Friday, November 30, 2007

~ KENAPA AKU ? ~

Sekadar berkongsi kiriman emel daripada seorang teman untuk renungan bersama...

KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; 'Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yg dusta."
- Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM2KAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu... Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
- Surah Al-Baqarah ayat 286

[Ber-syukor apa yang ada, ber-sabar apa yang kurang...]

Thursday, November 29, 2007

~ MEMILIH SANG DOKTOR ~

(Ini bukan sekadar gambar hiasan tetapi ia betul2 merupakan skru
yang dikeluarkan daripada bahagian rahangku. Panjangnya berukuran 1 cm setiap satu.
Aku sendiri seperti tidak percaya ia bertamu di situ sejak sekian lama.)

Banyak kejadian yang berlaku hari ini. Kejadian yang semuanya dalam perkiraanku. Paling memberi kesan kejadian sebentar tadi. Aku ke doktor. Yaa.. aku ke doktor dengan kerelaanku. Memilih untuk ke doktor kerana tiada pilihan lain. Skru yang tertanam di bahagian rahang kananku itu telah separuh terkeluar dari duduknya. Justeru, doktor mengeluarkan 2 skru yang hampir separuh terkeluar itu. Yaa.. ia bertamu di rahangku sejak sekian lama (aku mengalami patah rahang ketika kemalangan beberapa tahun dulu..) Patutlah demamku kali ini panjang sehingga menyambut minggu. Rupanya skru itu sudah tidak mahu bertamu di situ lagi.

Brad membawaku ke doktor. Kebetulan ketika keadaan yang mendesak itu, sms Brad sedang masuk ke telefon bimbit. Justeru, aku memohon bantu dari dia. Kakak masih di luar daerah dan aku masih bersendirian di rumah. Terima kasih sahabat. Aku berharap, semua ini disimpan rapi dalam tahunya sahaja. Budi yang tidak kan pernah terbalas.

Sang doktor mahu aku kembali merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Tempat di mana aku menjalani pembedahan suatu masa dulu. Temujanjinya esok pagi. Ermmm... aku tidak bercadang pun untuk memenuhi temujanji itu. Aku rasa, aku okay2 sahaja. Sakit yang cuma sedikit. Tidak perlulah sampai merujuk ke sana pula.

Bahagian skru yang dikeluarkan itu meninggalkan luka yang banyak juga. Pedih yang teramat sangat kerana bahagian mulut yang sentiasa basah itu.. Justeru, aku takut untuk menjamah makanan walaupun perutku sangat2 kosong. Kebetulan juga siang tadi aku tidak mengambil sarapan dan makan tengahari juga. Ermmm.. Kelaparan.

Mahu berhenti di sini. Mahu meletak lena. Malu menghilang lapar. Mahu melupakan seketika kesakitan yang banyak ini. Mudah-mudahan semuanya akan okay.

[Kemalangan beberapa tahun dulu yang memberi ingat yang cukup dalam..]

Wednesday, November 28, 2007

~ AKU DI HATIMU ~


TAJUK : Aku Di Hatimu
HALAMAN : 491
PENULIS : H. M Tuah Iskandar
TERBITAN : Alaf 21
HARGA : RM 19.90

"Bukan kucari, tapi kau kutemui. Tidak kumimpi, namun kau yang di sisi.."

Dengan sedikit kelapangan yang ada, aku menghabiskan baki bacaan beberapa hari lepas. Mengheret sehingga ke awal pagi. Errmm.. masa yang sering menghambat.

[Mana hilang kenalan 'istimewa' (cacat pendengaran dan bisu).. yang sama2 menghabiskan bacaan di gedung bacaan itu...]

Monday, November 26, 2007

~ PULIH SEBUAH RAJUK ~


Mulai hari ini, aku kembali menjawab panggilan dan membalas mesej2 kiriman Brad. Hampir seminggu aku mendiamkan diri. Bukan bergaduh, cuma merajuk sedikit dengan percakapannya tempohari. Sebenarnya, tiada apa sangatpun.. saja aku mencari alasan untuk tidak begitu dekat dengan dia. Pun begitu apabila hampir setiap hari, dia mengutus maaf tanpa jemu.. dan kadangkala beberapa kali dalam sehari... tidak sampai hati pula mahu terus membiarkan dia begitu.

Sahabat ini pandai bermain bahasa. Mendengar bahasanya sering sahaja membuat aku pula yang dihambat rasa bersalah yang banyak. Dia suka memujuk... untuk seorang aku yang begitu sensitif dan mudah merajuk. Jujurnya dia mampu membaca aku dengan tepat. Disebabkan itu dia tahu mana duduk kurangku. Dia juga sangat2 maklum akan sifat degilku. Justeru, dia tahu bagaimana mahu menangani aku.. barangkali. Dek kerana itu jugalah dia agaknya begitu bersabar dan kebal dengan perangaiku.

Dalam tempoh rajuk itu, banyak benda yang menyakitkan hatinya diberikan aku... Bukan dengan maksud tetapi sengaja aku memperlakukan begitu dengan harapan dia akan memberi sedikit marah atau terus berhenti daripada terus mengutusiku. Namun ia tidak berlaku begitu... Ermmm.. semakin aku menyakitkan hati dia, semakin kerap pula dia mengutus maaf. Menghantar bual seperti biasa. Bertanyakan itu dan ini seolah tiada apa.. Ermmm... kebal sungguh dia.. dan akhirnya aku pula yang beralah... Goshh...

[Sensitif ? Yaa.. Itu tanda-nya perasaan aku maseh ber-fungsi baek.. ermm..]

Sunday, November 25, 2007

~ BELUM BERHAK ~

K mengusul mahu bertemu empat mata. Mahu berbincang tentang kami, barangkali. Selalu aku menolak dengan pelbagai alasan.. Ermm.. tentunya aku tidak senang kalau dia mendesak. Dia belum berhak sepenuhnya ke atasku. Perlu dia ingat itu. Yaa.. dia menang di mata mereka semua.. tapi bukan aku.

[Aku mau menang di-mata dan hati mereka jugaa..]

Saturday, November 24, 2007

~ AKAN SENTIASA MENGINGAT DIA ~

AL-FATIHAH...

Mencari masa luang yang panjang untuk ke sini. Hari ini aku punya kesempatan untuk menziarah pusara arwah D. Setiap kali datang menjejak kaki, setiap kali itulah kawasan tanah pusara ini berubah. Maklumlah, ada sahaja tetamu baru yang datang mengisi ruang.

Kali ini aku tidak menangis. Langsung tidak menitik walau setitis airmata pun. Aku semakin menerima kenyataan dia telah tiada. Walaupun yang di dalam2 ini berat menahan sebak, aku berlaku keras. Sudah setahun dia ke alam hidup abadi... Sebagai sahabat, hanya doa yang mampu aku panjatkan buat dia.

Lama aku duduk berdiam diri. Mengenang sewaktu hayat arwah. Dia mengetahui banyak tentang diriku. Dia juga tahu tentang sejarah lukaku dengan N, sahabat dekatnya yang mengkhianati cintaku dengan berpaling kepada sahabatku sendiri.

Aku tidak pernah lupa bagaimana dia menenangkan aku tatkala tangisan mengisi ruang saat aku bertemu kesukaran2 itu. Bagaimana dia yang kerap menjadi orang pertama tatkala aku mahu mengadu cerita... Bagaimana dia yang menjadi sahabat yang paling setia berkongsi rasa... Bagaimana dia yang dimusuhi teman jiwa gara2 salah faham akan hubungan persahabatan kami berdua.

D, saya akan datang lagi ke sini.. selalu.. yaa.. saya akan sealalu datang. Budi itu akan terkenang sehingga bila2 pun. Saya harap, saya juga menjadi sahabat yang baik kepada awak selama kita bersahabat... dan ermm.. saya juga sedang berusaha untuk menjadi sahabat yang baik juga kepada sahabat2 saya yang lainnya... Ya.. mereka yang saya angkat sebagai sahabat... insyaallah..

[Mentari tegak mem-beri terang, angin ber-sapa bunga kemboja, budi baek tetap ter-kenang, di-hati.. di-jiwa... kekal selama-ya..

~ MIMPI ~

Mimpi menurut Kamus dewan 4 ialah sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur. Ia melihat segala-galanya dalam mimpi itu.

Aku jarang bermimpi... atau mungkin juga aku seorang yang sentiasa lupa apadengan apa yang aku mimpikan. Disebabkan itu aku terlalu jarang bercerita soal mimpi. Terkadang terasa seperti pelik apabila ada orang yang hampir setiap malam mempunyai cerita mimpi. Sedangkan aku terlalu sukar mahu bermimpi.. ermmm..

Berbalik soal mimpi tadi. Malam semalam, aku bermimpi dengan jelas. Lama tidak mendapat mimpi.. Ermm.. pun begitu, ia bukan mimpi yang indah2... tetapi mimpi negeri. Mimpi yang menakutkan. Mimpi hantu... mimpi kematian... mimpi penuh kesakitan.

Sehingga saat entri ini ditulis, aku masih dapat melihat dan mengingat dengan jelas perjalanan cerita dalam mimpi tersebut. Terkesan bagaimana pemburu memburu mangsa tanpa belas. Menjejak sehingga puas. Menakutkan. Hantu.. ya.. hantu.. sesuatu yang mungkin menjadi bahan ketawa jika terkongsi cerita ini dari mulut seorang aku..

Anehnya juga, ada antara sahabat2 ku turut memegang peranan dalam cerita mimpi itu. Menyampaikan sesuatu? Mungkin juga. Terkesan sekali kata2 yang diucap mereka. Jelas, tepat dan tajam seperti berlangsung dalam dunia sedar.

Dek kerana mimpi semalam masih menghantui, aku takut mahu pulang ke rumah sendiri. Kebetulan pula, dalam seminggu ini aku bersendirian di rumah. Ya.. aku seorang diri di rumah. Sudahnya, pulang ke rumah dan aku hanya berada di bilik sahaja. Tidak berani mahu ke dapur, ke ruang depan dan ke mana2 pun..

Ermm... Tidak pernah aku dalam situasi yang begini. Bukanlah aku ini seorang yang berani sangat... tetapi aku juga bukan seorang penakut yang keterlaluan seperti yang aku alami saat ini. Besar terkesan mimpi itu rupa-rupanya. Takut.

[Sebelum tidor, basohlah kaki dulu... Ter-ngiang2 pesan yang dulu-nya ter-lalu kerap menyinggah telinga..]

Friday, November 23, 2007

~ WALK WITH PRIDE ~

Baru sahaja pulang ke rumah. Seketika tadi aku bersama seorang teman, mengisi masa terluang untuk semeja mengatur bual dan mengisi perut. Lama kami tidak punya peluang duduk semeja begini. Kesibukannya dengan urusan kerja jauh mengatasiku. Kagum melihat dia. Tidak pernah lelah berbakti untuk masyarakat. Maklum juga, pekerjaannya adalah pekerjaan mulia.

TEMAN : Nahh...
AKU : Apa nie?? (sambil menilik gelang getah yang diberikan..)
TEMAN : Sokonglah mereka yang mengidap kanser..
AKU : Kanser?
TEMAN : Yaa.. warna pink mesej untuk kanser.. "Walk with pride"
AKU : Oo.. teruknya aku.. tak penah tahupun..
TEMAN : (Senyum) Pakailah..
AKU : Yer2.. dah tentu.. (terus sahaja menyarungkan ke pergelangan tangan)

Aku terus terkenang umi. Lama umi menderita dengan penyakit ini. Rawatan apa yang belum umi lakukan, semuanya sudah. Namun, begitu juga dia adanya. Entah apa khabar dia sekarang. Aku tahu, aku tidak berhak ke atas umi. Namun, aku terlalu ingin berdamping dia... Mahu melihat senyum dia dengan kerut di wajah... mahu mendengar suara dia yang serak di dalam.. Mahu mendengar pesan dia yang segerabak panjang.. Rindu semua itu!

[Yang ter-baek buat-mu umi... Doa yang tidak perenah putus dari aku.]

Thursday, November 22, 2007

~ MASIN MULUT ~

Beberapa hari lepas sewaktu bersama seorang rakan ini di dalam keretanya, aku dengan ringan mulut menasihatinya supaya berhati2 memandu dan mematuhi undang2 jalanraya. Aku juga mengingatkan dia, di kawasan tersebut (lokasi yang sedang kami lalui) sering saja terdapat polis traffic membuat rondaan dan pemeriksaan terhadap mereka yang melanggar peraturan jalanraya. Silap haribulan... merasa dapat 'surat cinta'.

AKU : Kata N.A, buat apa nak bagi free2 duit kat polis...
AKU : Daripada bagi kat polis, baik bagi kat anak yatimm.. dapat pahala.
RAKAN : Hehehe...
RAKAN : Jangan risau saya tak pernah kena saman... cool.

Sehari selepas itu, aku dan rakan ini kebetulannya melalui lagi lokasi yang serupa tetapi pada waktu yang berlainan. Sebaik melalui lokasi tersebut, kereta rakan ini tiba2 ditahan polis. Ditahan kerana dia melakukan kesalahan dengan memandu di laluan bas dan teksi. Tanpa bersoal panjang, Encik polis yang kononnya penuh dedikasi ini terus sahaja mengeluarkan saman untuknya tanpa sempat rakan ini berkata apa2.

Mungkin sudah malang nasib rakan ini barangkali. Kalau diikutkan sebenarnya, dia baru sahaja masuk ke laluan itu... mungkin jaraknya hanya 5 buah kereta sahaja. Yang peliknya, kereta di depan kami yang juga berada di laluan yang sama, tidak pula ditahan En Polis yang berdedikasi itu. Ermmm..

Sebaik saman bertukar tangan dan kami memulakan kembali perjalanan, rakan ini memandang ke arahku dan kemudiannya ketawa. ??? Dia mengulangi kembali percakapan2 aku kepadanya semalam termasuk cerita N.A tentang duit kepada anak yatim itu... "Mulut masin!!! Lain kali jangan cakap lagi tauu..." Dia menjerit kecil. Berkali2 dia mengulangi bahawa sepanjang dia memegang lesen memandu, sekalipun dia tiak pernah di saman.

Hehehe.. barulah aku mengerti apa yang dimaksudkannya. Barulah aku teringat bagaimana semalam aku asyik mengomel kepada dia supaya mematuhi undang2 jalanraya dan tidak perlu bermurah hati untuk memberi 'sumbangan' duit kepada polis trafik. Kebetulannya, percakapanku sehari sebelum itu berlaku di lokasi yang sama dengan lokasi rakan ini di saman.

Kebetulan yang benar2 kebetulan. Mulut masin? Tidak juga. Errmm... tetapi sebenarnya perkara yang hampir serupa juga berlaku kepada seorang sahabatku. Gara2 aku ringan mulut berkata2 memberi nasihat penuh tulus hati kepadanya.. Kata2 itu menjadi kenyataan. "Saya kan ada daulat".. itu gurauku yang sering sahaja membuatkan dia naik angin..

[Sesuatu yang tak di-sangka2.. seringkali men-datangi kita.. Itu-kah suratan dalam kehidopan atau satu kebetolan..]

~ JANGAN BERHENTI MENCINTAIKU ~


JANGAN BERHENTI MENCINTAIKU
by titi dj
(obsesi buat teman jiwa)

Hari kian bergulir
Semakin dekat dirimu di hatiku
Meskipun tak terucapkan
Ku merasakan dalamnya cintaku

Jangan berhenti mencintaiku
Meski mentari berhenti bersinar
Jangan berubah sedikitpun
Di dalam cintamu
Ku temukan bahagia

Jalan mungkin berliku
Takkan lelah bila di sampingmu
Semakin ku mengenalmu
Jelas terlihat pintu masa depan

Jangan berhenti mencintaiku
Meski mentari berhenti bersinar
Jangan berubah sedikitpun
Di dalam cintamu
Kutemukan bahagia..

Semoga tiada berhenti
Bersemi selamanya...


[Usah dicurigai aku... aku tetap membaca merah sebagai merah...]

Wednesday, November 21, 2007

~ CATATAN HAMPIR SETAHUN YANG LALU ~

CATATANKU YANG BERTARIKH 16 DISEMBER 2006 : SABTU : 2.40 AM

~ SAAT BERTAMU DI PUSARA ARWAH ~

Saat aku dimaklumkan tentang pemergian arwah D, saat itu juga rasanya mahu aku berkejar ke pusaranya. Mahu memohon ampun di atas segala yang tidak enak pernah aku lakukan diluar tahu. Mahu juga mengucap selamat tinggal setelah perginya tanpa sebarang pesan kepadaku.

Aku benar2 terkilan. Dan paling membuat aku terasa bagaimana aku diberitahu tentang kepergiannya.. Aku menjadi orang yang terakhir yang tahu tentangnya
sedangkan dia adalah manusia yang begitu dekat denganku...

Dua hari lepas, aku meminta izin dari ibu arwah untuk menziarahi pusara D. Namun dek kerana situasi yang tidak mengizinkan, baru hari ini ibu berjanji membawa aku ke sana. Seawal pagi aku dihambat resah yang berpanjangan. Bagaimana yea, aku perlu melalui 'saat itu' sekali lagi. Janjiku pada diri agar aku mampu menahan diri dari menjadi terlalu rapuh. Kakak juga memberi pesan yang segerabak kepadaku. Terima kasih kakak... terima kasih kerana menyandar bahu saat aku benar2 tiada daya.

Di tempat pekerjaan, aku melakukan urusan seperti hari2 biasa. Tidak mahu walau sedikitpun berfikir atau mengenang arwah. Melayan cerita dan bersenda gurau
dengan teman pekerjaan agar resah ke pusara D tidak di fikiran.

Menurut janji asal dengan ibu arwah, aku akan tiba di rumahnya jam 1.30 tengahari. Namun, ibu tiba2 harus ke hospital kerana adik arwah ketika itu perlu mendapat rawatan segera dek kesihatannya yang tidak berada dalam keadaaan yang sepatutnya. Justeru itu, kakak juga mengalih hala perjalanannya ke urusan lain dahulu. Sudahnya jam 4.30 petang barulah perjalanan ke rumah D dihalakan. 45 minit berlalu, aku tiba di depan rumah arwah. Rumah yang tidak pernah sekalipun kaki ini menjejak biarpun persahabatanku dengan arwah D hampir mencecah usia 9 tahun. Malah aku juga tidak pernah mengenali ibu mahupun adik-beradiknya yang lain. Tiba di sana, ibu masih belum pulang dari hospital. Hanya adik perempuan arwah yang menyambut kedatanganku. Biar senyum yang terhulur, sugul di wajahnya masih jelas mampu dibacaku. Dia melayanku baik. Bercerita sedikit sebanyak saat2 arwah menghembuskan nafasnya terakhir. Dia tidak menangis, tetapi matanya berkaca seperti berusaha untuk membenteng diri. Aku diam.. mendengar dengan tenang.

Masa berlalu pantas... melihat jam di tangan, sudah melewati 6 petang. Ibu menghubungi adik agar membawaku ke pusara arwah mendahuluinya kerana urusan ibu di hospital belum ada tanda selesai seperti yang sepatutnya. Nampaknya hasratku untuk bertemu empat mata dengan ibu tidak tercapai.. Emmm..

30 minit perjalanan, kami tiba di tempat yang dituju. Debar semakin besar. Resah semakin bergelora. Kaki seperti berat melangkah. Adik beberapa langkah mendahuluiku. Sesekali menoleh ke belakang memastikan aku ada menurutinya. Tiba adik membuka pintu kawasan perkuburan yang redup melambai itu, langkahku seperti terhenti. Keras di situ. Adik menarik tanganku lembut, mengangguk dan mengaturkan langkah perlahan melalui nesan2 yang bertuan. Ya Allah.... Ampunilah segala dosa-dosaku...

Akhirnya kaki adik terhenti di pusara yang masih merah tanahnya. Letaknya di tepi pagar, dibawah sepohon pokok yang redup menutup tanah. Aku mengawal diri. Aku mengawal emosi dengan kuat. Menadah tangan memohon pada Tuhan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman. Namun saat adik menghulurkan air dan bunga meminta aku menyirami pusara arwah, air mata yang kuat ku tahan itu akhirnya gugur juga. Semakin laju membasahi pipi dan esak tangisku juga semakin berlagu memecah kesunyian pusara arwah. Adik duduk memelukku. Cuba meredakan tangis yang semakin panjang itu. Beberapa ketika kami begitu. Adik yang sejak tadi tenang saja, turut berhujan air mata. Beberapa kali kedengaran suara halusnya minta aku bertenang dan menghentikan tangis.

Bagaimana aku mahu menghentikan tangis itu sedangkan aku terpaksa mengakui hakikat manusia yang begitu dekat di hati ini telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya... Dan saat ini aku sedang berdiri menyirami mawar di pusaranya. Bagaimana aku mampu melaluinya dengan emosi yang tenang....

Adik membantuku melalui saat2 itu. Kami bersama2 menaburkan bunga di pusara arwah dengan penuh airmata. Dengan penuh luluh di hati. Aku tidak mampu untuk lebih lama di situ. Airmata ini turun tanpa ada tanda mahu berhenti. Semakin laju... Aku tidak harus begini... tetapi aku tidak mampu mengawal diri. Maafkan aku D.. Maaf. Adik juga juga bersetuju untuk meninggalkan pusara arwah lebih awal. Tambahan pula waktu itu matahari sudah mahu menutup hari. Tidak elok dalam waktu yang begini, kami masih di pusara. Sebaik berpaling untuk pulang, adik menggenggam tanganku erat. Dia cuba menenangkanku walaupun aku tahu di juga tidak tidak ada tenang. Beberapa kali aku menoleh kebelakang... Banyak perkara yang ingin aku perkatakan pada arwah D. Tapi... aku akan datang lagi. Aku akan terus mengunjungimu di sini. Insyaallah...

Sepanjang perjalanan menghantar adik, tangisku tidak juga reda. Segala kenangan bersama arwah bersambung2 melintas fikiran. Segala penjuru yang ada kelihatan senyumnya menghiasi. Emmmmmmmm....

Tiba di rumah, adik mempelawaku agar singgah bertemu ibu. Namun ketika itu, situasinya seperti tidak begitu sesuai. Dengan air mata yang masih bersisa dan kakak juga dalam keadaaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, aku menolak penuh hemah. Janjiku akan kembali bertandang pada ketika yang lain. Adik mengangguk dan mencium tanganku. Terus saja kami berpelukan. Sekali lagi tangis mengisi ruang.

Rupa-rupanya, ibu dari jauh sedang memerhatikan kami. Menyedari tentang itu, adik menarik tanganku mahu menemukan aku dengan ibu. Aku menurut saja. Saat bersalam dengan ibu, tangisku semakin hebat. Lama ibu menggengam tanganku. Malah beberapa kali memberi pesan agar aku bersabar menghadapi situasi itu bagaimana sabarnya dia menerima hakikat yang satu itu. Ibu juga sempat menegurku dek kerana seluruh badanku masih menggeletar sebaik meninggalkan tanah perkuburan tadi. Sebelum meninggalkan ibu, aku ditinggalkan dengan pesannya.

"Biarpun arwah sudah tiada, ibu masih ada.
Datang-datanglah jenguk ibu di sini.."

Aku benar2 tersentuh dengan pesan itu... Ada sayu pada nada pertuturan ibu itu. Sedangkan sebelum ini kami tidak pernah walau sekalipun bersua muka.... berbual-bual juga tidak.. Insyaallah ibu, aku akan datang... aku terus ingat ibu selagi aku mengingat D.

******************************************

Catatan ini dibuat ketika aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke pusara arwah. Arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21 November 2006. Namun berita itu hanya diketahui aku pada tarikh 13 Disember. Bayangkanlah.... bagaimana perasaanku saat itu. Dalam tempoh itu, terlalu aku berkejaran dengan hingar bingar pekerjaan dan keraian yang berlangsung ketika itu sehinggakan aku lupa mahu bertanyakan khabar tentangnya. Malah, panggilannya, mesejnya.. satu pun tidak ku jawab sehingga pada tarikh 13 Disember itu. Pada tarikh yang aku merancang mahu bertemu dan berkongsi cerita dengannya setelah surut segala kesibukan dan setelah berakhir keraian yang dipertanggungjawab kepadaku secara besar. Dann... hakikat serta kenyataan yang langsung tidak terduga olehku, sahabat yang seorang ini telah pergi buat selama-lamanya. Ini sebuah kenyataan.. bukan mimpi... D sudah tiada.... AL FATIHAH..

[DEALOVA ter-lalu mengingat-kan aku ter-hadap sahabat ini..]

~ GENAP SETAHUN PEMERGIAN ~

AL-FATIHAH...


21 November 2006... perginya seorang lelaki bergelar sahabat yang begitu dekat dalam diriku. Sahabat yang tidak terbilang pujinya. Dia pergi secara senyap.. dalam riuh dan bingar aku dengan urusan sahabat2 lain. Pergi dia ketika aku melayan sibuk dengan urusan yang tidak pernah habis itu... ermmm...

Pun begitu... doa buat dia tidak pernah terhenti... tidak pernah habis. Mudah-mudahan tenang bersemadi di sana D. Kenangan bersama D tetap saya kenang sampai bila2. Sahabat yang sentiasa hidup di sisi dan di hati saya.. sampai bila2.

[Kau seperti nyanyian dalam hati-ku yang memanggil, rindu-ku, pada-mu oo… Seperti udara yang ku hela kau selalu, ada... selalu adaaaaaa D..]

Tuesday, November 20, 2007

~ YANG PALING AKU TAKUTI.. ~

Apa yang paling aku takuti? Apa yang akan buat aku menangis? Apa yang akan membuat aku tidur seawal jam 8 malam? DEMAM !!!

Aku paling takut bila DEMAM. Badan aku bukan seperti orang lain. Sejak terlibat dengan kemalangan (dan dimasukkan benda asing ke badanku) beberapa tahun dulu, DEMAM lah menjadi perkara yang paling aku takuti. Ini kerana DEMAM ini boleh membuatkan aku tidak boleh bangun dan bergerak. Walaupun DEMAM yang sedikit, ia pasti akan membuatkan aku tidak bebas bergerak melakukan rutin harianku seperti biasa.

Awal pagi tadi, DEMAM nya sedikit sahaja.. namun setelah tanpa sengaja bersiram hujan sebanyak 2 kali, pulang ke rumah kepala terasa sangat2 berat. Mata terus menjadi panas. Rahang seperti membengkak. Ermmm.. senario biasa apabila DEMAM datang berteman.

Balik sahaja dan usai membersihkan diri aku terus meletak lena.. Jam 8.. yaa.. seawal jam 8 malam. Hanyut terus. Malang juga apabila kebetulan minggu ini aku bersendirian di rumah.

(Perbualan ketika dalam perjalanan ke rumah..)
KAWAN : Nahhhh panadol. Demam sikit2 eloklah makan ubat terus..
AKU : No, thanx.
KAWAN ENCIK : Uikss..
AKU : Baik sendiri jer.. (Sebenarnya aku.. errr tidak suka makan ubat..)
KAWAN : Ada pulak baik sendiri...
KAWAN ENCIK : Kalau boleh baik sendiri...
KAWAN ENCIK : Dah tentu2 tak laku panadol nih kat kedaii
AKU : Alaa.. Demam jer...
KAWAN : Memang ler.. tapi tengok keadaan dia nih.. ermm..
KAWAN : Suara pun dah lain macam.. mata pun dah bengkak..
KAWAN ENCIK : Cutii jerlaa esokk..
AKU : Cuti???

[Berpuluh-2 panggilan yang tidak di-jawab di-telefon bimbit.... Err... aku mem-buat janji untok ber-bual di-skren dengan sa-orang sahabat lama malam ini... goshhh..]

Monday, November 19, 2007

~ BELUM BERTUKAR TANGAN ~


Mengantuk yang teramat2 sangat. Malam tadi aku tiba di rumah jam 1.30 pagi. Usai segala yang perlu, aku melayan bual teman jiwa di telefon bimbit. Melayan ceritanya hingga ke pagi sambil tanganku mengetuk papan kekunci komputer.. sempat pula menyiapkan satu puisi istimewa buat dia..:)

Aku juga belum punya kesempatan yang baik untuk menyerahkan novel yang terhasil istimewa ini buat dia. Dampingan semalam dalam situasi yang kelam-kelibut itu tidak pula memberi ingat kepadaku tentang hadiah sempena ulangtahun kelahirannya ini.

Sebenarnya, pada tahun lepas aku juga bercadang untuk memberikan hadiah yang serupa buatnya. Malang sekali, ketika itu komputerku mengalami sedikit masalah dan segala bahan tulisan novel yang sudah menjengah hujung itu hilang musnah begitu sahaja. Kecewa sungguh aku ketika itu.

Pun begitu, mujurlah separuh daripada tulisan itu rupa-rupanya telah aku simpan di komputer bimbit abang. Justeru, aku berusaha menyiapkan kembali cerita itu dengan melakukan perubahan besar pada bahagian akhir novel tersebut. Penghujungnya dibuat baru dan tidak sama dengan novel yang hilang musnah itu.

Nahhh... akhirnya siap juga rakaman sejarah peribadi kami ini. Mudah-mudahan yang ingin aku katakan disebalik cerita ini berjaya ditangkap kemas dek dia dan sesiapa yang membacanya.

Selamat menyambut hari ulangtahun kelahiran buat teman jiwa. Mudah-mudahan kehidupan selepas ini akan lebih baik dan sejahtera. Masa depan kita, hak kita.. Pemberian ini masih belum bertukar tangan. Aku sekadar sempat memberikan ucapan ringkas buatnya malam tadi dan berkongsi kek pada sebelah pagi semalam. Mudah-mudahan urus kerjanya segera selesai dan memberi ruang untuk kami berdamping pada hari esok.. Mudah-mudahan..

Meletak lena jam 5 pagi dan berjaga sebaik jam tepat menghala jarum menunjukkan jam 6.45 pagi. Errmmm... penat dan mengantuk... Usai bersiap siaga, aku dapati badanku sedikit panas memberi isyarat demam akan berteman. Suara juga semakin hilang.. goshhh..

[Aku ber-harap dia tidak sekadar menyimpan tulisan ini tetapi ber-usaha mem-bacanya dengan jelas..]

~ ADA UMUR, ADA JODOH ~


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran...

Mudah-mudahan yang baik2 sahaja dilalui dalam kehidupan.
Terima kasih kerana menerima aku seadanya.
Terima kasih kerana membahagiakan aku selayaknya...
Terima kasih kerana memilih aku di antara mereka yang ada...

Selamat hari jadi..
Selamat hari jadi..
Selamat hari jadi LKH
SELAMAT HARI JADI...

[Belum sempat memberikan dia hadiah.. kalut dengan pelbagai urus... esok barangkali.. :) ]

Sunday, November 18, 2007

~ DIRENJIS2 DIPILIS ~


hai direnjis-renjis dipilis
ditepungilah mawar
hai beras kunyit ditabur
disiram si air mawar

Aku sedikit lewat tiba di majlis perkahwinan sahabat ini. Pun begitu masih sempat mengikuti beberapa acara yang sedang dilangsungkan. Melihat kelibatku di celah2 manusia yang ramai itu, sahabat ini sempat menyapaku walaupun ketika itu dia di kerusi pengantin sedang diraikan dengan acara pencak silat dan tarian. Tingkahnya itu membuat aku ketawa sendirian.

Cantik dan berseri2 sahabat yang seorang ini. Sudah bergelar seorang isteri dia... Dulu ketika masih di bumbung yang sama dalam pekerjaan, dia kerap bercerita tentang kisah percintaannya dengan sang suami ini. Bukan setahun, bukan dua tahun mereka bercinta tetapi 7 atau 8 tahun ceritera cinta mereka. Kalau sudah jodoh, bersama juga mereka akhirnya.

Aku menumpang bahagia. Memanjatkan doa agar dia berbahagia hingga ke akhir hayat. Mudah-mudahan juga aku dan teman jiwa punya jodoh seperti mereka. Mudah-mudahan aku juga dikompangkan dengan lelaki yang seorang ini... lelaki yang amat kucintai ini. Ermmm... K bagaimana? Arghh.. ikatan itu belum tentunya ke jenjang pelamin pun. Aku tetap berharap agar ada satu keajaiban berlaku.

Sahabat ini erat memelukku saat aku melafazkan ucap tahniah kepadanya. Mungkin berterima kasih kerana aku datang meraikan hari bahagianya. Ini kerana beberapa hari lalu, aku memaklumkan kepadanya mungkin aku tidak dapat hadir kerana aku perlu memenuh janji yang telah terlebih dahulu diatur dengan teman jiwa. Namun akhirnya, aku datang juga meraikan dia.

[Selamat penganten baru.. selamat ber-bahagia... selamat menempuh fasa baru dalam kehidupan..]

~ MELAYAN KARENAH ~


Jam 8 pagi, telefon bimbitku bergetar. Tertera nama teman jiwa diskrin... Ermm.. aku masih mahu melayan lena. Mengantuk. Namun mengenangkan rajuknya malam tadi, aku gagahkan diri. Katanya sedang dalam perjalanan untuk menjemputku bersarapan pagi. Ermmmm.. semata2 dari rumah keluarganya di bumi Hang Tuah untuk tujuan itu. Aku masak benar dengan sikapnya ini.. Mahu tidak mahu terpaksa aku mengikut sahaja rentaknya.

Aku menunggunya di tempat biasa dan tentunya tidak akan membiarkan dia menghalakan keretanya di depan rumah. Dia tiba tepat pasa masanya. Belum sempat aku melabuhkan punggung, dia muncul betul2 di depanku. Sekadar menyapaku pendek, dia terus menghalakan keretanya ke arah lebuhraya. Bersarapan di mana? Nun di Seremban sana.. Ya Tuhan... Suka hati dialah... Dia mengharapkan aku marah kepadanya, barangkali... tetapi tidak pula aku bereaksi begitu. Entahlah.. mungkin mengenangkan esok hari ulangtahun kelahirannya.. Jadi, biarlah diaa.

Aku sempat menghabiskan masa berdamping dengan teman jiwa sehingga jam 1 tengahari. Perlu bergegas pulang kerana aku perlu menghadiri majlis perkahwinan sahabat baik seperti mana yang telah dijanjikan. Dia mahu menurut serta tetapi aku menolak hemah. Belum masanya untuk aku perkenalkan dia kepada sahabat ini dan sahabat lainnya. Aku tidak mahu bersoal banyak dengan mereka kerana aku cukup mengenali meraka.

[Ermm... musim orang sensitif agaknya sekarang ni...]

Saturday, November 17, 2007

~ MENYENANGKAN HATI SEMUA ~

Teman jiwa menjemputku di tempat pekerjaan. Aku sengaja pulang sedikit lewat untuk tidak bertembung dengan rakan sekerja. Kami mengatur janji untuk berdamping dengan baik setelah beberapa minggu kebelakangan ini masing2 begitu kesibukan dengan pelbagai urus yang menghambat.

Mengisi ruang dengan menemankan dia menonton. Mulanya semuanya berjalan dengan baik. Namun tiba2 suasana menjadi tegang apabila aku memberitahunya tentang rencanaku pada hari esok. Aku tidak boleh berdamping panjang dengannya esok hari kerana banyak urusan yang memerlu aku secara tiba2. Aku mohon difahami.

Sekali lagi dia mengatakan aku meletakkan dia sebagai pilihan kedua. Membelakangkan dia kerana lebih mementingkan perkara2 lain. Ermmm... bukan pertama kali aku mendengar nafas cemburu yang begini. Berkali juga aku perjelas tentang hal yang serupa..

Esok, aku perlu menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat. Esok juga aku perlu menemankan kakak dengan satu urusan yang tidak boleh bertangguh... dan esok jugalah aku sepatutnya berdamping dan meraikan hari ulangtahun kelahiran lelaki yang mengisi hidupku ini sedetik 12 malam menganjak ke tarikh 19 November. Bagaimana yea.. kalaulah badan ini boleh kubahagi-bahagikan untuk menyenangkan hati semua mereka...

Teman jiwa mula berdiam. Senyap sunyi tanda memprotes. Aku tahu dia marah bukan kerana beriya mahukan aku meraikan hari ulangtahunnya itu... tetapi dia marah kerana beranggapan aku lebih mementingkan orang lain. Tapi ingin aku katakan di sini, apa yang bermain dikepalanya itu tidak benar. Dia sentiasa teratas dalam segala perkiraanku. Cumanya dalam situasi yang begini, aku berharap dia dapat memahami kerana dia lebih tahu aku.

Tiba di rumah jam 10 malam, namun sehingga entri ini ditulis dia langsung tidak menghubungiku atau memberi mesej kepadaku seperti lazimnya untuk memaklumkan dia sudah tiba ke destinasi yang dituju. Itulah signal yang selalu dia berikan untuk memberitahu dia sedang memberi protes. Arghh.. biarlah dia dengan anginnya itu.

[Si degil ber-temu si degil.. resam si scorpio.. ermm..]

Friday, November 16, 2007

~ MENJAWAB SOALAN PELIK ~


TAJUK : Kebetulan Anda Bertanya
PENULIS : Marg Meikle
HARGA : RM13.00
TERBITAN : Utusan Distributors Sdn Bhd
HALAMAN : 154

Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh membeli buku ini. Membelek, meninjau2 dan akhirnya membawanya pulang. Bukunya agak ringkas tetapi ia mampu membuat kita leka untuk membacanya. Terutama sekali apabila dia memberi jawab kepada banyak soalan2 pelik yang kerap bermain di kepala kita.

Antara soalan2 itu seperti :
- Bolehkah binatang bermimpi?
- Kenapa zebra mempunyai belang hitam dan putih?
- Kenapa bulan february mempunyai jumlah hari yang sedikit berbanding bulan lain?
- Kenapa kita lupa?
- Kenapa kita makan popcorn semasa menonton wayang?
- Bolehkah anda menjadi pekak kerana menghadiri konsert rock?

Dan banyak lagiiii....

[Malu ber-tanya sesat jalann..]

Thursday, November 15, 2007

~ ERMMM... ~

If someone betrays your trust, the second time around,
what would you do?

a) Forgive n forget
b) Forgive but be more carefull next time
c) Bye.. You had ur chance.

[Maaf.. maaaf?? maaaaf!!! maaaaaf k.. maaaaaaflaa.. maaaaaaaf ker.. yerlaa maaaaaaaaff... ]

Wednesday, November 14, 2007

~ PENYAPU OH PENYAPU ~

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang memperkenalkan 'anugerah penyapu' sebagai simbolik kepada agensinya yang berprestasi buruk, dikecam ramai. Kononnya ia satu perbuatan yang menghina dan mengaibkan pihak yang menerima. Tidak kurang juga yang mengaitkan dengan soal 'sial', maruah dan sebagainya. Ia dikatakan bukan budaya orang Melayu yang sepatutnya lebih sopan dan bertertib dalam melakukan apa sahaja termasuklah dalam membuat teguran sekalipun. Justeru, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Dato Seri Mohamad Khir Toyo dianggap tidak profesional dengan tindakan itu.

Secara peribadi, aku sebenarnya menyokong dan bersetuju penuh dengan 'Anugerah Penyapu' yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor itu. Kenapa mahu melihat usaha itu sebagai sesuatu yang negatif? Sudah lama agensi2 kerajaan ini 'naik lemak'. Budaya lepas tangan dan bersambil-lewa terhadap tugas yang diamanahkan bukanlah satu perkara baru. Malah prestasi mereka dari tahun ke tahun sama sahaja dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Malah kita sentiasa sahaja mendengar rungutan dan rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan meraka.

Justeru, tindakan ini boleh dianggap sebagai tepat masanya untuk mengejutkan mereka dari 'lena' yang panjang. Teguran2 yang dilakukan secara 'bersopan dan berkias' itu sudah tidak sesuai lagi untuk diamalkan. 'Anugerah Penyapu' ini memberi mesej yang jelas kepada mereka semua. Ia cukup simbolik. Kalau mereka malu dan tidak suka diberikan penyapu, maka tingkatkan prestasi kerja dan pastikan nama mereka tidak tersenarai sebagai calon2 atau pemenang 'anugerah' ini. Mudah bukan??

Lumrah manusia... semuanya mahukan cantik2, yang baik di pandang sahaja. Tetapi kalau difikirkan logik, semua benda pun ada padanan dan pasangannya. Kalau dah ada cantik, mestilah ada buruknya. Kalau kita berjaya, kita diberi ganjaran yang istimewa, kenapa tidak kegagalan kita juga diberikan sesuatu? Sesuatu itu bukan untuk melemahkan semangat atau memalukan kita tetapi ia lebih merupakan satu peringatan agar kita berusaha lebih kuat untuk meningkatkan dan memperbaiki diri kita.

Kadang2 hukuman2 yang berbentuk simbolik ini lebih meninggalkan kesan berbanding hukuman2 lain. Masih ingat hukuman yang diberikan oleh guru kepada kita jika melakukan kesalahan ketika dibangku sekolah? Hukuman berdiri di atas kerusi atau meja...? Hukuman berlari keliling padang? Hukuman berjalan itik mengelilingi kelas2 lain? Ketuk ketampi dan sebagainya? Memang hukuman2 ini begitu memalukan kita ketika itu... Namun dengan adanya hukuman seperti itulah kita takut untuk melakukan kesalahan. Kita begitu setia dengan peraturan dan disiplin kerana takut didenda dan diketawakan oleh rakan2 yang lain. Bukankah yang 'memalukan' itu akhirnya memberikan sesuatu yang positif kepada kita??

Justeru, kita pandanglah 'anugerah' yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor ini sebagai sesuatu usaha yang positif. Sebagai satu usaha untuk memajukan agensi dan meningkatkan prestasi kerja dan perkhidmatan.

[Pernah di-denda ber-diri di atas kerosi gara-2 lupa mem-bawa buku teks bahasa melayu..]

Monday, November 12, 2007

~ DI HADAP KE MUKA DEPAN ~

Entah apa malang nasibku hari ini. Terpaksa menanggung kesalahan yang tidak dilakukan aku. Bagaimana aku yang bertungkus-lumus membantu ini akhirnya disalahkan pula. Apa yang harus aku katakan?

Yang benarnya, aku tidak pernah berkira dalam soal kerja. Walaupun terkadang ia seperti tidak berbaloi, namun aku jujur dalam kesanggupanku. Sekali aku sanggup, aku akan bertanggungjawab untuknya. Pun begitu, apabila laku begitu yang aku prinsipkan ada pula yang cuba mengambil kesempatan diatas keadaan jernih orang lain. Meloloskan diri tanpa silu.

Seperti yang aku katakan di dalam entri yang lepas, aku membatalkan cutiku semata2 kerana kerja2 yang tersangkut dek alpa dan lewa orang lain. Namun, aku tidak mempersoalkan tentang itu. Aku pejamkan mata dan menanam prinsip dalam diri, jangan terlalu berkira soal2 yang begitu. Selagi ada daya menghulur tangan, lakukan sahaja dengan hati yang jernih.

Pun begitu, hari ini aku dipanggil hadap ke muka depan untuk menanggung sesuatu yang bukan berpunca salah dariku. Niat menghulur bantu rupanya memakan diri sendiri. Apa perasaan benarku? Tentu sahaja berkobar dengan marah yang dalam. Inilah nasib tangan kanan yang bersambut kiri tanpa ada rasa. Ermmm..

Kejadian ini merosakkan mood sepanjang hariku. Berfikir kerap sehingga sedikit menghala kepada angin sesal. Hampir sahaja menukar jujur ini kepada kepuraan seribu dengan rasa hitam yang mengensot mahu datang. Parah. Mujur sahaja, bahagian yang jernih putih itu masih besar menghampar diri. Justeru, aku terselamat melurus amarah.

[Yang jerneh2 alpa di-pandang orang.. yang keroh2 kerap ter-dekat diri.. Ermm.. lumrah alam begitu surat-nya..]

Sunday, November 11, 2007

~ MENGUKUR BAJU DI BADAN SENDIRI ~

Beberapa hari lepas aku didatangi dengan 2 tawaran serentak. Tawaran untuk menulis. Satu menulis novel dan satu lagi menulis autobiografi seseorang. Menulis novel, bukan sesuatu yang baru buatku. Namun menulis autobiografi merupakan yang pertama kali seumpamanya. Terkejut dengan tawaran tersebut kerana kalau diukur kepada pengalaman penulisanku, ia masih sangat2 terlalu hijau. Tiada apa yang besar yang mampu aku sandarkan.

Aku tidak memberikan sebarang jawapan. Bukan tidak berminat.. apa sahaja tentang dunia penulisan memangnya dalam perkiraanku. Namun, aku mengukur baju di badan sendiri. Aku tidak mahu berjanji kalau siang2 lagi aku sudah tahu tidak mampu menunaikan janji itu. Tidak mahu menyusahkan orang lain kelak dengan kesanggupan yang ku beri tanpa memenuhinya dengan baik seperti mana yang diharapkan.

Disebabkan hal itu jugalah aku menolak pelawaan En. S pada dua-tiga bulan lepas untuk menyambung penulisan siri ke-2 buku kanak2 yang mana aku pernah terlibat untuk siri pertamanya. Untuk yang pertama itu, aku sekadar mahu mencuba. Tidak sangka pula diminta untuk menyambung siri ke-2. Namun, penulisan buku kanak2 mungkin bukan dalam 'kepakaranku'. Justeru, biarlah mereka yang lebih 'pakar' sahaja menyumbang imaginasi dan kreativiti.

Berbalik soal tadi, mungkin bukan masanya untuk aku serius ke arah itu. Mungkin nanti. Pun begitu, di tanganku saat ini ada sebuah manuskrip novel yang baru sahaja disiapkan pertengahan Ramadhan yang lalu. Berkisar soal kehidupan yang dilaluiku dalam tempoh beberapa tahun ini. Ia kisah benar yang kupanjangkan dalam bentuk kreativiti penulisanku. Kalau tidak kukatakan tentangnya pun, kukira mereka yang hidup dekat denganku, pasti dapat 'menghidu' perjalanan cerita ini setelah membacanya. Terlebih dahulu, aku meminta maaf kepada mereka yang kupinjamkan kisahnya di cerita ini tanpa meminta keizinan. Namun kisah2 inilah yang banyak menyumbang pelajaran dalam hidupku.

Sebenarnya novel ini kusegerakan penulisannya untuk dijadikan hadiah kepada teman jiwa sempena hari ulangtahun kelahirannya tidak lama lagi. Biarlah dia yang menjadi orang pertama yang membaca tulisan ini. Tulisan yang sebahagian besarnya menceritakan tentang dia dengan meminjam watak orang lain. Aku tahu, kalaulah dia membacapun, tentu sahaja dia tidak begitu faham isi butirnya. Tidak mengapalah. Kalau dia tidak dapat membacanya dengan baik, tidak mampu memahaminya seperti mahuku... Mungkin bukan hari ini.. Mungkin suatu masa nanti.

Selain soal teman jiwa, novel ini juga merakamkan peristiwa2 pahit dalam persahabatanku. Bukan pahit yang hitam tetapi pahit yang menjadi ubat kepada kehidupan. Menjadi pelajaran untuk hari2 akan datang. Dek kerana itulah novel yang satu ini menjadi begitu istimewa setelah lama aku berhenti menulis. Beberapa tahun aku tidak menulis. Sekadar mengisi masa lapang atau meluah rasa hati melalui puisi2 pendek. Hampir kesemua puisi tulisanku dirakam atas kejadian benar dan perasaan benar yang aku lalui. Ia umpama diari pendek yang bercerita. Puisi2 itu juga telah aku himpunkan menjadi Antologi Puisi Dari Jiwa (200 puisi tulisanku).

Ermm... mudah-mudahan aku tidak terus-terus melupakan dunia penulisan ini. Kesibukan dengan urus2 lain yang menghambat hari selalu membuatkan aku terlupa untuk memegang pena..

[Tulisan itu endah dengan bahasa.. nada-nya nyaman pada dengar-nya... isi-nya padu cherita hati..]

Saturday, November 10, 2007

~ LAMBAIAN PULAU LANGKAWI ~

Semalam sepatutnya aku, kakak dan si kecil bercuti ke Pulau Langkawi. Kebetulan abang perlu berada seminggu di sana atas urusan kerja. Justeru, kakak merancang untuk menumpang bercuti di sana.

Segalanya telah dirancang dengan baik, namun pada saat2 akhir aku pula tidak dapat menyertai mereka kerana pada hari semalam dan hari ini aku terpaksa menyiapkan urusan kerja yang berbaki. Sepatutnya kerja itu bukan dalam urusanku, namun bila kerjanya dalam satu kumpulan, maka tidak dapat tidak aku juga bertanggungjawab keatas kelancarannya.

Kalau mengikut jadual, lazimnya selepas 5 @ 6hb adalah waktu2 kami mencuri menarik nafas. Waktu2 yang boleh dikirakan agak santai. Justeru itulah, aku berani berjanji menyertai percutian itu. Namun, siapa sangka begini pula jadinya. Disebabkan, aku tidak dapat menyertai, kakak membatalkan sahaja percutian itu. Ini kerana katanya, abang ke sana atas urusan pekerjaannya. Jadinya, kalau aku menarik diri tentu sahaja hanya dia berdua dengan si kecil di sana. Baik sahaja menunda ke tarikh lain agar semua dapat menyertai.

Si kecil merajuk. Menyalahkan aku kerana mungkir janji. Terpaksalah aku membuat janji baru. Selalunya kalau dengan si kecil ini, aku perlu berhati2 membuat janji. Ingatannya begitu kuat pada setiap janji yang diberikan kepadanya. Walaupun ia telah lama berlalu namun selagi janji itu belum tertunai, dia tetap akan menyebutnya. Pantang janjinya dimungkiri... begitu juga dengan aku sebenarnya.. :)

[Bagaimana dengan janji yang melukakan..?]

Friday, November 09, 2007

~ HADAPI DENGAN SENYUMAN ~


Tiba2 ada ucapan tahniah yang tertera di skrin telefon bimbitku. Ucapan bersempena majlis yang berlangsung ketika aidilfitri tempohari. Aku benar2 terkejut. Ucapan ini dari nombor yang tidak ku kenali atau mungkin kukenali tetapi tidak kusimpan di dalam memori telefon bimbitku ini.

Ermm.. bagaimana dia tahu tentang majlis yang berlangsung itu? Rasaku hanya keluarga terdekat sahaja yang tahu. Terus sahaja aku menelefon ibu kalau2 ada sesiapa yang menghubungiku di rumah. Namun kata ibu, tiada. Ibu sedikit aneh dengan soalan itu. Namun, tidak pula aku menjelaskan kepada ibu kenapa soalan itu yang aku ajukan.

Ermmm.. kepada si pengirim, terima kasih diatas keikhlasan ucapan itu... tetapi yang benarnya majlis itu tiada apa2 erti buatku. Namun, inilah hidup. Menyenangkan hati orang lain itu lebih baik barangkali. Bahagia dengan membahagiakan orang lain.

[Senyom seindah suriyaa.. yang mem-bawa cahya..]

~ JUST BE... ~


Be strong enough to face the world each day.
Be weak enough to know you cannot do everything.
Be generous to those who need your help.
Be frugal with what you need yourself.
Be wise enough to know that you do not know everything.
Be foolish enough to believe in miracles.
Be willing to share your joys.
Be willing to share the sorrows of others.
Be a leader when you see a path others have missed.
Be a follower when you are shrouded in the midst of uncertainty.
Be the first to congratulate an opponent who succeeds.
Be the last to criticize a colleague who fails.
Be sure where your next step will fall, so that you will not stumble.
Be sure of your final destination, in case you are going the wrong way.
Be loving to those who love you.
Be loving to those who do not love you, and they may change.
Above all, be yourself!

[Men-jadi diri sendiri dengan lebeh baek...]

Thursday, November 08, 2007

~ SAYUP MENCAKAR LANGIT ~

Lokasi : Paris
Tinggi : 318 m
Tahun : 1887


Lokasi : Chicago, Illinois
Tinggi : 443 m
Tingkat : 110
Tahun : 1973


Lokasi : Kuala Lumpur, Malaysia
Tinggi : 452 m
Tingkat : 88
Tahun : 1998


Lokasi : Shanghai, China
Tinggi : 421 m
Tingkat : 88
Tahun : 1988


Lokasi : Dubai
Tinggi : 321 m
Tahun : 1999


Lokasi : Taipei, Taiwan
Tinggi : 508 m
Tingkat : 101
Tahun : 2004


Lokasi : Shanghai, China
Tinggi : 492 m
Tingkat 101
Dijangka siap : 2007


Lokasi : Tokyo, Jepun
Tinggi : 600 m
Dijangka Siap : 2007


Lokasi : Dubai
Tinggi : 705 m
Tingkat : 160
Dijangka Siap : 2008


Lokasi : Guangzhou, China
Tinggi : 514 m
Tingkat : 131
Dijangka Siap : 2010


Lokasi : WTC, Manhattan, New York
Tinggi : 541 m
Tingkat : 69
Dijangka Siap : 2010


Lokasi : Shanghai, China
Tinggi : 1228 m
Tingkat : 300
Dijangka Siap : 2020

[Sayop2 di atas sana... memandang bintang di langet, rumpot di bumi di-lupa jangan..]

Wednesday, November 07, 2007

~ HIMPUNAN PUISI SANG IDOLA ~

Siang tadi, pulang dari berurus soal kerja, aku menyinggah di tempat kegemaran dan buku ini ku bawa pulang untuk memiliki. Sebuah antologi puisi yang menghimpunkan karya2 selama lebih setengah abad. "Segala yang dihasrat tetapi tidak dapat adalah nikmat yang padat"

TAJUK BUKU : A. Samad Said
HARGA : RM70.00
HALAMAN : 443 (217 buah puisi)
TERBITAN : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

[Mem-baca dan meng-hayati puisi2 yang terkandong, mem-buat aku belajar tentang separuh kehidopan.. terima kaseh Pak Samad..]

Tuesday, November 06, 2007

~ PEPERIKSAAN PERTAMA ~

Sekejap saja masa berlalu. Dia tak diam, adik telah pun berada dihujung semesta pertamanya di kampus. Dia kini sedang bertungkus-lumus dengan peperiksaan. Selepas raya, hanya sekali sahaja dia pulang iaitu ahad baru2 ini ketika kami mengadakan rumah terbuka. Dia banyak menghabiskan masa di kolej untuk mengulangkaji pelajaran bersama kawan2. Selalunya, adik akan pulang setiap minggu dan menghabiskan waktu hujung minggu di rumah.

Perubahan ketara adik sejak belajar di Universiti adalah dari segi imejnya. Dia kini sudah bertudung. Yaa... adik sudah bertudung. Itu yang paling besar. Tiada siapa yang memaksa tetapi itu semua diatas kemahuannya sendiri. Ternyata dia nampak lebih manis dengan bertudung. Dari segi lainnya, adik masih seperti yang dulu.

Mudah-mudahan adik berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan pertamanya. Beberapa kali dia menyatakan kegusarannya menjelang peperiksaan. Takut peperiksaan pertama ini tidak memberi keputusan yang baik buatnya dan tentunya akan membuatkan dia tidak seronok untuk duduk sebaris dengan rakan2 lain yang katanya datang dari latar belakang sekolah2 hebat. Ermmm.. aku yakin dengan kempuan adik. Aku percaya, semuanya akan dilaluinya dengan baik.

Juga kepada seorang rakan yang juga berpangkat adik, selamat maju jaya dalam peperiksaan. Jangan patah semangat dengan apa yang telah terjadi. Suatu masa nanti, emak pasti akan membuka mata dan hati. Jangan berkesal dengan apa yang telah tertulis. Yang baik2 sahaja untuk kamu sekeluarga.

[Peperiksaan paleng cemerlang buat-ku ketika peperiksaan semester terakhir dalam pengajian...]

Monday, November 05, 2007

~ HENTIKANLAH... ~




Sebentar tadi, ibu menghubungiku sambil menangis teresak2. Sangkaku ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Perlahan2 aku mendengar cerita ibu. Mahu dia menarik nafas yang panjang agar setiap butir bicaranya dapat ku dengar dengan jelas dan difahami akan maksudnya.

"Ayah merokok balik". Itu kata ibu dalam sebak. Aku diam. Senyap. Membiarkan ibu bercerita. 'Sakit hati' aku mendengar ayah merokok lagi. Hampir setahun ayah berjaya meninggalkan tabiat buruk itu dan kenapa tiba2 sekarang mahu kembali kepada tabiat itu??

Sebenarnya sejak ayah disahkan mengidap sakit jantung dan dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang begitu lama ketika sambutan hari raya aidil adha tahun lalu, ayah telah berhenti merokok serta-merta. Doktor telah beberapa kali memberitahu, jantung dan paru2 ayah tidak dalam keadaan yang baik. Justeru, kalau ayah terus dengan tabiat itu, ia akan memberi teruk yang bukan sedikit.

Aku tidak tahu apakah sebab sebenar ayah berhenti merokok sedikit masa dulu. Apakah kerana mematuhi kata2 dan arahan doktor.. ataukah kerana termakan dengan pujukan dan nasihat dari isteri dan anak2... atau kerana badannya terlalu sangat lemah ketika itu. Apapun sebabnya, usaha keras ayah berhasil. Semenjak disahkan sakit jantung, ayah langsung tidak menyentuh rokok. Hampir setahun... ayah mengamalkan cara hidup sihat. Jadual pemakanan ayah juga semakin teratur.

Dan hari ini??? Ibu bercerita tentang ketakutan itu kepada kami. Jelas ibu, ayah langsung tidak menghiraukan kata2 ibu lagi...

IBU : Ibu dah larang, dah kata kat ayah..
IBU : Tapi.. AL pun tahu ayah kan..
IBU : Dia kata, kalau nak mati, mati jugakkk.. tak hisap rokok pun!!!
AKU : Sejak bila ni bu..
IBU : Baru 2-3 ari nii
IBU : Mula2 kawan2 dok pelawa kat diaa
IBU : Tapi sekarang ibu nampak dia dah memang beli sendiri dah pulak..
AKU : Ibu tak bagitahu ker, doktor memang tak kasi ayah merokok..
AKU : Ayah pun nanti kena operation kan..
IBU : Dahh.. macam2 dah kata...
IBU : Dia marah ibu balik... (teresak2)
IBU : Minggu ni AL ajaklah abang balik.. mintak cakap dengan ayah..
AKU : Ermm..

Begitupun ayah selalu. Ayah degil. Aku faham perasaan ibu. Aku dapat bayangkan bagaimana situasi yang dilalui ibu. Ermm... jantung ayah telah disahkan bermasalah. pengambilan rokok apatah lagi secara berlebihan akan memberi kesan yang lebih buruk kepada kesihatan ayah. Ayah sering sahaja sesak nafas... ayah sering sahaja sakit dada.. ayah pernah juga beberapa kali pengsan... badan ayah semakin lemah.. tetapi ayah tetap mahu menambahkan kesukaran itu.

Ayah sering sahaja merasakan dirinya sihat dan segar bugar.. walhal... kami yang memerhati sekujur tubuhnya sehari2 ini lebih jelas melihat. Apa lagi yang perlu aku katakan..

[Bukan ayah sahaja.. malah semua anak lelaki-nya juga merupa-kan perokok yang tegar. Baiknya pula, menantu dan bakal menantu ayah tidak sa-orang pun yang merokok.]

Sunday, November 04, 2007

~ RUMAH TERBUKA ~

Terima kasih diatas kunjungan rakan2 dan kenalan yang sudi menjadi tetamu di rumah terbuka kami pada hari ini. Meriah walaupun sederhana. Berbaloi dengan penat lelah kami sepanjang hari ini. Tidak semua menu yang disajikan hari ini dimasak sendiri. Sebahagiannya ditempah seperti lemang, ketupat, roti jala dan sate. Namun menu2 wajib seperti nasi dagang, nasi impit, soto, laksa dan rendang dibuat sendiri oleh kakak yang sememangnya pakar dalam soal itu. Aku? Aku hanya melihat2 sahaja.. :)

Sahabat baik, CP juga datang bertandang. Pertama kali bersua dia selepas dia bergelar ibu kepada baby comel Lara Damia. Banyak cerita yang terkongsi. Banyak juga perubahan yang sedang berlaku keatasnya. Aku turut bersimpati. Namun sebagai sahabat, aku tetap mendoakan yang baik2 sahaja buatnya. Mudah-mudahan segala pengorbanannya terhadap suami berbaloi dan memberi kebahagiaan buatnya.

Selepas jam 10 malam, barulah rumah menjadi lengang. Bersandar kepenatan. Tetapi gembira kerana dapat meraikan rakan dan kenalan sempena hari raya ini. Sebenarnya majlis ini merupakan majlis tertunda. Sudah 2 minggu kami merancang tetapi keadaan dan masa sering sahaja tidak mengizinkan. Minggu ini pun, abang terpaksa ke Sarawak atas urusan kerja. Namun, dek kerana hari ini sudahpun 23 Syawal dan tidak ada tarikh lain lagi yang sesuai, maka jadilah juga majlis pada hari ini. Abang bergegas pulang dari Sarawak pada pagi tadi semata2 kerana majlis ini.

[Kata ibu, aku dilahirkan pada 17 Syawal...]

Saturday, November 03, 2007

~ OBSESI BUAT TEMAN JIWA ~


PERLU KAMU
by ajai & kris dayanti
(soundtrack filem 1957 hati malaya)

Saat ini

Ku cerita
Isi hati segala rahsia
Aku rindu
Aku perlu
Hati kamu terukir namaku

Aku tahu
Aku rindu
Aku perlu mengenali kamu
Biar masa bercerita
Kau takkan hilang aku sayang

Ku sadari saat manis ni kan pergi

Biar aku ngerti
Kerna aku mahu kamu

Ku ulangi kau yakini hati ini
Kerna aku cinta kamu
Hari hari aku
Kan menjadi hari kamu
Kerna syarat hidup
Disayangi…

Biar nyata
Aku setia
Janji cinta tentunya berbeda
Maafkan lah salah kita
Biar benci
Ku tetap di sisi

Ku sadari saat manis ni kan pergi,
Biar aku ngerti,
Kerna aku mahu kamu

Ku ulangi kau yakini hati ini

Kerna aku cinta kamu
Hari hari aku
Kan menjadi hari kamu
Kerna syarat hidup….
Disayangi...

Aku perlu
Aku rindu

[Aku perlu kamu.. bukan dia..]

Friday, November 02, 2007

~ BERNASIB BAIK ~


Dek kerana aku bercuti raya agak panjang, banyak urusan kerja yang tertangguh. Sudahnya 2-3 hari terkebelakang ini aku kerap terlajak waktu meninggalkan ruang pekerjaan. Hari ini juga tidak terkecuali.

Usai segala yang patut aku habiskan hari ini, aku bersegera mengatur langkah untuk pulang. Kira2 jam 7 petang. Malang sekali, sepanjang hampir 1 jam aku di perhentian itu, satu teksipun tidak mahu memberi tumpang. Jalanraya juga agak sesak luar biasa. Dengan badan dan fikiran yang sungguh penat, aku mahu saja bersegera pulang ke rumah.

Mengisi waktu dengan menghabiskan sedikit bacaan yang berbaki. Ermm... Apalah malang nasibku hari ini. Dalam aku termangu2 itu, sebuah teksi tiba2 berhenti betul2 di hadapanku mahu memberi tumpang walaupun di tempat duduk hadapan telah ada yang turut menumpang. Mulanya aku menolak sahaja tetapi katanya uncle yang di depan ini hanya mahu turun beberapa meter di depan sahaja. Melihatkan jam di tangan sudah menunjukkan hampir jam 9 dan penat yang berdamping berat, aku bersetuju saja kemudiannya.

Aku menyangkakan lokasi penumpang di depan ini adalah di jalan utama ini, rupanya tidak. Rupa-rupanya dia minta dihantar di sebuah taman perumahan. Cuak. Tetapi aku sudah berada di perut kereta ini. Tenang-tenangkan diri sahaja.

Tiba di tempat yang dimaksudkan, si pemandu teksi ini meminta aku menunggu sebentar kerana katanya si penumpang ini (lelaki india yang sudah berumur) tiada wang untuk membayar tambang itu. Dia sedang menelefon anak buahnya supaya datang menyelesaikan bayaran yang tertera di skrin meter teksi itu sebanyak RM12.80.

Beberapa minit dia mundar-mandir di situ kemudian hilang di celah gelap malam. Pun begitu, dia sempat berpesan kepada pemandu teksi ini supaya setia menunggunya di situ kerana dia akan datang membawa wang. Si pemandu ini pula, mencari ruang meletak kereta yang lebih baik. Memberitahu kepadaku supaya bersabar kerana dia mahu menjejaki uncle tadi kerana bimbang kalau2 ia hanya 1 helah dari uncle tadi untuk tidak membayar tambang teksi.

Kecut. Aku mula berfikir macam2. Semuanya yang tidak baik sahaja. Terus aku buka pintu teksi untuk keluar, tetapi kata pemandu yang lengkap berkopiah ini biar sahaja aku menunggu di dalam teksi kerana mungkin lebih selamat. Selamat? Bagaimana aku mahu fikirkan aku akan selamat dengan keadaan yang cukup mencurigakan itu??? Aku berkeras juga mahu keluar dari teksi dan ketika itu kelihatan uncle tadi muncul kembali dengan seorang lelaki pertengahan umur. Dia menghulurkan wang tambang seperti mana yang dijanjikan itu setelah 15-20 minit menghilangkan diri.

Aku menarik nafas yang dalam.. lega. Pemandu teksi ini berkali2 memohon maaf dariku. Katanya dia memberikan tumpang kepadaku walaupun ada penumpang yang sudah tersedia ada kerana mengenangkan hari sudah malam dan aku 1 bangsa dengannya.

Aku membatukan diri. Diam dan membiarkan dia sahaja yang berkata2. Satupun tidak lekat dalam pendengaranku. Ketika mahu membayar tambang teksi, dia menolak dan tidak mahu mengambil tambangku. Namun aku tetap meninggalkan wang itu di ruang tempat duduk.

Baik sangat hati dia tidak mahu mengambil wang tersebut sedangkan baru sebentar tadi dia sanggup mengambil risiko yang mungkin membahayakan dirinya dan aku juga juga semata2 mahu menuntut RM12.80. Hanya kerana RM12.80... ermm... Mujurlah tiada apa yang buruk berlaku. Bagaimana kalau, penumpang tadi benar2 membuat helah dan berniat jahat kepadanya? Berbaloikah dengan nilai RM12.80 itu???

Errmmm.. sungguh2 aku tidak faham dengan sikap manusia yang begini. Dan aku juga sebenarnya tidak faham bagaimana aku boleh dengan begitu berani berada di teksi itu dengan keadaan yang begitu. Sedangkan sealam ini aku sangat2 menaga langkah.

Sebaik membuka pintu rumah, aku ditegur kakak. Mungkin melihat keadaanku yang wajahku yang masih cemas itu. Mulanya aku tidak berhasrat untuk menceritakan kejadian yang baru berlaku sebentar tadi itu... namun raut wajahku ini sukar benar menyorokkan sesuatu. Dan tentu sahaja kakak dapat membacanya dengan mudah.

Bagai diduga, satu sesi 'ceramah' yang terpaksa aku ikuti. Paling membuatkan kakak marah kerana aku tidak langsung menghubunginya walaupun aku punya kesempatan untuk berbuat begitu. Yaaa.. aku salah.. Aku cuma tidak mahu membuat dia risau. Itu sahaja.

Ermm.. aku cuma bernasib baik hari ini. Namun, nasib yang baik itu tentunya tidak selalu akan berdamping dengan kita setiap ketika. Justeru, ingatan untuk yang di luar sana dan juga untuk diri sendiri agar lebih menjaga langkah dalam apa jua situasi sekalipun.

[Bukan senang mau menchari manusia berhati mulia di hirok-pikok kota besar ini..]

Thursday, November 01, 2007

~ SELAMAT PENGANTIN BARU.. ~

Seketika tadi aku menerima undangan majlis perkahwinan seorang sahabat. Tidak cukup dengan kad, dia turut menghubungiku mengharapkan agar aku dapat turut sama meraikan hari bahagianya. Majlis ini akan berlangsung pada hari ahad 18hb November ini.

Tumpang gembira buat sahabat ini. Percintaannya dengan kekasih hati bukan sekejap. Bukan setahun, bukan juga 2 tahun. Tetapi melalui satu tempoh yang panjang dengan pelbagai cabaran sebelum bersepakat ke jenjang pelamin ini. Ku kiranya usia percintaan mereka berdua itu jauh lebih panjang berbanding percintaanku dengan teman jiwa. Namun.. kalau sudah jodoh.... Ribut taufan yang macamana sekalipun, ia tetap tidak menjadi halang. Aku sangat2 mengkagumi ketabahan dan kesabaran sahabat yang seorang ini.

Malang sekali, pada tarikh 18hb itu, aku punya agenda yang telah dirancang terlebih dahulu. Kebetulan juga pada esok harinya itu juga merupakan hari ulangtahun kelahiran teman jiwa. Bagaimana ya... Tentu sahaja aku tidak boleh menggadai janji dengan mudah kerana ia telah lama diatur rancang. Pun begitu, meraikan hari bahagia sahabat ini juga bukan sesuatu yang boleh aku tolak tepi begitu sahaja. Ermm... Bagaimana yeaa...

[Selamat berbahagia... bersyukor apa yang ada dan bersabarlah apa yang kurang..]