Wednesday, December 26, 2007

~ DI CELAH HIRUK PIKUK ~

Hari ini aku pulang sedikit lewat dari tempat pekerjaan. Melangsaikan urus2 yang berbaki. Mujurlah ada teman pekerjaan yang juga berurus soal serupa. Tekun aku menyiapkan urus sehingga ke jam 8.15 malam. Perlu pulang sebelum jam 9 kerana aku telah mengatur janji bersama kakak untuk makan malam bersama.

Di luar sangka, hujan berat membasah bumi. Aku menopang dagu.. Hampir setengah jam menunggu teduh. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meredah sahaja. Gila meredah hujan berat yang begitu. Lagakku diperhatikan banyak mata. Sedang orang lain mencari tempat berteduh, aku dengan lagak yang tanpa riak canggung berjalan seperti matahari tegak di atas kepala. Ermm... Hujan itu tiada tanda mahu berhenti, justeru aku tiada pilihan lain.

Tiba di perhentian menunggu, aku kebasahan teruk. Lencun. Tidak ada sedikit ruang pun yang tidak bersambut titis hujan. Menggigil kesejukan. Malang juga dalam situasi yang begitu, tentu sahaja tidak akan ada teksi yang mahu menumpangkan aku. Malam semakin pekat, aku sudah tidak senang duduk. Mundar-mandir dari hujung ke hujung. Masih belum berputus asa menahan teksi yang entah yang berapa... Satu pun tidak mahu memberi tumpang. Ermmm.. Jam tepat menunjukkan 9.30 malam.

Seketika aku berkira2 mahu menghubungi kakak minta dijemput, sebuah teksi dari arah bertentangan tiba2 berhenti betul2 di hadapanku. Teksi ini tadinya tidak mahu berhenti dan entah apa yang membuatkan dia merubah fikirannya. Aku sedikit cuak. Tetapi membuang rasa itu dengan fikiran yang positif. Sebaik sahaja membuka pintu dan mahu menyatakan destinasi tujuanku, pemandu teksi berbangsa Cina ini segera memintas.

UNCLE TAXI : U mau pegi itu "K" sana kan?
AKU :
(Terkejut)
AKU : Errr.. ya... how do u know?
UNCLE TAXI : (ketawa kecil)
UNCLE TAXI : Sudah 3x i angkat u maaa..
AKU : Oo.. ya ker..
UNCLE TAXI : Itu pasat i pusing balik nampak u
UNCLE TAXI : Sudah malam... hujan talak mau berenti
UNCLE TAXI : U talak takut kaa... bahaya maa
AKU : Yer2... tapi semua teksi pun tak nak berenti
UNCLE TAXI : Hujan maa..

Errmm... sungguh aku tidak pernah terperasan sudah 3x aku menumpang teksi uncle yang baik hati ini. Selalu pun, setiap kali menaikki teksi aku hanya akan memaklumkan destinasi tujuanku dan membuat senyap sehingga menutup pintu teksi. Begitu pun selalu aku. Mereka tentunya faham dengan reaksi yang aku pamerkan selalu. Namun, hari ini aku memberi pengecualian kepada uncle ini. Aku melayan bual baik dengannya. Terharu juga dengan baik budi yang terlihat itu. Rupanya di tengah2 hiruk-pikuk kota ini masih ada lagi manusia yang berbudi luhur.

Tiba di kawasan rumah, dia segera membelokkan teksinya masuk tanpa perlu aku memberitahu. Memang benarlah agaknya aku telah beberapa kali menumpang dia. Tepat sahaja dia tahu di mana mahu menurunkan aku. Terima kasih daun keladi. Maaf juga kerana aku telah membasahkan ruang empuk di teksinya itu. Mudah-mudahan dia akan dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam pekerjaannya itu.

UNCLE TAXI : U kasi cukup2. Yang lebih u simpan saja.
AKU : ???
UNCLE TAXI : Itu hari u talak amik u punya duit baki
UNCLE TAXI : So, ini hari i pulang balik u punya duit

AKU : Errr...

Errmm.. Tentunya beratus penumpang yang pernah disua uncle ini... begitu dia masih mengingat baki duit yang tidak seberapa yang aku tinggalkan untuk dia beberapa minggu lalu?? Masih ada ker manusia yang begini di celah hiruk-pikuk kota ini? Errmmm...

[Mudah2an ber-naseb baek itu selalu ada menyinggah..]

No comments: