pernah menjalinkan apa2 rasa. Hanya setelah berada di alam pekerjaan dan lama meninggalkan kampus, barulah termeterai janji hati... dan terjadi juga secara kebetulan. Takdir, bukan.. Ermm..

Beberapa hari lalu juga kebetulannya, aku mengajak sahabat june untuk melewati kawasan kampus. Tidak dalam perancangan kerana ia terjadi secara kebetulan apabila kami melalui laluan tersebut. Lalu aku yang hanya mengacah untuk memasuki kawasan kampus itu menjadi kenyataan apabila sahabat june benar2 menghalakan keretanya ke sana.

Teruja. Kembali aku menatap kolej tempat kediamanku suatu waktu dahulu. Kolej pertama, Kolej Tunku Abd Rahman atau lebih dikenali sebagar ASTAR. Sepanjang pengajian daripada tahun pertama sehinggalah tahun terakhir aku menetap di kolej. Sedang ketika itu, ramai rakan2 lain lebih selesa menyewa di luar.

Justeru, ASTAR banyak sekali menyimpan kenangan buatku. Di sinilah aku bergelak ketawa, menangis dan semuanya. Di depan kolej juga aku ditimpa kemalangan teruk sehingga hampir sebulan bertamu di hospital dan terkesan sehingga kini. Kalau tidak kerana sahabat june yang mengejar masa untuk urusan lain ketika itu, pasti aku akan turun dari kereta dan berduduk2 seketika di situ. Meninjau2 situasi yang tidak banyak berubah itu. Susun aturnya masih tetap serupa sehinggakan aku dapat membayangkan satu2 kejadian yang berlangsung di situ.

Terkenang... Bilik yang menjadi tempat aku dan teman sebilik menyaksikan pelbagai drama yang dikerjakan tanpa pengarah (bilik terakhirku betul2 berdepan dengan kawasan tempat letak kereta). Terpandang dewan makan (dewan Tun Perak) yang menjadi tempat aku beratur panjang hanya kerana mahu mendapatkan lauk sambal sardin (menu tengahari selasa dan jumaat malam), Tangga hijau (yang juga kami gelarkan tangga bodoh) yang menjadi laluan utama kami untuk ke kelas, pondok telefon yang menjadi saksi percintaan aku dengan N, bangku panjang di hentian bas yang menjadi tempat bual aku dan arwah D dan semuanya... Semuanya masih ada di tempatnya.

Ermm.. Sebelum ini, pernah juga aku menyinggah di kampus ketika Jessy (adik teman jiwa) masih menginap di Kolej (kolej ke-lima). Namun, Jessy kini lebih selesa tinggal menyewa di luar kampus bersama rakan-rakannya. Bayarannya pun jauh lebih murah. Itu kali terakhir aku memasuki kampus.

Ermm... aku bercadang untuk sekali lagi menyinggah di sini. Kali ini mahu menjengok ikan2 di tasik kampus yang dulunya sentiasa menjadi tumpuan aku dan rakan2 selepas makan pada jam 6 petang. Ikan2 yang banyak mati dek kerana makan roti yang kami sajikan (indah kenangan itu). Ermm.. masih ada lagikah ikan2 itu?

[ASTAR banyak menyimpan kenangan aku dan N... banyak sekali..]

Wednesday, February 20, 2008

~ NYONYA ~















Sekali lagi aku punya kesempatan untuk menyinggah di Istana Budaya. Kali ini kerana aku begitu teruja mahu menonton pementasan teater NYONYA. Kali terakhir menonton teater di Istana Budaya ini ialah ketika pementasan P. Ramlee The Musical.. Menonton kehebatan Liza Hanim yang beraksi sebagai saloma ketika itu.

Sungguhpun NYONYA tidak dipentaskan di Panggung Sari sebaliknya di Lambang Sari, ia tetap memberi kepuasan yang tersendiri. Aku sangat2 terhibur sepanjang menonton persembahan yang diterajui oleh Juhaya Ayob, Zaifri Husin, Khatijah Tan, Melissa saila, Tania zainal dan Yani Mae itu. Penghargaan tentunya kepada si pengarah yang cukup berkaliber, Pn Rosminah Tahir. Pengarah sama yang mengarahkan Teater Muzikal Lantai T. Pinkie yang telah membawa aku sebanyak 3 kali mengatur langkah ke panggung Sari untuk menonton teater tersebut.

NYONYA yang skripnya ditulis oleh Wisran hadi ini sebenarnya telah dipentaskan sebanyak 3 kali dengan barisan pelakon yang berbeza. Kali keempat pementasan ini merupakan kali pertama berlangsung di Istana Budaya. Kejayaan buat Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM).

"Naskah NYONYA ini jika dilihat secara kasar merupakan karya yang bersifat humor kerana watak2 nya menggunakan dialog berjenaka. Namun, apabila mentafsirkannya secara tersirat adalah sebuah karya yang kaya dengan metafora, simbol dan personafikasi yang mampu membuat khalayak berfikir secara profesional"

Justeru, jangan ketinggalan menyaksikan pementasan teater NYONYA yang masih berbaki beberapa hari lagi pementasannya. Teater NYONYA dipentaskan di Lambang Sari Istana Budaya bermula 20-24 February 2008. Tiket atau bayaran masuknya juga tidak mahal, hanya RM30 & RM50 sahaja. Sementara RM20 pula untuk golongan warga emas dan kanak2. Usah risau kerana bayaran itu pastinya berbaloi dengan kepuasan yang diperolehi.

[Tidak kering gosi melehat aksi lakunan bonda kepada Pierre Andre ini, Khatijah Tan. Letak-lah dia di-mana, dia tetap hebat..]

Tuesday, February 19, 2008

~ MENGISI TEMUJANJI ~


Pada sebelah petang nanti, aku ada temujanji dengan En S di SB, GEM, Ampang. Dia mahu melanjutkan perbincangan tentang kertas kerja tempohari. Ermm... Sejak dari awal lagi, aku katakan aku akan menggelengkan kepala kepadanya. Bukan tidak berminat, namun rutin kerja yang menghambat selain soal peribadi yang banyak membuat igau kebelakangan ini sedikit mengganggu.

Aku memenuhi temujanji hari ini sekadar mahu menghirup secawan coffee sambil mendengar usaha baru dari dia. Usaha yang sering membuahkan idea segar. Seronok kala dapat duduk semeja dengan En S ini yang sentiasa melihat hingga ke hujung dunia ini..

[Mau meng-hirop se-chawan coffee dengan aman..]

~ SUKA & BENCI ~


SUKA milo
BENCI teh (1 rumah pun tak suka teh)

SUKA sardin (Kalau nak belanja, belanja sardin jer..)
BENCI roti canai

SUKA laut/pantai
BENCI hutan (banyak nyamuk.. seram pulak tu)

SUKA menulis
BENCI bercakap banyak (orang cakap banyak nih bosan jer)

SUKA muzik instrumental & /klasik (beethoven, mozart, yanni, kitaro.. ehh semuala)
BENCI dangdut

SUKA merah
BENCI kuning (Tapi waktu sekolah selalu dapat rumah sukan kuning)

SUKA budak yang nama Izani (teman sepermainan waktu kecil dulu)
BENCI budak yang nama Rosli

SUKA subjek geografi
BENCI subjek lukisan (Langsung tak pandai melukis.. macamana nak suka..)

SUKA anuar zain (ermm.. dah dia memang best kan)
BENCI errrr…. Rahsieee

SUKA sikat rambut sebelum dan selepas bangun tidur
BENCI tidur dalam kereta (hormatilah pemandu anda..)

SUKA filem2 yasmin ahmad
BENCI filem Hindustan laa (pening laa kalau tengok cerita nih)

SUKA tun dr mahathir mohamad
BENCI wakil rakyat di kampung halamanku. (siapalah yang mengundi dia nii)

SUKA tembikai
BENCI durian, nangka, cempedak dan yang sewaktu (busuk.. peninggg)

SUKA lipat kain
BENCI memasak (asyik tak jadi macam menu jer.. mana nak sukaa)

SUKA tengok wayang
BENCI shopping (duit tak banyak.. memang laa menyampah kan..)

SUKA masuk kedai buku (tempat wajib..)
BENCI beratur di kaunter pembayaran

SUKA menelefon ibu waktu subuh hari
BENCI bila orang buat miss call (kena ker nak miss call-miss call..)

SUKA diam bila rasa marah
BENCI menerima tempias dari kemarahan orang lain.. (selalupun..)

SUKA makan lengkong
BENCI errrr… kek laaa (semua kek pun tak sedap..)

SUKA lepak kat jambatan di putrajaya (tempat paling cool…)
BENCI tempat selalu menunggu teksi pergi dan balik kerja

SUKA UM
BENCI Err.. tetttt.. (diorang nih suka berlagak laa.. tak faham aku)

SUKA bulan oktober
BENCI bulan april (sebab selalu kena april fool)

SUKA sg wang plaza
BENCI klcc (banyak kenangan tak best kat sini.. huhuhu)

SUKA tampal koyok
BENCI ubattttttt (pernah campak ubat yang diberi dr dari tingkat 6 katil hospital)

SUKA merajuk (dah nak marah tak boleh, merajuk laa)
BENCI menangis

SUKA sahabat yang menghargai sahabatnya
BENCI di tipu sahabat sendiri

[Kata orang2 tua, usah suka ter-lalu banyak.. benci juga biar ber-pada.. kelak yang banyak itu bertukar rasa.. ermm..]

Monday, February 18, 2008

~ RACAU ~


RACAU
(Obsesi buat seorang rakan yang sedang meracau hatinya)

Anak itu dengan tangis
Bengkak mata sendu berarus
Benarkah itu tangan si sibu?
Menikam hatinya tanpa usul
Biru wajah menahan luka

Tinggi dia menyanjung si ibu
Besar sayangnya tidak berganti
Namun mengapa diracuni?
Membiar kelat hatinya dengan galau
Berdiri dia membangkang
Bukan kerana mahu
Bimbang ia besar meluah rasa

Lalu…hentikanlah
Usah dibiar setitik hitam ini
Menjadi tompok
Dia tidak mahu berdosa
Kerna syurga itu di telapak kaki ibu

(14 february 2008)

Ibu... berilah sedikit dengar untuk anak itu. Besar sayangnya yang menjadi korban. Mengapa harus diletak dia pada kedua? Selami dia kerana dia sedang dengan racau. Selamatkan dia sebelum jauh dia hilang.

[Anak itu tidak ber-dosa ibu... usah melayan dia begitu.. ermm..]

Sunday, February 17, 2008

~ SELAMAT PENGANTIN BARU ~


Selamat pengantin baru buat pasangan secocok, Hafizah & Azri yang selamat diijabkabulkan pada 16 February dan disandingkan pada hari ini 17 February. Mudah-mudahan berbahagia hingga ke akhir hayat.

SELAMAT PENGANTIN BARU
by saloma

Selamat pengantin baru
Selamat berbahagia
Selamat ke anak cucu
Selamat sejahtera

Semoga berkekalan
Semoga berpanjangan
Semoga satu tujuan
Semoga aman

Hidup mestilah rukun
Sabar paling perlu
Cinta setiap hari
Senyum mesti selalu..
Oh..oh..oh..

Selamat pengantin baru
Selamat berbahagia
Selamat ke anak cucu
Selamat sejahtera

[Donia baharu dan kehidopan baharu.. selamat yaa..]

Saturday, February 16, 2008

~ KONSERT WARISAN BUDI MALAYSIA ~










Melewati kesempatan yang ada, aku menyinggah di Istana Budaya untuk menyaksikan Konsert Warisan Budi Malaysia yang dianjurkan oleh KEKKWA. Bukan kerana urusan pekerjaan, bukan kerana menemani atau dipengaruhi seseorang tetapi aku sememangnya menggemari acara2 yang sebegini.

Lagu2 patriotik mengisi ruang dengan penuh bergaya sekali. Indahnya apabila perkongsian budaya serata rakyat dari Perlis hinggalah ke sabah diterapkan. Asyik dengan tarian sewang orang asli sehinggalah kepada pegun alunan 5 buah piano yang dialunkan serentak dengan pasukan koir yang hebat. Bangga menyaksikan persembahan yang didiringi Barisan Orkestra Simfoni Kebangsaan yang seramai 44 orang itu. Ermm.. Apa lagi yang dapat aku katakan kala punya kesempatan yang begini..
Aku sebenarnya pengunjung setia Istana Budaya. Dari persembahan teater sehinggalah kepada persembahan acara kebudayaan yang lainnya. Andai punya kesempatan yang baik, pasti aku akan menjadi tamunya.

Namun minat dan kecenderunganku ini tidak terkongsi bersama teman jiwa... malah rakan2 yang lain juga. Sukar mencari rakan sealiran yang gemar kepada acara2 yang begini. Justeru, aku kerap menggaru kepala untuk mencari teman tepat untuk menyinggah di Istana Budaya ini.

Teman jiwa tentu sekali akan menemankan aku sekiranya itu yang aku usulkan. Ke bulan ke bintang sekalipun andai itu yang ku pinta. Namun, aku seorang yang realistik. Aku tahu dia tidak pernah berminat langsung dengan acara yang begitu. Justeru, adalah tidak adil untuk aku memaksanya menghabiskan masa dengan semua itu.

Menariknya ketika menyaksikan persembahan ini juga, aku bertemu rakan lama. Rakan ketika masih di pengajian, ES. Dia rupa-rupanya kini telah menjadi penari profesional di Istana Budaya ini. Rupa-rupanya minatnya yang mendalam dalam bidang seni ini telah membuatkan dia meninggalkan bidang perubatan yang sepatutnya menjadi profesion tetapnya. Begitu kecintaan dia. Dan aku juga pasti, banyak pengorbanan yang telah dia lakukan untuk merealisasikan semua ini. Mudah-mudahan besar kejayaan buat dia dalam menggapai mimpinya itu.

[Ter-ingin untok menonton persembahan di-dewan Philharmonik KLCC]

~ MEMBUAT SELERA ~


TAJUK : Selera Himpunan 1001 Resepi Terpilih
SUSUNAN : Amelia Mustafa
TERBITAN : Crecent News (KL) Sdn Bhd
MUKA SURAT : 1016
HARGA : RM49.90

[Tiba-2 memileh buku masakan untok di-kelek ke-kaunter pem-bayaran.. ermm..]

Friday, February 15, 2008

~ BILA HUJAN DI TENGAHARI ~


"Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari". Begitulah lumrah hidup kita sebagai manusia biasa yang hanya mampu merancang tetapi segalanya Tuhan yang menentukan. kehidupan lazimnya begitu. Justeru, apa sahaja takdir yang tertulis buat kita, terimalah dengan hati yang berlapang dada. Biar perit dan kelat bagaimanapun, pasti akan teriring sesuatu yang baik buat kita di sebalik itu.

Malam tadi, aku menjadi pendengar setia kepada seorang rakan ini. Mendengar kisah dan tangisannya yang panjang itu. Ermm... Di sebalik keterujaan dia membuat persiapan untuk meraikan "Hari Kasih Sayang" beberapa hari lalu, ada kisah lain menanti dia. Rakan ini diputuskan 'kasih sayang' pada hari yang mahu diraikan itu.

Tangisnya di hujung talian semakin laju. Aku terdiam. Ligat memilih perkataan untuk diberi kepada dia agar dia sedikit tenang dalam kekacauan itu. Rupa-rupanya, rakan ini telah siap siaga menempah meja di sebuah restoran untuk meraikan hari yang mereka anggap istimewa ini. Namun, alangkah hancur hati nya apabila kekasih yang tersanjung tinggi itu memutuskan dia beberapa jam sebelum janjitemu istimewa pada malamnya. Puncanya? Yang dalam tahuku, hanya pergaduhan kecil.. Namun, yang selebihnya hanya mereka yang tahu.

"Arggh.. lelaki semuanya tak guna!" Jerit rakan ini dalam sendu-sedan yang mengisi emosinya. Aku diam, tidak membantah. Biar saja dia luahkan yang terbuku di hatinya itu. Ermm... jauh di sudut hatiku ingin kukatakan kepada dia, kita ini semuanya sama sahaja. Kita semua adalah manusia yang penuh dengan kekurangan. Tiada apa yang sempurna. Justeru, antara sesama kita harus ada sikap tolak ansur yang banyak. Perselisihan harus diselesaikan dengan perbincangan dan persemukaan. Lelaki mahupun perempuan sama sahaja. Diberi Tuhan hati dan perasaan yang sama. Dan... terpulang kita bagaimana mahu menjaganya.

Ermm.. sebenarnya ini bukan pertengkaran pertama rakan ini dan teman lelakinya yang dalam tahuku. Sungguh aku tidak berniat menyebelahi sesiapa. Namun, yang ada dalam pandanganku kalaulah sikap saling menghormati itu tinggi diangkat sebagai prinsip, tentu sahaja perkara begini dapat kita atasi. Apa sekalipun kedudukan dia, jangan sesekali kita bersikap merendahkan seseorang.

"Terima seadanya"... Yaa.. itu yang kerap kita lafazkan apabila memeterai janji hati dengan seseorang. Namun, sejauh mana kata2 itu kita pegang? Salahkah kalau kita berubah untuk kebaikan sungguhpun begitulah 'adanya' kita saat dia mengenali kita? Ermm...

Rakan ini sewaktu mengatur perbualan panjang denganku sedang membuat tenang di sebuah tempat diam nun di Bukit Antarabangsa. Mencuri pandang kepada gemerlapan indah bumi Kuala Lumpur yang bersimbah cahaya secara bersendirian. Dia di situ sehingga embun pagi menitik memberi lalu.

Ermm.. Hati perempuan.. Namun, aku berharap agar dia tidak terlalu rapuh. Muhasabah diri. Menyimpan baik jari telunjuk agar tidak terhala kepada sesiapa. Mungkin ada kurang di dalam diri yang harus kita perbaiki. Membina diri itu adalah paling baik buat ketika ini.

[Baju yang koyak-tampal, koyak-tampal tentu-nya sudah tidak chantek untok di-pakai lagi...]

Thursday, February 14, 2008

~ VALENTINE'S ~


Aku tidak pernah berminat menyambut atau meraikan hari valentine's. Teman jiwa tentunya sedia maklum tentangnya sepanjang mengenali aku. Malah dia juga sependapat dengan hujahku.

Ermm.. namun sebentar tadi, sebaik memasuki tarikh 14 February, aku menerima ucapan valentine's daripada Kml. ??? Malah, siang tadi juga menerima bungkusan coklat daripada dia.. ermm... Apalah yang ada di dalam kepala dia agaknya.

Nama kmal selalunya akan membuat senyumku akan menjadi kelat.. Selalu... Kenapalah dia muncul dalam hidupku. Ermmm.. usahlah selalu muncul.. kelak senyum yang kelat ini sukar untuk menunjukkan manisnya lagi.

[Jodoh, ajal, maut.. di-tangan Tuhan...]

Wednesday, February 13, 2008

~ PARLIMEN DIBUBARKAN ~

Hari ini, 13hb February, Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Apabila parlimen dibubarkan, makanya Pilihanraya Umum akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari sekarang. Ermmm.. tetapi dalam pertemuan dengan pihak media semalam, PM kata parlimen tidak jadi dibubarkan. Malah menafikan juga yang mesyuarat kabinet minggu ini adalah yang terakhir. Tiba2 hari ini mengumumkan parlimen dibubarkan pula. Ermm...........

Sebaik sahaja mendapat tahu parlimen dibubarkan, ayah siang2 telah menelefon dan mengingatkan aku supaya mengambil cuti dan pulang untuk mengundi. Ermm.. Yaa.. aku akan mengambil cuti dan pulang ke kampung halaman pada hari pilihanraya itu. Tetapi aku tidak bercadang pula mahu mengundi. Ermm... Memanglah bunyinya seperti tidak bertanggungjawab pula.

Sebenarnya ia satu protesku terhadap rasa tidak puas hati terhadap para pemimpin di sana. Aku tidak menyokong parti pembangkang. Ya.. itu jelas. Tetapi aku juga tidak berpuas hati dengan pemimpin dari barisan kerajaan yang dipilih menjadi wakil rakyat di sana (aku hanya merujuk di kawasan kampung halamanku sahaja). Aku menyokong usaha dan perjuangan parti tersebut, tetapi aku tidak menyokong langsung pemimpin yang dipilih itu.

Tidak perlulah aku jelaskan secara besar di sini sebab-musababnya, cumanya aku mahu katakan YB tersebut adalah antara wakil rakyat yang cakap tidak serupa bikin dan mementingkan kroni. Aku mungkin tidak layak untuk bercakap lebih dalam tentang soal ini kerana aku bukanlah orang yang arif atau terlibat secara langsung dalam bidang politik ini. Cuma itu adalah berdasarkan pengamatanku dari jauh dan pengalaman yang di lalui ayah yang telah bertahun mengabdikan diri untuk sama berjuang2 demi parti yang diyakininya dapat merobah nasib bangsa di Tanah Melayu ini.

Aku tahu ayah kecewa dengan sikap dan permainan politik dalam parti yang dipilihnya itu, namun ayah tidak pernah berpaling hala. Dia tetap setia di situ. Malah sering sahaja mengingatkan aku agar menunaikan tanggungjwab aku sebagai rakyat yang berpeluang untuk hidup di bumi tanah melayu ini dengan dengan aman dan sentosa. Yaa... aku tahu tentang itu.

[Bagai-mana mau memileh kalau pilihan yang ada itu satu pon tidak menepati kahendak kita

~ SYUKUR KU SEDAR ~


SYUKUR KU SEDAR
by elyana

Mataku pejam untuk ku tahan
Tangis berlinang berpanjang
Makin ku lawan makin ku ronta
Tangis ku luruh bercucuran

Berkilau cahaya di ufuk pandangan
Masih ku nampakkan wajahmu
Yang ku rindu-rindukan

Baru ku sedar kenapa tercipta kesepian
Kenapa hidup harus berpasangan
Kerana Tuhan mahu menyatakan
Cintanya kepada kita insan

Makin ku pejam makin ku sedih
Tangis ku tangis berlarutan
Sandaran asmara hanyalah harapan
Esok ku dambakan di sisimu
Tak lagi ku angan

Baru ku sedar kenapa tercipta kesepian
Kenapa hidup harus berpasangan
Kerana Tuhan Mahu menyatakan
Cintanya kepada kita insan

Syukur ku sedar
Sebelum bercerai nyawa badan
Sempatlah diri buat perhitungan
Janganlah pulang dengan kekesalan
Cintanya tak pernah ku agungkan

[Yaa... syukor kerana aku menyedari-nya..]