Thursday, August 16, 2007

~ TUN DR ISMAIL ~

Hari ini, aku punya sedikit kesempatan menghabiskan masaku di gedung pembacaan. Menilik beberapa buku baru yang menarik pandangan dan perhatianku. Seronok dan begitu leka sehingga tidak menyedari beberapa jam aku menghabiskan masa di situ.

Aku akhirnya tertarik untuk membawa pulang senaskah buku yang bertajuk, BUKAN KERANA PANGKAT : TUN DR ISMAIL DAN MASANYA. Tulisan Ooi Kee Beng dan diterbitkan oleh ISEAS Publishing dengan harga RM40.00. Ia tidaklah terlalu mahal berbanding dengan kandungan ilmu di dalamnya.

Saat jari-jariku bercerita di entri ini, aku baru sahaja selesai membacanya sehingga ke helaian terakhir. Banyak yang aku tidak tahu tentang tokoh negara yang seorang ini rupa-rupanya. Tokoh yang begitu tulus dan mulus hatinya berkhidmat untuk negara.

Terkenang aku pada seorang sahabat ini. Dalam banyak perbualan kami tentang sejarah negara, dia kerap menyebut tentang Arwah Tun Dr Ismail. Rasa bangganya kepada tokoh ini bukan sedikit. Banyak yang dia tahu. Pernah aku bertanyakan kepada dia, apa yang lain atau istimewanya Tun Dr Ismail sehingga dia menyanjung sampai begitu? Apa bezanya Tun Dr Ismail dengan tokoh2 yang lain? Sahabat ini hanya tersenyum dan menyarankan aku agar mencari sendiri jawapannya. Mendengarkan itu, terus sahaja aku berseloroh. Apakah kerana dia tinggal dan dibesarkan di Taman Tun Dr Ismail, makanya nama tokoh ini menjadi istimewa kepadanya. Sahabat ini terus melepaskan ketawanya yang besar. Pun begitu, dalam selorohku itu... tercetus keinginan untuk mengenali tokoh ini. Mencari istimewanya dia.

Nah...hari ini aku mendapat jawapannya. Jawapan yang terkandung dalam buku yang tajuk asalnya ini ialah THE RELUCTANT POLITICIAN : TUN DR ISMAIL AND HIS TIME. Buku ini sebenarnya diterbitkan di Singapura pada tahun 2006 oleh Institute Of Southeast Asian Studies (ISEAS). Aku benar2 merasa semangat yang dibawa oleh tokoh ini. Begitu banyak jasa dan pengorbanannya untuk negara. Pun begitu, sayang sekali kerana jasa2 beliau tidak begitu dilihat orang. Malah ramai diantara generasi hari ini tidak tahu siapa beliau, termasuklah aku. Kalau tahupun, mungkin hanya pada nama. Sungguh sedikit terlambat, namun sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada tidak pernah langsung.

Ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10.00 malam, 2 Ogos 1973 kerana mengalami serangan jantung, Tun Dr Ismail merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri. Istimewa juga ketika itu, beliau dalam tugas memangku jawatan Perdana Menteri (Tun Abd Razak) yang ketika itu berada di Ottawa, Kanada.

Errmm... aku cuma berharap agar generasi hari ini sentiasa mengingat sejarah dan mengambil iktibar dan pelajaran di atas segala susah payah tokoh2 yang terdahulu membina negara. Kenangilah mereka yang telah banyak memberi senang kepada kita hari ini. Menghirup udara dalam situasi yang aman makmur dan sejahtera.

[Lama tidak menyinggah di Taman Tun Dr Ismail yang suatu ketika merupakan tempat singgahan wajib buatku. Bukan sudah lupa, tapi masa yang tidak begitu memberi ruang.]

No comments: