Sunday, September 30, 2007

~ GOL & GINCU ~

Sejak dari awal aku memang begitu tertarik dengan jalan cerita filem Gol & Gincu yang akhirnya dipanjangkan ke drama series ini. Tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap episod drama ini pada musim pertama dan musim kedua yang berakhirnya sebentar tadi.

Moral persabatan yang ditunjukkan begitu baik terkesan. Teladan yang banyak mengisi. Err.. itupun kalau ia ditonton dengan fikiran yang berjalan. Banyak yang positif yang terkutip selain sedikit suku yang mungkin kita tolak. Pun begitu keseluruhan, ia sebuah drama yang baik padaku.

Selain itu, aku juga sukakan watak puteri dan Reza (lakonan Fazura & Pierre Andre). Ia begitu natural dan terkesan. Aku katakan mereka pasangan yang cukup serasi walaupun mempunyai sifat yang bertentang sama sekali. Paling meninggalkan kesan tentunya babak di mana Reza menulis segala rahsia tentang dirinya di atas setiap burung kertas yang dibuatnya. Ia dilakukan untuk memujuk Puteri yang berkecil hati dengan Reza yang banyak berahsia dengannya. Walau atas apa alasan sekalipun, bukankah jujur dan berterus-terang itu lebih baik dalam setiap perhubungan? Justeru Reza cuba membaik-pulih keadaan.

Selalu juga aku membayangkan aku seperti mereka. Aku banyak berahsia. Bukan sengaja mahu begitu, tetapi begitupun lumrah aku. Aku seorang yang agak berahsia. Bukan sahaja dengan dia, malah dengan kebanyakan orang juga. Bukan aku berbohong, cumanya aku tidak membuka mulut untuk sesuatu yang tidak ditanya apatah lagi untuk sesuatu yang langsung tiada perkaitannya. Terkadang bukan aku berahsiapun, namun disebabkan tanah badan yang payah untuk bercerita dengan mudah, ia berlangsung seperti sebuah rahsia. Errmm..

[Banyak juga menyimpan rahsia mereka.. dan kalau aku bukan penyimpan rahsia yang baek, tentu sahaja ada ribut yang ber-tentang... Aku tidak mau mengkhianati janji.. tidak mungkin juga memijak amanah. Biar semua tergadai, asal keperchayaan tetap dijunjong..]

~ MENUTUP LELAH ~

Hari ini aku memutuskan untuk melapangkan diri di rumah sahaja. Saban minggu aku asyik mengisi sabtu dan ahad dengan pelbagai urus dan hari ini biarlah aku di rumah sahaja. Teman jiwa juga perlu pulang ke selatan tanahair lebih awal dengan urusan pekerjaannya.

Baik juga kerana aku bercadang mahu menyambung aktiviti penulisanku yang banyak tertangguh sejak akhir2 ini. Mengemas-kini bahan baca yang semakin bertempiaran ini. Ermm.. Banyak yang telah aku tinggalkan. Dann... mata juga mengantuk mahu mengatur mimpi dek lelah mengharung perjalanan semalam masih berbaki.

Pun begitu belum pun sempat aku memulakan aktiviti, kakak pula meminta aku menemankan dia keluar membeli-belah beberapa persiapan raya yang belum lengkap. Mengangguk sahaja aku kerana kalau kuberikan alasan sekalipun, tentu sahaja akan membuat rajuk pada kakak. Kiranya sampai waktu berbuka jugalah kami menghabiskan masa di M.V. Semuanya barang untuk ayah dan ibu, hadiah sempena aidilfitri ini.

Aku pula belum lagi punya kesempatan untuk membelinya. Nanti-nantilah...Aku bercadang untuk membeli hadiah untuk ayah dan ibu minggu hadapan sahaja bersama teman jiwa kerana dia juga mahu turut serta dan tentunya secara senyap sahaja.

Malamnya, aku menghubungi ibu... berbual kosong. Semenjak bulan puasa ini, hampir setiap hari aku menghubungi ibu. Kadangkala, 2-3 kali dalam sehari. Bukan kerana urus penting pun.. Sekadar mahu mendengar suara ibu.. bertanya apa yang sedang ibu lakukan dan ibu berbuka puasa dengan juadah apa.. :) Rindu segalanya tentang ibu. Rindu pelukan ibu ! Ibuu, AL sayang ibu... seperti mana ibu sayangkan AL.

[Menutop lelah dengan senyom... agar dunia turut tersenyom..]

Saturday, September 29, 2007

~ IRAMA INDAH DARI LELAKI ITU ~

Lama aku menantikan album ini... Akhirnya terhasil juga setelah beberapa tahun menunggu buah tangan terbaru dari penyanyi lelaki tersohor ini. Apa kata dunia? Aku tidak peduli apa yang dikata dunia.. Yang pasti kandungan keseluruhan lagu2 yang terkandung di dalam album 'emas' ini sangat menyenangkan aku. Terbuai terus dengan alunan suara lelaki yang seorang ini.

Aku tidak berniat untk mengulas album ini secara keseluruhannya kerana tentu sekali yang elok2 sahaja mahu aku katakan. Paling adil, dengarlah sendiri kesemua lagu yang terkandung ini. Bermula dari I'm The Lucky One, Ketulusan Hati, Tinggalkan aku, Kau Bunga Cintaku, Tak lelah, Lelaki Ini, Hanya Milikmu, Bidadari, jangan Pernah Lagi dan Teman Terulung.
Namun, bercakap iarma yang paling hinggap di dengarku tentu sahaja lagu Lelaki Ini, Ketulusan Hati dan Kau Bunga Cintaku. Kebetulannya ditulis oleh orang yang sama, komposer dari Indonesia, Numata. Terkesan sungguh iramanya jauh ke dalam hatiku.

Walaupun telah memiliki album ini dengan harga RM34.50 pada 2 minggu yang lepas, hanya semalam aku punya kesempatan mendengarnya secara berulangan. Sepanjang perjalanan ke utara tanahair, hanya lagu ini berputar tanpa henti. Indah pada dengarnya.

Bising sahaja teman jiwa membuat protes dengan lakuku itu.. (hahaha..). Akhirnya dia terpaksa mengalah kerana aku mahu menang kali ini.. Dan lagu ini khas aku dedikasikan buat dia...

KETULUSAN HATI
by anuar zain

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Cintaku hanya indah
Hanya bahagia
Untuk selamanya

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku
Mencintaimu
Tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
Hanya tulusnya hati
Mencintaimu
Tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku
Hanya untuk dirimu selalu
Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Tak ada seribu janji
Hanya bahagia untuk selamanya..

[Lelaki ini yang selalu mencintaiku... selalu.... tanpa ragu.... terima kaseh MR LKH.]

~ KE UTARA SEMENANJUNG TANAHAIR LAGI ~

Teman jiwa menjemputku terus di tempat pekerjaan setelah usai urus kerja. Bagai yang dijanji, kami akan ke utara semenanjung tanahair hari ini. Mahu mengunjungi ibu arwah dr jiwa. Sejak Ramadhan pertama lagi, si ibu mengharapkan agar aku dapat berbuka puasa di sana, bersamanya.

Bukan mahu menghampakan dia, namun jaraknya yang terbentang itu bukan sekadar 3 langkah. Justeru, tentunya aku perlu mencari waktu yang sesuai dengan kesempatan yang ada untuk ke sana. Dan, mujurnya hari ini kesempatan itu ada menghulur diri.

Terima kasih untuk teman jiwa yang sentiasa memahami dan cuba memahami banyak perkara yang kadang-kala benar2 sukar untuk difahaminya.. tentang aku... aku yang selalu bertindak di luar fikirnya.. itu katanya selalu kepadaku.

Kami tiba sedikit terlewat. Terpaksalah berbuka di dalam kereta sahaja. Cukup sekadar milo kotak dan sedikit roti. Teman jiwa mahu memberi singgah agar aku dapat berbuka puasa dalam keadaan yang lebih baik, namun aku menolaknya kerana tidak mahu melambatkan perjalanan.

Sebaik bertemu si ibu, dia meluru menyambut kami dengan riang. Erat dan kejap pelukannya seperti tidak mahu melepaskan. Aku membiarkan sahaja. Aku tahu yang sedang ada dalam fikirnya. Kalaulah aku boleh menyenangkan hatinya selalu.. Ermm..

Hubungan si ibu dan Teman jiwa semakin baik. Sudah mahu berbicara lebih banyak. Kalau dulu pada pertemuan pertama, dia hanya berbicara melalui bahasa badan sahaja. Mungkin juga ketika itu, si ibu tidak begitu selesa kerana teman jiwa dari warna kulit yang berbeza barangkali. Ermmm.. kalaulah teman jiwa ini boleh menggantikan si anak yang telah 'pergi' itu.. ermmm.. alangkah baiknya...

Apabila bertemu si ibu ini, saat yang paling tidak mahu aku hadapi ialah saat perlu berangkat pulang. "Ibu sudah tidak punya siapa2 lagi.." itu bahasa yang selalu dia nyatakan kepadaku. Ermm.. yaaa... arwah satu2nya zuriat ibu dan tentunya bukan mudah ibu melalui getir ini.

Tahun ini merupakan tahun ke-2 arwah tidak menyambut Aidilfitri bersama si ibu. Arwah kembali ke rahmatullah pada 30 mei 2006 yang lalu.. Al Fatihah untuk arwah.... dan menyusul 5 bulan kemudiannya arwah D... Bagai berjanji, 2 manusia yang begitu dekat denganku ini pergi menyambut panggilan Ilahi. Sungguh kedua mereka tidak saling mengenali, namun yang merintihnya tentulah aku. Takdir buat aku... dan tentunya punya hikmah yang maha besar buatku.

[Aku sering sahaja tidak mampu ber-depan baek dengan mereka yang ber-gelar ibu... kaseh wanita ber-gelar ibu itu sangat dalam men-cengkam..]

Friday, September 28, 2007

~ MENYANDAR BAHU ~

Dalam kusut yang bersimpul seratus itu, entah bagaimana aku menekan nombor BR. Sedangkan selama ini, aku selalu berharap untuk mengelakkan diri dari bersua dia. Tidak mahu menjadi lebih sahabat kepada dia. Namun hari ini aku mencarinya. Aku tahu Brad juga terkejut sebaik menerima panggilanku. Namun, mujurnya, tidak tidak banyak mengusul tanya.

Aku terasa mahu mencari dia untuk bercerita. Untuk berkongsi 'keadaanku' saat ini. Dan dia agak dekat untuk menyandar bahu ku kira. BR segera sahaja bersetuju untuk bertemuku saat itu. Justeru, aku membatalkan hasrat untuk terus pulang ke rumah. BR tiba selang 20 minit kemudian dan membawaku ke SP. Rupa-rupanya dia bersama2 rakan2 nya sedang membuat latihan untuk 1 acara di situ. Duduklah aku dan BR di suatu sudut. Laju sahaja aku membuka mulut bercerita tentang rasa hati yang sedang bergalau itu. Aku berceriita dalam bingar, dalam bising suara manusia mengisi ruang. Entah kenapa lebih selesa dan mudah bercerita dalam keadaan yang bising begini kali ini. Dia hanya mendengar. Selalunya aku yang banyak mendengar dan dia yang bercerita.. tetapi kali ini sebaliknya.

Dia memandang aku.. lama. Aku tahu dia mengerti kerana itu aku bercerita kepadanya. Sebenarnya, ini merupakan kali pertama aku bercerita begini kepadanya. Sebelum ini aku tidak pernah bercerita soal2 yang besar begini kepadanya. Aku tahu, pelbagai soal yang sedang bermain di fikirannya melihat sikapku pada malam ini. Aku melakukan perkara2 yang tidak pernah aku lakukan kepada dia sebelum ini.

Awal perkenalan dulu, aku tidak pernah menyenangi Brad. Dia seorang lelaki yang sombong dan berlagak.. memandang rendah aku juga barangkali. Melihat dirinya terlalu sempurna menyebabkan aku kalau boleh langsung tidak mahu mengenal dia walau sebagai apapun. Memandang dia sahaja sudah membuat aku terasa 'mual'. Namun benarlah kata orang, tak kenal, maka tak cinta. Aku sendiri telah lupa bagaimana aku boleh berkenalan dan seterusnya bersahabat dengannya.

Aku tahu, BR terasa pelik kenapa aku mencarinya malam ini.. sedangkan selama ini, panggilan telefonnya pun aku tidak begitu rajin mahu menjawabnya. Sms pula, bila masuk hari ke-2 atau ke-3 barulah ada balasan dariku. Namun hari ini, aku mencarinya! Aku mahu bertemu dan berceritanya kepadanya. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan.. ermmm... aku memilih untuk berceritanya kepadanya kerana aku tahu, dia hanya akan mendengar sahaja. Dia tidak mengenali watak2 yang terlibat ini. Justeru kalau dia memberikan pendapatpun, tentu sahaja dia tidak akan membabi-buta menyebelahiku.

[Mudah-mudahan aku tidak terjebak dengan masalah baru..]

~ CUKUP SUDAH ~

Aku kira aku sudah mampu menerima 'keadaan itu' dengan sebaiknya. Namun ternyata ia tidak semudah itu. Aku gagal rupa-rupanya. Hari ini.. yaaa hari ini aku kembali menyedarinya.

"Yessss.. I cameeeeeeee.. for u!!!"

Kalaulah jeritan yang di dalam ini boleh didengar dengan begitu jelas di pendengaran dia, alangkah baiknya. Di wajahnya ada beberapa tanda soal dan mahu sahaja aku memberi jawab kepadanya secara percuma. Tapi sayangnya ia boleh didengar hanya aku seorang.

Bukan kerana ego yang ada, tetapi nampaknya ia benar2 tidak boleh diusik, diubah atau dikembalikan lagi. Ia membekas dalam barangkali. Bukan bermaksud aku berputus asa, tetapi aku mungkin perlu menerima kenyataan bukan semua perkara akan terjadi seperti yang kita mahukan. Aku tahu tentang itu.. cuma sering terlupa. Aku tidak pernah putus berdoa, tetapi mungkin kata Tuhan, inilah yang terbaik buat aku.. maka seharusnya aku menerimanya dengan berlapang dada walaupun amat sukar sekali.

Dalam perjalanan pulang, laju sahaja airmata ini menghujani diri. Bukan kerana sedih tetapi kerana mengikut rasa marah dan kecil hati. Aku sunguh2 berkecil hati. Saat itu tersemat satu tekad dalam hati, aku tidak akan lagi berusaha menjadi 'baik' untuk menyenangkan hati orang... aku tidak akan lagi menyakitkan hati sendiri untuk menjaga hati orang lain. Cukup !!! Aku tidak mahu melakukan apa2 lagi. Aku juga punya harga diri. Biarlah dia dengan perkiraannya. Mudah-mudahan yang terbaik saja untuk dia.
HADAPI DENGAN SENYUMAN
by dewa

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi
Biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua kan baik-baik saja
Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan
Tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah
Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang...

[Benar, aku saorang yang chukop degil dan keras hati.. namun apabila ber-depan soal pengorbanan dan soal2 keperchayaan... aku mula men-jadi goyang..]

Thursday, September 27, 2007

~ LAMPU SULUH YANG PALING TERANG ~

Selasa lepas, aku sempat menonton filem terbaru arahan pengarah hebat Ang Lee, Lust Caution. Filem ini mengambil latar belakang zaman perang dunia ke-2 sekitar tahun 1942 di China. Menarik jalan ceritanya dan aku lekat mengikuti ceritanya sehingga ke hujung. Banyak mesej yang diberi kepada mereka yang menonton dan banyak juga yang mampu aku bawa balik dan sematkan dalam hati.

Ia mengisahkan tentang perjuangan sekumpulan anak muda dari universiti yang mahu menghapuskan golongan yang berpaling tadah kepada negara. Tali barut penjajah. Menggadai negara untuk kepentingan diri sendiri. Mereka asalnya daripada kumpulan teater patrotik di Universiti kemudiannya mendapat inspirasi dan menyertai kumpulan radikal menentang pemerintah pada masa itu. Kesangggupan dan pengorbanan mereka mengundang inspirasi. Meminjam banyak semangat dari mereka.

Namun paling menarik perhatianku, soal pengorbanan seorang gadis yang bernama Wong Chia Chi a.k.a Mrs Mai demi negaranya tercinta. Bukan sahaja berkorban masa dan tenaga tetapi juga maruah diri dan nyawa semata2 mahu memastikan misinya dan rakan2 berjaya. Pengorbanan yang tidakkan berbayar. Dia jelas tentang soal itu. Namun dia dia tetap memilih. Kenapa? Ermm... Pengorbanan... terjadi pengorbanan itu selalunya untuk seseorang atau sesuatu yang kita istimewa dan terkesan pada kita sahaja..

Awal bulan lalu juga aku sempat menonton sebuah filem patriotik dari Indonesia, Nagabonar Jadi 2. Soal cintakan negara juga. Soal semangat dan jati diri. "Apa kata dunia..." Dialog yang cukup memberi makna. Diamati di sebalik gelak tawa itu, besar bicara mahu dikongsikan. Kecintaan.. Hujung oktober nanti, aku menanti pula sebuah naskah patriotik dari filem Malaysia pula, 1957 : Hati Malaya. Terkesankah seperti Lust Caution dari China atau Nagabonar dari Indonesia?

Selalunya kalau mahu menonton filem2 dari genre yang begini, sukar mahu mencari yang sama mahunya. Teman jiwa tidak pernah berminat dengan filem yang begini. Sekadar menemankan aku dan melayan mimpi setelah 20 minit pertama filem berputar. Ermm... kenapa yea... tidak ramai yang senyum dan mahu dengan sesuatu yang berbentuk sejarah.. Bukankah sejarah itu lampu suluh yang paling terang?

[Pengorbanan... bukan kerana kerana itu dan ini]

Wednesday, September 26, 2007

~ MENGENAL TANPA TAHU ~

Lewat beberapa hari ini, aku semakin kerap berbual dengan seorang rakan ini. Sebelum ini aku tidak begitu mengenalinya. Sekadar bersapa atas urusan pekerjaan. Itupun hanya satu atau dua kali sahaja.

Lama tidak bertembung dia, kali terakhir april atau mei tahun sudah. Aku juga mendapat tahu dia telah bertukar tempat pekerjaan. Sekadar tahu itu sahaja.

Namun rakan ini sesekali pernah juga menghantar kiriman sms kepadaku dengan ucapan perayaan2 penting. Ia sekadar itu sahaja. Namun baru2 ini dia kami mula berinteraksi di skrin. Dia sekadar bertanya khabar sahaja pada mulanya.

Pun begitu, perbualan menjadi semakin kerap. Mungkin ia lebih mudah di skrin begini barangkali. Aku senang juga dengan dia yang sentiasa banyak cerita untuk dikhabarkan. Ada sahaja ceritanya. Pun begitu, semalam aku menjadi sedikit kurang senang dengan bualnya. Dia banyak tahu tentang aku rupa-rupanya. Sedangkan aku hanya tahu dan mengenali dia sekadar urusan pekerjaan sahaja. Bagaimana dia tahu? Sedangkan kami tidak begitu mengenali antara sesama. Apatah lagi berkawan baik. Tidak. Dia hanya berurus dalam soal pekerjaan sahaja. Pelik dan memberi tanda soal yang besar di fikiranku.

Aku yakin dia bukan meneka kerana banyak yang dikatanya itu begitu tepat mengena aku. Kalau meneka sekalipun, tentu sekali tidak masuk akal apabila dia serba tahu dengan cerewet aku dalam soal makan. Begitu jelas dan seperti menghafal prinsip yang dipegang aku. Lebih dan kurangku juga dibilang tepat. Dia membaca banyak. Bila aku bertanya, ujarnya dia hanya meneka. Meneka? Yer2.. meneka... teruskan meneka!!!

Minta maaf. Aku tidak suka situasi yang begini! Dia telah membuat angin marah aku menghala sehingga ke bumi borneo sana.

[Jangan biasakan diri 'mencuri'.. ]

Tuesday, September 25, 2007

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~

Ini rupa-rupanya yang terkandung disebalik bungkusan cantik itu. Terima kasih daun keladi. Membaca dengan lebih baik kali ini. Aku perlu beralih citarasa barangkali. Sebelum ini aku begitu setia dengan Elizebeth Arden. Namun kali ini aku perlu mencuba Lancome.

[Mendahului tarikh? Selalupun begitu..]

Monday, September 24, 2007

~ BERKONGSI UCAPAN ~

Senyum sahaja aku mengenangkan karenah si kecil. Beberapa hari ini, aku agak sibuk dengan urusanku di luar menyebabkan jarang boleh duduk bercerita panjang dengannya seperti selalu. Malam semalam dan malam ini, aku punya sedikit kesempatan untuk bercerita dengannya.

Saat aku sibuk menulis dan membalas kad ucapan raya, dia mahu menyertai sekali. Mulanya dia hanya menulis2 ucapan di kertas kosong sahaja. Mahu melihat dia senyum, aku mempelawa dia untuk menumpang kad2 ucapanku itu. Bagai diduga, gembira dia bukan kepalang.

Tulisan dan ucapannya membuat aku berfikir banyak. Anak kecil ini terlalu jujur meluahkan apa yang difikirnya. Aku tidak mengatur atau menentukan ucapan apa yang perlu ditulisnya, terserah dia. Sungguh aku tidak sangka, ucapannya jauh lebih jujur daripada aku. Aku suka dengan tulisannya walaupun begtu ringkas. Dia juga menumpang memberi ucapan kepada sahabat mei yang dikenalnya sebagai Isabella. Beriya2 seperti tulisan itu perlu dihantar kepada sang guru untuk disemak.

Namun yang paling mengharukan bilamana aku membaca ucapannya untuk atuknya yang tersayang. Perkataan2 polosnya membuatkan aku terdiam seketika. Sebenarnya si kecil memang terlalu rapat dengan ayah. Aku tahu dia terlalu sangat sayangkan ayah sebagaimana ayah juga. Dia tahu ayah jelas dengan sikap garang dan panas barannya, tetapi si kecil ini begitu memahami. Hubungan mereka terlalu istimewa. Aku tahu, ayah pasti akan terharu membaca ucapan dari sikecil ini nanti...

[Mudah-mudahan ucapan maaf itu diterima baek...]

Sunday, September 23, 2007

~ KAD UCAPAN ~

Sayu. Saat ini, aku benar2 terkenangkan arwah D. Ketika ini, aku punya kesempatan membelek2 kad ucapan raya yang telah aku terima sejak seminggu yang lepas. Kiriman dari rakan taulan yang jauh dan dekat juga. Memandangkan aku juga telah siap siaga membeli kad ucapan beberapa hari lalu, makanya dengan kelapangan yang ada ini aku terus saja menulis kad balasan dan beberapa kad ucapan untuk mereka yang ada dalam ingatan.

Saat galak membaca dan menulis kad2 ucapan itu, aku tiba2 rasa kehilangan sesuatu. Ermm.. yaa... aku tidak lagi didatangi kad ucapan dari seorang manusia yang amat2 aku sayang dan kasihi, arwah D. Selalunya D merupakan sahabat yang terawal menghantar kad ucapan kepadaku meskipun kami kerap berjumpa. Selama 10 tahun tempoh persahabatan kami, dia tidak pernah gagal mengiirimkan kad ucapan hari raya kepadaku. Dan tahun ini buat pertama kalinya, aku tidak mendapat kiriman darinya. Dan sedikit rasa janggal apabila namanya kucicirkan dari senarai rakan dan sahabat yang akan kukirimkan kad ucapan.

Hati ini benar2 terusik saat ini. Lelaki yang seorang ini, bukan sebarang sahabat kepadaku. Dia terlalu istimewa. Sahabat yang terlalu istimewa duduknya di hatiku. Ermm.. namun tiada telah tiada lagi. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Mudah-mudahan, arwah tenang dan aman sejahtera bersemadi di sana. Sebagai gantinya, aku mengirimkan kad ucapan buat adik arwah, Sha dan keluarga. Semoga keluarga (terutamanya ibu) tabah menyambut lebaran buat pertama kalinya tanpa arwah. Al Fatihah untuk arwah............................................ :(

DEALOVA
by once (dewa)

Aku ingin menjadi mimpi indah
Dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang mungkin bisa kau rindu
Karena langkah merapuh
Tanpa dirimu
Oh karena hati tlah letih

Aku ingin menjadi sesuatu
Yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahwa ku
Selalu memujamu
Tanpamu sepinya waktu
Merantai hati
Oh bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yg kuhela
Kau selalu ada

Hanya dirimu yang bisa
Membuatku tenang
Tanpa dirimu aku merasa hilang
Dan sepi... dan sepi
Selalu ada...
Kau selalu ada
Selalu ada...
Kau selalu ada

[Kau selalu ada... tetap ada di sini.. di hati ini...]

Saturday, September 22, 2007

~ TANGAN YANG MEMBERI ~

Petang semalam, aku ke rumah Ai dan dan berbuka puasa bersama mereka sekeluarga bersama sekumpulan anak2 yang tidak berbasib baik. Sebenarnya setiap tahun, ibu Ai, auntie Phia akan menjemput sekumpulan anak2 kurang bernasib baik ke rumah mereka di TTDI dan meraikan mereka sempena Ramadhan mulia. Tahun lepas aku tidak dapat menyertai mereka pada tarikh tersebut aku berada di kampung.

Aku tiba sedikit lewat semalam, sudah hampir dengan waktu berbuka puasa pun. Kasihan melihat auntie Phia yang sibuk dan tak menang tangan melayan anak2 itu di bawah 2 canopy besar di depan rumah mereka. Rasa bersalah pula kerana tidak dapat datang lebih awal membantu mereka walaupun aku tahu kedatangan aku saja pun sudah cukup menyenangkan Auntie Phia.

Sebenarnya aku cukup kagumi keluarga Ai. Walaupun mereka ini hidup mewah dan serba moden tetapi tidak pernah lupa kepada mereka yang dalam kesusahan dan kurang bernasib baik. Sebelum mengenali Ai, kalau melihat kepada cara dan gaya hidupnya aku juga tidak menyangka peribadi dia yang sebenar. Yer.. orang kaya bukan semua yang sombong dan bongkak..

Auntie Phia memang prihatin dengan mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya anak2. Bukan sahaja bulan puasa, malah bulan2 biasa juga dia akan beramal kala punya kesempatan. Yang aku tahu, setiap bulan jika kesibukan tidak begitu mengisi hari, dia akan menghabiskan satu hari berada di rumah anak2 tidak bernasib baik ini membawa makanan yang dimasaknya. Setidak2 pun dia akan membawa KFC atau Mc Donald kepada anak2 ini. Hampir setiap bulan. Mudah-mudahan Tuhan akan terus memberi murah rezeki kepada mereka sekeluarga.

Ermm.. aku juga jika punya kemampuan yang begitu, pasti juga mahu melakukan sesuatu dan membantu mereka ini. Cumanya buat masa ini kemampuan agak terbatas untuk diri dan keluarga sahaja. Namun, andai kudrat empat kerat ini yang diperlukan, aku pada bila2 masa bersedia untuk menghulurkan tangan, insyaallah.

Jelas terpancar bahagia pada anak2 ini apabila diraikan begitu rupa. Agaknya mereka sendiri berasa akan kejujuran dan keikhlasan tuan rumah meraikan mereka. Bukan kerana silau flash kamera, bukan juga kerana tulisan di dada2 akhbar tetapi berteras rasa kasih dari hati seorang bergelar ibu dan ayah. Sayu sahaja hati melihat anak2 ini mencium tangan kami semua tanda terima kasih sebelum pulang.

Hampir jam 12 malam jugalah aku berada di TTDI sebelum Ai mengantar aku pulang ke rumah. Sebenarnya persahabatan aku dan Ai sudah lama terjalin pun. Dia juga pernah menjejakkan kaki ke kampung halamanku sedikit masa dulu. Akupun agak rapat dengan keluarganya, terutamanya auntie Phia. Sebenarnya aku segan dengan Ai. Dia begitu berjaya dalam pekerjaan dan kehidupannya, sedangkan aku masih lagi terkial2 mengejar cita2. Dia juga bukan sebarang orang.. sedangkan aku ni hanyalah kuli biasa sahaja. Terlalu kecil aku ini kalau nak dibandingkan dengan rakan2nya yang lain itu.

Errmm.. namun satu yang aku kagumi dan berterima kasih padanya ialah tentang nilai persahabatannya. Aku banyak belajar tentang nilai persahabatan dengannya. Paling penting dia tidak pernah mengkhianati sahabat walaupun pernah satu ketika dia berada dalam keadaan yang perlu begitu.

[Tangan yang memberi dan tangan yang menerima.. kalaulah kegembiraan itu dapat dikongsikan rata... ermm]

Friday, September 21, 2007

~ LENA MENCARI MIMPI ~

Sesuatu yang melucukan berlaku malam tadi. Masih lagi aku tersenyum panjang mengenangkannya hingga saat ini. Buat pertama kalinya dalam sejarah, aku lena melayan mimpi kala sedang berbual2 dengan teman jiwa.. :)

Sebenarnya malam tadi, aku agak kepenatan. Menghadiri majlis berbuka puasa atas urusan pekerjaan. Sepanjang 3 jam itu berurus itu dan ini serta berkejaran ke sana sini untuk memastikan keperluan kerjaku lengkap. Terkocoh2 juga mengejar masa agar tidak terlalu lewat pulang ke rumah. Takut pula kakak membuka mulut kerana malam kelmarin aku juga telah melewati waktu biasa tiba di rumah.

Penat. Pun begitu, sempat juga aku membelek buku yang masih berbaki helaian menunggu dihabiskan episodnya selepas siap siaga di katil. Tiba2 pula teman jiwa menghubungiku. Mahu bercerita tentang hari yang dilaluinya. 15 minit pertama, aku masih lagi mendengar ceritanya dan entah minit yang keberapa, aku lena dengan selena-lenanya. Sehinggalah aku dikejutkan tidur dengan panggilan telefon dari ibu jam 4 pagi tadi. :)

Tidak pernah terjadi begini sebenarnya dan ia mengundang tawa yang panjang buat diriku dan teman jiwa juga. Betul2 kepenatan dengan kerja2 semalam agaknya. Errmm... bertimbang-taralah dengan kudrat yang sekerat ini... itu pesan yang selalu diberikan oleh seorang teman suatu ketika dulu. Yaa.. aku mengakui benar pesannya itu.

[Ter-hantok mimpi yang ngeri... terus berat mau membuka mata menchari kenyataan..]

Thursday, September 20, 2007

~ SEBUAH TAKDIR NURIN JAZLIN ~

(kredit foto : www.mstar.com.my)

......................AL FATIHAH......................

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul... Apa lagi yang mampu kita katakan selain tabah dan redha menerima segala ketentuan takdir. Memanglah kesakitan dan kekecewaan yang bersarang tidakkan terkendong, namun siapalah kita untuk mempersoalkan sebuah takdir yang telah ditentukanNYA. Takziah untuk keluarga arwah Adik Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun. Al Fatihah untuk arwah dan semoga rohnya di rahmati dan di tempatkan di kalangan orang2 yang beriman.

Siang tadi, mayat kanak2 yang dijumpai dalam sebuah bag pakaian di Petaling Jaya Utama, Isnin lalu telah disahkan sebagai arwah Nurin berdasarkan ujian DNA yang telah dilakukan ke atas kedua ibu bapanya.

Kejam dan menyayat hati. Itulah kata yang terlahir saat diberitakan tentang penemuan dan keadaan mayat tersebut. Layakkah manusia durjana itu di panggil sebagai manusia??? Kemanakah akal fikiran dan hati serta perasaannya saat berbuat kekejaman kepada anak sekecil Nurin? Aku berharap dia mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Itu sahaja.

Kepada mereka di luar sana, mudah-mudahan ada pelajaran yang terkutip kemas di sini. Setiap langkah harus dijagai dengan curiga. Hiruk-pikuk kota ini tidak pernah menjanjikan sebuah kejujuran dan sering saja mengaburi pandangan kita. Justeru, simpan rasa waspada itu sebagai pelindung diri buat kita dan buat mereka yang dekat dengan kita.

................. AL FATIHAH ...................

[Peritnya menerima takdir yang kelat... perit juga mulot membuka suatu kelana]

~ SENYUM SEINDAH SURIA ~

Setelah 2 minggu lebih tidak berdamping, semalam aku dan teman jiwa punya kesempatan itu. Tidak dirancang, dia tiba2 sahaja menghubungiku dan mengatakan sedang dalam perjalanan dari selatan semenanjung tanahair untuk menemaniku berbuka puasa. Ketika itu masih tinggal 3 jam sebelum masuk waktu berbuka puasa. Aku mengangguk saja walaupun hari ini aku terlibat dengan majlis berbuka puasa di atas urusan pekerjaan. Tepaksalah aku membatalkan urusan itu untuk tidak membuat kelat lagi di wajahnya.

Ahad lepas dia mengatur rajuk yang panjang kerana aku tidak punya kesempatan untuk berdamping dengannya. Seminggu dua yang lepas, aku begitu dihimpit waktu dengan beberapa urusan. Musibah yang melanda Id... Hampir seminggu aku berulang-alik ke Klang. Membantu urus setakat yang ada dalam kemampuan. Ahad lepas pula ada perjumpaan keluarga yang mewajibkan aku bersama mereka. Justeru, keadaan benar2 tidak mengizinkan aku memilih untuk berdamping dengannya. Di sebabkan itu, ada rajuk sedikit yang dihantar kepadaku.

Dalam tempoh beberapa hari ini anginnya masih tidak begitu baik. Faham benar dengan sikapnya itu, aku hanya mengikut rentak. Aku juga tidak menghubunginya. Sekadar berbalas2 sms sahaja. Selalunya aku akan cuba memujuk dan menjelaskan keadaan tetapi tidak kali ini. Seperti terlupa pula dek banyak perkara yang bersimpul di kepala minggu ini. Kesian dia.

Justeru, dampingan semalam memberi ruang untuk membaik-pulih angin2 yang tidak segar itu. Hanya setelah Ramadhan ke-7 barulah aku punya kesempatan berbuka puasa bersama teman jiwa. Dia memilih tempat yang tidak pernah kami kunjungi sebelum ini. Memanglah selesa dan menunya pun begitu menyelerakan, tetapi aku merasakan golongan marhain seperti aku ini mungkin tidak begitu sesuai dengan tempat yang begini. Bagaimanapun, memandangkan waktu berbuka puasa semakin hampir dan tiada pilihan, aku akhirnya menurut saja.

Sepanjang dampingan itu tidak pula dia menyentuh soal2 seminggu yang lepas. Aku tahu dia tidak mahu merosakkan mood hari ini barangkali. Pun begitu, aku tetap meminta maaf dengannya dek kesibukanku pada minggu lepas sehingga membuatkan dia berkecil hati. Alhamdulillah, semuanya sudah kembali seperti biasa.

Selesai berbuka puasa, aku menemani dia bertemu adiknya, Jessy di kampus dan kemudiannya singgah di BV. Sempat jugalah mencari sedikit barangan keperluan hari raya di situ. Tiba di bahagian kad ucapan hari raya, dia memilih sekeping kad raya istimewa untuk sahabat dan diberikan kepada aku. Aku diam sahaja tetapi tahu apa yang sedang bermain di kepalanya. Ermmm.. Yaa.. terima kasih kerana mengingatkan aku... mengingatkan tentang soal itu.

Sebelum pulang kira2 jam 1, sempat juga kami menyinggah untuk bersahur. Sebenarnya, kalau diikutkan aku jarang sekali bersahur. Malah sehingga Ramadhan ke-8 inipun, semalamlah kali pertama aku bersahur. Tetapi apabila teman jiwa beriya mengatakan dia mahu berpuasa hari ini, makanya aku menurut saja walaupun masih terlalu kenyang.

[Senyom seendah suriya.. yang membawa cahya... senyomlah dari hati.. duniamu berseri...]

Wednesday, September 19, 2007

~ BIAR RIBUT MENYINGGAH ~

Agaknya hari ini memangnya bukan hari yang begitu baik buatku barangkali. Tidak cukup dengan rasa kurang senang dengan kejadian petang siang hari tadi, malam ini sekali lagi aku diberi pula nafas marah.

Seketika tadi kakak mengajak aku mengatur bual tentang adik lelakiku, B. Dia membuat hal lagi. Aku sebenarnya sungguh tidak faham dengan sikap adik. Dia tidak besar dengan usianya. Tidak pernah mahu berubah menjadi lebih baik dengan meninggalkan kesukaan2 yang tidak mendatangkan faedah buat dirinya itu.

Dalam usia yang begitu, dia seharusnya matang menguruskan sendiri hidupnya. Namun dek kerana terlalu dimanjakan, dia tidak pernah mahu belajar dan tahu erti sebuah kesusahan. Tidak pernah mahu mengerti soal kebimbangan kami dengan sikap tidak kendirinya itu. Terus2 dia mahu dilayan bagai putera raja hampir setiap ketika. Malah kata dan mahunya jangan dibantah sesuka hati, kelak akan memberi murka.

Hari ini, dia membuat keputusan sesuka hati lagi. Keputusan yang nyata sekali tidak memberi baik buat dirinya. Justeru, tentu sekali aku akan bangun membantah. Dan bagai biasa bantahanku itu akan membuat ribut menyinggah. Peduli apa aku dengan ribut itu berbanding dengan tsunami yang dipanggilnya tanpa tahu itu... Aku benar2 marah kali ini.

Errmm... B, AL sangat2 sayangkan B dan berharap supaya B juga sayangkan diri sendiri. Hargailah apa yang B miliki hari ini.

[Anak kesayangan ayah, juga adek kesayangan aku..]

~ SINIS ~

Sinis. Aku berdepan dengan sesuatu yang sinis hari ini. Itu pelajaran. Aku mengambilnya dengan fikiran yang positif.

Saat pertolongan kita dimahukan, segalanya manis dan baik2 belaka. Apabila senyum sedang berkompang, mahu menumpang lalu pun tidak dialu-alukan. Itu yang aku lalui hari ini. Aku tidak begitu senang untuk bercakap soal ini kerana apabila bercakap tentangnya, nadanya akan memberi bunyi seperti mengungkit atau mengharapkan balasan. Sedang yang benarnya, setiap apa yang terhulur tangan kanan, tangan kiri tidak pernah mengintai tahu.

Aku berdepan dengan seorang manusia ini. Kenalan lama, tidaklah begitu rapatpun. Suatu masa pernah juga berurus itu dan ini. Membantu setakat dalam daya dan di situlah mula dalam kenalan. Hari ini, aku bersua dia. Kebetulan atas urusan pekerjaan. Sungguh sinis dia menutur kata dan memberi laku. Tidak seperti yang ku kenal sebelumnya. Bermanis bibir tanpa segan dalam diri. Mengatur penipuan dalam penuh kesopanan. Bongkak dalam penuh kesantunan. Wahh.. terpegun sungguh aku.

Melihat situasi itu, aku senyum sahaja. Begitu rupa-rupanya manusia ini. Dia hanya menghulur salam apabila berhajatkan sesuatu dan memaling muka bila rasa kendiri. Ermm... mudahnya manusia lupa.. Pun begitu, sekali lagi diulang... aku bukan bercakap soal soal balasan. Cumanya rasa kecewa dengan sikap manusia yang seperti ini. Berharap sangat2 agar aku tidak termasuk dan tidak didekatkan dengan golongan manusia seperti ini, mudah-mudahan...

[2 perkara yang paleng aku benci : di-tipu dan dipermaenkan..]

Monday, September 17, 2007

~ SYUKUR ALHAMDULILLAH ~

Syukur alhamdulillah... Semuanya sudah selamat. Akhirnya doa kami termakbul juga. Musibah yang menimpa dan memberi sugul kepda Id dan suami tempohari telah berakhir. Setelah lebih seminggu kelat mengisi hari.

Setelah berhari menunggu perkembangan positif, petang sabtu lalu, kami mendapat khabar yang menggembirakan. Suami Id telah kembali kepada biasa. Aku juga dapat rasakan bagaimana perasaannya sebagai seorang isteri. Setelah berhari dia menangis... setelah berhari dia dalam ketakutan... dan resah itu memberi hujung juga. Kemuliaan bulan Ramadhan tentunya.

[Untong naseb hari esok tiada siapa yang tahu... jangan bongkak dengan yang ter-miliki hari ini]

~ REZEKI MUNGKIN TIDAK TERTULIS DI SITU ~

Hari ini merupakan hari aku sepatutnya melaporkan diri di tempat kerja baru. Ia akan berlaku jika aku menerima tawaran kerja tempohari. Namun setelah menimbang banyak perkara, aku fikir mungkin peluang itu patut diberikan kepada orang lain saja. Yang lebih perlu dan layak berbanding aku barangkali.

Aku tahu, nama aku sekali lagi akan disenarai-hitamkan dengan penolakan ini. Tetapi aku benar2 mahu bertukar angin ke bidang lain dari apa yang sedang aku lakukan sekarang. Apa guna aku bertukar tempat kerja kalau aku masih melakukan kerja2 di bidang yang sama. Errmmm.. Aku berharap aku tidak menyesal dengan keputusan yang aku lakukan ini. Yaa.. aku tahu... semua yang ada dan ditawarkan di tempat baru itu jauh lebih baik dengan apa yang aku miliki sekarang... Tetapi.. aku benar2 mahu beralih angin ke bidang lain.

[Mungkin memang tidak pernah ter-tulis rezkiku di situ.]

Sunday, September 16, 2007

~ 2 HARI YANG TIDAK DIRANCANG ~

Penat. Semalam dan hari ini aku mengisi hari dengan penuh urusan. Namun senyum mengiringi kerana bukan selalu dapat bersama2 mereka dalam situasi yang begini.
Pulang dari tempat pekerjaan, aku menemani adik, CK berbelanja persiapan terakhirnya untuk hari raya. Sehingga ke petang melayan karenahnya turun naik gedung mencari apa yang diinginkannya. Begitupun dia kalau mahukan sesuatu. Aku menurut sahaja. Itulah yang selalu membuat kakak bising kepadaku. Menurut sahaja segala mahu adik.

Pada mulanya, kami bercadang mahu berbuka puasa di luar, di tempat kegemaran adik. Tapi 1 jam sebelum tiba waktu berbuka puasa, kakak tiba2 menghubungiku meminta kami ke rumah abang dan berbuka puasa di sana. Katanya, abang mahu kami berbuka puasa di sana hari ini. Kakak juga akan ke sana. Mahu atau tidak, kami kenalah juga mengangguk.

Sesampai sahaja di muka pintu, rupa-rupanya ada kejutan pula di sini. Bukan kami sahaja yang tiba. Wajah2 yang dikenali semuanya. Kecoh suasananya seperti ada majlis pula. Riuh rendahlah sapa-menyapa bertanya khabar. Penuh satu rumah rupa-rupanya.

Itu kisah semalam. Dan hari ini aku sekali lagi bersama2 mereka meredah hiruk-pikuk kota untuk turut sama turun naik gedung. Kali pertama ku kira dalam situasi yang begini. Kami pergi bersama2 mencari barang2 keperluan raya dan hadiah untuk ayah dan ibu. Keseronokan yang mungkin tidakkan terulang di mana2. Mana pernah punya peluang yang begini. Nah, hari ini kami melaluinya dengan baik sepanjang satu hari. Bersama2 selama satu hari. Banyak tawa, banyak riang banyak cerita yang terkongsi.

Hari ini juga, kami berbuka puasa beramai2 di sebuah restoran kegemaran. Meriah sekali. Aku tersenyum sendiri. Pertemuan yang langsung tidak dirancang2. Rezeki yang diberi Tuhan pada Ramadhan ke-4.

Tiba di rumah, jam menunjukkan 10 malam. Cuba menghubungi teman jiwa, gagal. Angin rajuk dari selatan tanahair rasanya menjenguk aku di sini.. ermm.. aku tahu dia marah kerana aku tidak dapat menemaninya hari ini... semalam juga. Alasan? Yer... alasan yang sama untuk kedua2 hari itu. Errmm.. tapi itu bukan alasan yang aku sengaja cipta. Itu benar2 alasan dan sebab sebenar aku tidak dapat bersamanya dalam 2 hari ini. Katanya aku tidak meletakkan dia penting sebagaimana duduk penting manusia lain pada perkiraanku. Errmm... sekali lagi dia mengasak aku menjelas soal yang serupa.

[Memberi senyum kepada orang laen itu sunggoh besar budinya..]

Saturday, September 15, 2007

~ WANITA ITU II ~

WANITA ITU II

Aku kerap melihat dia
Namun jarang nampak dirinya
Mendengar hanya ceritera
Tidak pernah ada dalam kira

Awan berarak
Yang hitam pekat berhenti di kepala
Tanda mahu hujan, mahu ribut, taufan juga barangkali

Wanita itu diam di situ
Mengharap cerah akan berganti
Menolak awan hitam itu supaya pergi
Akhirnya dia menangis sambil bersaksi
Lencun bersama hujan yang sepi

Menarik dia berteduh bumbung
Tidak sedikit mengubah
Dia mahukan cerah
Dalam hujan dalam ribut
Dia mahukan senyum
Tidak kelat, tidak sugul

Aku diam berhenti
Aku melihat kentalnya dia
Aku terpandang tabahnya dia
Aku tersayu sedihnya dia
Aku terduduk malangnya dia
Aku terpaling kasihan dia
Mengapa dia?
Menanggung perit di luar kira..

Wanita ini
Bergelar isteri mithali
Jiwa raga taruhan diri
Kerana kasihkan suami
Yang memberi dunia dalam hati

Aku kini melihat dia
Nampak yang putih dalam diri
Mahu meminjam tanpa iri
Lekat yang kini tiada lagi
Ke hujung dunia kalau dicari
Yang ada sekadar bilangan jari.


[Mendoakan agar dia terus tabah dan kuat men-jalani hidop hari esok..]

~ LEWAT ~

LEWAT

Lewat hari semalam
Satu berita merengut senyum kami
Jauh tidak terfikir di dalam akal
Hebat terpukul ribut itu
Mengharap dengar itu tidak benar

Lewat berita itu
Si ayah memberi diam paling senyap
Si ibu jatuh seperti gelap dunia
Si isteri menahan esak tanpa peduli diri
Si abang, kakak dan adik
Mengharap dengar itu tidak benar

Lewat hari ini
Yang didengar itu benar belaka
Dari si bongkak yang menutur kata
Aku di sini sekadar melihat
Melihat saja?
Yaa… tiada mampu melawan gila mereka

Lewat.. lewat.. lewat..
Semuanya sudah terlewat
Mahu atau tidak, itu hakikat
Takdir yang terpahat…
Justeru
Hanya keajaiban yang akan memberi jawab!!!


[Buka mata, buka hati dan coba berada di kasot orang laen..]

Friday, September 14, 2007

~ JARAK TIDAK PERNAH MEMISAHKAN ~

Alhamdulillah... selesai menjalani puasa pertama hari ini. Semuanya baik2 sahaja hari ini. Beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa, teman jiwa menghubungiku. Mengucapkan selamat berbuka puasa dan menyatakan juga dia turut berpuasa berpuasa hari ini. Aku berbangga kerana hari ini merupakan 1 Ramadhan dan dia turut menyertai. Aku tidak pernah memaksanya. Keinginannya sendiri seperti yang disuarakan kepadaku. Tahun sebelum ini juga dia turut berpuasa walaupun tidak sempurna satu bulan. Alhamdulillah... Mudah-mudahan yang terbaik buat dia... Mudah2an dia lebih mengenal Islam.

Jam 10 malam, aku menghubungi ibu. Saja mahu berbual2 dengan ibu. Selalunya aku memilih waktu pagi untuk berbual dengan ibu. Jam 5 atau 6 pagi selalunya. Namun hari ini ingatan kuat kepada ibu. Justeru, ringan saja jari mendail nombor ibu. Hampir satu jam lebih kami berbual di telefon. Tiada urusan yang penting pun... sekadar bual kosong. Bertanya dan bercerita itu dan ini.

[Jarak tidak pernah meluntur rasa kasih.. rasa sayang.. jarak sentiasa membuat rindu sentiasa kejap dan tebal dalam diri dalam hati. Berjauhan dengan teman jiwa membuat cinta dan sayangku ku bertambah dalam. Berjauhan dengan ibu membuat kasih dan rinduku bertambah mahal...]

Thursday, September 13, 2007

~ SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK ~

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat menyempurnakan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih memberi makna.

Petikan dari www.sabah.org.my

Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Sabda Rasulullah saw :
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.

Sabda Rasulullah saw :
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

[Bersyukur kerana maseh bernafas dan berpeluang menyambut Ramadhan dan mengerjakan ibadah puasa pada tahun ini..]

Tuesday, September 11, 2007

~ MENOMPANG DAGU ~

(Kredit Foto : Filem Otai)

Isnin lepas, ibu menghubungiku memberitahu ayah jatuh ketika sedang menikmati makan tengahari. Ayah sekali lagi mengalami serangan jantung. Ibu menangis. Errmmm.. aku juga mahu menangis. Tetapi jiwa raga ini kuatkan untuk tidak menambah bimbang ibu. Abang segera pulang pada malam itu. Mujurlah masih ada penerbangan ke kampung halaman ketika itu. Aku tidak dapat pulang kerana perlu meneman si kecil. Kakak terlibat dengan kursus di INTAN dan abang (ipar) pula telah 3 hari berada di Syedney, Australia. Aku dan kakak akan pulang kemudian nanti. Mungkin dalam sehari-dua ini.

Alhamdulillah, abang memberi khabar sakit ayah tempohari tidak berlarutan. Kata abang, semuanya kembali seperti biasa. Cuma mungkin ayah berada dalam sedikit tekanan. Entah apa tekanan yang dimaksudkan, tidak pula abang perjelaskan. Memang aku sentiasa risau akan keadaan ayah dan ibu di kampung. Mereka hanya tinggal berdua sejak adik menyambung pengajian di ibukota awal julai lalu. Seandainya apa2 yang terjadi, tiada sesiapa yang dekat boleh menjengok mereka. Kesemua anak2 ayah dan ibu jauh mencari rezeki di ibu kota.

Sungguh bebetulan juga, di sini.. di ketika ini aku juga sedang membantu seseorang melalui saat getirnya. Ermmm... di saat aku sarat memikir soal sakit ayah, terseret juga soal musibah yang didepani Id. Semalam, kami membawa Id ke klinik untuk mengambil cuti sakit. Ini kerana Id tidak dapat menumpukan fokus kepada soal kerja kerana memikirkan musibah yang menimpa suami. Justeri dia mengambil keputusan untuk bercuti sahaja sehingga keadaan suaminya yang tercinta menunjukkan perkembangan yang positif.

Malang sekali apabila doktor membuat pemeriksaan, badan Id dikatakan terlalu lemah dan tekanan darahnya di bawah paras normal. Justeru, Id dirujuk kepada pihak Hospital. Situasi itu sungguh2 mengejutkan aku, juga Id. Dia menangis tidak mahu ditahan di wad. Dia tidak mahu menambah sugul yang sedia ada. Tidak mahu memberi lebih susah kepada mereka yang di samping yang telah sedia susah dengan musibah suami.

Aku memandang wajahnya sayu. Harus apa perkataan yang paling baik perlu aku tuturkan kepada dia. Bagaimana aku harus memberi harapan dan menyenangkan hati dia? Sedang pada hakikatnya sejak sabtu lepas langsung tiada apa yang positifnya yang mampu memberi dia sedikit senyum.

Sedikit kebetulan, aku mempunyai seorang kenalan di hospital terbabit. Justeru, aku meminta tolong atas kuasa budi bicara agar Id tidak ditahan di wad. Aku tahu tindakankku itu bukanlah sesuatu yang baik buat kesihatan Id tetapi aku tidak sampai hati melihat keadaan dia. Apapun, tindakanku itu bersyarat. Asal dia mengikuti segala aturan ubat yang telah ditetapkan.

Hari ini, saat ini... aku duduk menompang dagu... Apa agaknya yang akan berlaku pada hari esok yea... Apakah takdir yang telah tertulis untuk suami Id? Dan apakah suratan yang harus ditelan Id... Bagaimana kalau segala usaha ini tidak berhasil? Bagaimana Id akan melalui hidupnya? Bagaimana dengan baby yang dikandungnya itu? Ya Tuhann...

Aku mendoakan agar Id akan terus kuat dan tabah. Mudah-mudahan semuanya selamat... Semoga senyum yang hilang itu akan kembali pada 1 Ramadhan ini. Yaa.... Tahun ini merupakan Ramadhan pertama buat mereka sejak bergelar suami-isteri pada Mac lepas.

[Kenapa yea mereka yang punya sediket kuasa itu begitu bongkak menongkat langet? Pernah-kah mereka terpikir berada di kasut manusia lain? Hebat sangat-kah mereka dengan kuasa sementara yang dipinjamkan itu?]

Monday, September 10, 2007

~ MELIHAT SUGUL YANG ADA ~

Sejak sabtu lalu, sugul masih mengisi hari. Sehingga pagi ini, kami masih belum mendapat apa2 berita positif lagi. Masih menanti dengan penuh sabar dan doa yang panjang. Mudah-mudahan semuanya akan baik2 sahaja.

Aku sedikit kecewa kerana tidak banyak yang dapat aku lakukan untuk meringankan beban dia. Apapun semalam, kami telah memperolehi perkembangan terbaru dan harapnya hari ini mendapat khabar positif.

Apa yang boleh aku katakan di sini, sedih dan sugul itu apabila terkongsi dengan yang sudi mendengar dan menyandar bahu lebih melegakan. Hari ini hari orang dan siapa tahu esok datang pula hari kita. Ermm..

[Ramadhan pertamanya buat mereka ber-dua sebagai pasangan suami istri tersambut dengan sugul yang begini... Tuhan lebeh tahu apa yang baek buat mereka barangkali..]

Sunday, September 09, 2007

~ MENYAMPAI KHABAR KURANG BAIK ~

Petang semalam, aku berdepan dengan suastu situasi yang cukup2 menyesakkan. Seorang kenalan didatangi musibah dan aku orangnya yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan berita itu kepada si isteri. Aku cuba untuk mengelak tetapi mereka amat2 berharap aku dapat membantu melakukan bagi pihak mereka.

Aku terpaksa bersetuju kerana tidak punya banyak masa untuk berfikir. Tidak mahu si isteri terus-terusan meratap hiba dan bertanya akan keadaan si suami. Aku cuba mengumpul semangat dan kekuatan. Cuba mengatur segala bicara agar semuanya dapat disampaikan dengan bahasa yang lancar, jelas dan difahami.

Perjalanan dari Shah Alam ke Pelabuhan Klang itu rasanya terlalu sekejap sehingga aku tidak sempat untuk menarik nafas yang panjang untuk melaksanakan amanah itu. Ya.. Allah beginikah rasanya membawa berita yang tidak baik untuk didengar orang.. Pengalaman kali pertama ku kira. Sangat2 mendebarkan sehingga percikan peluh juga jelas dapat ku rasakan.

Jam 6.50 petang, kami tiba di tempat yang dituju. Beberapa kali tersasar jalan, namun akhirnya tiba juga. Sebaik salam di hulur, seorang wanita yang tidak bermaya wajah dan suaranya muncul. Aku kenali wajah itu walaupun tidak begitu rapat dengannya berbanding si suami. Dia menyambut kami tenang. Masih menghulurkan senyuman walaupun aku tahu senyum itu tawar dan kosong. Melihat dirinya, seperti dapat ku baca apa yang ada di benaknya.

Sebaik sahaja kaki menjejak masuk ke dalam rumah, semua mata tertumpu ke arahku. Si isteri juga tidak menunggu dan terus bertanya dengan wajah yang cukup2 sayu dan langsung membuatkan mulutku seperti lekat terkunci. Aku mahu menangis, tetapi aku tidak harus memberi laku yang begitu dalam situasi ini.

Aku beberapa kali diberi isyarat oleh mereka supaya berterus-terang sahaja tentang musibah itu. Malang sekali aku tidak mampu walaupun telah bersetuju pada awalnya. Walaupun aku telah menyusun kata dan memilih perkataan yang baik, namun apabila bertatap wajah sayu si isteri ini aku tidak sampai hati dan tidak mampu untuk menceritakan apa sebenarnya yang telah menimpa si suami.

Akhirnya, orang lain yang terpaksa menggantikan aku. Mataku tidak lepas dari memandang wajah si isteri ini. Sangkaku dia akan menangis dan meraung.. tetapi dia tidak dalam keadaan yang begitu. Cuma airmata yang lama di tahannya sejak tadi mula membasahi pipi. Tiada suara esak yang kedengaran.

Aku kagum dengan dia. Betapa tabahnya dia berdepan semua ini. Malah dalam waktu yang sama, cuba mencari iktiar untuk melakukan sesuatu dengan caranya sendiri. Dan tentu sahaja aku tidak mahu hanya berpeluk tubuh melihat susah dia. Aku cuba untuk membantu setakat yang dalam kemampuan. Apa sahaja.. insyaallah..

Bimbang akan keadaannya yang sedang berbadan dua dan berseorang pula di rumah, hari ini, kami sekali lagi ke rumahnya dan membawanya ke sini. Sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan dalam tekanan. Tiada janji yang pasti, cuma kami akan sama2 membantunya. Mudah-mudahan dia akan terus tabah dan kuat.

Berbalik kepada soal ketidakmampuanku untuk berdepan suasana berat seperti semalam, membuat aku berfikir panjang. Betapa aku tidak pernah walau sekalipun berfikir tentang soal ini. Tentang soal susahnya menjadi orang yang bertanggungjawab membawa berita buruk kepada orang yang mengharapkan berita baik. Sangat2 sukar. Dan aku berharap aku tidak akan pernah lagi melalui situasi serupa. Aku tidak punya kekuatan untuk memikul tanggungjawab itu. Kalau boleh, biarlah aku menjadi penyampai berita yang baik2 sahaja untuk didengar orang..

[mudah-mudahan semuanya selamat.. semuanya baek2 saja.. amin]

Saturday, September 08, 2007

~ TAWARAN KERJA BARU ~

Semalam, aku mendapat tawaran bekerja di tempat baru. Kalau diikutkan surat tawaran itu, aku dikehendaki melaporkan diri pada 17hb september ini. Ermm.. pening.. kerja yang aku pohon sudah lama dan hari ini baru permohonan itu diterima. Malangnya, ketika ini aku sudah tidak begitu berminat.

Kalau boleh, aku sudah tidak mahu lagi bekerja dalam bidang ini. Alang2 berpindah tempat kerja, aku mahu terus berpindah bidang juga. Aku sudah penat bekerja dalam bidang ini yang sebenarnya jauh tersasar dari apa yang aku inginkan selama ini. Tapi oleh kerana itulah rezeki dan jalan kehidupan yang telah ditetapkan untukku, aku laluinya dengan baik. Menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam kehidupan.

Namun bila direnung2 surat tawaran ini, terasa seperti rugi pula kalau melepaskan peluang yang di depan mata ini. Pendapatannya jauh lebih tinggi dari tempat aku sekarang. Cumanya, mungkin kesibukkan dan skop kerjanya lebih luas daripada yang sekarang.

Kalau kakak atau abang tahu, tentu sahaja mereka mahu aku menerima sahaja tawaran ini dan bertukar angin baru. Errmmm...

[Namaku mungkin akan disenaraihitamkan lagi jika aku sekali lagi menolak tawaran ini.. yaa.. barangkali.]

Friday, September 07, 2007

~ WALAU BUKAN SENYUM YANG DULU ~

Siang tadi, aku bertemu sahabat Mei. Ini pertemuan pertama selepas 'sesi pengampunan' sedikit masa lalu. Kali ini lebih baik barangkali. Dia sudah berani menegur dan berbual. Aku tidak pasti apakah laku itu untuk menutup agar tidak dihidu oleh rakan lain yang kebetulan di situ atau ia benar2 bersituasi begitu. Pun begitu, jauh di sudut hati aku mengharapkan agar dia ikhlas dan lakunya itu.

Aku pula gagal bereaksi dengan baik. Tentunya aku hanya memerhati dan seperti kekok untuk berbual biasa dengan dia. Walaupun ia tidak lagi seperti senyum dulu, sekurang-kurangnya ia satu permulaan yang baik. Itu pun yang selalu aku harapkan. Merdekakan diri dari segala rasa sangka.

Aku pulang awal. Tidak berkesempatan pun mahu mengatur bual yang baik dengan sahabat ini. Aku harap punya kesempatan yang lain. Walaupun hari ini dia baik2 sahaja, aku tidak mahu menganggu kerja2 nya.

[Bila mengenangkan semula kejadian lalu, aku merasa malu yang teramat sangat kepada sahabat mei ini. Dia begitu melayan baek aku sebagai sahabat dan aku pula membuat bingar pada keperchayaannya... walaupun tanpa ada sengaja]

Thursday, September 06, 2007

~ OBSESI BUAT SI KENARI ~

MENGHARAP ADA KEBETULAN

Aku di sini terkenang dia
Mengharap ada kebetulan
Mengisi hari
Tiba dia menjengah nanti
Mahu melihat dengan mata hati

Setelah bermusim mengenali
Hanya mendengar dan didengar
Dengan penuh pekerti
Dia aku hargai

Besar hati
Selalu dia di sisi
Tanpa disamping walau sekali
Tapi dia memahami dan memerhati
Setiap duka lara hati

[Tidak mengenali wajah.. tetapi cukup mengenali hati dan budi...]

Wednesday, September 05, 2007

~ DOKTOR & UBAT ~

Aku tidak suka ubat, tidak suka doktor. Titik.

[Telah masok hari ke-5. Sama sahaja]

Tuesday, September 04, 2007

~ BERTAMBAH MALANG ~

Walaupun malam tadi aku mempunyai tidur yang cukup dan terkesan, pagi ini aku sedikit terlewat bangun. Namun sebaik bangun tidur, terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pula pada diriku. Membawa diri ke cermin, alangkah terkejutnya aku apabila melihat sebahagian mukaku terutamanya di bahagian mata menjadi bengkak.. Teruk sekali keadaannya.

Entah apa yang menyebabkan jadi begitu. Mungkinkah aku alergik dengan uabat yang dimakan semalam? Itu soal teman jiwa sebaik saja aku memberitahu apa yang terjadi kepadanya. Ya Tuhann… ermm… apa malangnya nasibku hari ini.

Pada mulanya aku mahu mengambil cuti sakit sahaja hari ini seperti yang disarankan oleh teman jiwa.. Namun, apabila melihat bengkak itu beransur2 berkurang, aku membatalkan hasrat itu. Kebetulan pula aku perlu menunaikan janji untuk membantu seorang rakan. Tentu sekali aku akan merasa bersalah dan tidak senang hati jika membatalkannya pada saat2 akhir. Tentu sekali akan membuat susah yang banyak kepadanya. Tidak sampai hati mahu berkata tidak setelah berkata 'ya' sebelum ini. Malah sewaktu dia menghubungiku semalam pun, aku dengan penuh yakin berkata 'ya'. Justeru, takkanlah pada waktu ini, aku mahu menarik diri dan berkata 'maaf' begitu sahaja? Yaa.. aku punya alasan dan sebab yang benar.. namun aku aku tidak mahu memberi situasi sugul dengan merosakkan sesuatu yang telah dirancang. Aku cuma membayangkan kalau aku berada di kasutnya. Itu sahaja.

Justeru, aku kena juga hadirkan diri hari ini. Jenuhlah menuam mata yang membengkak itu. Hampir 2 jam aku sempat melakukan itu sebelum ke tempat pekerjaan. Ia berkesan. Bengkak itu semakin berkurang walaupun ia masih dapat dilihat dengan jelas.

[Errmmm… melalui hari yang malang… tidak mahu berhentikah malang ini dari terus mengekor?]

Monday, September 03, 2007

~ HARI YANG MALANG ~

Melalui hari yang malang. Ermm… Sejak ahad lalu aku terkena ulser yang teruk. Ini merupakan pengalaman pertama. Sebelum ini tidak pernah merasa betapa seksa dan sakitnya menanggung. Nah.. hari ini mahu membuka mulut untuk bercakap pun tidak mampu. Apatah lagi mahu makan seperti sedia ada. Sekadar minum milo panas untuk mengalas perut.

Sebelah paginya terlibat urusan kerja di luar tempat pekerjaan. Entah macamana, rajin pula aku mengambil minuman berais. Akibatnya, terus sahaja sakitnya semakin menjadi2. Entah apa yang tidak kena. Mahu menangis rasanya.

Ketika mahu pulang ke rumah pula, Kuala Lumpur dilanda hujan lebat. Terpaksalah menunggu hujan teduh di ruang pekerjaan. Mujurlah seorang rakan pekerjaan juga turut menemani. Melihat hujan agak reda dan jam di tangan sudah menunjukkan 7.30 malam, aku dan rakan ini mengambil keputusan untuk meredah renyai. Pun begitu sebaik sahaja sampai di perhentian teksi, hujan kembali turun dengan lebat. Kali ini lebih lebat daripada sebelumnya. Sudahnya kami lencun walaupun berada di bawah bumbung. Malang juga apabila semua teksi tidak mahu berhenti mengambil penumpang. Ya Tuhan… sudahlah aku sedang menahan sakit yang teramat sangat ini. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.35 malam. Hujan masih belum menunjukkan tanda mahu reda, malah semakin lebat menutup malam pekat.

Setelah menggigil satu badan menahan kesejukan, barulah ada teksi yang baik hati mahu berhenti mengambil penumpang. Tiba di rumah jam 9.15 malam. Sakit kepala yang teramat2 sangat. Mahu tidak mahu, terpaksalah aku mengalah dan mengambil 2 biji paracetamol. Itu sahaja ubat yang ada di dalam kotak ubat di rumah. Menelan 2 biji pil ini adalah sesuatu yang paling aku benci lakukan. Malah ia selalunya akan menjadi pilihan terakhir aku. Dan apabila aku memilih untuk menelannya, bermakna aku benar2 sudah tidak dapat menahan beban sakit yang ditanggung. Mengambil roti dan membenamkan pil itu ke dalamnya. Itulah cara aku menelan ubat selama ini. Itupun masih lagi sukar untuk menelannya.

Sebaik menelan ubat 2 biji paracetamol dengan penuh seksa itu, aku mengambil keputusan untuk terus tidur. Ketika ini jam 10.50 malam. Menutup talian telefon dan memaksa diri untuk melelapkan mata bagi melega sakit yang bertindan-tindih ini.

[Sakit yang sedikit begini pun bising aku rungutkan, bagaimana agaknya dengan umi yang kini sedang berjuang dengan kansernya?]

Sunday, September 02, 2007

~ BERMALAS-MALASAN ~

Hari ini aku tidak ke mana. Teman jiwa punya urusan lain yang lebih perlu. Justeru, dia tidak dapat mengisi hari bersamaku hari ini. Baik juga kerana aku sendiri tidak ada mood untuk keluar. Kurang sihat. Sakit mulut. Mungkin terkena ulser barangkali.

Br ada juga menghubungi, bertanya kalau2 aku mahu menyertai ke kedai buku kegemaran. Begitulah dia memancing aku. Dia tahu aku jarang menolak kalau di ajak ke tempat2 begitu. Tapi kali ini aku menolak kerana memang malas mahu keluar dan malas mahu ‘bercakap’ dengan orang kerana sakit mulut.

Justeru, sepanjang hari aku hanya bersendirian di rumah. Kakak pulang bercuti ke kampung sejak jumaat lalu sempena merdeka dan menyambung cuti apabila abang kebetulannya terlibat dengan satu acara penting peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh kementeriannya di sebuah negeri pantai timur.

Mengisi kebosanan dengan menonton. Aku kembali mengeluarkan VCD lama untuk ditonton. Drama2 bersiri Jepun dan Korea yang menjadi kegemaranku. Menonton secara marathon. Bermula jam 11 pagi sehinggalah 11 malam. Itu sahaja aktiviti yang aku lakukan pada hari ini selain melayan bual yang panjang dengan seorang sahabat..

[Aku tau ayah betol2 marah pada aku kali ini kerana tidak pulang berchuti sempena hari merdeka..]